Abstrak
Dalam era transformasi digital, diplomasi digital muncul sebagai elemen strategik dalam memperkukuh kerjasama politik dan keselamatan di rantau ASEAN. Namun, penyelidikan berkenaan tadbir urus diplomasi digital dalam kerangka Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC) masih terhad, terutamanya dari perspektif perbandingan antara negara anggota. Kajian ini meneliti bagaimana Malaysia dan Indonesia menggunakan diplomasi digital sebagai alat tadbir urus serantau, serta mengenal pasti jurang pelaksanaan dan peluang integrasi. Menggunakan pendekatan kualitatif politik perbandingan, data dikumpul melalui analisis dokumen rasmi, laporan media dan temu bual bersama pegawai berkaitan.
Dapatan awal menunjukkan Malaysia cenderung kepada penggunaan platform digital rasmi untuk memupuk dialog dua hala dan pelibatan awam, manakala Indonesia mengintegrasikan elemen budaya dan identiti nasional dalam strategi digitalnya. Walau bagaimanapun, pelaksanaan dasar tersebut berdepan cabaran seperti jurang literasi digital, ketidaksejajaran dasar serantau dan ancaman keselamatan siber. Justeru, kajian ini mencadangkan satu rangka kerja tadbir urus diplomasi digital ASEAN yang merangkumi standard keselamatan siber, latihan kapasiti diplomatik digital dan kerjasama rentas sempadan secara pelbagai sektor, termasuk penyertaan NGO dan komuniti digital.
Kajian ini menyumbang kepada wacana serantau mengenai inovasi tadbir urus dan kestabilan politik dalam era digital, selari dengan aspirasi Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025. Implikasinya memberi nilai tambah bukan sahaja kepada literatur hubungan antarabangsa dan dasar luar, tetapi juga kepada pembentukan polisi serantau yang lebih inklusif dan mampan.
Kata kunci: Diplomasi digital; Indonesia; Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN; Malaysia; tadbir urus
1.0 Pengenalan
Perkembangan teknologi digital telah membawa transformasi besar dalam arena hubungan antarabangsa, termasuk dalam aspek diplomasi. Diplomasi digital kini muncul sebagai instrumen strategik dalam memperkukuh jaringan komunikasi, membina kepercayaan, serta mengurus kepentingan negara dalam persekitaran global yang semakin kompleks (Bjola & Holmes, 2015). Dalam konteks Asia Tenggara, ASEAN memainkan peranan penting sebagai kerangka kerjasama serantau, khususnya melalui Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC) yang bertujuan mengekalkan kestabilan politik, mengukuhkan keselamatan kolektif dan menggalakkan kerjasama diplomatik (Acharya, 2017). Namun begitu, pengaplikasian diplomasi digital dalam APSC masih terhad dan memerlukan perhatian khusus, terutama dalam aspek tadbir urus serta penyelarasan dasar di kalangan negara anggota (Rashica, 2021).
Kajian ini memberi tumpuan kepada Malaysia dan Indonesia, dua negara pengasas ASEAN yang memiliki kedudukan geopolitik dan diplomatik penting dalam rantau ini. Kedua-duanya menggunakan pendekatan berbeza dalam melaksanakan diplomasi digital; Malaysia lebih menekankan penggunaan saluran rasmi dan komunikasi dua hala, manakala Indonesia pula cenderung mengintegrasikan elemen budaya dan identiti nasional dalam strategi digitalnya (Tjiptono et al, 2022; Viartasiwi et al., 2020). Perbezaan ini menunjukkan bahawa tadbir urus diplomasi digital bukan sahaja bersifat teknikal, tetapi turut dipengaruhi oleh faktor politik domestik, identiti nasional dan keutamaan dasar luar.
Walaupun potensi diplomasi digital dalam memperkukuh kerjasama politik dan keselamatan serantau adalah signifikan, cabaran yang wujud tidak boleh diketepikan. Antaranya termasuk jurang literasi digital, ketidaksejajaran dasar antara negara anggota, serta ancaman keselamatan siber yang semakin meningkat (Nye, 2021). Justeru, terdapat keperluan mendesak untuk membangunkan rangka kerja tadbir urus diplomasi digital di peringkat ASEAN yang lebih inklusif, mampan dan selari dengan aspirasi serantau.
Sehubungan itu, artikel ini mempunyai tiga objektif utama: pertama, menganalisis dan membandingkan pendekatan Malaysia dan Indonesia dalam menggunakan diplomasi digital; kedua, mengenal pasti jurang pelaksanaan dan cabaran utama dalam strategi diplomasi digital kedua-dua negara; dan ketiga, mencadangkan rangka kerja tadbir urus diplomasi digital ASEAN yang merangkumi standard keselamatan siber, pembangunan kapasiti diplomatik digital dan kerjasama rentas sektor. Melalui pencapaian objektif ini, kajian ini diharap dapat menyumbang kepada pengayaan literatur hubungan antarabangsa, selain memberi implikasi dasar yang praktikal kepada pembentukan polisi serantau ASEAN, khususnya menjelang kepemimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2025.
Transformasi digital dalam bidang diplomasi dan tadbir urus keselamatan membuka ruang baharu kepada ASEAN, tetapi dalam masa yang sama menimbulkan cabaran yang kompleks. Dalam kerangka ASEAN Political-Security Community (APSC), isu-isu berkaitan diplomasi digital tidak dapat dipisahkan daripada agenda kestabilan politik, keselamatan serantau dan penyelarasan dasar bersama (Caballero-Anthony, 2018). Negara anggota berdepan dilema bagaimana untuk mengimbangi inovasi digital dengan keperluan mengekalkan kestabilan dan kedaulatan, khususnya dalam menghadapi ancaman siber serta dinamika geopolitik yang semakin mencabar (Nye, 2021).
Dari segi metodologi, analisis ini berasaskan kaedah kualitatif politik perbandingan, yang sesuai untuk menilai persamaan dan perbezaan pendekatan dasar luar dalam konteks negara-negara ASEAN (Mahoney & Rueschemeyer, 2003). Data diperoleh daripada tiga sumber utama: (i) analisis dokumen rasmi seperti kenyataan diplomatik, strategi keselamatan siber dan dasar luar Malaysia serta Indonesia; (ii) laporan media dan bahan digital yang berkaitan dengan amalan diplomasi digital kedua-dua negara; serta (iii) sorotan literatur akademik terkini mengenai tadbir urus digital, kerjasama keselamatan siber dan inovasi diplomasi di Asia Tenggara, khususnya dalam tempoh 2015 hingga 2025. Penggunaan tempoh masa ini adalah penting kerana ia merangkumi dekad perkembangan pesat teknologi digital dalam diplomasi global serta pelaksanaan pelbagai inisiatif serantau ASEAN seperti ASEAN ICT Masterplan 2020 dan ASEAN Digital Masterplan 2025 (ASEAN Secretariat, 2021).
Pemilihan Malaysia dan Indonesia juga mempunyai justifikasi strategik. Sebagai negara pengasas ASEAN dan anggota berpengaruh dalam APSC, kedua-duanya memainkan peranan penting dalam menentukan arah kerjasama serantau. Tambahan pula, kepelbagaian pendekatan mereka terhadap tadbir urus digital mencerminkan cabaran dan peluang yang dihadapi oleh ASEAN secara keseluruhan. Dengan meneliti kedua-dua kes ini, kajian berupaya memberi sumbangan kepada literatur hubungan antarabangsa dan dasar luar dengan menyoroti dimensi serantau diplomasi digital yang masih kurang diberi perhatian, selain menghasilkan cadangan praktikal bagi memperkukuh tadbir urus serantau yang lebih mampan.
2.0 Sorotan Kajian
Konsep diplomasi digital telah menjadi fokus utama dalam kajian hubungan antarabangsa sejak lebih daripada satu dekad yang lalu, seiring dengan ledakan teknologi maklumat dan komunikasi. Diplomasi digital secara umumnya ditakrifkan sebagai penggunaan teknologi digital, khususnya internet dan media sosial, oleh negara dan institusi antarabangsa untuk mencapai objektif dasar luar dan mengurus hubungan antarabangsa (Bjola & Holmes, 2015). Berbeza dengan diplomasi tradisional yang lebih bersifat eksklusif, diplomasi digital membuka ruang kepada keterangkuman, ketelusan, serta interaksi yang lebih luas dengan pelbagai aktor termasuk masyarakat sivil, organisasi bukan kerajaan dan komuniti digital global (Manor, 2019).
Dalam konteks ASEAN, perbincangan mengenai diplomasi digital masih agak terhad jika dibandingkan dengan kajian di Eropah atau Amerika Utara. ASEAN secara institusional membentuk Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC) pada tahun 2003 sebagai salah satu tonggak utama ke arah integrasi serantau, dengan penekanan pada keamanan, kestabilan politik dan kerjasama diplomatik (Acharya, 2017). Walau bagaimanapun, cabaran koordinasi dasar antara negara anggota sering menjadi penghalang kepada keberkesanan APSC. Oleh itu, diplomasi digital berpotensi menjadi mekanisme penting dalam memperkukuh komunikasi dan kepercayaan serantau. Beberapa kajian menunjukkan bahawa penggunaan platform digital dapat mengurangkan kos diplomasi, mempercepatkan aliran maklumat, serta memperluas capaian diplomatik ke khalayak awam (Hanson, 2012; Cull, 2019).
Dari segi kerangka teori, dua perspektif utama yang boleh digunakan untuk memahami peranan diplomasi digital dalam ASEAN ialah institusionalisme dan konstruktivisme. Dari perspektif institusionalisme, organisasi serantau seperti ASEAN dilihat sebagai platform yang menyediakan aturan dan norma yang membimbing tingkah laku negara anggota (Keohane, 1984). Melalui diplomasi digital, negara anggota dapat memperkukuh mekanisme tadbir urus kolektif dengan meningkatkan koordinasi dasar, menetapkan standard keselamatan siber dan membangunkan kapasiti bersama. Sebaliknya, konstruktivisme menekankan bahawa identiti, nilai dan budaya memainkan peranan penting dalam membentuk interaksi antarabangsa (Wendt, 1999).
Kajian terdahulu turut menekankan kepentingan literasi digital sebagai faktor penentu keberkesanan diplomasi digital. Jurang digital yang wujud di negara membangun seperti Malaysia dan Indonesia boleh menghadkan capaian diplomasi digital kepada kelompok tertentu sahaja, sekali gus melemahkan keberkesanan usaha diplomatik yang lebih menyeluruh (Rashica, 2021). Selain itu, ancaman keselamatan siber turut dikenalpasti sebagai cabaran utama yang boleh menggugat kredibiliti diplomasi digital, khususnya dalam konteks kerjasama serantau di ASEAN yang masih bergelut dengan isu harmonisasi dasar keselamatan maklumat (Nye, 2021).
Kesimpulannya, literatur yang sedia ada menunjukkan bahawa diplomasi digital bukan sahaja sebuah instrumen teknikal tetapi juga fenomena politik yang dipengaruhi oleh institusi, identiti dan norma. Walaupun terdapat kajian mengenai penggunaan diplomasi digital di Malaysia dan Indonesia secara berasingan, kajian perbandingan antara kedua-dua negara masih terhad. Justeru, penelitian ini cuba mengisi jurang tersebut dengan mengkaji pendekatan Malaysia dan Indonesia terhadap diplomasi digital dalam kerangka APSC, mengenal pasti cabaran serta peluang dan seterusnya mencadangkan rangka kerja tadbir urus diplomasi digital ASEAN yang lebih inklusif dan mampan.
3.0 Kerangka Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN
ASEAN Political-Security Community (APSC) merupakan asas institusional utama bagi tadbir urus keselamatan serantau di Asia Tenggara, termasuk dalam menangani cabaran keselamatan digital yang semakin mendesak. Melalui kerangka ini, ASEAN berusaha membina pendekatan keselamatan koperatif yang tidak hanya bertumpu kepada aspek tradisional seperti ketenteraan, tetapi juga meliputi isu-isu baharu seperti keselamatan siber, jenayah rentas sempadan dan tadbir urus digital (Caballero-Anthony, 2018). APSC mengekalkan prinsip asas ASEAN iaitu non-interference dalam urusan dalaman negara anggota, yang secara teorinya memastikan kedaulatan tetap dihormati sambil menyediakan ruang untuk kerjasama pelbagai hala (Acharya, 2017).
Dari segi institusional, APSC digerakkan melalui beberapa mekanisme penting. ASEAN Defence Ministers’ Meeting (ADMM) dan ADMM-Plus misalnya berperanan menangani ancaman keselamatan rentas negara, termasuk ancaman siber yang kian meningkat (Le Thu, 2019). Selain itu, mesyuarat Menteri Luar Negeri ASEAN berfungsi sebagai saluran diplomatik untuk menyelaraskan isu-isu keselamatan digital, manakala mesyuarat Menteri Undang-Undang menekankan usaha penyelarasan kerangka perundangan serantau. Tambahan pula, forum berkaitan jenayah rentas negara seperti Senior Officials Meeting on Transnational Crime (SOMTC) turut memainkan peranan penting dalam menangani jenayah siber, khususnya berkaitan serangan dalam talian, penipuan digital dan pemerdagangan siber (ASEAN Secretariat, 2021).
Walaupun mekanisme ini menunjukkan komitmen ASEAN terhadap tadbir urus keselamatan digital, sifat model keputusan berasaskan konsensus yang diamalkan sering menjadi penghalang kepada tindakan pantas. Konsensus memastikan keterangkuman dan perpaduan serantau, tetapi pada masa yang sama melambatkan tindak balas terhadap insiden siber yang memerlukan reaksi segera (Caballero-Anthony, 2014). Hal ini juga menghadkan kemampuan ASEAN untuk mewujudkan kerangka keselamatan siber serantau yang bersifat mengikat secara undang-undang. Sebaliknya, pendekatan ASEAN lebih cenderung kepada soft law dan kerangka sukarela yang memberi penekanan pada perkongsian maklumat dan pembangunan kapasiti, berbanding perjanjian formal yang memerlukan komitmen politik tinggi (Jones & Smith, 2007).
Kesimpulannya, APSC menyediakan asas penting untuk kerjasama keselamatan digital serantau, tetapi keberkesanannya masih bergantung pada sejauh mana ASEAN dapat menyeimbangkan antara prinsip non-interference, keperluan konsensus dan keperluan mendesak untuk menginstitusikan respons siber yang lebih cepat dan berkesan.
3.1 Indonesia
Indonesia telah menempatkan dirinya sebagai sebuah kuasa digital yang bercita-cita untuk menjadi pusat ekonomi digital utama di ASEAN. Aspirasi ini sejajar dengan agenda nasional Making Indonesia 4.0 serta inisiatif transformasi digital yang dilancarkan kerajaan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi berasaskan teknologi (Adiningsih, 2019). Dari sudut diplomasi, Indonesia menggunakan strategi digital bukan sahaja untuk memperkukuh kedudukan domestik, tetapi juga sebagai instrumen untuk meningkatkan pengaruh serantau dan global. Hal ini menjadikan diplomasi digital sebagai salah satu instrumen utama dalam mencapai status sebagai ASEAN digital hub.
Aspek infrastruktur merupakan teras kepada pendekatan Indonesia. Pelaburan besar dalam pembangunan rangkaian telekomunikasi, pusat data dan teknologi 5G telah diperkenalkan untuk meningkatkan daya saing digital negara serta memperkukuh kesalinghubungan serantau (World Bank, 2021). Pembangunan infrastruktur ini bukan sahaja memacu pertumbuhan ekonomi digital, tetapi turut berfungsi sebagai asas kepada strategi diplomasi digital Indonesia dalam kerangka ASEAN.
Selain itu, inisiatif keterangkuman digital menjadi keutamaan dalam memastikan transformasi digital tidak hanya menguntungkan kawasan bandar, tetapi turut mencakupi masyarakat luar bandar dan kelompok terpinggir. Program seperti 100 Smart City Movement dan Gerakan Nasional Literasi Digital mencerminkan usaha untuk merapatkan jurang digital dan meningkatkan literasi digital rakyat (Adiningsih, 2019). Melalui langkah ini, Indonesia bukan sahaja memperkukuh keupayaan domestik, tetapi juga memperlihatkan kepimpinan serantau dalam mempromosikan pembangunan digital yang lebih inklusif.
Di peringkat serantau, Indonesia menunjukkan kepimpinan melalui penglibatan aktif dalam ASEAN Smart Cities Network (ASCN), satu inisiatif yang bertujuan memperkukuh kerjasama bandar pintar di Asia Tenggara. Peranan ini telah menempatkan Indonesia sebagai thought leader dalam tadbir urus digital serantau dengan menekankan inovasi bandar pintar, integrasi teknologi dan kerjasama transnasional (ASEAN Secretariat, 2021).
Dari sudut diplomasi, Indonesia juga menggunakan platform digital untuk mengukuhkan kuasa lunak (soft power). Melalui promosi budaya, naratif identiti nasional, serta komunikasi digital berasaskan media sosial, Indonesia berupaya menonjolkan citra sebagai negara demokrasi terbesar di Asia Tenggara yang progresif dalam bidang teknologi (Hill & Sen, 2000). Usaha ini bukan sahaja meningkatkan profil antarabangsa Indonesia, tetapi turut memperkukuh peranan negara tersebut dalam membentuk norma dan amalan tadbir urus digital serantau.
Secara keseluruhannya, strategi digital Indonesia menampilkan keseimbangan antara pembangunan infrastruktur, keterangkuman sosial, kepimpinan serantau dan pengaruh diplomatik. Walaupun pelaksanaannya masih berhadapan dengan cabaran seperti ketidaksamarataan capaian internet dan ancaman keselamatan siber, strategi ini tetap menjadikan Indonesia sebagai salah satu aktor utama dalam membentuk landskap tadbir urus diplomasi digital di ASEAN.
3.2 Malaysia
Pendekatan Malaysia terhadap tadbir urus diplomasi digital berteraskan satu model holistik yang mengintegrasikan manusia, proses dan teknologi dalam kerangka keselamatan siber. Model ini sejajar dengan visi Malaysia untuk membangunkan ekosistem digital yang inklusif, selamat dan mampan, selaras dengan dokumen strategik seperti Malaysia Cyber Security Strategy 2020–2024 dan MyDIGITAL Blueprint (Said & Nabilah, 2024). Dengan menekankan sinergi antara faktor manusia, keupayaan institusi dan infrastruktur teknologi, Malaysia berusaha membangunkan satu bentuk tadbir urus yang tidak hanya bersifat teknikal, tetapi juga adaptif terhadap cabaran siber yang dinamik.
Pertama, aspek reka bentuk berpusatkan manusia (human-centered design) diberi penekanan melalui program peningkatan kesedaran keselamatan siber, pendidikan literasi digital, serta latihan kapasiti untuk pegawai kerajaan dan masyarakat umum. Malaysia menyedari bahawa kelemahan faktor manusia sering menjadi titik paling rapuh dalam ekosistem digital; justeru, strategi yang menekankan elemen tingkah laku dan budaya keselamatan digital dianggap penting untuk memastikan keberkesanan tadbir urus (Abubakari, 2024).
Kedua, integrasi proses institusional memainkan peranan penting dalam memastikan keselarasan antara dasar, agensi dan teknologi. Penubuhan NACSA pada tahun 2017, misalnya, menunjukkan usaha untuk menginstitusikan kerjasama rentas kementerian dan sektor dalam menangani ancaman siber. Pendekatan ini memastikan bahawa prosedur operasi standard, respons kecemasan dan strategi keselamatan digital tidak beroperasi secara terpisah, tetapi diselaraskan dengan keupayaan teknikal serta sumber manusia yang ada (NACSA, 2020).
Ketiga, dari segi penjajaran teknologi, Malaysia berusaha memastikan bahawa infrastruktur digital dan penyelesaian teknologi yang digunakan sejajar dengan proses organisasi dan kapasiti tenaga kerja. Inisiatif seperti Cyber Security Malaysia dan kerjasama dengan sektor swasta memperkukuh aspek ini dengan menyediakan pusat respons insiden siber, audit keselamatan maklumat, serta pembangunan teknologi tempatan yang selaras dengan piawaian antarabangsa (CyberSecurity Malaysia, 2021).
Akhir sekali, Malaysia juga beraspirasi untuk membangunkan amalan terbaik tadbir urus yang boleh dijadikan model oleh negara anggota ASEAN lain. Dengan menggabungkan pendekatan holistik yang menekankan keseimbangan antara manusia, proses dan teknologi, Malaysia berusaha menonjolkan dirinya sebagai peneraju serantau dalam membentuk norma keselamatan digital ASEAN. Pendekatan ini bukan sahaja memberi sumbangan kepada tadbir urus domestik, tetapi juga memperkukuh kredibiliti Malaysia dalam diplomasi digital serantau dan antarabangsa (Cheryl & Ng, 2022).
Secara keseluruhannya, model tadbir urus digital Malaysia menunjukkan keunikan yang berteraskan integrasi pelbagai dimensi, berbeza dengan Indonesia yang lebih berorientasikan kepada pembangunan infrastruktur dan naratif identiti. Model ini memberi asas penting bagi ASEAN dalam merangka kerjasama serantau yang lebih sistematik, khususnya dalam membina piawaian keselamatan siber dan perkongsian amalan terbaik.
4.0 Cabaran Tadbir Urus Diplomasi Digital
4.1 Fragmentasi peraturan
Salah satu cabaran paling kritikal dalam tadbir urus diplomasi digital ASEAN ialah ketiadaan rangka peraturan keselamatan siber yang seragam di peringkat serantau. Fragmentasi peraturan ini menimbulkan pelbagai implikasi terhadap keberkesanan kerjasama digital ASEAN. Pertama, ia menghasilkan kerumitan pematuhan kerana syarikat dan organisasi yang beroperasi merentasi sempadan ASEAN perlu menyesuaikan diri dengan pelbagai undang-undang dan piawaian nasional yang berbeza. Situasi ini meningkatkan kos pematuhan dan memperlahankan integrasi ekonomi digital serantau (ASEAN Secretariat, 2021).
Kedua, fragmentasi tersebut menimbulkan kesukaran koordinasi dalam kerjasama rentas sempadan, khususnya apabila berdepan dengan insiden siber yang memerlukan respons segera dan kolektif. Tanpa kerangka undang-undang yang selaras, proses perkongsian maklumat, siasatan bersama dan pemulihan insiden sering tertangguh atau terhalang oleh perbezaan prosedur domestik (Ramadhan, 2020). Hal ini berbeza dengan pendekatan Kesatuan Eropah yang melalui General Data Protection Regulation (GDPR) berjaya mewujudkan keseragaman piawaian, sekali gus meningkatkan tahap ketelusan dan kepercayaan dalam tadbir urus digital (Christou, 2016).
Ketiga, ketidakselarasan peraturan juga mewujudkan jurang penguatkuasaan yang boleh dieksploitasi oleh aktor berniat jahat. Kelemahan dalam penyelarasan undang-undang domestik menjadikan ASEAN rentan terhadap aktiviti jenayah siber merentasi sempadan, seperti serangan ransomware, penipuan digital dan serangan terhadap infrastruktur kritikal (Nye, 2021). Kelemahan ini bukan sahaja menjejaskan keselamatan digital serantau, tetapi juga menghakis keyakinan pelabur dan masyarakat antarabangsa terhadap keupayaan ASEAN untuk menyediakan persekitaran digital yang selamat.
Secara keseluruhannya, fragmentasi peraturan menggambarkan dilema ASEAN dalam menyeimbangkan prinsip kedaulatan negara dengan keperluan mewujudkan standard keselamatan digital serantau yang lebih mantap. Tanpa usaha penyelarasan yang lebih serius, ASEAN berisiko terus ketinggalan dalam membina ekosistem tadbir urus digital yang mampan, inklusif dan responsif terhadap ancaman siber yang semakin kompleks.
4.2 Jurang Perbezaan antara Negara
Selain fragmentasi peraturan, ASEAN turut berdepan dengan masalah asimetri keupayaan dalam bidang digital dan keselamatan siber. Variasi yang ketara dalam tahap pembangunan teknologi, tenaga kerja mahir dan pelaburan keselamatan siber menjadikan rantau ini tidak seragam dari segi kesiapsiagaan menghadapi ancaman digital. Perbezaan ini mencerminkan jurang pembangunan serantau yang lebih luas, yang akhirnya menjejaskan keberkesanan kerjasama kolektif ASEAN dalam membina ekosistem keselamatan digital yang mampan (ASEAN Secretariat, 2021).
Pertama, jurang kapasiti teknikal wujud akibat perbezaan infrastruktur digital dan tahap kemajuan teknologi antara negara anggota. Negara seperti Singapura dan Malaysia telah melabur secara besar-besaran dalam teknologi 5G, pusat data dan strategi keselamatan siber yang komprehensif, manakala negara anggota lain masih berdepan cabaran asas seperti akses internet yang terhad dan infrastruktur yang ketinggalan (World Bank, 2021). Perbezaan ini mewujudkan ketidaksamaan dalam tahap kesediaan menghadapi ancaman siber, sekali gus membentuk kelemahan serantau yang boleh dieksploitasi oleh aktor berniat jahat.
Kedua, ketidaksamaan modal insan turut menjejaskan keupayaan keselamatan siber ASEAN. Walaupun terdapat inisiatif meningkatkan kemahiran tenaga kerja digital, ketersediaan pakar keselamatan siber masih tidak seimbang di seluruh rantau. Negara seperti Indonesia dan Vietnam sedang berusaha membangunkan program pendidikan dan latihan, tetapi kekurangan tenaga mahir masih menjadi cabaran utama (Ramadhan, 2020). Faktor ini menjejaskan keupayaan negara untuk membangunkan strategi keselamatan siber yang berkesan dan konsisten.
Ketiga, peruntukan sumber yang tidak seimbang antara negara anggota memperburuk lagi jurang tersebut. Negara berpendapatan tinggi mampu memperuntukkan dana besar untuk melindungi infrastruktur kritikal dan membangunkan teknologi pertahanan siber, manakala negara berpendapatan rendah cenderung bergantung pada sokongan luar atau mekanisme serantau (Christou, 2016). Kesan daripada perbezaan ini ialah wujudnya vulnerability hotspots yang boleh menggugat keselamatan digital seluruh rantau, kerana kelemahan satu negara berpotensi memberi kesan domino kepada ekosistem digital ASEAN secara keseluruhan (Christou, 2016).
Oleh itu, asimetri keupayaan menekankan keperluan ASEAN untuk memperkukuh mekanisme perkongsian sumber, pembangunan kapasiti bersama dan program latihan serantau. Tanpa usaha menangani jurang ini, aspirasi ASEAN untuk membentuk kerangka tadbir urus digital yang inklusif dan efektif akan terus terbantut.
4.3 Limitasi Negara-negara
Model tadbir urus berasaskan konsensus yang diamalkan ASEAN sering dianggap sebagai salah satu ciri utama yang membezakan organisasi ini daripada kerangka serantau lain. Prinsip ini menekankan keterangkuman dan penghormatan terhadap kedaulatan negara anggota, sekali gus mengekalkan keutuhan politik ASEAN dalam menghadapi kepelbagaian sistem politik dan tahap pembangunan (Acharya, 2017). Walau bagaimanapun, dalam konteks diplomasi digital dan keselamatan siber, mekanisme konsensus juga memperlihatkan beberapa batasan yang ketara.
Pertama, mekanisme ini mewujudkan kelewatan tindak balas terhadap insiden siber yang memerlukan reaksi segera. Oleh kerana setiap keputusan memerlukan persetujuan semua negara anggota, ASEAN sering gagal bertindak secara pantas dalam menghadapi ancaman siber yang bersifat rentas sempadan dan berkelajuan tinggi (Ramadhan, 2020). Hal ini berbeza dengan model Eropah yang melalui kerangka undang-undang seperti NIS Directive dapat mewujudkan mekanisme tindak balas yang lebih cepat dan terselaras (Christou, 2016).
Kedua, penekanan ASEAN terhadap fleksibiliti telah membawa kepada kecenderungan memilih perjanjian tidak mengikat (non-binding arrangements) berbanding perjanjian formal yang mengandungi mekanisme penguatkuasaan. Walaupun pendekatan ini memudahkan penyertaan negara anggota yang berbeza tahap kapasitinya, ia juga mengurangkan keberkesanan penguatkuasaan terhadap norma keselamatan digital yang telah dipersetujui. Akibatnya, komitmen ASEAN dalam isu keselamatan siber sering dilihat lebih bersifat deklaratif berbanding substantif (Jones & Smith, 2007).
Ketiga, ASEAN turut berdepan cabaran dalam aspek pembangunan norma. Usaha untuk menyeimbangkan autonomi negara anggota dengan keperluan penyelarasan antarabangsa menimbulkan kesulitan dalam menyelaraskan norma serantau dengan norma global yang ditetapkan oleh badan seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau Forum Global on Cyber Expertise (Secretary-General, UN, 2017). Kelemahan ini boleh menjejaskan keupayaan ASEAN untuk memainkan peranan sebagai aktor normatif dalam tadbir urus keselamatan digital antarabangsa.
Secara keseluruhannya, walaupun konsensus kekal sebagai elemen penting dalam mengekalkan perpaduan ASEAN, batasan yang wujud dalam konteks diplomasi digital menunjukkan perlunya mekanisme tambahan yang lebih fleksibel tetapi responsif. Tanpa reformasi atau penyesuaian mekanisme tadbir urus, ASEAN berisiko ketinggalan dalam menangani ancaman siber yang semakin kompleks dan berkelajuan tinggi.
5.0 Pengukuhan Tadbirurus Diplomasi Digital
5.1 Perkembangan Ekonomi Digital
Pertumbuhan ekonomi digital di Asia Tenggara telah membuka peluang baharu bagi ASEAN untuk memperkukuh tadbir urus diplomasi digital serantau. Dengan nilai ekonomi digital yang dianggarkan mencecah lebih daripada USD 300 bilion menjelang 2025, rantau ini menjadi salah satu pasaran digital paling pesat berkembang di dunia (Google, Temasek & Bain, 2021). Perkembangan ini bukan sahaja menekankan kepentingan teknologi sebagai pemacu ekonomi, tetapi juga mencipta insentif kuat untuk negara anggota bekerjasama dalam membina kerangka peraturan yang lebih seragam dan inklusif.
Salah satu aspek utama ialah perdagangan rentas sempadan melalui e-dagang dan platform digital. Pertumbuhan pesat sektor ini menuntut peraturan yang lebih harmonis bagi mengurangkan kos pematuhan dan meningkatkan ketelusan dalam transaksi antarabangsa (UNCTAD, 2021). Harmonisasi dasar antara negara anggota ASEAN dapat memperkukuh kepercayaan pengguna dan pelabur, sekali gus menjadikan rantau ini lebih kompetitif dalam ekonomi digital global.
Selain itu, peningkatan kebergantungan terhadap aliran data merentas sempadan menekankan kepentingan tadbir urus data yang seimbang antara keperluan ekonomi dan keperluan keselamatan. Negara anggota ASEAN berdepan cabaran dalam menyelaraskan dasar perlindungan data, namun keperluan untuk mewujudkan kerangka bersama semakin mendesak. Usaha seperti ASEAN Cross-Border Data Flows Mechanism mencerminkan langkah awal ke arah kesepaduan, walaupun masih memerlukan penyelarasan standard yang lebih kukuh (ASEAN Secretariat, 2021).
Tambahan pula, kewujudan ekosistem inovasi serantau turut memberikan peluang besar untuk memperkukuh kerjasama diplomasi digital. Pusat-pusat inovasi digital di Singapura, Jakarta dan Kuala Lumpur berpotensi menjadi model kerjasama yang boleh diperluaskan ke seluruh ASEAN. Dengan memanfaatkan kelebihan ini, ASEAN berupaya membangunkan rangka kerja tadbir urus digital yang bukan sahaja meningkatkan keselamatan, tetapi juga memacu daya saing inovasi serantau (Chakravorti, 2020).
Secara keseluruhannya, pertumbuhan ekonomi digital Asia Tenggara menyediakan asas penting bagi pengukuhan tadbir urus diplomasi digital ASEAN. Namun, peluang ini hanya dapat dimanfaatkan sepenuhnya jika negara anggota dapat mengatasi cabaran penyelarasan dasar, membina mekanisme tadbir urus data yang lebih mantap dan melabur secara kolektif dalam inovasi digital serantau.
5.2 Flagship National Initiatives
Selain pertumbuhan ekonomi digital serantau, inisiatif nasional yang dilaksanakan oleh negara anggota ASEAN turut menawarkan peluang penting untuk dijadikan model kerjasama serantau. Dua contoh utama ialah kepimpinan Indonesia dalam rangkaian bandar pintar ASEAN serta pendekatan Malaysia dalam tadbir urus keselamatan siber bersepadu.
Dari perspektif Indonesia, kepimpinan dalam ASEAN Smart Cities Network (ASCN) sejak pelancarannya pada tahun 2018 telah menonjolkan peranan negara ini sebagai peneraju dalam tadbir urus bandar digital serantau. ASCN berfungsi sebagai platform untuk berkongsi amalan terbaik, memperkukuh inovasi bandar pintar, serta menyelaras dasar pembangunan bandar dengan sokongan teknologi digital (ASEAN Secretariat, 2018). Melalui penglibatan ini, Indonesia bukan sahaja mengukuhkan kedudukannya sebagai pusat inovasi serantau, tetapi turut menunjukkan potensi model bandar pintar sebagai asas bagi kerjasama tadbir urus digital ASEAN yang lebih luas.
Sementara itu, Malaysia menonjol melalui pembangunan model tadbir urus keselamatan siber yang lebih bersepadu. Strategi seperti Malaysia Cyber Security Strategy 2020–2024 memberi penekanan kepada integrasi faktor manusia, proses institusional dan infrastruktur teknologi dalam membangunkan ekosistem keselamatan digital yang mampan (National Cyber Security Agency [NACSA], 2020). Dengan menekankan pendekatan holistik, Malaysia menyediakan asas yang boleh dijadikan contoh untuk membina piawaian keselamatan digital serantau yang lebih konsisten.
Kedua-dua inisiatif ini menunjukkan bahawa pengalaman nasional boleh menjadi batu loncatan ke arah kerjasama ASEAN yang lebih mendalam dalam diplomasi digital. ASCN mencerminkan potensi penggunaan platform kolaboratif serantau dalam memacu pembangunan inklusif, manakala pendekatan Malaysia dalam keselamatan siber menawarkan rangka kerja tadbir urus yang boleh menyokong pembangunan standard serantau. Jika dimanfaatkan secara kolektif, kedua-dua pendekatan ini berpotensi memperkukuh daya tahan ASEAN dalam menghadapi cabaran keselamatan digital dan mempercepatkan pembentukan norma diplomasi digital serantau.
5.3 Pemegangtaruh
Pengukuhan tadbir urus diplomasi digital ASEAN tidak dapat dicapai hanya melalui peranan negara semata-mata. Sebaliknya, penglibatan pelbagai pihak berkepentingan (multistakeholder engagement) menjadi kunci kepada pembentukan ekosistem keselamatan digital yang lebih inklusif, berkesan dan mampan. Pendekatan ini telah menjadi norma dalam tadbir urus digital global, sebagaimana dibuktikan melalui proses pembangunan dasar internet yang menekankan kolaborasi antara kerajaan, sektor swasta, masyarakat sivil dan komuniti epistemik (Mueller, 2010).
Pertama, penyertaan sektor swasta adalah penting kerana syarikat teknologi, penyedia perkhidmatan internet dan firma keselamatan siber sering memiliki kepakaran teknikal serta infrastruktur kritikal yang tidak dimiliki oleh kerajaan. Dengan melibatkan sektor swasta dalam pembangunan norma dan piawaian keselamatan digital, ASEAN boleh memastikan bahawa dasar yang digubal lebih realistik, bersifat teknikal dan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan (World Economic Forum, 2022).
Kedua, penglibatan masyarakat sivil dan organisasi bukan kerajaan (NGO) memperkukuh aspek legitimasi dan akauntabiliti dalam tadbir urus digital. Masyarakat sivil boleh berperanan sebagai penghubung antara pembuat dasar dan rakyat, memastikan suara kumpulan terpinggir turut diambil kira, serta mengawal selia agar dasar yang dibangunkan tidak bersifat elitis atau eksklusif (Hofmann et al., 2017).
Ketiga, kerjasama dengan komuniti akademik dapat menyediakan asas saintifik dan bukti empirikal dalam merangka dasar keselamatan siber serantau. Institusi penyelidikan dan universiti boleh memainkan peranan dalam menjalankan kajian impak, menilai keberkesanan dasar dan membekalkan cadangan berasaskan data yang dapat memperkukuh kredibiliti keputusan serantau (DeNardis, 2014).
Oleh itu, pendekatan multistakeholder memberi ASEAN peluang untuk memanfaatkan kepakaran teknikal, memastikan keterangkuman sosial, serta meningkatkan integriti dasar. Dengan menginstitusikan kerjasama antara kerajaan, sektor swasta, masyarakat sivil dan akademia, ASEAN boleh membangunkan kerangka diplomasi digital yang lebih seimbang dan tahan lama.
6.0 Cadangan
6.1 Pengharmonian Kerangka Digital
Salah satu keutamaan utama dalam memperkukuh tadbir urus diplomasi digital ASEAN ialah usaha ke arah penyelarasan kerangka peraturan (framework harmonization). Walaupun prinsip kedaulatan negara anggota kekal penting, keperluan untuk mewujudkan piawaian minimum keselamatan siber di peringkat serantau semakin mendesak bagi memastikan keberkesanan respons kolektif terhadap ancaman siber (ASEAN Secretariat, 2021).
Langkah pertama yang perlu dipertimbangkan ialah pembangunan piawaian keselamatan siber ASEAN yang menetapkan garis panduan minimum bagi semua negara anggota. Piawaian ini tidak semestinya berbentuk perjanjian mengikat, tetapi boleh diwujudkan dalam bentuk soft law atau mekanisme sukarela. Pendekatan ini telah terbukti berkesan di peringkat global, misalnya melalui garis panduan yang ditetapkan oleh United Nations Group of Governmental Experts (UNGGE) dalam membentuk norma keselamatan siber antarabangsa (UN GGE, 2015).
Kedua, ASEAN boleh memajukan keserasian peraturan (regulatory compatibility) dengan membangunkan kerangka dasar yang serasi merentas negara anggota tanpa memerlukan penyelarasan sepenuhnya. Pendekatan ini telah diamalkan dalam bidang perdagangan digital melalui inisiatif seperti ASEAN Cross-Border Data Flow Mechanism, yang bertujuan memudahkan aliran data sambil menghormati variasi undang-undang domestik (ASEAN Secretariat, 2021).
Ketiga, ASEAN boleh mempertimbangkan pembangunan mekanisme pengiktirafan bersama (mutual recognition mechanisms) yang membolehkan pendekatan berbeza diiktiraf selagi memenuhi standard serantau tertentu. Mekanisme sebegini dapat mengurangkan kerumitan pematuhan bagi syarikat dan organisasi yang beroperasi merentasi sempadan, sekaligus meningkatkan kepercayaan dalam ekosistem digital ASEAN. Model seumpama ini telah terbukti berjaya dalam sektor lain seperti keselamatan produk dan perdagangan, yang boleh dijadikan rujukan bagi kerangka keselamatan digital (Christou, 2016).
Kesimpulannya, usaha penyelarasan kerangka tadbir urus digital di ASEAN harus mengambil pendekatan berlapis yang menekankan standard minimum, keserasian peraturan dan mekanisme pengiktirafan bersama. Pendekatan ini bukan sahaja mengekalkan prinsip kedaulatan negara, tetapi juga memperkukuh daya tahan serantau terhadap ancaman digital yang semakin kompleks.
6.2 Pembinaan Kapasiti dan Keupayaan
Selain penyelarasan kerangka peraturan, pembinaan kapasiti dan keupayaan merupakan teras utama bagi memperkukuh tadbir urus diplomasi digital ASEAN. Oleh kerana tahap kesiapsiagaan siber negara anggota berbeza-beza, pelaburan kolektif dalam kapasiti teknikal, institusional dan sumber manusia diperlukan bagi mewujudkan keupayaan serantau yang lebih setara.
Satu langkah penting ialah memperluas latihan dan latihan bersama siber multilateral (multilateral cyber exercises) yang membolehkan negara anggota meningkatkan kebolehan berkoordinasi dalam menghadapi insiden siber rentas sempadan. ASEAN telah menganjurkan beberapa latihan siber serantau dengan kerjasama rakan dialog seperti Jepun dan Amerika Syarikat, namun skala dan kekerapan latihan ini perlu dipertingkatkan agar interoperabiliti dalam respons kecemasan lebih berkesan (Yu-Kyung Kim et al., 2023). Pengalaman serantau menunjukkan bahawa latihan bersama bukan sahaja meningkatkan kemahiran teknikal, tetapi juga membina kepercayaan strategik antara negara anggota (Ramadhan, 2020).
Kedua, ASEAN boleh mengadaptasi pendekatan tadbir urus bersepadu seperti model Malaysia yang menekankan keseimbangan antara faktor manusia, proses institusi dan teknologi. Model ini menyoroti bahawa keselamatan siber bukan sekadar isu teknikal, tetapi memerlukan pengurusan proses pentadbiran serta pembangunan budaya keselamatan dalam kalangan masyarakat dan organisasi (NACSA, 2020). Penggunaan pendekatan ini secara serantau dapat menyelaraskan standard tadbir urus ASEAN dengan keperluan praktikal negara anggota.
Ketiga, pelaburan dalam pembangunan modal insan adalah kritikal bagi memastikan keberlanjutan ekosistem keselamatan digital ASEAN. Pertumbuhan pesat ekonomi digital rantau ini memerlukan tenaga kerja yang bukan sahaja mahir secara teknikal, tetapi juga memahami aspek normatif, etika dan diplomatik dalam tadbir urus siber. Program serantau untuk melatih pakar keselamatan siber, membangunkan pusat kecemerlangan, serta mempromosikan pendekatan berpusatkan manusia (human-centric) akan memperkukuh daya saing ASEAN dalam jangka panjang (World Economic Forum, 2022).
Kesimpulannya, pembinaan kapasiti dan keupayaan serantau bukan sahaja penting bagi menutup jurang antara negara anggota, tetapi juga berfungsi sebagai asas bagi ASEAN untuk membina kerangka tadbir urus diplomasi digital yang lebih mampan, responsif dan inklusif.
6.3 Memanfaatkan Kekuatan Negara
Salah satu strategi yang dapat memperkukuh tadbir urus diplomasi digital ASEAN ialah memanfaatkan kekuatan nasional (national strengths) yang dimiliki oleh negara anggota. Pendekatan ini membolehkan ASEAN bergerak ke arah kerangka serantau yang lebih pragmatik dengan menjadikan inisiatif domestik yang berjaya sebagai asas perkongsian serantau.
Indonesia, misalnya, telah menonjol melalui kepimpinan dalam ASEAN Smart Cities Network (ASCN) dan pelaksanaan program keterangkuman digital seperti Gerakan Nasional Literasi Digital. Kedua-dua inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan daya saing domestik Indonesia, tetapi juga berfungsi sebagai barang awam serantau (regional public goods) yang boleh dikongsi bersama bagi memperkukuh tadbir urus digital ASEAN (ASEAN Secretariat, 2018; Adiningsih, 2019). Dengan menjadikan kepakaran Indonesia dalam pembangunan bandar pintar dan literasi digital sebagai rujukan, ASEAN dapat memperluas pembangunan digital yang lebih inklusif di seluruh rantau.
Malaysia pula memberikan nilai tambah melalui pembangunan model tadbir urus keselamatan siber yang bersepadu. Strategi seperti Malaysia Cyber Security Strategy 2020–2024 menggariskan pendekatan berorientasikan manusia, proses dan teknologi yang boleh dijadikan asas bagi ASEAN membangunkan standard keselamatan digital yang lebih konsisten (NACSA, 2020). Pendekatan Malaysia terhadap amalan tadbir urus ini berpotensi memperkukuh proses konsensus ASEAN dengan menyediakan kerangka teknikal dan institusional yang boleh disesuaikan mengikut konteks negara anggota lain.
Selain itu, ASEAN boleh menginstitusikan mekanisme perkongsian pengetahuan bagi menyebarkan amalan terbaik nasional. Platform serantau untuk berkongsi inisiatif berjaya seperti ASCN atau model tadbir urus Malaysia dapat mempercepatkan pembelajaran rentas negara, meningkatkan penyelarasan dasar dan memperkukuh kerjasama rentas sempadan (ASEAN Secretariat, 2021). Mekanisme ini juga akan membantu mengurangkan jurang kapabiliti antara negara anggota dengan memanfaatkan kepakaran sedia ada secara kolektif.
Dengan memanfaatkan kekuatan nasional sebagai asas pembentukan kerangka serantau, ASEAN dapat bergerak ke arah tadbir urus diplomasi digital yang lebih berkesan, inklusif dan berakar umbi dalam realiti domestik negara anggotanya.
6.4 Penglibatan Perbagai Pihak
Pengukuhan tadbir urus diplomasi digital ASEAN tidak boleh hanya bergantung kepada peranan kerajaan semata-mata. Sebaliknya, ia memerlukan pendekatan multistakeholder yang mengiktiraf kepelbagaian aktor dalam ekosistem digital serantau. Model tadbir urus siber global telah menunjukkan bahawa keterangkuman pelbagai pihak seperti kerajaan, sektor swasta, masyarakat sivil dan komuniti akademik yang merupakan prasyarat bagi membina dasar yang sahih, berkesan dan berdaya tahan (DeNardis, 2014; Mueller, 2010).
Pertama, penglibatan sektor swasta sangat penting kerana syarikat teknologi, penyedia perkhidmatan internet dan firma keselamatan digital memiliki kepakaran teknikal serta infrastruktur kritikal yang tidak dapat ditandingi oleh kerajaan. Dengan melibatkan sektor swasta dalam pembangunan norma keselamatan digital, ASEAN dapat memastikan dasar yang digubal lebih berpijak pada realiti teknikal dan berdaya laksana (World Economic Forum, 2022).
Kedua, organisasi masyarakat sivil (CSO) berperanan meningkatkan legitimasi dan akauntabiliti. CSO dapat bertindak sebagai mekanisme semak dan imbang, memastikan dasar digital serantau lebih inklusif, telus dan responsif terhadap kepentingan rakyat. Kajian menunjukkan bahawa keterlibatan masyarakat sivil dalam tadbir urus digital dapat memperkukuh kepercayaan awam serta meningkatkan keberkesanan dasar jangka panjang (Hofmann et al., 2017).
Ketiga, kerjasama dengan institusi akademik dan penyelidikan penting untuk membangunkan dasar berasaskan bukti. Akademia bukan sahaja menyediakan analisis empirikal dan penilaian impak, tetapi juga menjadi ruang percambahan idea untuk membentuk inovasi dasar. ASEAN boleh memanfaatkan rangkaian universiti serantau untuk membina pangkalan pengetahuan bersama, sekali gus menyokong penggubalan polisi digital yang lebih kukuh (Choucri, 2012).
Kesimpulannya, memperluas penglibatan pelbagai pihak akan memberikan ASEAN kelebihan dalam membentuk kerangka tadbir urus diplomasi digital yang bukan sahaja sah dari segi politik, tetapi juga praktikal, inklusif dan berpandukan bukti.
6.5 Rekabentuk Kawal Selia Berulang
Pendekatan iterative regulatory design menawarkan peluang penting bagi ASEAN untuk membangunkan tadbir urus diplomasi digital yang fleksibel, adaptif dan sesuai dengan kepelbagaian negara anggotanya. Tidak seperti kerangka peraturan tradisional yang statik, pendekatan iteratif menekankan percubaan, pembelajaran dan penyesuaian berterusan agar dasar yang dihasilkan lebih responsif terhadap perubahan teknologi serta cabaran geopolitik yang pantas berkembang (Calo, 2017).
Langkah pertama ialah melaksanakan projek perintis tadbir urus data rentas sempadan yang menguji model interaksi berbeza sebelum dilaksanakan pada skala serantau. Contoh awal dapat dilihat melalui ASEAN Cross-Border Data Flow Mechanism yang bertujuan memudahkan aliran data sambil mengekalkan kawalan kedaulatan data oleh negara anggota (ASEAN Secretariat, 2021). Projek perintis seperti ini membolehkan ASEAN menguji keberkesanan mekanisme, mengenal pasti kelemahan dan memperbaiki piawaian sebelum memperluas pelaksanaan.
Kedua, ASEAN boleh mengamalkan pendekatan pelaksanaan berurutan (sequential implementation). Melalui kaedah ini, negara anggota memulakan dengan latihan perintis yang terhad, kemudian membangunkan piawaian templat dan akhirnya mengkodifikasikan peraturan interoperabel secara beransur-ansur. Pendekatan ini bukan sahaja mengurangkan risiko politik, tetapi juga memberi masa kepada negara anggota yang kurang bersedia untuk menyesuaikan kapasiti domestik mereka (Christou, 2016).
Ketiga, pendekatan iteratif ini dapat membantu ASEAN mencapai keseimbangan antara keperluan integrasi serantau dan tuntutan kedaulatan nasional. Dengan membangunkan kerangka yang secara berperingkat meningkatkan keserasian peraturan tanpa memaksa penyelarasan total, ASEAN dapat mengekalkan legitimasi politik domestik sambil memperkukuh daya tahan ekonomi digital serantau (Christou, 2016).
Kesimpulannya, pelaksanaan iterative regulatory design menyediakan ASEAN dengan satu kaedah pragmatik untuk menangani kepelbagaian politik dan kapasiti negara anggota. Pendekatan ini membolehkan ASEAN bergerak ke arah kesepaduan digital serantau secara berperingkat, sambil mengelakkan konflik yang sering timbul daripada percubaan penyelarasan menyeluruh.
7.0 Strategi Pelaksanaan
Pelaksanaan kerangka tadbir urus diplomasi digital ASEAN memerlukan strategi bertahap yang bersifat pragmatik dan inklusif. Oleh kerana negara anggota memiliki tahap kapasiti teknikal dan institusional yang berbeza, pendekatan berfasa lebih sesuai berbanding percubaan penyelarasan menyeluruh. Strategi bertahap ini bukan sahaja membolehkan pembelajaran berterusan, tetapi juga mengurangkan risiko politik dengan memberi ruang kepada negara anggota untuk menyesuaikan diri mengikut kesediaan domestik mereka (Christou, 2016; ASEAN Secretariat, 2021).
7.1 Fasa 1: Pembinaan Asas
Fasa awal pelaksanaan harus memberi tumpuan kepada pembinaan asas kepercayaan dan kapasiti. Ini boleh dicapai melalui program perintis yang bersasar (targeted pilot programs) serta latihan bersama siber (joint cyber exercises), yang telah terbukti berkesan dalam membina interoperabiliti di kalangan negara anggota (Yu-Kyung Kim et al., 2023). Selain itu, penubuhan kumpulan kerja khusus dalam bidang utama seperti aliran data rentas sempadan, keselamatan infrastruktur kritikal dan diplomasi digital akan mewujudkan platform awal untuk dialog dasar. Pada tahap ini, ASEAN juga boleh mula membangunkan garis panduan awal amalan terbaik yang tidak mengikat, tetapi dapat dijadikan asas penyelarasan masa depan.
7.2 Fasa 2: Pembangunan Kerangka
Fasa kedua perlu menumpukan pada pembangunan templat piawaian dan kerangka dasar. Proses ini boleh dijalankan melalui organ khas ASEAN seperti ASEAN Ministerial Conference on Cybersecurity (AMCC) atau jawatankuasa teknikal di bawah APSC. Draf templat piawaian yang dibangunkan perlu melalui proses konsultasi yang luas dengan negara anggota untuk memastikan penerimaan politik. Pada masa yang sama, maklum balas daripada pelaksanaan program perintis serta input pihak berkepentingan—sektor swasta, masyarakat sivil dan akademia—perlu diintegrasikan bagi memperbaiki reka bentuk dasar. Dengan cara ini, ASEAN dapat menghasilkan piawaian yang lebih praktikal, boleh laksana dan mendapat legitimasi serantau (DeNardis, 2014).
7.3 Fasa 3: Peluasan
Fasa ketiga menekankan pengkodifikasian dan peluasan. Piawaian yang telah diuji dan diterima boleh mula dikodifikasikan sebagai peraturan interoperabel yang lebih mengikat, walaupun masih memberi ruang kepada variasi domestik. Pada masa ini, program perintis yang berjaya boleh diperluaskan ke peringkat serantau, mewujudkan mekanisme tetap untuk perkongsian maklumat, latihan bersama dan koordinasi respons insiden siber. Penubuhan mekanisme kekal, seperti pusat serantau keselamatan siber ASEAN atau sekretariat diplomasi digital, akan memperkukuh kesinambungan dan memastikan tadbir urus digital menjadi sebahagian integral daripada kerangka keselamatan serantau (World Economic Forum, 2022).
8.0 Kesimpulan
Memperkukuh tadbir urus diplomasi digital dalam kerangka ASEAN Political-Security Community (APSC) memerlukan pendekatan seimbang yang menggabungkan kekuatan nasional dengan kerangka kerjasama serantau. Kajian kes terhadap Malaysia dan Indonesia menunjukkan bahawa walaupun kedua-dua negara mengamalkan strategi yang berbeza, pendekatan mereka bersifat saling melengkapi serta memberikan asas penting bagi pembentukan norma dan amalan serantau.
Strategi digital Indonesia, yang menekankan pembangunan infrastruktur, keterangkuman digital dan kepimpinan melalui inisiatif seperti ASEAN Smart Cities Network, memberikan model berharga untuk memperluas pembangunan digital inklusif di rantau ini (ASEAN Secretariat, 2018). Pada masa yang sama, pendekatan Malaysia yang bersepadu melalui model tadbir urus berorientasikan manusia, proses dan teknologi menonjolkan kerangka normatif dan institusional yang boleh memperkukuh keberkesanan kerjasama keselamatan siber serantau (NACSA, 2020).
Keberhasilan ASEAN dalam bidang ini bergantung pada pelaksanaan strategi berperingkat. Pendekatan bertahap bermula dengan program perintis dan pembinaan kapasiti, diikuti dengan pembangunan piawaian templat melalui proses konsultatif yang inklusif dan akhirnya pengkodifikasian peraturan interoperabel serta peluasan inisiatif berjaya ke peringkat serantau (Christou, 2016; ASEAN Secretariat, 2021). Pendekatan ini membolehkan ASEAN menyeimbangkan antara keperluan integrasi serantau dengan tuntutan kedaulatan negara anggota, sambil mengiktiraf kepelbagaian pendekatan yang wujud.
Walaupun kedua-dua negara memperlihatkan kemajuan dalam aspek pelaksanaan, diplomasi digital di Malaysia dan Indonesia masih berdepan jurang dan cabaran struktural. Antara cabaran utama ialah tahap literasi digital yang tidak seimbang antara negara anggota ASEAN, serta jurang digital antara kawasan bandar dan luar bandar (Canton, 2021). Di samping itu, ketidaksejajaran dasar serantau akibat penekanan berlebihan terhadap kedaulatan nasional menghalang usaha membentuk protokol bersama, seperti yang sering menjadi isu dalam integrasi APSC (Oikawa, 2025). Tambahan pula, ancaman keselamatan siber yang semakin meningkat termasuk serangan siber ke atas institusi kerajaan, penyebaran disinformasi, dan manipulasi media sosial yang memerlukan tindak balas serantau yang lebih padu (Manor, 2019). Jurang-jurang ini memberi gambaran bahawa ASEAN memerlukan pendekatan bersama yang lebih bersepadu dan mampan bagi memastikan potensi diplomasi digital dalam kerangka Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC) dapat direalisasikan secara berkesan.
Berdasarkan penilaian terhadap pendekatan Malaysia dan Indonesia, kajian ini mencadangkan satu rangka kerja tadbir urus diplomasi digital ASEAN yang bersifat inklusif, mampan, dan berdaya tahan. Rangka kerja ini berasaskan tiga komponen utama. Pertama, standardisasi keselamatan siber, yang diperlukan untuk menyelaras protokol respons serantau terhadap ancaman digital, termasuk sistem amaran awal, perkongsian maklumat keselamatan, dan mekanisme pengurusan krisis bersama (Intentilia et al., 2022; Bjola & Zaiotti, 2020). Kedua, pembangunan kapasiti diplomatik digital, yang menekankan latihan diplomat, peningkatan literasi digital, serta penubuhan ASEAN Digital Diplomacy Hub sebagai pusat pembelajaran, penyelidikan, dan koordinasi serantau (Hocking et al., 2012). Ketiga, kerjasama rentas sektor dan sempadan, yang melibatkan penglibatan kerajaan, syarikat teknologi, akademia, dan masyarakat sivil untuk memperkukuh keupayaan diplomasi digital ASEAN, khususnya dalam menangani cabaran transnasional seperti serangan siber, jenayah digital, dan penyebaran disinformasi (Mueller, 2010).
Dengan memanfaatkan kekuatan nasional seperti inisiatif digital Indonesia dan model tadbir urus Malaysia, sambil mengatasi cabaran bersama melalui kerangka kerjasama serantau, ASEAN berpeluang untuk membina tadbir urus diplomasi digital yang lebih inklusif, responsif dan mampan. Usaha ini bukan sahaja akan memperkukuh daya tahan Political-Security Community terhadap ancaman digital, tetapi juga meningkatkan kedudukan ASEAN sebagai aktor penting dalam pembentukan norma global mengenai diplomasi digital pada era abad ke-21 (DeNardis, 2014; World Economic Forum, 2022).
Rujukan
- Abubakari, P. (2024). Human factors matter: the intersection of cybersecurity governance, and culture in risk management of critical infrastructure (Doctoral dissertation, Pepperdine University).
- Acharya, A. (2017). The making of Southeast Asia: International relations of a region. Cornell University Press.
- Adiningsih, S. (2019). Indonesia’s Digital-Based Economic Transformation: The Emergence of New Technological, Business, Economic, and Policy Trends in Indonesia. Gramedia pustaka utama.
- ASEAN Secretariat. (2018). ASEAN Smart Cities Network: Concept Note. Jakarta: ASEAN Secretariat.
- ASEAN Secretariat. (2021). ASEAN Digital Masterplan 2025. Jakarta: ASEAN Secretariat.
- Bjola, C., & Holmes, M. (2015). Digital diplomacy: Theory and practice. Routledge.
- Bjola, C., & Zaiotti, R. (2020). Digital diplomacy and international organisations: Autonomy, legitimacy and contestation. Routledge.
- Caballero-Anthony, M. (2014). Understanding ASEAN’s centrality: bases and prospects in an evolving regional architecture. The Pacific Review, 27(4), 563-584.
- Calo, R. (2017). Artificial intelligence policy: a primer and roadmap. UCDL Rev., 51, 399.
- Canton, H. (2021). International Telecommunication Union—ITU. In The Europa directory of international organizations 2021 (pp. 355-358). Routledge.
- Cheryl, B. K., & Ng, B. K. (2022). Protecting the Unprotected Consumer Data in Internet of Things: Current Scenario of Data Governance in Malaysia. Sustainability 2022, 14, 9893.
- Choucri, N. (2012). Cyberpolitics in international relations. MIT Press.
- Christou, G. (2016). Cybersecurity in the European Union: Resilience and adaptability in governance policy. Springer.
- Cull, N. J. (2019). Public diplomacy: Foundations for global engagement in the digital age. Polity Press.
- CyberSecurity Malaysia. (2021). Annual report 2021: Strengthening national cybersecurity resilience.
- DeNardis, L. (2014). The global war for internet governance. Yale University Press.
- Google, Temasek, & Bain & Company. (2021). e-Conomy SEA 2021: Roaring 20s – The SEA digital decade. Singapore.
- Hanson, F. (2012). Baked in and wired: eDiplomacy at the U.S. State Department. Brookings Institution.
- Hill, D. T., & Sen, K. (2000). The Internet in Indonesia’s new democracy. Democratization, 7(1), 119-136.
- Hocking, B., Melissen, J., Riordan, S., & Sharp, P. (2012). Futures for diplomacy: Integrative diplomacy in the 21st century. Netherlands Institute of International Relations ‘Clingendael’.
- Hofmann, J., Katzenbach, C., & Gollatz, K. (2017). Between coordination and regulation: Finding the governance in Internet governance. New Media & Society, 19(9), 1406-1423.
- Intentilia, A. A. M., Haes, P. E., & Suardana, G. (2022). Utilizing digital platforms for diplomacy in ASEAN: A preliminary overview. COMMUSTY Journal of Communication Studies and Society, 1(1), 1-7.
- Jones, D. M., & Smith, M. L. R. (2007). Making process, not progress: ASEAN and the evolving East Asian regional order. International Security, 32(1), 148–184.
- Keohane, R. O. (1984). After hegemony: Cooperation and discord in the world political economy. Princeton University Press.
- Manor, I. (2019). The digitalization of public diplomacy. Palgrave Macmillan.
- Mueller, M. (2010). Networks and states: The global politics of internet governance. MIT Press.
- National Cyber Security Agency [NACSA]. (2020). Malaysia Cyber Security Strategy 2020–2024. Putrajaya: Prime Minister’s Department.
- Nye, J. S. (2021). Do morals matter? Presidents and foreign policy from FDR to Trump. Oxford University Press.
- Oikawa, K. (2025). ASEAN Data Governance: Implications for the Digital Economy Framework Agreement. Books.
- Ramadhan, I. (2020). Building Cybersecurity Regulation in Southeast Asia: A Challenge for the Association of Southeast Asian Nations (ASEAN). Journal of Social and Political Sciences, 3(4).
- Said, F., & Nabilah, F. (2024). Future of Malaysia’s AI governance. Institute of Strategic & International Studies (ISIS)
- Secretary-General, U. N. (2017). Group of Governmental Experts on Developments in the Field of Information and Telecommunications in the Context of International Security: report of the Secretary-General.
- Tjiptono, F., Khan, G., Yeong, E.S. (2022). Analyzing the Use of Social Media Communication Strategies in Indonesia and Malaysia: Insights and Implications. In: Anning-Dorson, T., Hinson, R.E., Coffie, S., Bosah, G., Abdul-Hamid, I.K. (eds) Marketing Communications in Emerging Economies, Volume II. Palgrave Studies of Marketing in Emerging Economies. Palgrave Macmillan, Cham. https://doi.org/10.1007/978-3-030-81337-6_11
- UNCTAD. (2021). Digital economy report 2021: Cross-border data flows and development. Geneva: United Nations Conference on Trade and Development.
- United Nations Group of Governmental Experts [UN GGE]. (2015). Report of the Group of Governmental Experts on Developments in the Field of Information and Telecommunications in the Context of International Security. New York: United Nations.
- Viartasiwi, N., Trihartono, A., & Hara, A. E. (2020). Unpacking Indonesia’s cultural diplomacy: potentials and challenges. International Journal Sustainable Future for Human Security, 7(2), 23-31.
- Wendt, A. (1999). Social theory of international politics. Cambridge University Press.
- World Bank. (2019). The digital economy in Southeast Asia: Strengthening the foundations for future growth.
- World Economic Forum. (2022). Global cybersecurity outlook 2022. Geneva: World Economic Forum.
- Yu-Kyung Kim, Myong-Hyun Go, Sonyong Kim, Jaeyeon Lee, Kyungho Lee, “Evaluating Cybersecurity Capacity Building of ASEAN Plus Three through Social Network Analysis,” Journal of Internet Technology, vol. 24, no. 2 , pp. 495-505, Mar. 2023.
Unless expressly indicated, materials published on WIRA.my have not undergone formal academic peer review. Analysis and commentary represent the author’s interpretation and should not be read as institutional policy positions.



