Pengenalan
Buku The New Political Islam oleh Emmanuel Karagiannis merupakan satu sumbangan penting dalam memahami transformasi ideologi dan strategi gerakan Islamisme kontemporari. Karagiannis mengemukakan hujah bahawa wujud satu bentuk “politik baharu Islam” yang berbeza daripada Islamisme revolusioner abad ke-20. Melalui penyertaan dalam proses pilihan raya, interaksi dengan norma hak asasi manusia dan penerimaan prinsip pluralisme, sebilangan besar pergerakan Islamisme kini menunjukkan keterbukaan terhadap demokrasi dan keadilan sosial.
Hubungan antara Islam, demokrasi dan hak asasi manusia kekal sebagai salah satu perbahasan paling dipertikaikan dalam teori politik kontemporari. The New Political Islam: Human Rights, Democracy, and Justice (2018) oleh Emmanuel Karagiannis mengemukakan tesis yang berani iaitu satu transformasi asas sedang berlaku dalam gerakan Islam, yang dicirikan oleh penerimaan pragmatik terhadap norma demokrasi, wacana hak asasi manusia dan tadbir urus pluralistik (Mohd Irwan & Nadhrah 2022). Buku terbitan University of Pennsylvania Press ini mencabar dakwaan esensialis bahawa Islamisme tidak serasi dengan demokrasi serta naratif simplistik bahawa Islamisme yang sederhana hanyalah satu strategi taktikal.
Dr. Emmanuel Karagiannis ialah seorang ahli akademik tersohor dalam bidang keselamatan antarabangsa dan politik Islam. Beliau kini berkhidmat sebagai Pensyarah Kanan di Jabatan Kajian Pertahanan, King’s College London. Kepakaran beliau merangkumi hubungan antarabangsa, konflik etnopolitis dan keselamatan, dengan fokus geografi khusus kepada Timur Tengah dan bekas Kesatuan Soviet. Beliau juga mengarang beberapa buku penting seperti Why Islamists Go Green : Politics, Religion and the Environment(2024) dan Political Islam in Central Asia: The Challenge of Hizb ut-Tahrir(2010).
Karagiannis meletakkan karya ini dalam kerangka pengiktirafan akademik yang semakin berkembang terhadap “politik baharu Islam” dan ini mrupakan satu fenomena yang berbeza daripada pemikiran politik Islam klasik mahupun Islamisme revolusioner abad ke-20. Hujah utamanya ialah bahawa aktor Islamisme kontemporari semakin membingkai hak asasi manusia, demokrasi dan keadilan dalam kerangka besar yang bersumberkan Islam dan bukannya menolaknya sebagai imbasan ideologi Barat (Altuntaş-Çakır 2022). Pendekatan semula ini mencerminkan evolusi ideologi yang bersifat substantif, didorong oleh penyertaan pilihan raya, perubahan generasidan pembelajaran pragmatik.
Kepentingan buku ini terletak pada kemampuannya untuk bergerak melampaui perbahasan abstrak tentang keserasian antara Islam dan demokrasi dan sebaliknya memberi tumpuan kepada bagaimana gerakan Islam sebenarnya berinteraksi dengan institusi demokratik, norma hak asasi manusia dan tuntutan keadilan dalam pelbagai konteks (Parray 2023). Melalui pelbagai kajian kes merentasi wilayah dan sistem politik, Karagiannis menunjukkan bahawa “politik baharu Islam” merupakan satu model tersendiri bagi tadbir urus demokratik yang diinspirasikan agama, yang tidak bersifat monolitik dan tidak juga dapat disamakan secara mudah dengan demokrasi liberal Barat.
Ulasan ini mengkaji secara kritikal tesis Karagiannis dengan meletakkannya dalam kerangka kesusasteraan akademik yang lebih luas mengenai teori dan amalan politik Islam. Walaupun Karagiannis menyumbang dengan signifikan terhadap pemahaman tentang moderasi Islamisme dan penglibatan demokratik, kerangka beliau turut menimbulkan persoalan tentang kedalaman transformasi ideologi yang berlaku dan ketegangan berterusan antara komitmen Islamisme dengan norma-norma demokrasi liberal, khususnya berkaitan dengan hak minoriti dan kesaksamaan gender.
Struktur dan Hujah Utama
Karagiannis menyusun analisisnya melalui bab-bab bertema dan kajian kes perbandingan, mengembangkan hujah teori sambil menyandarkannya kepada bukti empirikal (hlm.180). Bab-bab awal membina kerangka konseptual dengan mentakrifkan “politik baharu Islam” serta membezakannya daripada bentuk Islamisme terdahulu, menelusuri evolusinya daripada Islamisme revolusioner seperti Sayyid Qutb dan Revolusi Iran kepada politik elektoral kontemporari (Altuntaş-Çakır 2022). Beliau berhujah bahawa peralihan ini mencerminkan penyesuaian ideologi yang tulen, bukannya sekadar strategi taktikal.
Bahagian pertengahan mengupas penglibatan Islamisme dengan tiga konsep teras iaitu hak asasi manusia, demokrasi dan keadilan. Karagiannis meneliti bagaimana aktor Islamisme mentafsir semula dan mengadaptasi konsep-konsep ini dalam kerangka Islam, dengan menggunakan prinsip shura (musyawarah), ijma’ (konsensus) dan maslahah (kepentingan awam) untuk mengabsahkan amalan demokrasi (hlm. 79), sambil mengaitkan hak asasi manusia dengan martabat insan (karamah) dan matlamat utama syariah (maqasid al-sharia) (Parray 2023).
Teras empirikal buku ini terdiri daripada kajian kes terperinci seperti Parti AKP di Turki, Ennahda di Tunisia, Ikhwanul Muslimin di Mesir dan PJD di Maghribi, antara lain, yang menunjukkan variasi dalam cara aktor Islamisme menangani ketegangan antara komitmen agama dan norma demokratik dalam pelbagai konteks institusi (Altuntaş-Çakır 2022). Bab-bab penutup merumuskan dapatan kajian dengan berhujah bahawa “politik baharu Islam” mencerminkan satu perkembangan yang stabil, di mana penyertaan dalam pilihan raya telah mewujudkan gelung maklum balas yang mengukuhkan komitmen terhadap demokrasi (Ghannouchi & March 2023).
Tesis Karagiannis bertitik tolak daripada tiga dakwaan yang saling berkait. Pertama, gerakan Islamisme kontemporari telah mengalami transformasi ideologi yang tulen ke arah penerimaan terhadap peraturan demokrasi, politik pluralis dan norma hak asasi manusia (Altuntaş-Çakır 2022). Kedua, “politik baharu Islam” dicirikan oleh proses Islamisasi terhadap konsep universal dan bukan penolakan dengan membingkai demokrasi, hak asasi manusia dan keadilan dalam istilah Islamisme (Altuntaş-Çakır 2022). Ketiga, penyertaan dalam proses pilihan raya merupakan pemacu utama yang telah memaksa gerakan-gerakan ini untuk memoderatkan kedudukan mereka, membina pakatan dan menerima batasan sistem demokrasi (March 2024).
Metodologi dan Perspektif
Karagiannis menggunakan metodologi perbandingan kualitatif, yang menggabungkan analisis wacana, penelusuran proses dan perbandingan berstruktur. Pendekatan induktif beliau membina pemahaman teori dengan meneliti bagaimana aktor Islamisme sebenarnya bertindak, berbanding membuat deduksi hasil daripada teologi abstrak (Faisal et al. 2025). Bukti yang digunakan merangkumi manifesto parti, kenyataan kepimpinan, perbahasan parlimen dan keputusan dasar, dengan penekanan khusus terhadap bagaimana konsep-konsep ini dibingkai dalam kerangka Islamisme (Parray 2023).
Penulis mengamalkan pendekatan “anti-esensialisme” yang berhati-hati dan optimistik (Hlm. 185) dengan melihat Islam sebagai tradisi yang mengandungi pelbagai sumber tafsiran yang boleh menyokong pelbagai susunan politik termasuk demokrasi (Altuntaş-Çakır 2022). Beliau menekankan bahawa keserasian antara Islam dan demokrasi bergantung kepada penafsiran semula secara aktif oleh para pemikir dan aktor politik Islamisme, sambil menunjukkan bagaimana Islam kontemporari merujuk kepada konsep seperti shura, bai‘ah (sumpah setia), ijma‘dan ijtihad (penaakulan bebas) untuk membina justifikasi Islamisme terhadap kedaulatan rakyat dan pemerintahan berperlembagaan (Ghannouchi & March 2023)
Sumbangan Positif dan Kekuatan
Kekayaan Empirikal dan Skop Perbandingan
Kekuatan terbesar buku ini terletak pada kekayaan empirikal dan keluasan perbandingan yang ditawarkannya. Dengan meneliti pelbagai gerakan Islam dalam konteks yang berbeza-beza, Karagiannis mengelakkan kelemahan kajian kes tunggal serta berjaya menunjukkan corak yang melangkaui keadaan tertentu (Altuntaş-Çakır 2022). Kajian kes terperinci seperti AKP di Turki, Ennahda di Tunisia dan PJD di Maghribi memberikan bukti konkrit tentang bagaimana parti-parti Islam menguruskan ketegangan antara komitmen agama dan penyertaan demokratik, sekali gus mengenal pasti pola umum serta variasi yang bersifat kontekstual (March 2024).
Inovasi Teoretikal
Konsep “politik baharu Islam” yang diketengahkan oleh Karagiannis menyumbang secara signifikan kepada wacana teori dengan membezakan politik Islam kontemporari daripada pemikiran politik Islam klasik (Hlm. 10) dan Islamisme revolusioner abad ke-20 (Faisal et al. 2025). Pembahagian senggang masa ini menangkap beberapa dimensi perubahan iaitu peralihan daripada strategi revolusioner kepada strategi reformis, penerimaan terhadap persaingan pilihan raya, pembumian wacana demokrasi dan hak asasi manusia, serta orientasi pragmatik terhadap tadbir urus (Mohd Irwan & Nadhrah 2022).
Fokus terhadap Pembingkaian dan Wacana
Penekanan buku ini terhadap bagaimana aktor Islamisme membingkai pendirian mereka merupakan satu sumbangan metodologi yang bernilai. Daripada sekadar menyenaraikan pendirian dasar, Karagiannis menganalisis konsep-konsep Islamisme dan rujukan yang digunakan oleh gerakan Islam untuk mengabsahkan penyertaan demokratik dan komitmen terhadap hak asasi manusia (Altuntaş-Çakır 2022). Ini menunjukkan bagaimana aktor Islamisme menjadikan konsep universal selari dengan keperluan khalayak Muslim sambil mengekalkan keaslian agama, serta menyediakan bukti bahawa moderasi mereka mencerminkan perubahan ideologi yang tulen (Parray 2023).
Cabaran terhadap Pendekatan Esensialis
Karagiannis mencabar dakwaan esensialis yang menyatakan Islamisme tidak serasi dengan demokrasi dengan menunjukkan bahawa gerakan Islam dalam pelbagai konteks telah menerima amalan demokratik dan wacana hak asasi manusia (Sofiandi et al. 2023). Penolakan secara empirikal terhadap dakwaan ini amat berharga memandangkan masih wujudnya bantahan seumpama itu dalam wacana politik. Buku ini mengalihkan fokus daripada persoalan abstrak tentang keserasian antara Islam dan demokrasi kepada pemerhatian praktikal tentang bagaimana aktor politik Islamisme sebenarnya terlibat dengan institusi-institusi demokratik (Altuntaş-Çakır 2022).
Penyertaan Pilihan Raya sebagai Pemacu Moderasi
Penekanan terhadap penyertaan dalam pilihan raya sebagai pemacu kepada moderasi Islamisme menyumbang kepada perdebatan mengenai hipotesis “penyertaan membawa kepada moderasi” (Hlm. 84). Dengan menunjukkan bagaimana pilihan raya yang kompetitif mewujudkan insentif untuk moderasi, pembinaan pakatan dan kebertanggungjawaban kepada pelbagai konstituensi, buku ini menyediakan bukti tentang kesan transformasi hasil penyertaan dalam sistem demokrasi (March 2024). Penglibatan dalam proses pilihan raya menghasilkan gelung maklum balas yang mengukuhkan komitmen terhadap demokrasi apabila parti-parti Islam mula mempunyai kepentingan langsung dalam kelangsungan sistem tersebut (Ghannouchi & March 2023).
Keterbatasan dan Kelemahan Kritikal
Kurangnya Penekanan terhadap Ketegangan yang Berterusan
Walaupun buku ini mendokumentasikan penerimaan prosedur demokrasi oleh gerakan Islamisme, ia kurang memberikan perhatian terhadap ketegangan yang berterusan antara komitmen Islamisme dengan norma-norma demokrasi liberal, khususnya berhubung hak minoriti, kesaksamaan gender dan kebebasan beragama. Kajian menunjukkan bahawa walaupun gerakan Islam menerima demokrasi pilihan raya, komitmen terhadap kesaksamaan substantif untuk golongan bukan Muslim dan wanita masih bersifat tidak sekata (Altuntaş-Çakır 2022). Penyelidikan mengenai pelaksanaan syariah di Nigeria dan Malaysia menunjukkan bahawa pemerintahan Islam boleh membawa kepada cabaran hak asasi manusia yang signifikan (March 2024). Pendekatan optimistik buku ini mungkin memperkecilkan fenomena “kompromi ambivalen terhadap hak sosial”, di mana gerakan Islamisme menerima persaingan pilihan raya tetapi menolak kesaksamaan penuh dalam isu gender dan agama (Altuntaş-Çakır 2022).
Terlalu Menumpu kepada Wacana Elit
Metodologi Karagiannis terlalu bergantung kepada kenyataan pimpinan parti dan wacana elit, yang berkemungkinan tidak mewakili sepenuhnya kepercayaan anggota akar umbi atau penyokong biasa (Achilov 2023). Ketiadaan data tinjauan sistematik atau analisis akar umbi mengehadkan keupayaan menilai sejauh mana norma demokrasi telah benar-benar meresap dalam gerakan-gerakan ini. Kajian mengenai pendapat awam menunjukkan sikap yang kompleks, di mana sokongan terhadap prinsip demokrasi wujud seiring dengan sokongan terhadap pemerintahan berasaskan syariah dan sekatan terhadap hak tertentu (Sofiandi et al. 2023), sekali gus mencadangkan bahawa buku ini mungkin melebih-lebihkan kedalaman transformasi yang berlaku.
Keterlibatan Teoretikal yang Terhad
Walaupun buku ini memberikan sumbangan empirikal yang penting, ia kurang terlibat secara mendalam dengan perdebatan teori mengenai asas legitimasi demokrasi, sifat autoriti keagamaan dan hubungan antara wahyu dan akal dalam tadbir urus politik (Azrian 2024). Para sarjana dalam bidang teori politik perbandingan telah membangunkan kerangka konseptual yang lebih tersusun mengenai “demokrasi Islamisme” melebihi corak yang didokumentasikan oleh Karagiannis. Misalnya, karya Andrew March (2024) mengenai reka bentuk perlembagaan dan Klausa Jaminan Syariah menunjukkan tanggungjawab mereka yang mentafsir undang-undang Islam dan prosedur ketat bagi penentuan hasil demokrasi malahan, mekanisme institusi ini tidak dianalisis secara sistematik oleh Karagiannis.
Pemilihan Kes dan Kebolehgunaan Umum
Walaupun skop perbandingan merupakan kekuatan utama, pemilihan kes dalam buku ini menimbulkan persoalan tentang kebolehgunaan umum dapatan. Karagiannis menumpukan perhatian terutamanya kepada parti-parti Islam sederhana yang menyertai politik pilihan raya, tetapi memberikan kurang perhatian kepada gerakan radikal yang menolak demokrasi atau yang telah disingkirkan secara paksa daripada proses politik (Faisal et al. 2025). Kecenderungan pemilihan ini mungkin membawa kepada kesimpulan yang terlalu optimistik. Kes-kes yang dikaji seperti AKP, Ennahda dan PJD adalah merupakan contoh kejayaan, namun ia mungkin tidak mewakili keseluruhan spektrum gerakan Islam (Altuntaş-Çakır 2022).
Keterbatasan MAsa
Memandangkan buku ini diterbitkan pada tahun 2018, ia tidak dapat mengambil kira perkembangan mutakhir yang telah merumitkan naratif optimistik yang diketengahkan. Trajektori AKP yang semakin autoritarian di bawah Erdoğan, termasuk sekatan terhadap kebebasan media, kebebasan kehakiman dan hak pembangkang (Hlm. 102), menimbulkan persoalan mengenai kestabilan komitmen demokratik dalam kalangan Islamisme (Mohd Irwan & Nadhrah 2022).
Kemerosotan demokrasi di Tunisia di bawah Presiden Kais Saied turut mencabar penilaian optimistik terhadap transformasi Ennahda. Perkembangan ini mencadangkan bahawa dinamik “penyertaan membawa kepada moderasi” mungkin lebih rapuh daripada yang diandaikan, dengan komitmen demokratik berpotensi untuk dibatalkan atau diputar belit (March 2024).
Analisis Gender yang Tidak Mencukupi
Walaupun buku ini mengakui wujudnya ketegangan berhubung kesaksamaan gender, ia tidak menyediakan analisis yang mendalam dan berterusan mengenai bagaimana gerakan Islam menangani hak-hak wanita (Hlm. 102) dan ini merupakan satu kekurangan yang ketara memandangkan isu kesaksamaan gender merupakan antara titik perdebatan paling sensitif dalam wacana antara Islamisme dan hak asasi manusia (Altuntaş-Çakır 2022). Penyelidikan terdahulu menunjukkan bahawa parti-parti Islam lazimnya mengamalkan pendirian konservatif terhadap undang-undang kekeluargaan dan hubungan gender walaupun mereka menerima sistem demokrasi pilihan raya, mencerminkan komitmen ideologi yang mendalam berasaskan tafsiran tradisional terhadap Islamisme (Parray 2023).
Perbincangan Terhad tentang Keadilan Ekonomi
Walaupun buku ini menyentuh tema keadilan, analisisnya lebih tertumpu kepada keadilan politik dan perundangan berbanding keadilan ekonomi dan ketidaksamaan. Walhal, rungutan ekonomi dan komitmen terhadap keadilan sosial merupakan aspek utama yang menjadikan gerakan Islam menarik perhatian masyarakat (Achilov 2023). Analisis yang lebih menyeluruh tentang bagaimana gerakan Islam menangani isu keadilan ekonomi termasuk dasar kebajikan, peraturan ekonomi dan pengagihan semula kekayaan pastinya akan dapat memberikan kefahaman yang lebih lengkap tentang konsep “politik baharu Islam” serta faktor kejayaannya dalam gelanggang politik pilihan raya (Ghannouchi & March 2023).
Kerangka Teoretikal
Teori Penyertaan-Membawa kepada Moderasi (Inclusion-Moderation Theory)
Karagiannis banyak menggunakan hipotesis penyertaan-membawa kepada moderasi, yang mengandaikan bahawa penyertaan parti-parti radikal dalam persaingan demokratik (Hlm. 181) akan mewujudkan insentif ke arah moderasi (March 2024). Buku ini menyokong hipotesis tersebut dengan menunjukkan bagaimana parti-parti Islam dalam pelbagai konteks telah menjadi lebih moderat selepas menyertai politik pilihan raya. Namun begitu, buku ini tidak sepenuhnya menangani kritikan terhadap teori ini, khususnya persoalan sama ada moderasi itu bersifat taktikal semata-mata atau sama ada penyertaan boleh mengukuhkan aktor anti-demokratik dari dalam (Altuntaş-Çakır 2022).
Teori Pembingkaian (Framing Theory)
Buku ini menggunakan teori pembingkaian daripada kajian gerakan sosial untuk menganalisis bagaimana aktor Islamisme membingkai pendirian dan justifikasi mereka,(Hlm. 85) serta bagaimana mereka mentafsir demokrasi, hak asasi manusia dan keadilan dalam kerangka Islamisme (Altuntaş-Çakır 2022). Pendekatan ini menampilkan konsep “penjajaran bingkai” iaitu penyesuaian konsep universal kepada konteks budaya dan agama setempat yang memberikan kefahaman tentang usaha ideologi untuk mendamaikan komitmen agama dengan penyertaan demokratik (Parray 2023).
Institusionalisme Sejarah (Historical Institutionalism)
Analisis Karagiannis turut mencerminkan pandangan institusionalisme sejarah, yang menekankan bagaimana konteks institusi membentuk tingkah laku politik dan perkembangan ideologi. Beliau menunjukkan bahawa susunan perlembagaan, sistem pilihan raya dan struktur negara yang berbeza mencipta insentif yang berbeza bagi parti-parti Islam (March 2024). Kajian kes perbandingan dalam buku ini membuktikan bahawa trajektori gerakan Islam tidak hanya bergantung kepada ideologi semata-mata, tetapi juga dipengaruhi oleh faktor institusional (Azrian 2024).
Maqasid al-Sharia
Karagiannis menggunakan kerangka maqasid al-sharia iaitu objektif tertinggi dalam undang-undang Islam untuk menjelaskan bagaimana pemikir Islamisme kontemporari memberikan justifikasi terhadap komitmen mereka kepada demokrasi dan hak asasi manusia (Hlm. 21). Kerangka maqasid menyediakan alat tafsiran yang fleksibel, membolehkan para pendukung Islamisme berhujah bahawa demokrasi dan hak asasi manusia sebenarnya mendukung matlamat utama syariah (Parray 2023). Buku ini menunjukkan bagaimana pemikir kontemporari menggunakan pendekatan maqasid untuk menyatakan bahawa pemerintahan demokratik lebih sesuai untuk mencapai tujuan Islamisme berbanding pemerintahan autoritarian (Hlm. 80), yang menandakan satu perubahan ketara daripada pemikiran terdahulu yang melihat demokrasi sebagai satu bentuk asing yang tidak serasi dengan Islam (Ghannouchi & March 2023).
Aplikasi dalam Politik dan Demokrasi Islam
Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) di Turki
Karagiannis menganalisis Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) di Turki secara meluas sebagai contoh paradigm bagi “Islam politik baharu.” Parti ini muncul daripada tradisi Islam tetapi menjauhkan diri daripada ideologi anti-sistem, sebaliknya menerima demokrasi, ekonomi pasaran dan keanggotaan Kesatuan Eropah (Mohd Irwan & Nadhrah 2022). Kes ini menggambarkan bagaimana penyertaan dalam pilihan raya mendorong ke arah moderasi serta bagaimana aktor Islamisme membingkai komitmen demokratik dalam istilah Islam (Altuntaş-Çakır 2022). Namun begitu, perubahan autoritarian AKP sejak pertengahan 2010-an menimbulkan persoalan sama ada komitmen demokratik tersebut benar-benar tulen dan sejauh mana kestabilan “politik baharu Islam” seperti yang dihujahkan (Mohd Irwan & Nadhrah 2022).
Ennahda di Tunisia
Pengalaman pasca-revolusi Ennahda pula menjadi satu lagi kajian kes utama. Selepas berdekad-dekad mengalami penindasan, Ennahda muncul sebagai kuasa utama selepas revolusi 2011. Tingkah laku parti ini dalam menerima had perlembagaan terhadap syariah, membentuk koalisi dengan parti sekular dan menyerahkan kuasa selepas kekalahan pilihan raya mencerminkan moderasi demokratik yang cemerlang (Ghannouchi & March 2023). Kes ini amat signifikan kerana ia menunjukkan kecenderungan ke arah moderasi dalam suasana revolusioner yang penuh ketidaktentuan dan tanpa kekangan institusi yang kukuh (Altuntaş-Çakır 2022). Evolusi pemimpin Rached Ghannouchi daripada Islamisme revolusioner kepada gagasan “demokrasi Islam” memberikan bukti mendalam tentang usaha ideologi dalam mendamaikan komitmen agama dengan norma-norma demokrasi (Ghannouchi & March 2023). Namun, kemerosotan demokrasi Tunisia di bawah pemerintahan Presiden Saied telah mencemari naratif ini (Sofiandi et al. 2023).
Parti Keadilan dan Pembangunan (PJD) di Maghribi
Kes PJD di Maghribi menggambarkan bagaimana parti-parti Islam menavigasi penyertaan dalam proses demokrasi di dalam kerangka yang tidak sepenuhnya demokratik. PJD telah menyertai pilihan raya sejak 1990-an dan mengetuai kerajaan campuran antara tahun 2011 hingga 2021, namun beroperasi dalam sistem perlembagaan yang mengekalkan kuasa tertinggi di tangan monarki (Altuntaş-Çakır 2022). Kes ini menunjukkan bagaimana parti Islam boleh menunjukkan sikap moderat dan menerima batasan kuasa yang ketara melalui penerimaan pragmatik terhadap realiti politik (March 2024). Namun, para pengkritik berhujah bahawa sikap moderat PJD lebih mencerminkan proses kooptasi oleh rejim diraja berbanding komitmen sebenar terhadap prinsip demokrasi (Azrian 2024).
Ikhwanul Muslimin di Mesir
Trajektori Ikhwanul Muslimin di Mesir pula memperlihatkan kes yang lebih kompleks dan kurang jelas. Karagiannis meneliti bagaimana Ikhwan secara beransur-ansur menerima penyertaan dalam pilihan raya, yang memuncak dengan kemenangan mereka pada tahun 2012 selepas kejatuhan rejim Mubarak (Mohd Irwan & Nadhrah 2022). Namun, kejatuhan pantas mereka selepas rampasan kuasa 2013 serta penindasan keras oleh rejim tentera seterusnya mencabar naratif yang optimistik. Kes ini menekankan betapa pentingnya konteks institusi dan dinamik pihak lawan; Ikhwan beroperasi dalam persekitaran pasca-revolusi yang tidak stabil dengan institusi yang lemah serta tentangan kuat daripada kelompok anti-Islam (March 2024).
Pengajaran Perbandingan
Merentasi pelbagai kes, Karagiannis mengenal pasti beberapa faktor yang sama ada memudahkan atau menyekat kecenderungan ke arah moderasi. Institusi demokrasi yang kukuh, kerangka perlembagaan yang berkesan, serta sistem politik yang inklusif mencipta insentif untuk moderasi dan menjadikan komitmen terhadap demokrasi lebih lestari (March 2024). Sebaliknya, kelemahan institusi, penentangan autoritarian dan politik eksklusif boleh melemahkan proses moderasi tersebut. Analisis ini juga mendedahkan ketegangan berterusan merentasi konteks berbeza, khususnya berkaitan peranan undang-undang Islam, hak golongan minoriti agama, kesaksamaan gender dan sempadan antara autoriti agama dan kuasa politik (Parray 2023).
Kesimpulan dan Kepentingan Akademik
Karya The New Political Islam oleh Emmanuel Karagiannis menyumbang secara signifikan kepada pemahaman politik Islam kontemporari. Dengan mendokumentasikan penerimaan meluas terhadap penyertaan demokrasi dan wacana hak asasi manusia dalam kalangan gerakan Islamisme, buku ini mencabar hujah pokok yang menyatakan Islamisme tidak serasi dengan demokrasi, serta menyediakan bukti terhadap kesan transformasi hasil kemasukan politik (Mohd Irwan & Nadhrah 2022).
Kekayaan empirikal, skop perbandingan yang luas dan penekanan terhadap kerangka Islamik menjadikan karya ini satu pencapaian ilmiah yang penting. Karagiannis menunjukkan bahawa persoalannya bukan sama ada Islamisme dan demokrasi serasi secara abstrak, tetapi bagaimana pelaku politik Islamisme benar-benar berinteraksi dengan institusi demokratik dalam praktik. Peralihan daripada perdebatan teologi kepada analisis empirikal ini mengembangkan bidang kajian dan memberi pandangan berguna kepada sarjana dan pembuat dasar (Altuntaş-Çakır 2022).
Namun begitu, beberapa keterbatasan termasuk perhatian yang tidak mencukupi terhadap ketegangan berterusan berkaitan hak minoriti dan wanita, kebergantungan terhadap wacana elit dan penglibatan teori yang terhad menunjukkan bahawa “politik baharu Islam” mungkin lebih kompleks dan penuh pertikaian berbanding gambaran optimistik yang ditawarkan. Perkembangan terkini, khususnya kecenderungan autoritarian di Turki dan Tunisia, menimbulkan persoalan tentang kestabilan dan kedalaman komitmen demokratik Islam (Sofiandi et al. 2023).
Akhirnya, sumbangan Karagiannis paling bernilai bukan sebagai jawapan muktamad terhadap persoalan hubungan antara Islam dan demokrasi, tetapi sebagai asas empirikal yang kaya untuk penyelidikan yang berterusan. Buku ini membuktikan bahawa transformasi yang signifikan telah berlaku dalam kalangan gerakan Islamisme, sambil turut mendedahkan ketegangan dan keterbatasan yang berterusan. Penyelidikan masa depan harus membina di atas penemuan ini dengan melibatkan perdebatan teori, institusi dan normatif secara lebih mendalam (Faisal et al. 2025).
Rujukan
- Achilov, D. 2023. Islam, Justive and Democracy by Sabri Ciftci. Political Science Quarterly. 138(2): 325-325.
- Altuntaş-Çakır, R. 2022. A Political Theory of Muslim Democracy. Edinburgh: Edinburgh University Press.
- Azrian, I. F. 2024. Reconfiguring Religious Authority and Ethical Governance in Islamic Political Thought: A Comparative Literature Review. Sinergi International Journal of Islamic Studies. 2(3): 136-148.
- Faisal, A., Rusdin, A. Iskandar, N. & Ismail, P. 2025. Reinterpreting Islamic Political Thought: Challenges and Innovations in a Disruptive Era. International Journal Of Multidisciplinary Research And Analysis. 8(7): 4067-4075.
- Ghannouchi, R. & March, A. F. 2023. On Muslim Democracy.New York: Oxford University Press.
- March, A. F. 2024. Islam. Dlm. Nederman, C. J. & Bogiaris, G. (pnyt.). Research Handbook on the History of Political Thought, hlm. 121-133. UK: Edward Elgar.
- Mohd Irwan, S. S. & Nadhrah, A. 2022. Emmanuel Karagiannis (2018). The New Political Islam: Human Rights, Democracy and Justice. Journal of Al-Tamaddun, 17(1), 201-203.
- Parray, T. A. 2023. Islam and Democracy in the 21st Century.India: Oxford University Press.
- Sofiandi, Fauzi & Alimuddin, H. 2023. Islam and the question of its coexistence with Modern Democracy. Asia Pacific Journal On Religion And Society. 7(1): 28-36.
Unless expressly indicated, materials published on WIRA.my have not undergone formal academic peer review. Analysis and commentary represent the author’s interpretation and should not be read as institutional policy positions.



