Ulasan Buku: The Spirit of Democracy oleh Larry Diamond

Diamond, Larry. 2008. The Spirit of Democracy: The Struggle to Build Free Societies Throughout the World. New York: Times Books. 464 hlm.

Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia

Book Review19 min read

Pengenalan dan Ringkasan Buku

Larry Diamond merupakan sarjana yang diiktiraf secara global dalam kajian demokrasi, khususnya dalam disiplin politik perbandingan. Selain bertugas sebagai Pensyarah Kanan di Hoover Institution dan Freeman Spogli Institute for International Studies, Universiti Stanford, Diamond juga berkhidmat sebagai editor untuk Journal of Democracy. Buku-buku akademik yang ditulis beliau termasuklah Squandered Victory(2005), In Search of Democracy(2015) dan Ill Winds: Saving Democracy from Russian Rage, Chinese Ambition and American Complacency(2019). Buku-buku inimengkaji secara kritis peralihan dan ketahanan demokrasi merentas pelbagai wilayah.

Dalam The Spirit of Democracy (2008), Diamond memberikan hujah tentang perkaitan menyeluruh prinsip-prinsip demokrasi seperti integriti institusi, penglibatan masyarakat sivil dan kedaulatan undang-undang. Analisis beliau merangkumi Afrika, Asia, Amerika Latin dan Timur Tengah, Diamond menonjolkan kelebihan dan permasalahan dalam pendemokrasian global. Diamond berpendapat bahawa demokrasi berada dalam keadaan terkongkong akibat kelemahan dalaman sesebuah negara seperti rasuah, polarisasi dan tadbir urus yang lemah serta ancaman luaran termasuklah daripada rejim authoritarian yang kukuh dan gangguan geopolitik.

Buku ini terdiri dari tiga bahagian utama, pada bahagian satu, Larry Diamond meneliti perkembangan demokrasi diperingkat global dengan menumpukan kepada gelombang ketiga pendemokrasian yang bermula pada pertengahan tahun 1970-an. Beliau mengkaji faktor-faktor yang mendorong transformasi ini termasuk pembangunan ekonomi, perubahan budaya, masyarakat sivil dan pengaruh antarabangsa, sambil turut menangani cabaran seperti ketahanan autoritarian dan rasuah.

Pada bahagia kedua buku beliau, Diamond menganalisis kemajuan demokrasi yang tidak seimbang merentas pelbagai wilayah, dengan menyoroti kejayaan dalam pengukuhan demokrasi serta kemunduran akibat autoritarianisme, rasuah dan tadbir urus yang lemah. Beliau menekankan peranan institusi, tadbir urus dan usaha antarabangsa dalam mengekalkan demokrasi di samping menangani cabaran dalam demokrasi rapuh dan rejim autoritarian.

Akhir sekali pada bahagian ketiga, Diamond menggariskan strategi untuk menghidupkan semula demokrasi dengan menekankan kepentingan memerangi rasuah, memperkukuh institusi, memupuk tadbir urus inklusif dan memanfaatkan kerjasama antarabangsa. Beliau menyeru pembaharuan demokrasi, dengan menggesa negara-negara demokrasi mapan agar menangani kelemahan dalaman mereka demi memberi inspirasi kepada kemajuan demokrasi global.

Selain itu, Diamond juga berhujah berdasarkan data empirikal daripada tinjauan global seperti Afrobarometer dan World Values Survey, buku ini menilai hujah dalam banyak peringkat. Diamond menegaskan bahawa institusi demokrasi perlu dilengkapi dengan masyarakat sivil yang aktif dan budaya politik yang mengekalkan nilai-nilai liberal. Cadangan Diamond kepada polisi ini termasuk memperkukuh masyarakat sivil, mengukuhkan media bebas, mempromosikan akauntabiliti dan meletakkan syarat kepada bantuan asing untuk reformasi tadbir urus. Beliau juga menekankan peranan teknologi digital dalam memperkasakan rakyat, sambil memberi ingatan terhadap penyalahgunaannya dalam konteks autoritarian (Morozov 2011).

Kekuatan dan Kelemahan Buku

Salah satu kekuatan utama The Spirit of Democracy adalah ruang kajian komprehensif buku ini dan bagaimana beliau mengintegrasi dapatan dengan kerangka empirikal dan teori. Diamond turut merujuk kepada pelbagai disiplin sains politik, mensintesis teori politik moden, mengkaji kerangka institusionalisme[1] dan menilai perspektif masyarakat sivil. Kajian beliau terhadap sumber data global seperti Afrobarometer (Bratton, Mattes & Gyimah-Boadi 2005) dan Asian Barometer (Chu et al. 2008) mengukuhkan asas empirikal analisisnya. Beliau juga mengambil pandangan perbandingan daripada kajian kes seperti Botswana dan Costa Rica untuk contoh kajian ketahanan institusi, serta Zimbabwe dan Nigeria untuk menggambarkan kerapuhan institusi, ini dapat meningkatkan kredibiliti dan kebolehgunaan hujah beliau.

Buku ini wajar diberikan pujian kerana berupaya mengalihkan fokus daripada proses pilihan raya semata-mata kepada demokrasi yang lebih berkualiti. Diamond mengetengahkan kepentingan akauntabiliti mendatar[2], semakan institusi dan kedaulatan undang-undang untuk capaian demokrasi yang lebih mendalam dan bukan hanya sekadar perbincangan demokrasi yang umum. Analisis perbandingannya tentang kejayaan dan kegagalan demokrasi di pelbagai negara dapat menghindar beliau dari bersikap berat sebelah terhadap perspektif Barat sahaja malah turut diperkaya dengan perspektif global.

Tambahan pula, Diamond memberikan analisis yang kompleks tentang rejim autoritarian dengan membezakan autoritarianisme kompetitif dan autokrasi berinstitusi. Ini membantu merangka perbincangan tentang ketahanan rejim autoritarian dan adaptasi strategik rejim tersebut terhadap elemen demokrasi untuk memberi justifikasi ke atas pemerintahan mereka (Levitsky & Way 2010).

Walau bagaimanapun, buku ini juga menunjukkan beberapa kelemahan. Pertama adalah pergantungan Diamond pada teori pemodenan, walaupun sederhana, masih condong kepada pandangan deterministik[3] yang mengaitkan pembangunan ekonomi dengan hasil demokrasi. Pengkritik seperti Przeworski et al. (2000) telah menunjukkan bahawa walaupun pembangunan ekonomi berkorelasi dengan ketahanan demokrasi, ia tidak semestinya mencetuskan demokratisasi. Hujah mereka mencabar andaian hubungan langsung teori pemodenan dengan menunjukkan bahawa demokrasi boleh muncul dalam pelbagai keadaan ekonomi. Pembangunan semata-mata tidak mencukupi tanpa struktur politik yang kondusif dan agensi yang melaksanakannya. Ini berbeza dengan pandangan Diamond yang lebih optimistik walaupun sedikit berbeza, namun masih bersandar pada idea bahawa pembangunan memainkan peranan penting dalam membolehkan peralihan demokrasi. Pembangunan membantu mengekalkan demokrasi tetapi tidak semestinya memulakannya. Beliau memetik contoh seperti China dan Arab Saudi.

Kedua, analisis faktor budaya dan agama tidak dikembangkan secara menyeluruh. Walaupun Diamond memperdebatkan nilai demokrasi universal, beliau tidak menangani secukupnya kritikan daripada sarjana relativisme budaya yang berpendapat bahawa konsep tadbir urus dan legitimasi berbeza secara meluas merentasi budaya. Sebagai contoh, Bell (2006) berhujah bahawa masyarakat Asia Timur, dipengaruhi tradisi Konfusian, mungkin mengutamakan keharmonian sosial dan kepimpinan moral berbanding pluralisme liberal. Begitu juga, Esposito dan Voll (1996) menekankan model tadbir urus Islam yang menggabungkan prinsip agama dengan autoriti politik. Perspektif ini menegaskan bahawa konsep dan bentuk demokrasi mungkin tidak universal tetapi dibentuk oleh trajektori sejarah, budaya dan agama. Beliau mungkin tidak terlibat secara menyeluruh dengan norma budaya dan agama yang boleh membentuk penerimaan demokrasi dalam masyarakat selain dari Barat. Ini mengehadkan penjelasan buku beliau secara mendalam, khususnya dalam masyarakat yang dipengaruhi oleh tradisi Konfusian, Islam atau hierarki tradisional.

Ketiga, walaupun Diamond mempromosikan bantuan demokrasi dari kuasa antarabangsa, beliau memandang rendah batasannya dan tindak balas negatif yang boleh tercetus. Promosi demokrasi sering dianggap sebagai neo-imperialisme[4], terutamanya di negara yang mempunyai sentimen nasionalis atau sensitiviti geopolitik yang kuat (Carothers 2002).

Keempat, penekanan Diamond terhadap ‘teknologi pembebasan’ bersifat futuristik tetapi kadangkala teknokratik. Beliau menonjolkan peranan alat digital dalam membolehkan aktivisme, tetapi perspektif beliau akan lebih bermanfaat jika kajian mendalam dibuat bagi mengesan kekangan alat digital ini. Sarjana seperti Tufekci (2017) dan Morozov (2011) telah menunjukkan bagaimana platform digital juga boleh memudahkan pengawasan negara, manipulasi algoritma dan penyebaran maklumat palsu, seterusnya menggugat potensi emansipatori yang dikaitkan Diamond dengan ‘teknologi pembebasan’. Diamond juga tidak menjelaskan bagaimana untuk menangani cara rejim autoritarian telah menyesuaikan teknologi ini untuk pengawasan, penindasan dan penyebaran maklumat tidak benar (Tufekci 2017; Morozov 2011).

Akhirnya, buku ini kurang memberikan perhatian kepada peranan ketidaksamaan ekonomi dalam mengikis norma demokrasi. Walaupun peranan rasuah dan tadbir urus dibincangkan di dalam buku ini, tetapi Diamond tidak meneroka bagaimana ketidaksamaan struktur meruntuhkan kesaksamaan politik dan legitimasi institusi demokrasi. Seperti yang digambarkan oleh Piketty (2014), peningkatan ketidaksamaan pendapatan dan kekayaan menghakis asas kesaksamaan politik dengan memusatkan pengaruh dalam kalangan elit ekonomi, seterusnya mengurangkan perwakilan dan akauntabiliti tadbir urus demokrasi. Kekurangan perbincangan ini adalah kritikal, kerana ketidaksamaan semakin diiktiraf sebagai pemacu kekecewaan politik dan mencetus tindak balas populis dalam negara demokrasi membangun termasuk negara demokrasi maju dan menghakis kepercayaan kepada institusi demokrasi, seperti yang dibincangkan oleh Piketty (2014).

Walaupun terdapat kelemahan tertentu, The Spirit of Democracy kekal sebagai sumbangan penting dalam kajian demokratisasi. Ia menggabungkan visi normatif[5] dengan analisis empirikal dan menawarkan cadangan praktikal untuk mengekalkan dan mempergiatkan demokrasi di peringkat global. Penglibatan yang lebih bernuansa dengan relativisme budaya, ketidaksamaan dan adaptasi autoritarian akan meningkatkan lagi penglibatan teori dan praktikal demokrasi.

Aplikasi Teori

Kerangka analisis Larry Diamond dalam The Spirit of Democracy banyak dipengaruhi oleh teori asas dalam kajian demokratisasi. Secara khusus merujuk kepada teori ‘Gelombang Ketiga’ oleh Samuel Huntington (1991) apabila Diamond menyediakan konteks jangka masa untuk penilaian tentang pengembangan dan kemerosotan demokrasi. Diamond mengakui momentum sejarah di sebalik gelombang ketiga, tetapi mengemaskini dapatan tersebut dengan mengenal pasti ‘kemerosotan demokrasi’ yang berterusan, di mana autoritarianisme dalam pilihan raya, kemunduran demokrasi dan kecenderungan untuk tidak liberal menjadi kelaziman.

Dalam mengaplikasikan syarat atau kaedah kepada kewujudan demokrasi seperti dinytakan oleh Linz dan Stepan (1996) iaitu negara yang berfungsi, kedaulatan undang-undang, pluralisme politik dan masyarakat sivil yang kukuh, Diamond menekankan peri pentingnya syarat ini dalam kesuburan demokrasi. Beliau menerangkan kerangka ini dengan menekankan

kepentingan akauntabiliti mendatar dan kebebasan institusi, terutamanya dalam pembangunan demokrasi dimana dominasi eksekutif dan klientelisme[6] masih berleluasa.

Melalui kerangka institusionalis, Diamond mengenal pasti mekanisme seperti badan kehakiman yang bebas, sistem pilihan raya yang adil dan boleh dipercayai dan sistem perundangan yang berfungsi sebagai amat penting. Beliau memberi amaran bahawa tanpa kepercayaan masyarakat dan aplikasi demokrasi, institusi ini terdedah kepada penguasaan golongan elit. Ini setara dengan kritikan Guillermo O’Donnell (1994) terhadap demokrasi delegatif, di mana pemimpin terpilih memerintah dengan sekatan institusi yang minimum.

Lebih penting lagi, Diamond juga menggabungkan pandangan Gramscian tentang masyarakat sivil sebagai agen transformatif. Pendiri bukan negara, seperti gerakan akar umbi dan kebebasan media digambarkan sebagai pemangkin kesedaran demokrasi dan peralihan budaya. Mereka bukan sekadar memantau kuasa malahan mereka juga secara aktif membentuk naratif politik dan mencabar autoriti hegemoni.

Sumbangan Larry Diamond Kepada Perbincangan Demokrasi

The Spirit of Democracy juga menawarkan sumbangan komprehensif dan berperingkat kepada pengayaan teori demokrasi kontemporari. Dengan merujuk kepada teori-teori yang penting dan trend global semasa, buku ini memposisikan demokrasi bukan sahaja sebagai sistem tadbir urus tetapi sebagai ideal normatif yang berakar umbi dalam nilai universal, integriti institusi dan penglibatan sivik.

Diamond mencabar perbincangan relativisme budaya[7] dengan mempersembahkan demokrasi sebagai aspirasi universal, pandangan ini setara dengan hujah Amartya Sen (1999) yang menyatakan bahawa demokrasi berakar umbi dalam maruah dan kebebasan manusia. Diamond menegaskan bahawa permintaan global yang ramai untuk tadbir urus demokrasi adalah memuncak berdasarkan tinjauan data dan gerakan demokrasi dalam masyarakat dibanyak negara. Ini berlainan dengan dakwaan bahawa perbezaan budaya secara semula jadi menghalang demokratisasi.

Diamond juga terlibat dengan teori pemodenan dengan meneroka bagaimana pembangunan ekonomi sebagai prasyarat untuk memupuk struktur demokrasi contohnya urbanisasi, Pendidikan dan penglibatan kelas menengah. Walau bagaimanapun, sama seperti dijelaskan oleh Przeworski et al. (2000), beliau memberi ingatan bahawa pembangunan semata-mata tidak menjamin penghasilan negara yang lebih demokrasi. Akan tetapi, pembangunan dapay mengekalkan demokrasi setelah ia wujud. Diamond merujuk kepada kes seperti China dan Arab Saudi sebagai anomali empirikal kepada bukti pemodenan.

Analisis institusi adalah komponen penting juga dalam kerangka Diamond yang diulas dalam buku ini. Beliau menekankan peranan badan kehakiman yang bebas, sistem pilihan raya yang adil dan agensi yang mengamalkan akauntabiliti dalam mengekalkan demokrasi. Konsep seperti akauntabiliti mendatar dan kedaulatan undang-undang adalah pusat kepada hujahnya bahawa institusi formal diperlukan tetapi tidak mencukupi melainkan disokong oleh norma sivik dan budaya politik (O’Donnell 1994).

Antara sumbangan lain beliau terletak pada penekanan terhadap masyarakat sivil dan modal sosial. Beliau merujuk kepada teori Robert Putnam (1993) bahawa rangkaian penglibatan sosial memupuk keberkesanan demokrasi. Diamond melanjutkan idea ini dengan menggambarkan bagaimana pertubuhan masyarakat sivil termasuk badan bukan kerajaan, gerakan akar umbi dan media yang bebas melaporkan merupakan pemerhati, pengawas, penggerak dan pembela norma demokrasi, terutamanya dalam rejim hybrid atau ketika demokrasi dalam keadaan rapuh.

Diamond juga meneroka peranan entiti luaran dalam mempromosikan demokrasi. Ini termasuklah pendanaan asing, pemantau pilihan raya dan tekanan diplomatik. Beliau menyokong perspektif teori seperti teori Linkage and Leverage[8] oleh Levitsky dan Way (2005) dan karya Laurence Whitehead (2001) tentang dimensi antarabangsa demokratisasi yang menegaskan bahawa sokongan luaran juga boleh mengukuhkan gerakan demokrasi dalaman walaupun kesannya bergantung pada konteks negara tersebut.

Dalam menangani ancaman kepada kemampanan demokrasi, Diamond menyumbang kepada perdebatan teori tentang neopatrimonialisme[9], demokrasi delegatif dan pengukuhan eksekutif. Ini sekali lagi senada dengan kebimbangan Guillermo O’Donnell (1994) bahawa demokrasi delegatif menggugat akauntabiliti mendatar dan memudahkan regresi autoritarian. Diamond menggunakan konsep ini untuk menerangkan bagaimana rasuah, tadbir urus yang lemah dan polarisasi politik menghakis legitimasi demokrasi dari dalam.

Diamond juga terlibat dalam wacana tentang ketahanan autoritarian. Analisisnya selaras dengan teori autoritarianisme kompetitif oleh Levitsky dan Way (2010) dan penulisan Slater (2010) tentang autoritarianisme berinstitusi. Beliau mengkaji bagaimana autokrasi menyesuaikan diri secara institusi untuk menentang demokratisasi sekaligus berusaha tanpa jemu dan berstrategik untuk menentang rejim authoritarian yang bertahan lama.

Dalam merangka analisis beliau untuk konteks gelombang ketiga demokratisasi dari Huntington (1991), Diamond juga menilai “kemerosotan demokrasi” yang sedang berlaku. Trend ini dibuktikan dengan kemerosotan kualiti demokrasi, hakisan norma kehidupan dan percambahan rejim hybrid di serata tempat. Respons Diamond adalah secara diagnostik dan preskriptif, iaitu mengesan punca masalah yang timbul dan menawarkan penyelesaian polisi dari punca permasalahan dalam reformasi institusi, menguatkan peranan masyarakat sivik dan inovasi teknologi.

Beliau juga mengintegrasi pendekatan pelbagai teori antaranya teori pemodenan, institusionalisme, teori masyarakat sivil, hubungan antarabangsa dan politik digital dalam mencerminkan sintesis yang kompleks untuk menjelaskan struktur yang berasaskan agensi dan budaya. Beliau menolak model deterministik demokratisasi[10], sebaliknya Diamond memperjuangkan kerangka pluralis dan inklusif yang mengiktiraf aspirasi demokrasi universal dan konteks yang lebih spesifik.

Konsep Diamond tentang ‘teknologi pembebasan’ memperluaskan teori demokrasi ke dunia politik digital. Dengan menggambarkan bagaimana teknologi boleh memperkasakan aktivisme rakyat dan meningkatkan ketelusan kerajaan, Diamond menjangkakan bahawa perdebatan akademik tentang peranan alat digital yang lebih meluas dalam pemahaman demokrasi dan pengukuhan autoritarian (Tufekci 2017).

Akhirnya, The Spirit of Democracy menyumbang kpeada kerangka komprehensif dan polisi yang lebih relevan untuk memahami trajektori demokrasi dalam era kontemporari. Dengan menggabungkan pandangan teori dengan keluasan empirikal dan cadangan yang boleh diambil tindakan, Diamond memperkaya wacana akademik tentang demokrasi dan menyediakan model yang pelbagai untuk menganalisis ketahanan dan kemunduran rejim demokrasi.

Aplikasi Asia Tenggara dan Refleksi Perbandingan

Buku ini turut menelusuri elemn dalam politik perbandingan, merujuk kepada teori pemodenan, institusionalisme dan teori masyarakat sivil untuk menilai demokratisasi secara global. Diamond mengintegrasikan dapatan ‘gelombang ketiga’ oleh Huntington (1991) dengan kritikan terhadap teori pemodenan dengan menyatakan bahawa walaupun pertumbuhan ekonomi boleh menyokong demokratisasi seperti yang berlaku di di Korea Selatan atau Taiwan namun ianya tidak memberi jaminan utuh, seperti yang dapat diperhatikan di China (Przeworski et al. 2000). Beliau mentakrifkan genangan demokrasi semasa sebagai ‘kemerosotan demokrasi,’ malah ianya amat relevan dengan rejim hibrid Asia Tenggara.

Di Malaysia, Indonesia dan Thailand, institusi demokrasi dilemahkan oleh dominasi elit dan klientelisme. Diamond menekankan sekatan institusi, akauntabiliti mendatar dan aktivisme masyarakat sivil amat diperlukan untuk menangani trend ini. Gerakan BERSIH di Malaysia dan reformasi pasca-Suharto di Indonesia boleh diambil sebagai contoh positif. Contoh lain adalah seperti rampasan kuasa tentera di Thailand dan mempolitikkan institusi kehakiman juga boleh digambarkan sebagai kelemahan institusionalisasi (Mietzner M. 2008; Hewison 2015).

Diamond juga membincangkan peranan globalisasi dan ‘teknologi pembebasan’ dalam menggerakkan aktivisme sivik dan menentang autoritarianisme. Walau bagaimanapun, beliau mengakui sifat teknologi digital yang berserampang dua mata membolehkan rintangan demokrasi dan kawalan autoritarian dilaksanakan (Tufekci 2017).

Menangani Pilihan Raya Autoritarianisme di Asia Tenggara

Kerangka Diamond turun memberi penekanan kepada kaedah untuk menangani autoritarianisme elektoral iaitu suatu sistem yang mengekalkan keputusan pilihan raya sambil menggugat norma liberal (Schedler 2006). Di Malaysia contohnya, manipulasi pilihan raya di bawah UMNO, pembahagian mengikut kaedah gerrymandering dan penindasan media telah mendedahkan batasan terhadap rposedur demokrasi. Diamond mencadangkan bahawa penggerakan masyarakat sivil, media bebas dan reformasi kehakiman wajar diberi pengkhususan seperti yang dilaksanakan oleh badan sosial seperti BERSIH dan ini melibatkan pengawasan dari masyarakat sivil (Weiss 2020).

Di Indonesia pula, walaupun demokratisasi, rasuah dan klientelisme berterusan. Penekanan Diamond terhadap desentralisasi dan badan anti-rasuah seperti KPK (Komisi Pemberantasan Korupsi) amat sesuai diketengahkan (Pepinsky 2009). Sementara itu, rampasan kuasa yang berulang di Thailand dan dominasi elit turut mencabar penyatuan demokrasi. Fokus Diamond terhadap reformasi institusi, penglibatan sivik dan desentralisasi menawarkan pelan tindakan, walaupun tentangan daripada elit yang telah lama bertapak kekal sebagai cabaran (Slater 2010).

Preskripsi strategik beliau termasuklah memperkukuh masyarakat sivil, liberalisasi media, meningkatkan akauntabiliti mendatar dengan menggunakan tekanan antarabangsa melalui Linkage and Leverage (Levitsky & Way 2005) dan menggunakan platform digital untuk aktivisme. Namun, pendekatan ini menghadapi batasan akibat tentangan elit, perpecahan masyarakat sivil dan campur tangan luaran yang terhad (Slater 2010).

Had Kerangka Universal dalam Konteks Selain Barat

Andaian umum Diamond bahawa demokrasi merupakan suatu yang semua orang impikan secara universal menghadapi cabaran dalam konteks selain Barat. Relativisme budaya berpendapat bahawa tradisi Konfusian, Islam atau hierarki penduduk lebih mementingkan keharmonian kolektif, kuasa dari autoriti agama atau kestabilan yang lebih ampuh berbanding individualisme liberal (Bell 2006; Esposito & Voll 1996).

Halangan sosioekonomi seperti kemiskinan, ketidaksamaan dan kerapuhan institusi negara meruntuhkan kemampanan demokrasi. Diamond turut mengakui halangan ini tetapi mungkin beliau memandang rendah keperluan masyarakat Timur untuk mengayakan demokrasi ke arah kelangsungan hidup berbanding untuk reformasi. Warisan sejarah, termasuk kolonialisme dan norma autoritarian yang berakar umbi, memupuk skeptisisme terhadap demokrasi sebagai pengaruh Barat (Mamdani 2001).

Ketahanan authoritarian juga merumitkan demokratisasi contohnya seperti yang berlaku di China, Rusia dan lain-lain yangl lebih memilih untuk mengkooptasi elemen demokrasi melalui pilihan raya atau perlembagaan sambil memusatkan menyatukan kuasa (Levitsky & Way 2010). Tentangan terhadap promosi demokrasi Barat, yang dilihat sebagai neo-imperialis, seterusnya mengukuhkan autoritarianisme serantau (Carothers 2002).

Rejim hibrid, terutamanya di Asia Tenggara yang menggabungkan mekanisme pilihan raya dengan amalan tanpa liberal penuh menimbulkan persoalan tentang optimisme Diamond terhadap kewujudan demokrasi penuh. Model demokrasi kontekstual seperti gabungan monarki-parlimen di Maghribi atau federalisme multicultural di India membuktikan bahawa bahawa bentuk hibrid yang bersesuaian mungkin lebih mampan dan sesuai diamalkan.

Menilai Demokrasi Delegatif dan Tanpa-Liberal di Asia Tenggara

Kerangka Diamond dalam The Spirit of Democracy menyediakan instrument bernilai untuk menganalisis dan bertindak balas terhadap autoritarianisme dalam pilihan raya, namun integrasi teori seperti demokrasi delegatif (O’Donnell 1994) dan demokrasi tidak liberal (Zakaria 1997) meningkatkan keluasan analisis yang diperlukan untuk memahami kerumitan demokratisasi di Asia Tenggara. Teori ini mengetengahkan kelemahan struktur dalam sistem demokrasi di mana institusi formal wujud, tetapi norma demokrasi substantif dan mekanisme akauntabiliti adalah berkurang.

Demokrasi Delegatif, seperti yang dibangkitkan oleh Guillermo O’Donnell (1994) adalah merujuk kepada rejim di mana pemimpin terpilih menggunakan budi bicara yang berlebihan dengan sekatan minimum daripada badan perundangan, mahkamah atau masyarakat sivil. Model ini lebih dekat unutk difahami dalam kes di Asia Tenggara, terutamanya di Malaysia, Indonesia dan Thailand. Di Malaysia, kepimpinan lama Mahathir Mohamad di bawah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) menggambarkan kecenderungan delegatif, di mana dominasi eksekutif meminggirkan sekatan institusi. Cadangan Diamond untuk memperkukuh masyarakat sivil dan kemerdekaan institusi, termasuk suruhanjaya pilihan raya dan kebebasan badan kehakiman adalah selaras dengan reformasi yang diperlukan untuk menangani kecenderungan ini. Gerakan masyarakat sivil seperti BERSIH yang mewakili aktivisme akar umbi amat dipuji oleh Diamond yang menganggap ianya sebagai kritikal untuk meningkatkan akauntabiliti.

Di Indonesia, era pasca-Suharto pada awalnya mempamerkan ciri demokrasi delegatif, terutamanya di bawah Megawati Sukarnoputri yang memusatkan kuasa eksekutif tanpa ada halangan atau sekatan dari institusi lainnay. Penekanan Diamond terhadap desentralisasi dan anti-rasuah selaras dengan reformasi yang dilaksanakan di bawah Presiden Susilo Bambang Yudhoyono yang mengukuhkan sekatan institusi melalui tadbir urus tempatan dan menyokong kewujudan KPK (Pepinsky 2009).

Thailand di bawah Thaksin Shinawatra juga menggambarkan dinamik delegatif. Kepimpinan personalistik Thaksin melemahkan autonomi institusi seterusnya membawa kepada peningkatan polarisasi dan campur tangan tentera. Cadangan Diamond untuk kebebasan badan kehakiman dan masyarakat sivil yang kukuh amat relevan untuk dilaksanakan di Thailand. Walaupun begitu, kerangka beliau mungkin tidak mengambil kira sepenuhnya kuasa elit dan tentera yang telah lama berakar umbi malahan menjadi elemen penting dalam landskap politik Thailand (Hewison 2015).

Demokrasi Tanpa-Liberal, seperti yang digagaskan oleh Fareed Zakaria (1997), mengetengahkan rejim di mana persaingan pilihan raya tetap boleh wujud, namun kebebasan sivik, kedaulatan undang-undang dan sekatan ke atas kuasa dikompromi dengan secara sksama. Konsep ini boleh digunakan secara meluas di Asia Tenggara. Di Malaysia, dominasi parti seperti UMNO dikekalkan bukan sahaja melalui mekanisme pilihan raya tetapi juga melalui penindasan perbezaan pendapat dari masyarakat, kawalan terhadap media dan sekatan ke atas aktiviti masyarakat sivil. Cadangan Diamond untuk media yang lebih bebas dan penglibatan masyarakat sosial selaras dengan seruan Zakaria untuk melengkapkan proses pilihan raya dengan norma demokrasi yang lebih liberal.

Bagi Indonesia, walaupun pencapaian demokrasinya terus mengalami ciri tidak liberal seperti rasuah sistemik, kedaulatan undang-undang yang lemah dan politik klientelisme yang meluas, namun strategi anti-rasuah dan reformasi institusi Diamond masih kekal relevan, walaupun pandangan optimis beliau mungkin tidak menggambarkan keseluruhan hakisan institusi yang belaku.

Akhirnya di Thailand boleh dikatakan mewakili kes regresi tanpa liberal yang paling tinggi, ini dibuktikan dengan rampasan kuasa tentera yang berulang, mempolitikkan nadan kehakiman dan penindasan terhadap mereka yang berbeza pendapat. Kerangka Diamond menyokong reformasi melalui desentralisasi dan pemberdayaan Masyarakat sosial namun halangan struktur terutamanya dominasi tentera dan koalisi elit menimbulkan halangan yang besar.

Kajian empirikal dari Asia Tenggara memperkaya analisis ini secara lebih adil. Mietzner, M. (2008) menekankan rangkaian patronaj dan politik etnik Malaysia yang menyebabkan ketahanan authoritarian dikekalkan. Cadangan Diamond untuk penggerakan akar umbi dan kebebasan media melengkapi penekanan Mietzner terhadap cabaran dominasi elit dari bawah. Seperti juga Slater (2010) yang mengetengahkan koalisi elit dan keperluan reformasi institusi di Indonesia. Sokongan Diamond terhadap desentralisasi dan langkah anti-rasuah selaras dengan penemuan Slater. Thomas Pepinsky (2009) menekankan bagaimana campur tangan tentera dan polarisasi elit menggugat penyatuan demokrasi di Thailand seterusnya diimbangi oleh penekanan Diamond terhadap keperluan untuk masyarakat sivil bertindak telah melengkapi pandangan. Bagaimanapun, Diamond mungkin memandang rendah ketekalan pengaruh tentera di Thailand.

Kesimpulan

Secara keseluruhan, The Spirit of Democracy oleh Larry Diamond merupakan karya komprehensif yang menyumbang secara signifikan kepada wacana teori dan amalan demokrasi kontemporari. Melalui analisis mendalam terhadap institusi demokrasi, masyarakat sivil dan cabaran autoritarian, Diamond membina satu rangka kerja yang menggabungkan teori moden seperti ‘gelombang ketiga’ Huntington, prasyarat demokrasi Linz dan Stepan, serta institusionalisme dan teori masyarakat sivil. Sumbangan ini memperkukuh pemahaman kita terhadap prasyarat dan keperluan konsolidasi demokrasi, khususnya dalam konteks negara membangun dan pasca-autoritarian.

Dalam konteks Asia Tenggara, Diamond menyediakan pandangan analitikal dan cadangan dasar yang relevan, termasuk penekanan terhadap akauntabiliti mendatar, pemerkasaan masyarakat sivil dan desentralisasi. Integrasi dengan teori demokrasi delegatif (O’Donnell) dan demokrasi tidak liberal (Zakaria) menunjukkan bahawa Diamond mungkin terlalu optimistik dalam menilai potensi transformasi demokrasi dalam konteks pilihan raya authoritarian.

Selain itu, kerangka universal yang diketengahkan oleh Diamond mengabaikan dimensi budaya, sejarah dan struktur yang membentuk penerimaan dan keberkesanan demokrasi dalam masyarakat selain Barat. Kritik terhadap pendekatan ini, termasuk oleh Inglehart, Piketty dan Carothers, menunjukkan perlunya pendekatan kontekstual dan lebih realistik terhadap pendekatan demokrasi.

Walaupun begitu, The Spirit of Democracy tetap merupakan rujukan utama dalam bidang politik perbandingan. Gabungan antara visi normatif dan pendekatan empirikal menjadikan karya ini berguna bukan sahaja untuk pengkaji, tetapi juga untuk pembuat dasar dan aktivis yang terlibat dalam agenda reformasi demokrasi di seluruh dunia. Dengan memahami kekuatan dan batasannya, buku ini memberikan asas kukuh bagi pembangunan wacana demokrasi yang lebih inklusif, realistic dan kontekstual.

Rujukan

  • Bell, D. A. 2006. Beyond liberal democracy: Political thinking for an East Asian context. New Jersey: Princeton University Press.
  • Bermeo, N. 2016. On democratic backsliding. Journal of Democracy 27(1): 5–19.
  • Bratton, M., Mattes, R., & Gyimah-Boadi, E. 2005. Public opinion, democracy, and market reform in Africa. UK: Cambridge University Press.
  • Carothers, T. 2002. The end of the transition paradigm. Journal of Democracy 13(1): 5–21.
  • Chu, Y. H., Diamond, L., Nathan, A. J., & Shin, D. C. (Eds.). 2008. How East Asians view democracy. New York: Columbia University Press.
  • Esposito, J. L., & Voll, J. O. 1996. Islam and democracy. UK: Oxford University Press.
  • Gramsci, A. 1971. Selections from the prison notebooks. New York: International Publishers.
  • Hewison, K. 2015. Thailand: Contestation over elections, sovereignty and representation. Contemporary Southeast Asia 37(1): 139–165.
  • Huntington, S. P. 1991. The third wave: Democratization in the late twentieth century. Oklahoma: University of Oklahoma Press.
  • Inglehart, R., & Welzel, C. 2005. Modernization, cultural change, and democracy: The human development sequence. England: Cambridge University Press.
  • Levitsky, S., & Way, L. A. 2005. International linkage and democratization. Journal of Democracy 16(3): 20–34.
  • Levitsky, S., & Way, L. A. 2010. Competitive authoritarianism: Hybrid regimes after the Cold War. England: Cambridge University Press.
  • Linz, J. J., & Stepan, A. 1996. Problems of democratic transition and consolidation. Maryland: Johns Hopkins University Press.
  • Lipset, S. M. 1959. Some social requisites of democracy: Economic development and political legitimacy. American Political Science Review 53(1): 69–105.
  • Mamdani, M. 2001. When victims become killers: Colonialism, nativism, and the genocide in Rwanda. New Jersey: Princeton University Press.
  • Mietzner, M. 2008. [Review of Between consolidation and crisis: Elections and democracy in five nations in Southeast Asia. [Southeast Asian Modernities 3.], by A. Croissant & B. Martin]. Bijdragen Tot de Taal-, Land- En Volkenkunde 164(2/3): 335–337.
  • Morozov, E. 2011. The net delusion: The dark side of internet freedom. New York: Public Affairs.
  • Mounk, Y. 2018. The people vs. democracy: Why our freedom is in danger and how to save it. London: Harvard University Press.
  • O’Donnell, G. 1994. Delegative democracy. Journal of Democracy 5(1): 55–69.
  • Pepinsky, T. 2009. Economic crises and the breakdown of authoritarian regimes: Indonesia and Malaysia in comparative perspective. Cambridge: Cambridge University Press.
  • Piketty, T. 2014. Capital in the twenty-first century. London: Harvard University Press.
  • Plattner, M. F., & Diamond, L. (Eds.). 2007. The global resurgence of democracy. Maryland: Johns Hopkins University Press.
  • Przeworski, A., Alvarez, M. E., Cheibub, J. A., & Limongi, F. 2000. *Democracy and development: Political institutions and well-being in the world, 1950–1990*. Cambridge: Cambridge University Press.
  • Putnam, R. D. 1993. Making democracy work: Civic traditions in modern Italy. New Jersey: Princeton University Press.
  • Schedler, A. 2006. Electoral authoritarianism: The dynamics of unfree competition. Colorado: Lynne Rienner.
  • Sen, A. 1999. Development as freedom. New York: Knopf.
  • Slater, D. 2010. Ordering power: Contentious politics and authoritarian leviathans in Southeast Asia. Cambridge: Cambridge University Press.
  • Tufekci, Z. 2017. Twitter and tear gas: The power and fragility of networked protest. Connecticut: Yale University Press.
  • Weiss, M. L. 2020. Political reform in Malaysia: The challenge of civil society. England: Routledge.
  • Whitehead, L. 2001. Three international dimensions of democratization. In L. Whitehead (Ed.), The international dimensions of democratization (pp. 3–25). England: Oxford University Press.
  • Zakaria, F. 1997. The rise of illiberal democracy. Foreign Affairs 76(6): 22–43.

Nota

  1. Fahaman Institusi merupakan teori atau fahaman yang menyatakan bahawa bagi sesuatu ekonomi atau masyarakat menjadi maju dan berkembang, institusi mesti diadakan. ↑

  2. Keperluan semak dan imbang antara cabang kuasa eksekutif, legislatif dan kehakiman. ↑

  3. Pandangan bahawa hasil politik ditentukan terlebih dahulu oleh kuasa asas, selalunya faktor ekonomi, sosial atau sejarah dan bukannya hasil daripada kehendak bebas manusia. ↑

  4. Imperialisme diusahakan melalui penggunaan kekuatan tentera, tetapi neo-imperialisme bergantung kepada kaedah politik, ekonomi dan budaya untuk mendominasi. ↑

  5. Visi yang berasaskan nilai, prinsip atau piawaian tentang perkara yang dianggap wajar atau baik. ↑

  6. Sistem perhubungan di mana individu yang berstatus lebih tinggi (penaung) memberikan manfaat, perlindungan atau sumber kepada mereka yang berstatus lebih rendah (klien) sebagai pertukaran untuk kesetiaan, sokongan atau perkhidmatan. ↑

  7. Tidak menilai budaya mengikut piawaian sendiri tentang apa yang betul atau salah, pelik atau normal. Sebaliknya, harus cuba memahami amalan budaya kumpulan lain dalam konteks budayanya sendiri. ↑

  8. Teori Linkage mencadangkan bahawa hubungan antara isu boleh membawa kepada akibat yang lebih luas. Teori Leverage pula meneroka kuasa sesebuah negara untuk membentuk hasil di negara lain melalui pelbagai cara. ↑

  9. Sistem tadbir urus hibrid di mana struktur kuasa patrimonial tradisional wujud bersama dan mempengaruhi institusi undang-undang moden yang rasional. ↑

  10. Model deterministik mencadangkan bahawa pendemokrasian adalah hasil yang telah ditentukan terlebih dahulu daripada dasar kuasa sosial dan ekonomi berbanding model kontingen, yang menekankan peranan aktor individu dan pilihan strategik dalam pendemokrasian. ↑

Unless expressly indicated, materials published on WIRA.my have not undergone formal academic peer review. Analysis and commentary represent the author’s interpretation and should not be read as institutional policy positions.