1.0 Pengenalan
Program pemulihan sedia ada bagi bekas banduan merupakan satu inisiatif penting dalam memastikan proses reintegrasi ke dalam masyarakat dapat berlangsung dengan berkesan dan bermaruah. Selepas menjalani hukuman, individu yang dibebaskan sering berhadapan dengan pelbagai cabaran seperti stigma sosial, kesukaran mendapatkan pekerjaan, ketiadaan tempat tinggal yang stabil, serta kekurangan sokongan psikososial. Tanpa intervensi yang bersesuaian, mereka berisiko tinggi untuk mengulangi kesalahan lalu, sekali gus menyumbang kepada kadar residivisme yang membimbangkan. Oleh itu, pelaksanaan program pemulihan yang inklusif dan sistematik bukan sahaja membantu mereka membina semula kehidupan, malah memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat melalui pengurangan kadar jenayah, peningkatan keselamatan awam dan pembangunan sosial yang lebih seimbang.
Program ini mencakupi aspek pembangunan siasah dan meningkatkan jati diri bekas banduan agar mereka dapat menghadapi kehidupan yang normal setelah keluar dari penjara selain berasa insaf atas perbuatan mereka sebelum ini. Tempoh program ini tidak tetap tetapi bergantung kepada tempoh hukuman yang dikenakan ke atas banduan tersebut. Secara dasarnya, program ini dibawah kendalian Jabatan Penjara Malaysia namun agensi-agensi lain turut sama membantu berdasarkan kepakaran masing-masing antaranya Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Cadangan ini bertujuan menambah baik program sedia ada yang berkaitan dengan pemulihan sosial dan ekonomi bekas banduan di Malaysia. Bekas banduan seringkali berhadapan dengan pelbagai cabaran selepas pembebasan (Nina Muslim 2024a). Isu-isu ini bukan sahaja menjejaskan kebajikan individu terbabit, malah turut memberi kesan kepada keselamatan dan pembangunan sosio-ekonomi negara secara keseluruhan.
Menurut data Jabatan Penjara Malaysia, kadar penghuni penjara yang berulang masuk kekal pada tahap yang boleh diperbaiki, meskipun pelbagai program pemulihan telah dilaksanakan. Hal ini menunjukkan perlunya pendekatan yang lebih inklusif dan sistematik untuk memastikan proses reintegrasi ke dalam masyarakat berjalan dengan berkesan. Pemulihan yang holistik perlu mengambil kira keperluan psikososial, ekonomi dan komuniti, serta memastikan penglibatan pelbagai pihak termasuk kerajaan, sektor swasta dan badan bukan kerajaan.
Dalam konteks dasar negara, pendekatan pemulihan yang berkesan menyumbang kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals-SDG) (DSOM 2018), khususnya dalam aspek mengurangkan ketidaksamaan sosial pada matlamat ke-10 dan memastikan keamanan, keadilan serta institusi yang berkesan dalam matlamat ke-16 (DSOM 2018). Oleh itu, satu program yang bersifat inklusif dan menyeluruh perlu digubal bagi menyokong bekas banduan menjalani kehidupan yang bermakna dan produktif selepas tempoh pemenjaraan.
Cadangan program ini juga menekankan kepentingan mengurangkan stigma masyarakat terhadap bekas banduan serta mengurangkan kadar jenayah berulang. Dengan menyediakan sokongan yang mencukupi, pendidikan semula, serta peluang ekonomi, bekas banduan berpotensi untuk kembali menyumbang kepada masyarakat dan mengelakkan kitaran jenayah yang berulang.
1.1 Objektif
Berdasarkan justifikasi keperluan untuk menambah baik program pemulihan sedia ada yang berhadapan dengan isu stigma, kadar residivisme yang tinggi terutama bagi kes dadah (Fitri et al. 2022) dan kekurangan sokongan stabil selepas pembebasan (Mohd Alif Jasni et al. 2019; Rozmi bin Ismail et al. 2017), berikut adalah 3 objektif yang dicadangkan untuk program ini:
i. Memperkasa bekas banduan dengan kemahiran keusahawanan teras dan menyalurkan akses pembiayaan yang stabil untuk mencapai kemandirian ekonomi melalui perniagaan sendiri atau pekerjaan berkemahiran tinggi.
Objektif ini menangani masalah pekerjaan bergaji rendah atau tidak stabil yang sering dihadapi oleh bekas banduan (Nur Addila & Tharshini 2024; Khasni 2022). Terdapat keperluan untuk memupuk kemahiran keusahawanan seperti kreativiti dan inovasi, literasi keusahawanan dan keyakinan kendiri yang merupakan faktor utama yang mempengaruhi keupayaan bekas banduan untuk berdikari dalam perniagaan (Ibrahim et al. 2025). Keusahawanan dilihat sebagai pilihan yang tepat kerana kesukaran mendapatkan pekerjaan di syarikat biasa (Ibrahim et al. 2025). Selain itu, program ini akan memanfaatkan inisiatif sedia ada seperti skim pembiayaan mikro khusus untuk golongan rentan termasuk bekas banduan bagi memulakan perniagaan (Kementerian Kewangan 2025).
ii. Mengintegrasikan bekas banduan secara aktif dalam perkhidmatan awam sukarela dan program kesedaran awam bagi menghapuskan stigma sosial dan memupuk penerimaan komuniti secara berterusan.
Objektif ini memberi tumpuan kepada aspek pemulihan sosial yang sering terhalang oleh stigma dan diskriminasi masyarakat (Anon 2023b; Mohd Alif Jasni et al. 2019). Pendedahan bekas banduan dalam peranan positif akan membantu mengikis pandangan negatif. Jabatan Penjara Malaysia digalakkan untuk bekerjasama dengan agensi seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk menerima bekas banduan sebagai anggota sukarelawan, sekali gus membolehkan mereka berkhidmat semula kepada masyarakat dan menjadi kebanggaan keluarga (Adnan Ibrahim 2025). Selain itu, aktiviti kesedaran dan simposium awam perlu dianjurkan untuk mendidik komuniti tentang reintegrasi prospek dan memberi peluang kedua (Arreola et al. 2024; Mohd Alif Jasni, et al. 2019).
iii. Memperluas infrastruktur sokongan pemulihan komuniti termasuk rumah perantaraan khasnya untuk wanita dan golongan rentan dan menyediakan pantauan psikososial susulan yang intensif untuk mengurangkan risiko pengulangan jenayah dan kegeladangan.
Objektif ini menangani keperluan kritikal bagi sokongan pasca-pembebasan yang lebih menyeluruh. Kekurangan tempat tinggal yang membawa kepada kegeladangan dan penolakan keluarga adalah faktor utama bekas banduan kembali melakukan jenayah (Mohd Alif Jasni et al. 2022b; Mohd Alif Jasni et. al 2021; Fitri et al. 2022). Terdapat keperluan mendesak untuk menubuhkan lebih banyak rumah perantaraan, terutamanya bagi bekas banduan wanita yang kurang mendapat sokongan keluarga (Bunyan 2023; Farahin Fadzil 2023; Hazwani Adha 2025). Selain itu, memandangkan kes jenayah dadah berulang kerap berlaku sejurus selepas dibebaskan (Fitri et al. 2022), program ini memerlukan bimbingan kaunseling dan pemantauan susulan yang lebih konsisten dan intensif untuk mengukuhkan jati diri dan mengelakkan mereka kembali melakukan jenayah (Fitri et al. 2022)
2.0 Prestasi Program Sedia Ada
Program pemulihan sedia ada oleh Jabatan Penjara Malaysia dan kerjasama beberapa agensi dan kementerian seperti Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat boleh dibahagikan kepada program dalam penjara dan program reintegrasi dalam komuniti. Analisis kadar residivis menunjukkan keberkesanan yang berbeza antara kedua-dua kategori program ini.
2.1 Program Pemulihan Sedia Ada
Program pemulihan di Malaysia direka bentuk berdasarkan visi Jabatan Penjara Malaysia untuk membentuk insan produktif melalui pemulihan efektif, persekitaran kondusif dan pengintegrasian strategik (Jabatan Penjara Malaysia 2024). Program ini bertujuan untuk menjamin kesejahteraan masyarakat melalui proses reintegrasi dan mengurangkan pengulangan perlakuan jenayah.
2.1.1 Program Pemulihan Dalam Penjara (Institusi)
Program ini adalah usaha untuk membentuk disiplin, keperibadian dan kemahiran vokasional sebelum banduan dibebaskan.
| Program | Butiran Ringkas |
| Pelan Pembangunan Insan (PPI) | Ini adalah reka bentuk utama pemulihan yang sistematik, dilaksanakan secara teratur dan terdiri daripada empat fasa yang menekankan pembangunan dan pengukuhan peribadi. PPI merangkumi dimensi fizikal dan kerohanian. |
| Latihan Vokasional dan Industri (TVET) | Diberikan dalam Fasa Tiga PPI, yang membekalkan banduan dengan kemahiran dan pengetahuan vokasional sebagai persediaan kerjaya selepas dibebaskan. Latihan ini termasuk Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan Sijil Kecekapan Kemahiran (SKK) yang diakreditasi oleh agensi luar contohnyaJabatan Pembangunan Kemahiran dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB). |
| Program Kemahiran Mengikut Sektor | Melibatkan pelbagai sektor seperti Pembuatan, Pemakanan, Pertanian, Ternakan, Perkhidmatan dan Fabrik. Contohnya, program Industri Penjara seperti Program Sara Diri Industri Roti dan Pertanian yang bertujuan menjimatkan kos operasi JPM. |
| Program Agama dan Kaunseling | Membangunkan dan memantau pelaksanaan Pelan Induk Program Agama termasuk modul Deradikalisasi. Program ini juga melibatkan pengurusan aktiviti kaunseling dan penilaian Psikologi. |
(Rosli et al. 2021; Syahrul Amri t.th)
2.1.2 Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK)
PDK adalah proses peralihan dari pemenjaraan ke komuniti, bertujuan membantu penghuni menyesuaikan diri dengan kehidupan di luar penjara dan mengekalkan gaya hidup bebas jenayah. PDK merangkumi pengawasan dan penyeliaan berterusan di komuniti.
| Program | Butiran Ringkas | ||
| Parol | Membolehkan pelepasan banduan hukuman lebih 1 tahun untuk menjalani sebahagian hukuman di luar penjara di bawah penyeliaan pegawai parol. Banduan mesti menjalani sekurang-kurangnya separuh (1/2) tempoh hukuman dan telah mengikuti program pemulihan yang diluluskan. | ||
| Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) | Diberikan kepada banduan yang dihukum bawah 1 tahun (maksimum 11 bulan 29 hari) untuk menjalani pemulihan di komuniti, dengan syarat baki hukuman sekurang-kurangnya 2 bulan dan telah menjalani Fasa 1 PPI. Mereka perlu mendapat persetujuan keluarga/NGO/majikan. | ||
| Perintah Kehadiran Wajib (PKW) | Pesalah dikehendaki menjalani kerja buruh, tugas, kerja atau kursus pengajaran yang diperintahkan oleh Pegawai Pusat Kehadiran Wajib. Hukuman PKW tidak lebih 3 bulan dan tidak lebih 4 jam sehari. | ||
| Program Reintegrasi Penghuni (PRP) |
| ||
| Rumah Perantaraan (RP) | Sebanyak 15 RP telah beroperasi iaitu 11 untuk bekas banduan dan 4 untuk Orang Diparol (ODP) bagi menempatkan bekas banduan dan ODP yang tiada tempat perlindungan. | ||
| Corporate Smart Internship (CSI) | Program kerjasama dengan syarikat bagi memberi peluang kepada Orang Diparol menyertai program latihan dan kerjaya dalam sektor pekerjaan. | ||
| Program I-Kembali | Program penempatan semula bekas banduan yang membantu menyediakan peluang pekerjaan melalui kerjasama dengan NGO dan syarikat |
(Syahrul Amri t.th.)
2.2 Analisis Kadar Residivis
Jabatan Penjara Malaysia menetapkan sasaran agar kadar pengulangan jenayah tahunan tidak melebihi 20 peratus. Kadar residivis yang direkodkan dalam tempoh 3 tahun terkini adalah 12.3%.
Analisis perbandingan menunjukkan bahawa program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) adalah lebih berkesan dalam mengurangkan residivisme berbanding program pemulihan yang dijalankan sepenuhnya di dalam penjara.
| Kategori Program | Kadar Residivis | Analisis Keberkesanan |
| Pemulihan Dalam Penjara | 10.88% (Kadar residivis Program Pemulihan Dalam Penjara) | Ini adalah kadar residivis yang lebih tinggi berbanding PDK, menunjukkan banduan yang dibebaskan tanpa sokongan komuniti yang berterusan lebih cenderung mengulangi jenayah. |
| Parol | 0.44% | Sangat efektif. Kejayaan ini menunjukkan peranan penting pegawai parol, sokongan keluarga dan pengawasan komuniti dalam mencegah pengulangan jenayah. |
| Program Reintegrasi Penghuni (PRP) | 0.42% | Sangat efektif, setanding dengan Parol, membuktikan bahawa pemulihan yang dilakukan di luar tembok penjara memberikan kesan positif yang ketara. |
Secara ringkas, kadar residivis bagi program PDK yang berstruktur seperti Parol atau PRP adalah sangat rendah iaitu kurang 1%, membuktikan model reintegrasi komuniti adalah berkesan. Namun, kadar residivis keseluruhan dan dalam penjara menunjukkan terdapat jurang besar dalam infrastruktur sosial pasca-pembebasan seperti pekerjaan dan perumahan yang gagal menyokong bekas banduan yang terdedah kepada stigma dan risiko tinggi.
2.3 Analisis Berkala
Berdasarkan data prestasi Jabatan Penjara Malaysia mengikut negeri pada Disember 2023 dan Disember 2024, analisis utama menunjukkan perbezaan ketara dalam kadar residivis dan pencapaian Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di seluruh negara.
2.3.1 Analisis Kadar Residivis

(Sumber: Jabatan Penjara Malaysia 2024)
Kadar residivis merujuk kepada peratusan bekas banduan yang kembali melakukan jenayah. Jabatan Penjara Malaysia menetapkan had toleransi bagi kadar residivis adalah di bawah 20 peratus (Anon 2025b). Kadar residivis keseluruhan untuk tiga tahun kebelakangan ini di seluruh negara adalah 12.3%.
Negeri yang mencatatkan kadar residivis paling tinggi berdasarkan statistik pada Disember 2024 adalah Johor berjumlah 21.2% diikuti oleh Perlis (20.9%) dan masing-masing Perak serta Kedah (19.5%). Johor dan Perlis mencatat kadar residivis melebihi had toleransi 20% yang ditetapkan.
(Jabatan Penjara Malaysia 2024)

Johor mencatatkan peningkatan residivis sebanyak 8.7% berbanding Disember 2023 iaitu dari 12.5% kepada 21.2% pada Disember 2024. Bagaimanapun, negeri-negeri yang mencatatkan prestasi antara yang terendah adalah Sarawak (12.1%) dan Melaka (14.5%).
2.3.2 Analisis Pencapaian Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK)
PDK adalah program reintegrasi yang melibatkan pengawasan komuniti (seperti Parol dan PBSL), yang terbukti memberi kesan. Walau bagaimanapun, pencapaian PDK secara keseluruhan masih rendah.

(Jabatan Penjara Malaysia 2024)
Pencapaian keseluruhan hanya 21% iaitu 5,478 daripada 39,180 yang layak daripada bekas banduan yang berjaya ditempatkan dalam program PDK di seluruh negara. Sasaran Jabatan Penjara Malaysia adalah untuk menempatkan dua pertiga (2/3) banduan yang layak dalam komuniti.
Melaka menunjukkan pencapaian PDK yang sangat rendah (6.8%), yang mungkin menyumbang kepada kadar residivis negerinya yang tinggi iaitu 19.9% pada Disember 2023. Namun, pada Disember 2024, kadar residivis Melaka menurun kepada 14.5%. Perlis menunjukkan kadar PDK yang rendah (12.2%) dan mencatatkan kadar residivis yang tinggi pada Disember 2024 iaitu 20.9%.
2.3.3 Analisis Hubungan Antara Program Komuniti dan Residivis
Data menunjukkan bahawa terdapat hubungan yang kompleks dan tidak seragam antara pencapaian PDK dan kadar residivis:
Pencapaian PDK yang tinggi tidak menjamin kadar residivis yang rendah, sebagai contoh walaupun Pulau Pinang mencapai kadar PDK yang agak tinggi iaitu 44.4%, kadar residivisnya masih tinggi pada 19.4%. Ini menunjukkan bahawa meskipun lebih ramai bekas banduan ditempatkan dalam komuniti, faktor lain seperti stigma, kualiti sokongan ekonomi atau masalah dadah yang mendalam mungkin masih menggagalkan pemulihan.
Secara keseluruhan, analisis data menyokong cadangan program bahawa peningkatan liputan Program Pemulihan dalam komuniti (PDK) adalah penting, tetapi ia mesti diperkuatkan dengan sokongan ekonomi dan sosial yang stabil untuk mengatasi kadar residivis yang tinggi di negeri-negeri tertentu.
2.4 Kumpulan Sasaran
Kumpulan sasaran paling layak untuk Program Reintegrasi Sosial dan Ekonomi untuk Pemerkasaan Insan (RESEPI) ialah mereka yang paling terdedah kepada kegagalan reintegrasi akibat stigma sosial dan kekurangan sokongan pasca-pembebasan, walaupun program sedia ada telah dilaksanakan.
2.4.1 Kumpulan Utama Paling Layak
- Bekas Banduan Wanita Tanpa Sokongan Keluarga: Kumpulan ini paling layak kerana mereka menghadapi kekurangan kemudahan perumahan kerana hampir semua 15 Rumah Perantaraan (RP) yang ada adalah untuk lelaki (Bunyan 2023). Kerajaan secara spesifik telah memperuntukkan insentif mula niaga kepada 3,000 bekas banduan wanita yang tidak mendapat sokongan keluarga melalui Program Peluang Kedua (Hazwani Adha 2025).
- Bekas Penagih Dadah (Terutama Residivis): Mereka adalah golongan rentan yang sering mencatat pengulangan kes jenayah dadah yang kerap berlaku (Fitri et al. 2022) dan memerlukan sokongan pasca-pembebasan yang intensif untuk mengelakkan terjerumus semula. Mereka juga disasarkan di bawah peruntukan Program Peluang Kedua untuk bekas penagih di Pusat Pemulihan Narkotik (Hazwani Adha 2025).
2.4.2 Kumpulan Tambahan yang Diperkasakan oleh Program Baharu
- Orang Diparol (ODP) dan Orang Bebas Berlesen (OBB): Kumpulan ini sudah berada di bawah pengawasan komuniti, tetapi mereka layak untuk menyertai inisiatif pekerjaan baharu seperti program sukarelawan berlesen di bawah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) (Adnan Ibrahim 2025).
- Individu Berkebolehan Keusahawanan: Bekas banduan yang menunjukkan motivasi tinggi untuk menceburi keusahawanan (kira-kira 56.2 peratus) adalah layak menerima latihan khusus dalam kreativiti dan inovasi untuk mengatasi diskriminasi pekerjaan di sektor formal (Ibrahim et al. 2025).
- Prospek dengan Hukuman Singkat: Mereka yang menjalani hukuman singkat dan tidak sempat melalui program pemulihan institusi yang menyeluruh seperti semua fasa Pelan Pembangunan Insan merupakan kumpulan yang berisiko tinggi untuk mengulangi jenayah dan sangat memerlukan integrasi strategik ke dalam masyarakat (Anon 2023b).
3.0 Isu dan Cabaran
3.1 Cabaran Program
Cabaran dan isu-isu yang menyebabkan masalah kekal wujud terutamanya pengulangan jenayah dalam kalangan bekas banduan di Malaysia, meskipun wujudnya program pemulihan yang mantap, boleh dikategorikan kepada beberapa faktor utama:
i. Cabaran Sosial dan Stigma Masyarakat
Walaupun program pemulihan dalam penjara seperti Pelan Pembangunan Insan direka untuk membina semula keperibadian prospek, cabaran sosial selepas dibebaskan sering menggagalkan usaha ini.
| Masalah atau isu yang timbul | Punca Masalah atau Kegagalan Program Sedia Ada |
| Diskriminasi dan Stigma Sosial yang Berleluasa | Masyarakat secara meluas memandang rendah dan mendiskriminasi bekas banduan, menyebabkan mereka sukar untuk mendapatkan pekerjaan dan tempat tinggal (Anon 2023b; Filzah 2025). Stigma ini bertindak sebagai penghalang utama kepada kejayaan integrasi semula (Ahmad Aidil 2025; Ismail et al. 2020). |
| Pengasingan Diri | Akibat daripada penghakiman dan pandangan negatif komuniti, bekas banduan sering memilih untuk menyendiri, bersembunyi atau mengelakkan interaksi sosial, yang boleh membawa mereka kembali ke aktiviti jenayah (Mohd Alif Jasni et al. 2022a; Arreola et al. 2024). |
| Penolakan Keluarga | Hubungan keluarga yang renggang atau penolakan langsung oleh ahli keluarga menyebabkan bekas banduan kehilangan sokongan sosial dan tempat tinggal, seterusnya meningkatkan risiko gelandangan dan kembali ke penjara (I-budget 2025; Rosli et al. 2021; Nina Muslim 2024a). |
ii. Isu Ekonomi dan Pekerjaan
Kestabilan ekonomi dikenal pasti sebagai kunci untuk mengelakkan bekas banduan daripada kembali ke kancah jenayah (Ahmad Aidil 2025), namun mencapai kestabilan ini selepas pembebasan adalah sukar.
| Masalah atau isu yang timbul | Punca Masalah atau Kegagalan Program Sedia Ada |
| Kadar Pengangguran Tinggi dan Ketidakstabilan Ekonomi | Kesukaran mendapatkan pekerjaan yang stabil dan setimpal adalah cabaran utama yang dihadapi oleh bekas banduan (Anon 2023b; Filzah 2025). Bagi prospek yang tidak menyertai latihan kemahiran, kadar pengulangan jenayah boleh mencecah sehingga 12 peratus (Ahmad Aidil 2025; Sathoo et al. 2021). |
| Diskriminasi Majikan | Walaupun terdapat insentif cukai seperti Corporate Smart Internship (CSI), ramai majikan masih enggan mengambil bekas banduan kerana bimbang akan risiko reputasi, masalah keselamatan dan kekurangan kepercayaan (Keshminder et al. 2022; Nee et al. 2022; I-budget 2025). |
| Rekod Jenayah Menghalang Peluang | Bekas banduan diwajibkan untuk mendedahkan rekod jenayah mereka semasa memohon pekerjaan dan ini serta-merta mengehadkan prospek mereka terutamanya dalam sektor formal (Ibrahim et al. 2025; Lo et al. 2024; Nee et al. 2022). |
| Pekerjaan Rendah Kemahiran dan Gaji Rendah | Kebanyakan bekas banduan yang berjaya mendapat pekerjaan hanya ditempatkan dalam sektor intensif buruh atau sektor tidak formal (seperti perladangan, pembinaan atau perkhidmatan makanan) yang menawarkan gaji rendah, kurang faedah dan risiko eksploitasi, sekali gus menjejaskan kemandirian jangka panjang (Nur Addila & Tharshini 2024). |
| Kekurangan Kemahiran/Pendidikan | Sebahagian besar bekas banduan didapati mempunyai tahap pendidikan rendah, kekurangan kemahiran vokasional (terutamanya bagi industri berteknologi tinggi) atau pengalaman kerja terhad, menjadikannya kurang berdaya saing di pasaran (Mohd Alif Jasni et al. 2022b; Arreola et al. 2024). |
iii. Kekangan Program dan Pemulihan
Walaupun program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan Pembebasan Banduan Secara Lesen (PBSL) sangat berkesan berdasarkan kadar residivis rendah, iaitu sekitar 0.28%–0.44% (Anon 2023b; Anon 2024; Anon 2022; Syahrul Amri t.th.), program-program ini tidak meliputi semua banduan yang dibebaskan, meninggalkan populasi yang besar tanpa sokongan yang diperlukan.
| Masalah atau isu yang timbul | Punca Masalah atau Kegagalan Program Sedia Ada |
| Penyertaan Program Pemulihan Tidak Menyeluruh | Ramai banduan terutama mereka yang menjalani hukuman singkat tidak dapat melengkapkan semua fasa Program Pembangunan Insan (PPI), yang terdiri daripada empat fasa, kerana tempoh hukuman yang singkat atau berbeza-beza. Ini menghadkan kesan pemulihan menyeluruh (Ibrahim Samad 2013). |
| Kekurangan Rumah Perantaraan | Terdapat kekurangan kemudahan rumah perantaraan (RP) yang berfungsi sebagai tempat tinggal sementara. Pada tahun 2023, hanya 15 RP disediakan dan kebanyakannya hanya menempatkan banduan lelaki, menyebabkan bekas banduan wanita dan golongan rentan lain tiada tempat bergantung (Bunyan 2023; Farahin Fadzil 2023). |
| Ketiadaan Sokongan Intensif Pasca Pembebasan | Bagi kebanyakan banduan yang dibebaskan secara terus tanpa melalui parol atau PBSL, tiada program susulan mendalam (aftercare) yang konsisten, bimbingan kaunseling berterusan atau penyeliaan psikososial intensif disediakan, menyebabkan mereka mudah terdedah kepada pengaruh negatif (Romzi bin Ismail et al. 2017; Fitri et al. 2022). |
| Faktor Dadah dan Pengaruh Rakan Sebaya | Pengulangan kes jenayah dadah adalah yang paling kerap berlaku. Bekas banduan yang tiada sokongan kuat cenderung kembali kepada rakan senasib atau rakan jenayah/penagih lama, yang menjadi pendorong utama residivisme (Rosli et al. 2021). |
| Masalah Jati Diri dan Kesihatan Mental | Walaupun merasakan insaf di dalam penjara, kebanyakan bekas banduan terutama yang berulang kali masuk mempunyai jati diri yang lemah atau konsep kendiri negatif, yang menyebabkan mereka gagal mengawal diri dan cepat tewas apabila menghadapi tekanan hidup yang mencabar di luar (Ibrahim Samad 2013; Mohd Alif Jasni et al. 2022b). |
Ringkasnya, program sedia ada seperti PPI dan latihan kemahiran di dalam penjara adalah berjaya bagi mereka yang menyertai program pemulihan dalam komuniti (PBSL/Parol). Namun, kegagalan program terletak pada jurang antara penjara dan masyarakat, di mana stigma sosial yang mendalam dan kekurangan infrastruktur sokongan yang mencukupi seperti perumahan, pekerjaan dan sokongan emosi membatalkan usaha pemulihan bagi populasi besar bekas banduan yang lain, menyebabkan mereka kembali ke kitaran jenayah.
3.2 Kesan Sosial dan Ekonomi
Isu-isu dan cabaran yang dihadapi oleh bekas banduan (prospek), terutamanya kegagalan reintegrasi, mewujudkan kesan berganda yang signifikan, bukan sahaja kepada individu tersebut, tetapi juga kepada keluarga, komuniti dan sistem ekonomi negara.
3.2.1 Kesan kepada Keselamatan Sosial dan Komuniti
Kadar residivisme yang masih tinggi secara purata iaitu sekitar 16 peratus bagi tahun 2024 dan pernah mencecah 17.06 peratus pada 2022) (Noor Hidayah Tanzizi 2025; Anon 2024), menimbulkan ancaman nyata kepada masyarakat.
- Ancaman kepada Keselamatan Awam: Kadar residivisme yang tinggi secara langsung meningkatkan kebimbangan awam mengenai keselamatan peribadi dan ketenteraman komuniti secara amnya (Ibrahim et al. 2025). Kadar ini mencerminkan kegagalan dalam proses integrasi semula bekas banduan ke dalam masyarakat (Mohd Alif Jasni et al. 2019).
- Kitaran Stigma dan Diskriminasi: Stigma dan pandangan negatif masyarakat merupakan penghalang utama kepada reintegrasi yang berjaya (Anon 2023b). Apabila bekas banduan menghadapi diskriminasi berterusan seperti kesukaran mendapat pekerjaan, tempat tinggal dan sering dituduh apabila berlaku jenayah di kawasan kejiranan (Mohd Alif Jasni et al. 2019), sedangkan mereka mungkin terpaksa mengulangi jenayah hanya untuk terus hidup. Kitaran penolakan ini memburukkan lagi isolasi sosial.
- Peningkatan Kes Jenayah Berulang: Bagi prospek yang tidak menyertai program pemulihan dalam komuniti, kadar pengulangan jenayah boleh mencecah 12 peratus (Ahmad Aidil 2025.). Sebilangan besar bekas banduan kembali ke tabiat lama sejurus selepas dibebaskan iaitu dalam masa beberapa jam atau bulan (Mohd Alif Jasni et al. 2022b), terutamanya jika mereka gagal mendapatkan sokongan sosial atau pekerjaan (Zakaria et al. 2018).
3.2.2 Kesan kepada Individu dan Kesejahteraan Keluarga
Kegagalan untuk menubuhkan kehidupan baharu menyebabkan kesan psikologi dan praktikal yang mendalam kepada bekas banduan dan keluarga mereka.
- Masalah Kesihatan Mental dan Kejatidirian: Bekas banduan yang menganggur dan menghadapi tekanan sosial terdedah kepada masalah harga diri yang rendah (self-esteem), merasa malu, tertekan dan hilang dorongan untuk berfikir secara jangka panjang atau berdikari (Muhamad Khairul et al. 2019; Mohd Alif Jasni et al. 2019). Kurangnya kemahiran daya tindak (coping skills) ini menyebabkan mereka memilih kehidupan harian kais pagi makan pagi dan enggan berhadapan dengan cabaran hidup yang kompleks (Nina Muslim 2024a).
- Isu Gelandangan dan Perumahan: Penolakan daripada ahli keluarga, ditambah dengan kesukaran mendapatkan pekerjaan yang stabil, merupakan faktor utama yang menyebabkan bekas banduan menjadi gelandangan (Rosli et al. 2021). Mereka yang tiada tempat bergantung akan berhijrah ke kawasan bandar seperti Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan, rakan senasib dan akses mudah kepada makanan, walaupun terpaksa hidup di jalanan (Muhamad Khairul et al. 2021).
- Kesan Trauma ke atas Keluarga: Pemenjaraan memberi impak yang menyeluruh kepada ahli keluarga, yang terpaksa berdepan dengan kesan kewangan, sosial dan emosi yang teruk, termasuk stres, kemurungan, malu dan kemungkinan perceraian akibat kehilangan kepercayaan (Azureen Abd Aziz et al, 2022).
- Krisis Kesihatan Pasca-Pembebasan: Ramai bekas banduan yang mempunyai penyakit kronik seperti HIV, Hepatitis B/C (Mohd Alif Jasni et al. 2022b) cenderung mengelak daripada mendapatkan rawatan perubatan di institusi awam selepas dibebaskan kerana bimbang diskriminasi dan stigma, seterusnya mengabaikan kesihatan diri demi kelangsungan hidup (Mohd Alif Jasni et al. 2022b).
3.2.3 Kesan kepada Ekonomi dan Fiskal Negara
Kadar residivisme yang tidak dapat dikurangkan secara drastik menghasilkan bebanan kewangan dan mengurangkan potensi ekonomi negara.
- Peningkatan Kos Operasi Penjara: Jumlah kemasukan banduan yang berulang kali, terutamanya pesalah dadah berulang, menyumbang secara langsung kepada masalah kesesakan penjara (Ibrahim Samad 2013; Jabatan Penjara Malaysia 2024). Kesesakan ini seterusnya menyebabkan peningkatan kos pengurusan keselamatan, rawatan dan program pemulihan di penjara (Ibrahim Samad 2013).
- Pembaziran Sumber dan Pelaburan: Apabila bekas banduan mengulangi kesalahan dan kembali ke penjara, peruntukan yang besar yang dibelanjakan untuk rawatan dan pemulihan, termasuk latihan vokasional dan kerohanian. Berbelanjaan ini dianggap sia-sia (Ibrahim Samad 2013) kerana tidak mendatangkan hasil.
- Kehilangan Tenaga Kerja Produktif: Kegagalan bekas banduan untuk mendapatkan pekerjaan yang stabil merupakan kunci mereka kembali melakukan jenayah (Ahmad Aidil 2025) menyebabkan kerugian potensi pendapatan dan mengurangkan produktiviti nasional. Keadaan ini mengekalkan kebergantungan negara kepada tenaga kerja asing (Anon 2025a). Walaupun syarikat yang menggaji mereka layak menerima pengecualian cukai sehingga RM4,000 bagi setiap orang yang diambil bekerja, stigma majikan masih menjadi penghalang utama kepada penempatan kerja yang lebih meluas (Ahmad Aidil 2025).
Kesimpulannya, kegagalan reintegrasi bekas banduan bertindak seperti jangkar yang menarik mundur kemajuan sosial, kerana setiap kegagalan individu dalam mencari kestabilan mencetuskan gelombang masalah yang membebani sistem sosial dan fiskal negara, sekali gus mengancam keamanan awam.
4.0 Cadangan
Masalah dan cabaran yang dihadapi oleh bekas banduan dalam fasa reintegrasi ekonomi dan sosial menunjukkan bahawa program sedia ada masih mempunyai ruang untuk ditambahbaik,walaupun program dalam komuniti mencatatkan kadar residivisme yang rendah (Anon 2024) namun masih terdapat jurang besar dalam memberi perlindungan kepada majoriti bekas banduan yang dibebaskan secara terus (Anon 2023b). Cabaran utama adalah stigma dan diskriminasi masyarakat serta kesukaran mendapatkan pekerjaan stabil (Nee et al. 2022).
Oleh itu, cadangan penambahbaikan perlu berfokus kepada tiga teras utama iaitu memperkukuh daya tahan diri (individu), memperluas jaringan sokongan (infrastruktur) dan memerangi stigma (masyarakat).
4.1 Cadangan Penambahbaikan Program Sedia Ada
4.1.1 Pengukuhan Infrastruktur Sokongan Pasca-Pembebasan:
Perluasan Rumah Perantaraan (RP): Terdapat keperluan mendesak untuk memperbanyakkan kemudahan rumah perantaraan (Bunyan 2023). Walaupun Jabatan Penjara Malaysia mempunyai 15 RP, kesemuanya hanya menempatkan banduan lelaki (Bunyan 2023). Perluasan mesti memberi keutamaan kepada bekas banduan wanita, yang kekurangan sokongan keluarga dan tempat tinggal (Farahin Fadzil. 2023). Ramai bekas banduan mempunyai jati diri yang lemah atau konsep kendiri negatif yang menyebabkan mereka gagal mengawal diri dan cepat tewas apabila berhadapan dengan cabaran hidup yang mencabar di dunia luar (Ibrahim Samad 2013). Justeru itu, pengukuhan infrastruktur dengan persekitaran yang kondusif amat perlu bagi menyokong pemulihan yang berterusan.
Pemantauan Psikososial Intensif: Mengintegrasikan bimbingan kaunseling dan program susulan intensif (Fitri et al. 2022) secara wajib kepada bekas banduan berisiko tinggi, terutamanya pesalah dadah berulang yang terdedah kepada relaps segera selepas dibebasan. Sokongan ini penting untuk mengukuhkan jati diri dan daya tindak mereka (Nina Muslim 2024a).
4.1.2 Anjakan Fokus Ekonomi kepada Keusahawanan Sosial (Social Entrepreneurship – SE):
Mengutamakan Model Keusahawanan: Memandangkan bekas banduan menghadapi diskriminasi pekerjaan (Ibrahim et al. 2025), keusahawanan dilihat sebagai langkah yang “tepat” untuk mereka menjana pendapatan. Program sedia ada seperti Program Wanita Bangkit Bersasar (WBB) yang memberi insentif tunai dan peralatan (Anon 2023a) dan program SE yang disokong oleh PERKESO/BSN (Skim Pembiayaan Mikro Madani Sinar) (Kementerian Kewangan 2025) harus diperluas.
Latihan Kemahiran Teras Keusahawanan: Latihan vokasional sedia ada (TVET/PPI) (Ahmad Aidil 2025) perlu ditambah dengan elemen yang terbukti meramal kejayaan keusahawanan melalui pendekatatan kreativiti dan inovasi, literasi keusahawanan dan keyakinan diri (Ibrahim et al. 2025).
4.1.3 Memerangi Stigma Melalui Penglibatan Positif dan Dasar:
Reintegrasi melalui Perkhidmatan Awam: Mengadaptasi cadangan untuk menempatkan bekas banduan yang dibebaskan secara berlesen sebagai anggota sukarelawan dalam Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) (Adnan Ibrahim 2025). Ini akan memberi mereka pekerjaan, status dan menjadi kebanggaan keluarga. Penglibatan positif sedemikian merupakan sebahagian daripada strategi untuk menghapuskan pandangan negatif komuniti (Asyikin Asmin 2025).
Memanfaatkan Pendedahan Media Positif: Kerajaan dan NGO harus menggunakan media massa secara strategik untuk mempromosikan naratif positif mengenai reintegrasi, yang terbukti dapat mengurangkan stigma sosial dan memupuk sikap yang lebih menyokong terhadap perusahaan sosial bekas banduan (Ismail 2024).
Mengkaji Semula Polisi Rekod Jenayah: Memperjuangkan pindaan undang-undang sepeti mencontohi undang-undang SPENT[1] di Singapura untuk memadam atau menyembunyikan rekod jenayah bagi kesalahan tidak serius selepas tempoh bebas jenayah yang ditetapkan (Nina Muslim 2024a). Ini akan menghilangkan “hukuman sepanjang hayat yang tidak kelihatan” yang menyekat peluang pekerjaan (Nina Muslim 2024b).
4.2 Kerangka Model Baharu: Model Reintegrasi Sosial dan Ekonomi untuk Pemerkasaan Insan (Resepi)
Program Reintegrasi Sosial dan Ekonomi untuk Pemerkasaan Insan (RESEPI) ini distrukturkan berdasarkan pendekatan holistik empat pihak (Quadruple Helix Model) yang melibatkan Kerajaan, Akademik, Industri/Keusahawanan Sosial (SE) dan Komuniti/NGO (Ismail et al. 2020). Model ini menggariskan intervensi mengikut tiga fasa utama pemulihan.
Falsafah Asas: Pendekatan Berpusatkan Kekuatan (Strengths-Based Approach)
RESEPI beroperasi di bawah prinsip bahawa pemulihan yang berkesan harus berasaskan kekuatan dan potensi individu seperti kemahiran, motivasi dan keinginan untuk berubah dan bukannya hanya menumpukan pada risiko dan defisit semata-mata (Model Good Lives – GLM) (Vosselman 2021).
| Fasa Pemulihan | Fokus Utama & Intervensi | Peranan Pemegang Taruh |
| FASA 1: DALAM PENJARA (Pemerkasaan Diri & Latihan Khusus) | i. Penilaian Risiko & Keperluann (RNR/GLM): Penilaian individu yang komprehensif berdasarkan risiko residivisme, keperluan sosio-ekonomi (pekerjaan/perumahan) dan potensi keusahawanan. ii. Peningkatan Kemahiran Berorientasikan SE: Mengintegrasikan modul Kreativiti dan Inovasi ke dalam program TVET/PPI. Menawarkan latihan Digital Literacy dan kemahiran pengurusan perniagaan mikro. | Kerajaan (JPM): Menjalankan penilaian Risk-Need-Responsivity (RNR) dan menyesuaikan modul latihan mengikut profil risiko dan minat keusahawanan (GLM). Akademia: Membangunkan modul latihan keusahawanan yang diperakui dan bersesuaian industri. |
| FASA 2: TRANSISI AWAL (Stabilisasi & Jaringan Sokongan) | i. Penempatan Perlindungan Segera: Menyediakan tempat tinggal sementara di Rumah Perantaraan (RP), dengan penekanan pada RP khusus untuk wanita. ii. Sokongan Kerjaya Awal: Menganjurkan Karnival Kerjaya & Keusahawanan terfokus (MyFutureJobs) atau menyalurkan bantuan WBB/Dana Permulaan Mikro. iii. Induksi Pemulihan Komuniti: Mendaftarkan prospek (terutamanya ODP/PBSL) ke dalam Program Sukarelawan Komuniti (cth: APM) untuk membina identiti pro-sosial. | Kerajaan JPM/KPWKM): Memastikan RP dan Dana WBB/Permulaan tersedia serta menguruskan penempatan sukarelawan APM. Komuniti/NGO: Menyediakan bimbingan hidup dan sokongan emosi kepada prospek. |
| FASA 3: INTEGRASI MAMPAN (Kemandirian Ekonomi & Normalisasi Sosial) | i. Inkubasi Keusahawanan Sosial (SE): Memberi akses kepada pembiayaan mikro dan bimbingan perniagaan berterusan (misalnya melalui SME Corp, TEKUN, BSN). ii. Aftercare Psikososial Berterusan: Menyediakan pantauan psikososial berjadual untuk tempoh sekurang-kurangnya 6 bulan bagi mengukuhkan kestabilan diri dan mencegah relaps. iii. Kempen Kesedaran Awam: Melancarkan kempen media berskala nasional (cth: simposium, TV) untuk mendidik masyarakat, menonjolkan kisah kejayaan dan menggalakkan majikan (CSR) untuk menerima prospek. | Industri/SE: Menyediakan peluang pekerjaan mesra bekas banduan (CSI) atau menyokong inkubasi SE. Kerajaan (KDN/JPM): Menganjurkan kempen awam dan memajukan pindaan undang-undang rekod jenayah. |
Model RESEPI menyasarkan untuk memanfaatkan kadar kejayaan tinggi program yang melibatkan TVET yang dilancarkan pada tahun 2024 (Ahmad Aidil 2025) yang mencatat kadar 0.3 peratus sahaja kadar residivis berbanding mencecah 12 peratus jika tidak menyertai program kemahiran (Ahmad Aidil 2025), sambil mengatasi kegagalan kritikal terutama stigma dan sokongan pasca-pembebasan dengan menggerakkan aset ekonomi dan sosial yang baru, terutamanya melalui peranan usahawan sosial dan keterlibatan positif komuniti.
4.3 Pelan Tindakan
Pelan tindakan ini digariskan untuk mencapai matlamat Program Reintegrasi Sosial dan Ekonomi untuk Pemerkasaan Insan (RESEPI) yang memberi tumpuan kepada tiga tonggak utama: Pemerkasaan Ekonomi, Penghapusan Stigma Sosial dan Pengukuhan Infrastruktur Sokongan.
4.3.1 Pemerkasaan Ekonomi Melalui Keusahawanan Sosial
Tindakan utama di sini adalah untuk memastikan bekas banduan dibekalkan dengan kemahiran keusahawanan yang stabil untuk mencapai kemandirian ekonomi, terutamanya memandangkan majikan sering bersikap prejudis terhadap mereka (Ibrahim et al. 2025).
| Tindakan | Butiran Pelaksanaan | Sokongan Sumber |
| 1. Mengintegrasikan Latihan Kemahiran Teras Keusahawanan | Merombak modul Latihan Vokasional dan Teknikal (TVET) sedia ada, terutamanya Fasa Tiga Pelan Pembangunan Insan (PPI), untuk menyertakan sesi intensif mengenai kreativiti dan inovasi (faktor utama yang menyumbang 61% varian kepada kemahiran keusahawanan), literasi keusahawanan dan keyakinan diri. | Program TVET sedia ada disalurkan melalui Jabatan Penjara Malaysia (JPM) dan HRD Corp (SCOPE). |
| 2. Memperluas Akses kepada Pembiayaan Permulaan (Start-up) | Kerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan Yayasan Kebajikan Negara (YKN) untuk memperluas Program Wanita Bangkit Bersasar (WBB). Program ini menyediakan insentif tunai RM500 dan bantuan peralatan bernilai RM2,700 kepada banduan wanita yang dibebaskan secara berlesen (PBSL) untuk memulakan perniagaan. | Belanjawan 2026 memperuntukkan RM5 juta untuk bantuan mula niaga bagi 3,000 bekas banduan wanita yang tiada sokongan keluarga,. Skim Pembiayaan Mikro Madani Sinar (BSN) menawarkan pinjaman pada kadar 3% kepada bekas banduan sehingga RM100,000. |
| 3. Memperkukuh Pemadanan Kerjaya Sektor Swasta | Mengukuhkan inisiatif sedia ada seperti Corporate Smart Internship (CSI) dan program PERKESO. Majikan digalakkan mengambil prospek yang telah disahkan kemahiran vokasionalnya (SKM/SKK), yang memberi mereka kelebihan daya saing. | Majikan yang mengambil bekas banduan layak mendapat insentif pengecualian cukai sehingga RM4,000 bagi setiap orang yang diambil bekerja. |
4.3.2 Penghapusan Stigma Sosial Dan Integrasi Masyarakat
Stigma masyarakat adalah salah satu faktor utama yang menghalang bekas banduan daripada berintegrasi dengan jayanya, yang boleh menyebabkan mereka mengulangi jenayah (Mohd Alid Jasni et al. 2019).
| Tindakan | Butiran Pelaksanaan | Sokongan Sumber |
| 1. Mencipta Peranan Pro-sosial Melalui Perkhidmatan Awam | Bekerja dengan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk memuktamadkan kriteria dan proses bagi menerima bekas banduan yang dilepaskan secara berlesen (OBB/ODP) sebagai anggota sukarelawan,. Penempatan ini memberikan pekerjaan berunit beruniform kepada mereka, memulihkan maruah dan meningkatkan kebanggaan keluarga. | APM bersedia untuk menerima bekas banduan sebagai anggota sukarelawan,. Program pemulihan komuniti (PBSL/Parol) mencatatkan kadar residivisme yang sangat rendah (0.28% hingga 0.44%). |
| 2. Melancarkan Kempen Kesedaran Awam Bersepadu | Menggunakan media massa dan platform digital (seperti media sosial) untuk mempromosikan naratif positif mengenai reintegrasi dan kejayaan bekas banduan, bagi mengurangkan stigma sosial (Media Framing Theory). | Pendidikan awam melalui simposium atau program kesedaran membantu mengikis pandangan negatif masyarakat terhadap bekas pesalah. |
| 3. Mengkaji Semula Polisi Rekod Jenayah | Menjalankan kajian mendalam mengenai kemungkinan meminda undang-undang (seperti Akta Pendaftaran Penjenayah dan Orang Yang Tidak Diingini) untuk melaksanakan dasar yang serupa dengan Undang-undang SPENT Singapura. Dasar ini akan menghapuskan atau menyembunyikan rekod jenayah bagi kesalahan bukan serius selepas tempoh bebas jenayah yang ditetapkan (5-7 tahun), menghilangkan hukuman sepanjang hayat yang tidak kelihatan. | Rekod jenayah merupakan penghalang utama pekerjaan. Mekanisme untuk menghapuskan rekod kesalahan dadah bukan ganas sudah ada di bawah Seksyen 13 Akta Pendaftaran Penjenayah (tetapi belum dikemas kini sejak 1998). |
4.3.3 Pengukuhan Infrastruktur Sokongan Dan Pemulihan
Fokus pada penyediaan sokongan intensif selepas pembebasan untuk mengelakkan bekas banduan daripada menjadi gelandangan atau kembali ke kitaran jenayah (Fitri et al. 2022).
| Tindakan | Butiran Pelaksanaan | Sokongan Sumber |
| 1. Memperluas Rangkaian Rumah Perantaraan (RP) Berfokus | Bekerja dengan NGO untuk menubuhkan lebih banyak Rumah Perantaraan, terutamanya yang dikhususkan untuk bekas banduan wanita dan golongan rentan. | Jabatan Penjara memerlukan sokongan daripada NGO untuk menyediakan RP bagi banduan yang tiada tempat tinggal selepas pembebasan. |
| 2. Melaksanakan Pantauan Psikososial Intensif (Aftercare) | Melaksanakan program ‘Aftercare‘ mandatori minimum 6 bulan dengan bimbingan kaunseling dan pemantauan. Program ini harus diberikan segera selepas pembebasan kepada prospek berisiko tinggi (terutamanya pesalah dadah). | Kajian mencadangkan bimbingan kaunseling/pantauan susulan untuk bekas banduan selepas keluar penjara,. Pemulihan yang berkesan bagi pesalah dadah berulang memerlukan rawatan susulan yang konsisten. |
| 3. Meningkatkan Pendidikan Kerohanian Pasca-Pembebasan | Menggalakkan penglibatan bekas banduan dalam program keagamaan/kerohanian secara berterusan selepas dibebaskan. | Program agama dan spiritual mencatatkan penilaian yang tinggi (61.4%) daripada bekas penagih Pusat Pemulihan Jagaan dan Rawatan (CCRC) Khas. Pendidikan agama meningkatkan pengetahuan, membentuk akhlak dan membantu menginsafkan diri. |
5.0 Penutup
Kesimpulannya, isu pemulihan dan reintegrasi bekas banduan bukan sekadar persoalan kebajikan individu, tetapi merupakan sebahagian daripada tanggungjawab negara dalam menjamin keadilan sosial, keselamatan awam dan pembangunan insan yang holistik. Kegagalan sistemik dalam menyediakan sokongan selepas pembebasan, termasuk peluang pekerjaan, perumahan, dan sokongan psikososial, sering kali menjadi punca kepada kadar residivisme yang berterusan. Justeru, penggubalan dan pelaksanaan program pemulihan yang bersifat inklusif seperti yang dicadangkan melalui RESEPI adalah penting untuk merapatkan jurang dasar sedia ada. Dengan penglibatan menyeluruh pelbagai pemegang taruh termasuk kerajaan, industri, komuniti akademik dan masyarakat sivil, pendekatan ini berpotensi mengubah landskap pemulihan negara daripada bersifat reaktif kepada proaktif dan berkesan. Pemerkasaan bekas banduan bukan sahaja mengangkat maruah insan, tetapi turut memperkukuh struktur sosial dan menyumbang kepada agenda pembangunan mampan negara.
Hakikatnya, program sedia ada bukanlah kelemahan yang perlu diubah secara keseluruhannya tetapi terdapat ruang-ruang penambahbaikan yang boleh diperhalusi bagi meningkatkan keberkesanan program. Usaha kolektif ini tidak hanya terletak di bahu satu agensi sahaja tetapi melibatkan banyak pihak termasuk golongan awam. Kesedaran mengenai pentingnya membaikpulih imej bekas banduan sebenarnya untuk kepuasan hati masyarakat awam dan bukan jati diri bekas banduan itu semata-mata. Program seperti ini benar-benar memberikan maksud ‘peluang kedua’ dan penghayatannya perlu dilimpahkan sehingga pelusuk masyarakat.
Tiada yang lebih membanggakan negara jika bekas banduan yang keluar dari sistem pemenjaraan dapat berbakti kepada keluarga dan negara. Rakyat akan lebih yakin dengan sistem keadilan dan proses pemulihan yang dihadapi oleh banduan atas setiap sabitan kesalahan yang dikenakan. Seterusnya, banduan yang tamat tempoh hukuman akan benar-benar keluar sebagai individu baharu yang lebih menghargai peluang kedua ini. Usaha ini tidak mudah dan semestinya bukan murah. Komitmen dan kesepakatan semua pihak perlu digembleng bersama agar setiap cadangan yang dikemukakan bukanlah hanya angka dan sekadar melengkapkan kuota.
6.0 Rujukan
- Adnan Ibrahim, 2025. APM sedia terima bekas banduan jadi anggota sukarela. Kosmo, 28 Ogos. https://www.kosmo.com.my/2025/08/28/apm-sedia-terima-bekas-banduan-jadi-anggota-sukarela/ [15 Oktober 2025]
- Ahmad Aidil, S. H. 2025. Peluang Kedua di Sebalik Jeriji: Inisiatif Pemulihan di Penjara Malaysia. BERNAMA, 13 Oktober.
- https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=2478179 [16 Oktober 2025]
- Anon. 2022. Kadar jenayah berulang bekas banduan 14.97 peratus. Sinar Harian, 8 April. https://www.sinarharian.com.my/article/196995/berita/semasa/kadar-jenayah-berulang-bekas-banduan-1497-peratus [13 Oktober 2025]
- Anon. 2023a. Program ‘wanita bangkit’ diperluas kepada banduan untuk jana pendapatan. Utusan Malaysia, 13 Julai. https://www.utusan.com.my/berita/2023/07/program-wanita-bangkit-diperluas-kepada-banduan-untuk-jana-pendapatan/ [9 Oktober 2025]
- Anon. 2023b. Diskriminasi masyarakat punca bekas banduan sukar hidup di luar penjara, ulangi jenayah. SUHAKAM, 10 Februari.
- https://suhakam.org.my/2023/02/diskriminasi-masyarakat-punca-bekas-banduan-sukar-hidup-di-luar-penjara-ulangi-jenayah/ [15 Oktober 2025]
- Anon. 2024. Kadar Residivis Bekas Banduan Catat Penurunan – Shamsul Anuar. BERNAMA, 7 Februari. https://bernama.com/bm/news.php?id=2268666 [13 Oktober 2025]
- Anon. 2025a. 4,105 bekas banduan kembali bekerja hasil inisiatif PERKESO. Berita RTM, 10 Julai. https://berita.rtm.gov.my/nasional/senarai-berita-nasional/senarai-artikel/4,105-bekas-banduan-kembali-bekerja-hasil-inisiatif-perkeso [16 Disember 2025]
- Anon. 2025b. Kadar residivis penjara Sarawak terendah di Malaysia – Saifuddin Nasution. BERNAMA, 13 Oktober. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/kadar-residivis-penjara-sarawak-terendah-di-malaysia-saifuddin-nasution-542765 [5 Disember 2025]
- Arreola, L. C., Mabbayad, D. S. D., Pilar, N. M. D., Bosito, R. R., Corpuz, J. C. & Galumba, J. B. K. 2024. Lived Experiences of Ex-Offenders in their Reintegration in the Community. International Journal Of Research And Innovation In Social Science.8(8): 498-512.
- Asyikin Asmin. 2025. 200 syarikat buka ruang kerjaya untuk bekas banduan. Sinar Harian, 20 September. https://www.sinarharian.com.my/article/686594/berita/nasional/200-syarikat-buka-ruang-kerjaya-untuk-bekas-banduan [16 Oktober 2025]
- Azureen Abd Aziz, Abd Razak, M. A., Mohamad, Z. S., & Kamaluddin, M. R. 2022. The implications of imprisonment of husbands towards the wives: A qualitative study in Malaysia. Journal of Positive School Psychology. 6(8): 168-179.
- Bunyan, J. 2023. Prisons Dept calls for halfway houses to accommodate paroled female convicts. Malay Mail, 10 Feb.
- https://www.malaymail.com/news/malaysia/2023/02/10/prisons-dept-calls-for-halfway-houses-to-accommodate-paroled-female-convicts/54265 [9 Oktober 2025]
- DSOM. 2018. Sustainable Development Goals (SDG) Indicators Malaysia. Putrajaya: Department of Statistics
- Farahin Fadzil. 2023. 11 Fakta Anda Perlu Tahu Tentang Banduan Wanita DiDalam Penjara Malaysia. The Rakyat Post, 17 April.
- https://www.therakyatpost.com/trpbm/viral/2023/04/17/11-fakta-anda-perlu-tahu-tentang-banduan-wanita-di-dalam-penjara-malaysia/ [16 Disember 2025]
- Filzah, H. 2025. Banduan untuk Bekas Banduan 2025, Program dan Cara Mohon. Bantuan Malaysia, 15 Mei. https://www.bantuanmy.com/bantuan-untuk-bekas-banduan/ [15 Oktober 2025]
- Fitri, M. Z., Muhamad, F. A. & Salasiah, H. H. 2022. Sorotan Karya Bersistematik Terhadap Pengulangan Kes Jenayah Dalam Kalangan Bekas Banduan Di Malaysia. Jurnal Pengajian Islam. 15(1): 150-170
- Hazwani Adha. 2025. Belanjawan 2026: Kerajaan Peruntuk RM1.4 Bilion Untuk Bantuan Golongan OKU. The Rakyat Post, 10 Oktober.
- https://www.therakyatpost.com/trpbm/berita/2025/10/10/belanjawan-2026-kerajaan-peruntuk-rm1-4-bilion-untuk-bantuan-golongan-oku/ [16 Disember 2025]
- Ibrahim Samad. 2013. Pengaruh Faktor Diri, Keluarga dan Persekitaran Sosial terhadap Residivisme di Penjara. Tesis Sarjana, Sekolah Siswazah Sastra dan Sains, Universiti Utara Malaysia.
- Ibrahim, F., Zainal, S., N., Sulaiman, W., S., W., Zakaria, E., Kamaluddin, M., R. & Sahid, S. 2025. Factors Affecting Entrepreneurial Skills Among Former Prisoners to Support the Achievement of the Sustainable Development Goals. Journal of Lifestyle & SDG’s Review.5:1-8
- I-Budget. 2025. Bantuan PERKESO Untuk Bekas Banduan di Malaysia. I-Budget, 17 Jun. https://ibudget.my/bantuan-perkeso-untuk-bekas-banduan/ [15 Oktober 2025]
- Ismail, I. R. 2024. Engaging with Second Chances: How Familiarity, Stigma, and Media Exposure Shape Public Attitudes towards Ex-Prisoner-Focused Social Enterprises. Journal of Management and Muamalah. 14(2): 71-87.
- Ismail, I. R., Hashim, N. A., & Hussain, W. M. H. W. 2020. Becoming social entrepreneurs: A proposal for uplifting the lives of ex-convicts in Malaysia. Prosiding 7th International Conference on Management and Muamalah, hlm. 173-187
- Jabatan Penjara Malaysia. 2024. Laporan Tahunan 2024.
- Kementerian Kewangan. 2025. Ringkasan Belanjawan 2026 : Merealisasi Ekonomi Madani. Oktober 2025.
- Keshminder, S. J. S., Chuah, S. C., Shahrom, M., Ibrahim, M. A., & Mohamed, S. M. 2022. Ex-Offenders Employability Barriers and Practical Training Framework. Journal of Entrepreneurship, Business and Economics. 10(2S1): 53-78.
- Khasni, F. N. 2022. A Theory of Planned Behaviour (TPB): A Perspective of Rehiring Ex-Offenders. Tesis Sarjana, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, UiTM Shah Alam.
- Lo, R., Rusli, S. A., & Hamzah, N. A. 2024. The Integration of Ex-Convict’s Employment Opportunities in Malaysia Hospitality Industry. International Journal of International Journal of Entrepreneurship and Management Practices.7(26): 113-120.
- Mohd Alif Jasni, Bakar A. S. H. A., & Nasir, N. C. M. 2022a. How I Managed To Integrate: An Analysis Of The Protective Factors In Determining Good Life Events And Turning Points Of Three Former Prisoners In Malaysia. Kajian Malaysia: Journal of Malaysian Studies. 40(2): 113-136
- Mohd Alif Jasni, Noralina, O, Siti Hajar, A. B. & Norruzeyati, C. M. N. 2021. Meneroka Faktor Peribadi Gelandangan Bekas Banduan Berhijrah Secara Berulang Kali ke Kuala Lumpur dari Perspektif Teori Migrasi oleh Everett S. Lee. Jurnal Sains Humanika. 13(3):49-60
- Mohd Alif Jasni, Siti Hajar, A. B., Noralina, O & Norruzeyati, C. M. N. 2022b. Desistance and Recidivism Among Former Prisoners in Malaysia: A Proposed Model According to the Age-Graded Theory. Pertanika, Social Sciences & Humanities. 30(2): 517-540.
- Mohd Alif Jasni, Siti Hajar, A. B., Yusoff, J. Z. M., Jasni, N. S., Shahid, K. M., Omar, N., & Azman, Z. 2019. From Stigma To Community’s Discrimination: The Experience Of 16 Former Prisoners In Malaysia. e-BANGI Journal of Social Science and Humanities. 16(4): 1-16
- Muhamad Khairul, A. K., Ida Hartina, A. T. & Ahmad, S. M. 2019. Hubungan antara kecenderungan untuk berubah dengan umur dan kekerapan residivisme dalam kalangan banduan. Jurnal Psikologi Keselamatan. 1: 25-36
- Nee, W. Y., Singh, J. S. K., & Kularajasingam, J. 2022. Exploring the Perceptions of Malaysian Employers Towards Hiring Ex-Offenders. Journal of Public Administration and Governance. 12(3): 118-118.
- Nina Muslim. 2024a. Kehidupan Penuh Berliku Bagi Bekas Banduan. BERNAMA, 24 Julai. https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2321274 [9 Oktober 2025]
- Nina Muslim. 2024b. Second Chance At Life Not So Sweet. BERNAMA,27 Julai. https://bernama.com/en/news.php?id=2321247 [9 Oktober 2025]
- Noor Hidayah Tanzizi. 2025. Jenayah berulang bekas banduan 16 peratus, bawah paras global. Berita Harian Online, 3 September.
- https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/09/1441779/jenayah-berulang-bekas-banduan-16-peratus-bawah-paras-kadar-global [13 Oktober 2025]
- Nur Addila, A & Tharshini, N. K. 2024. Pengintegrasian Semula Dalam Kalangan Bekas Banduan: Satu Tinjauan Sorotan Literatur. Jurnal Psikologi Malaysia. 38(4): 1-7.
- Rosli, M. R. B. M., Anuar, M. A. M., & Hamzah, S. R. 2021. Exploring prison rehabilitation programs and the factors that contributed to former prisoners’ career success. International Journal of Academic Research in Business and Social Sciences. 11(12): 1709-1731.
- Rozmi bin Ismail, Abd Razak, M. A., Amit, N., Ibrahim, N., Isa, F., & Hussin, A. H. M. 2017. Penerimaan Majikan Terhadap Bekas Penagih Dadah Dalam Pasaran Kerja. Prosiding 6th ICOSH-UKM 2017, hlm. 482-492.
- Sathoo, K. D., Ibrahim, F., Sulaiman, W. S. W., & Mohamad, M. S. 2021. Social Support for optimal reintegration of Malaysian parolees into community. International Journal of Academic Research in Business and Social Sciences. 11(3): 431-443.
- Syahrul Amri, A. M. t.th. Pemulihan Dalam Komuniti. Malaysia: Jabatan Penjara Malaysia https://www.prison.gov.my/images/pbk/pemulihan-dalam-komuniti-22.pdf
- [16 Disember 2025]
- Vosselman, H. W. 2021. Lived Experiences of Reintegration of Malaysian Nonviolent Ex-offenders in Singapore. Tesis Dr. Fal, Jabatan Psikologi Forensik, Universiti Walden, Minessota.
- Zakaria, S. M., Jaafar, J. R., & Lazim, N. H. M. 2018. Employment issues among ex-offenders: Difficulties in securing employment and barriers of employment. International Journal for Studies on Children, Women, Elderly and Disabled. 5(1): 8-12.
Nota
-
Rekod jenayah bagi kesalahan kecil yang dianggap tidak lagi wujud secara sah selepas individu menjalani tempoh tertentu tanpa melakukan sebarang jenayah baru, berdasarkan Akta Pendaftaran Penjenayah (Registration of Criminals Act, RCA). Setelah status “spent” diperoleh, individu berkenaan boleh menyatakan bahawa mereka tiada rekod jenayah untuk kebanyakan tujuan rasmi. ↑
Unless expressly indicated, materials published on WIRA.my have not undergone formal academic peer review. Analysis and commentary represent the author’s interpretation and should not be read as institutional policy positions.


