Pengenalan
Robert Nozick (1938-2002) sering dirujuk sebagai salah satu tokoh utama dalam falsafah politik moden, khususnya melalui karya terkenal beliau Anarchy, State and Utopia (1974) Pada peringkat awal pemilihan buku ini, ia dilihat sebagai teks yang ‘biasa’ dalam tradisi libertarian yang sebaris dengan karya-karya besar lain yang membahaskan peranan negara dan kebebasan individu. Namun, setelah penelitian yang lebih mendalam, jelas bahawa pemikiran Nozick bukan sahaja signifikan, malah telah mencetuskan perdebatan yang meluas merentasi pelbagai disiplin, termasuk falsafah politik, ekonomi dan teori keadilan. Hal ini terbukti melalui jumlah kajian dan ulasan akademik yang sangat banyak terhadap buku ini, menjadikannya antara karya yang paling kerap dibahaskan dalam wacana kontemporari.
Walau bagaimanapun, kepelbagaian ulasan sedia ada kebanyakannya menumpukan kepada aspek normatif dan politik semata-mata iaitu sama ada hujah Nozick menyokong atau menolak peranan negara kebajikan. Ulasan ini bagaimanapun mengambil pendekatan yang berbeza. Nozick akan dilihat sebagai seorang saintis moral yang membina satu model teori berasaskan andaian dan penaakulan deduktif. Dalam ulasan ini, Anarchy, State and Utopia tidak sekadar sebuah karya falsafah politik, tetapi boleh difahami sebagai satu bentuk ‘eksperimen pemikiran’ yang cuba menerangkan bagaimana sebuah negara minimal boleh muncul dan berfungsi melalui lensa saintifik.
Robert Nozick merupakan salah satu tokoh falsafah Amerika paling berpengaruh pada abad ke-20, dikenali kerana pemikiran yang kreatif dan merentasi pelbagai bidang. Beliau mendapat pendidikan di Universiti Columbia sebelum melanjutkan Ph.D. di Universiti Princeton di bawah Carl G. Hempel[1] (1905-1997) dan seterusnya membina kerjaya akademik di Universiti Harvard. Karya terkenalnya, Anarchy, State and Utopia, melonjakkan namanya di peringkat antarabangsa apabila ia memenangi National Book Award serta menjadi asas penting dalam teori libertarian moden (Mack 2014), khususnya melalui hujah tentang negara minimal dan kritikan terhadap liberalisme egalitarian seperti yang dikemukakan oleh John Rawls (1921-2002).
Walaupun sering dikaitkan dengan falsafah politik, Nozick sebenarnya seorang pemikir polimatik yang turut menyumbang dalam epistemologi, metafizik dan teori rasionaliti (Mack 2014). Karya-karya seperti Philosophical Explanations(1981), The Examined Life(1989) dan Invariances (2001) menunjukkan evolusi pemikirannya yang tidak terikat kepada satu aliran sahaja, malah beliau sendiri kemudian mengakui keterbatasan pendekatan libertarian awalnya. Sehingga akhir hayatnya pada tahun 2002, Nozick kekal sebagai tokoh yang bukan sahaja memberi jawapan, tetapi juga mencetuskan persoalan-persoalan mendalam yang terus membentuk perbahasan dalam falsafah politik dan sains sosial.
Sebelum menilai teori Nozick menggunakan lensa saintifik, adalah perlu untuk memahami dengan tepat apa yang sedang beliau bina. Nozick tidak memulakan penulisannya dengan mengumpul data, menjalankan eksperimen atau memerhatikan fenomena sosial secara empirikal. Beliau memulakan dengan sebuah dakwaan yang bersifat aksiomatik dan moral iaitu:
“Individuals have rights, and there are things no person or group may do to them (without violating their rights).”
Nozick, 1974, hlm. ix.
Daripada premis tentang kesucian hak individu ini, Nozick membina sebuah dalih yang berlapis-lapis.
Namun demikian, pendekatan ini juga menimbulkan persoalan kritikal. Berbeza dengan teori dalam sains yang memerlukan pembuktian empirikal dan kebolehuji, model yang dibina oleh Nozick kekal pada tahap konseptual dan tidak disokong oleh verifikasi dunia sebenar. Justeru, buku ini boleh dianggap sebagai satu eksperimen yang belum lengkap seperti mana suatu kerangka metodologi yang kuat dari segi logik, namun terhad dari segi pembuktian. Berdasarkan perspektif ini, ulasan ini bertujuan untuk menilai sejauh mana teori Nozick boleh difahami sebagai satu ‘model saintifik moral’, serta batasan-batasan yang timbul apabila pendekatan saintifik diaplikasikan kepada teori normatif.
Karya Robert Nozick membentangkan satu kerangka falsafah politik yang tersusun secara logik dan berasaskan prinsip libertarian yang tegas. Hujah beliau dibina secara deduktif, bermula daripada premis asas tentang hak individu (Mack 2024), sebelum berkembang kepada justifikasi negara minimal, penolakan negara distributif (Normore 1977) dan akhirnya pembentukan kerangka meta-utopia (Nozick 1974: 312). Struktur ini menunjukkan bahawa teori Nozick bukan sekadar normatif, tetapi mempunyai bentuk yang menyerupai model teori yang sistematik.
Bahagian pertama menumpukan kepada justifikasi kewujudan negara minimal. Nozick bermula dengan premis bahawa individu dalam keadaan tabii memiliki hak semula jadi yang tidak boleh dicabuli, termasuk hak terhadap kehidupan, kebebasan dan harta benda. Hak-hak ini berfungsi sebagai ‘kekangan sisi[2]’ (side constraints) (Nozick 1974: 29) yang mengehadkan tindakan moral terhadap individu lain. Daripada premis ini, beliau membina penalaran melalui apa yang digambarkan sebagai proses ‘tangan tidak kelihatan[3]‘ (Novick 1974: 19). Individu yang ingin melindungi hak masing-masing akan membentuk persatuan perlindungan bersama. Melalui persaingan dan kecekapan, suatu agensi perlindungan dominan akan muncul secara semulajadi (Bader 2010). Agensi ini seterusnya memperoleh monopoli dalam penggunaan kekerasan yang sah, namun tetap terikat dengan prinsip pampasan terhadap individu yang terkesan oleh penguasaannya (Mack 2024). Kesimpulan daripada proses ini ialah kemunculan negara minimal yang sah secara moral tanpa pelanggaran hak individu (Normore 1977).
Bahagian kedua memperkenalkan Teori Kelayakan (Entitlement Theory) sebagai asas keadilan. Nozick menolak sepenuhnya pendekatan keadilan yang berasaskan hasil akhir atau corak pengagihan tertentu, sebaliknya menegaskan bahawa keadilan bergantung kepada sejarah pemerolehan sesuatu milikan (Nozick 1974: 153). Sesuatu pemilikan adalah sah jika diperoleh melalui perolehan asal yang adil atau pemindahan sukarela (Rahman 2023). Jika berlaku ketidakadilan, prinsip pembetulan perlu dilaksanakan. Dalam hujah ini, beliau menggunakan contoh Wilt Chamberlain[4] (Norzick 1974: 163) untuk menunjukkan bahawa kebebasan individu dalam transaksi akan sentiasa mengubah sebarang corak pengagihan yang ditetapkan. Oleh itu, sebarang usaha negara untuk mengekalkan corak pengagihan memerlukan campur tangan berterusan yang akhirnya melanggar kebebasan individu. Nozick seterusnya menganggap cukai untuk pengagihan semula sebagai bentuk kerja paksa kerana ia merampas hasil usaha individu tanpa persetujuan. Kesimpulannya, mana-mana negara yang melangkaui fungsi minimal adalah tidak sah dari segi moral (Bader 2010).
Bahagian ketiga mengembangkan idea negara minimal sebagai kerangka untuk utopia. Nozick mengakui bahawa manusia mempunyai konsep kehidupan yang baik yang berbeza-beza dan tidak boleh diseragamkan. Oleh itu, negara minimal berfungsi sebagai ‘meta-utopia’ (Nozick 1974: 312), iaitu satu kerangka neutral yang membolehkan pelbagai komuniti sukarela wujud secara bersama. Individu bebas untuk memilih, menyertai atau meninggalkan mana-mana komuniti mengikut keutamaan mereka. Dalam konteks ini, negara bukan menentukan bentuk kehidupan ideal, tetapi menyediakan ruang untuk eksperimen sosial berlaku secara bebas (Mack 2024). Kesimpulannya, negara minimal bukan sahaja sah dari segi moral, tetapi juga paling sesuai untuk meraikan kepelbagaian dan autonomi individu.
Secara keseluruhan, hujah Nozick bergerak secara konsisten daripada premis hak individu kepada kesimpulan bahawa hanya negara minimal boleh dijustifikasikan. Struktur logik ini memperlihatkan kekuatan dalam konsistensi dalaman dan kejelasan prinsip. Namun, ia juga menunjukkan bahawa keseluruhan teori bergantung kepada penerimaan terhadap premis awal tentang hak semula jadi. Tanpa penerimaan tersebut, keseluruhan binaan hujah akan menjadi rapuh. Hal ini menjadikan teori Nozick sebagai satu sistem yang kukuh dari segi deduktif, namun terhad dari segi kebergantungan kepada andaian asas yang tidak diuji secara empirikal.
Teori Kelayakan
Teori Kelayakan yang dikemukakan oleh Robert Nozick dibina di atas satu set andaian falsafah yang saling berkait dan membentuk asas kepada keseluruhan kerangka libertarian beliau. Andaian-andaian ini berfungsi sebagai titik mula kepada hujah deduktif Nozick, di mana kesimpulan tentang keadilan, hak milik dan had peranan negara bergantung secara langsung kepada penerimaan terhadap premis-premis tersebut (Nozick 1974: 230). Sebahagian daripada andaian ini dinyatakan secara jelas, manakala sebahagian lagi hadir secara tersirat sebagai asas jelas yang jarang dipersoalkan dalam struktur hujahnya.
John Locke (1632-1704) banyak mempengaruhi Nozick dengan menyediakan rangka kerja asas untuk hak tabii, pemilikan peribadi dan justifikasi harta persendirian(Nozick 1974: 174; 177; 280). Nozick mengamalkan keadaan semula jadi ‘Lockean’ untuk mempertikaikan keadaan minimum, menekankan bahawa individu mempunyai hak pra-politik yang tidak boleh dilanggar oleh negara, sebahagian besarnya mengembangkan teori Locke tentang pemerolehan berasaskan buruh (Nozick 1974: 175).
Pertama, Nozick secara eksplisit mengandaikan bahawa keadilan adalah bersifat sejarah dan bukannya berpola. Dalam kerangka ini, sesuatu pegangan dianggap adil bukan kerana ia memenuhi corak pengagihan tertentu, tetapi kerana ia diperoleh melalui proses yang sah (Nozick 1974: 153). Jika sesuatu milikan berasal daripada perolehan asal yang adil dan dipindahkan melalui transaksi sukarela, maka hasil akhirnya juga dianggap adil tanpa perlu menilai semula corak pengagihannya (Vallentyne 2011). Andaian ini menolak pendekatan keadilan distributif yang menilai hasil akhir, sebaliknya menegaskan bahawa sejarah pemilikan adalah satu-satunya ukuran keadilan.
Kedua, Nozick menegaskan secara jelas prinsip keterasingan manusia (separateness of persons), yang berakar daripada etika Kantian[5] (Nozick 1974: 30). Individu dilihat sebagai entiti moral yang berasingan dan tidak boleh dikorbankan demi kepentingan kolektif. Tiada entiti sosial yang boleh menuntut pengorbanan seseorang atas nama ‘kebaikan bersama’. Andaian ini menjadi asas kepada penolakan terhadap utilitarianisme dan sebarang bentuk justifikasi yang membenarkan pelanggaran hak individu demi manfaat yang lebih besar (Mack 2024).
Ketiga, hak individu difahami sebagai ‘kekangan sisi’ yang mutlak (Nozick 1974: 30). Nozick secara tegas menolak idea bahawa hak boleh dilanggar untuk mencapai hasil yang lebih baik secara keseluruhan. Dalam kerangka ini, hak bukan sesuatu yang perlu dimaksimumkan, tetapi sempadan yang tidak boleh ditembusi (Scheffler 1981). Andaian ini menjadikan teori beliau bersifat deontologi[6] yang ketat, di mana tindakan dinilai berdasarkan pematuhan kepada prinsip dan bukannya akibat dari tindakan tersebut.
Di sebalik andaian ini, terdapat juga premis tersirat yang memainkan peranan yang sama penting. Antaranya ialah tesis pemilikan diri (self-ownership) (Nozick 1974: 172), yang walaupun tidak dihuraikan secara panjang lebar, menjadi asas kepada sebahagian teori. Nozick mengandaikan bahawa setiap individu mempunyai hak mutlak ke atas tubuh, minda dan tenaga kerja mereka (Mack 2024). Daripada andaian ini, beliau mengembangkan hujah bahawa hasil daripada tenaga kerja individu juga adalah milik mutlak mereka dan oleh itu sebarang pengambilan melalui cukai boleh dianggap sebagai satu bentuk paksaan terhadap tenaga kerja individu.
Selain itu, Nozick secara tersirat mengandaikan bahawa hak milik terhadap sumber luar adalah lanjutan semula jadi daripada pemilikan diri. Melalui idea yang diilhamkan daripada John Locke (Nozick 1974: 178), beliau menerima bahawa penggabungan tenaga kerja dengan sumber semula jadi mewujudkan hak milik yang sah, selagi ia tidak merugikan orang lain secara tidak adil. Walaupun prinsip ini tidak dihuraikan secara empirikal, ia berfungsi sebagai asas penting dalam menjelaskan bagaimana pemilikan asal boleh berlaku (Meadowcroft 2011; Bardon 2000).
Seterusnya, Nozick turut membezakan antara ‘kelayakan sah’ (entitlement) dan ‘kelayakan moral’ (desert). Beliau menolak keperluan untuk membuktikan bahawa seseorang layak secara moral untuk memiliki sesuatu. Apa yang penting ialah sama ada pemerolehan tersebut berlaku tanpa melanggar hak orang lain (Nozick 1974: 217). Ini bermakna bakat semula jadi, warisan atau keuntungan daripada pasaran bebas tidak perlu dipersoalkan dari sudut moral selagi ia diperoleh melalui proses yang sah (Bader 2010).
Akhir sekali, Nozick mengandaikan bahawa pemindahan sukarela sentiasa sah dan mencukupi untuk menjamin keadilan. Selagi dua pihak bersetuju secara bebas dalam sesuatu transaksi, hasilnya dianggap adil, walaupun ia membawa kepada ketidaksamarataan yang ketara. Andaian ini menegaskan bahawa kebebasan individu dalam membuat pilihan ekonomi adalah lebih utama daripada sebarang usaha untuk mengekalkan kesaksamaan dalam agihan (Schmidtz 2011).
Secara keseluruhan, Teori Kelayakan Nozick bergantung kepada satu rangkaian andaian yang membentuk satu sistem yang konsisten dari segi logik, tetapi sangat bergantung kepada penerimaan awal terhadap prinsip-prinsip tersebut. Andaian beliau memberikan struktur kepada hujahnya, manakala andaian tersirat mengukuhkan asas falsafah yang tidak selalu diuji atau dipersoalkan. Hal ini menjadikan teori Nozick kuat sebagai binaan deduktif, namun pada masa yang sama terdedah kepada kritikan kerana bergantung kepada premis yang tidak disahkan secara empirikal atau universal.
Penilaian Teori Negara Minimal
Teori negara minimal (Nozick 1974: 22) yang dikemukakan oleh Robert Nozick sering dibaca sebagai hujah normatif dalam falsafah politik. Namun, apabila dilihat melalui kerangka falsafah sains, timbul persoalan penting iaitu sejauh mana teori ini memenuhi kriteria asas teori saintifik, khususnya dari segi kebolehujian, penentuan kesahihan dan kuasa ramalan. Penilaian ini tidak bertujuan untuk menafikan nilai falsafah Nozick, tetapi untuk memahami sifat metodologi teorinya dengan lebih tepat seperti yang beliau sendiri istilahkan sebagai ‘teori politik penjelasan’ (explanatory political theory) (Nozick 1974: 6).
Dari segi kebolehujian (testability), teori Nozick menghadapi kekangan yang jelas. Hujah beliau tidak dibina berasaskan data empirikal atau pemerhatian sejarah yang boleh diverifikasi, sebaliknya berasaskan eksperimen pemikiran yang bersifat hipotetikal (Hailwood 1996). Proses yang digambarkan daripada keadaan tabii kepada kemunculan negara minimal melalui mekanisme ‘tangan tidak kelihatan’ (Nozick 1974: 18) tidak ditunjukkan sebagai fenomena sejarah yang benar-benar berlaku. Sebaliknya, ia dibentangkan sebagai kemungkinan logik yang koheren. Dalam konteks sains, ini menjadikan teori tersebut sukar untuk diuji kerana tiada prosedur empirikal yang jelas untuk mengesahkan atau menafikannya (Halfond 2000). Dengan kata lain, teori ini tidak menyediakan ‘tapak ujian’ dalam dunia sebenar, tetapi lebih menyerupai simulasi konseptual tentang bagaimana sesuatu sistem mungkin terbentuk (Bader 2010).
Dari sudut penentuan kesahihan (falsifiability), cabarannya lebih mendalam. Mengikut kerangka Karl Popper (Nozick 1974: 352), sesuatu teori hanya boleh dianggap saintifik jika terdapat kemungkinan untuk membuktikannya salah melalui bukti empirikal. Dalam kes Nozick, struktur hujahnya bergantung kepada premis asas yang bersifat aksiomatik, iaitu kewujudan hak individu yang mutlak sebagai ‘kekangan sisi’ (Nozick 1974: 30). Premis ini tidak dibina untuk diuji, tetapi untuk diterima sebagai asas moral. Oleh itu, walaupun seseorang boleh mempertikaikan kesahihan premis tersebut, penolakan itu tidak berlaku dalam kerangka empirikal, sebaliknya dalam perdebatan normatif. Tambahan pula, penggunaan konsep ‘tangan tidak kelihatan’ sebagai mekanisme penjelasan tidak menetapkan keadaan tertentu yang, jika tidak berlaku, akan membuktikan teori itu salah. Ini menjadikan teori Nozick sukar untuk dipalsukan dan dengan itu, lebih dekat kepada doktrin falsafah berbanding teori saintifik dalam erti kata yang mutlak.
Dari segi kuasa ramalan (predictive power), teori Nozick menunjukkan sedikit kekuatan, tetapi dalam bentuk yang terhad. Beliau meramalkan bahawa dalam keadaan tabii, interaksi rasional antara individu akan membawa kepada pembentukan agensi perlindungan dominan, yang akhirnya berkembang menjadi negara minimal (Nozick 1974: 112). Ramalan ini mempunyai persamaan dengan model dalam ekonomi dan teori pilihan rasional, di mana hasil tertentu dijangka muncul daripada interaksi individu yang mengejar kepentingan sendiri. Namun begitu, ramalan ini tidak bersifat deterministik. Ia bergantung kepada pelbagai andaian tentang tingkah laku manusia, struktur pasaran dan ketiadaan gangguan luaran (Miller 2002). Dalam realiti sosial yang kompleks, faktor-faktor seperti kuasa politik, sejarah dan institusi sering menghasilkan hasil yang tidak sejajar dengan model rasional tersebut. Keadaan ini melemahkan keupayaan teori Nozick untuk membuat ramalan yang tepat dan konsisten dalam dunia sebenar.
Secara keseluruhan, teori negara minimal Nozick tidak memenuhi sepenuhnya kriteria teori saintifik dalam erti kata empirikal yang ketat. Ia tidak boleh diuji secara sistematik, sukar untuk difalsifikasikan dan hanya mempunyai kuasa ramalan yang terhad serta bersyarat. Namun, ini tidak bermakna teorinya lemah atau tidak bernilai. Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa karya Nozick lebih sesuai difahami sebagai satu model normatif-penjelasan apabila satu usaha untuk menunjukkan bagaimana prinsip moral tertentu boleh membawa kepada struktur politik tertentu secara logik (Normore 1977). Dalam erti kata ini, Nozick berfungsi bukan sebagai ‘saintis sosial’ yang mengkaji dunia sebagaimana adanya, tetapi sebagai ‘arkitek moral’ yang membina satu kemungkinan dunia berasaskan prinsip yang diyakininya.
Pendekatan ini menjelaskan mengapa Anarchy, State and Utopia kekal berpengaruh walaupun tidak memenuhi piawaian saintifik yang ketat. Kekuatan utamanya bukan pada keupayaan untuk meramalkan atau menguji realiti, tetapi pada keupayaan untuk mencabar andaian asas tentang keadilan, kebebasan dan peranan negara. Beliau sendiri menggambarkan karyanya sebagai sebuah ‘penerokaan falsafah’ (philosophical exploration), yang bertujuan untuk memahami bagaimana prinsip-prinsip moral individu boleh membentuk struktur politik yang sah secara logik (Wolff 1991).
Kritikan Kepada John Rawls
John Rawls dan Robert Nozick dianggap sebagai gergasi falsafah politik liberal moden kerana kedua-duanya mengutamakan hak individu, demokrasi dan kebebasan daripada totalitarianisme. Walau bagaimanapun, mereka pada asasnya berbeza kerana mereka mewakili cabang tradisi yang bertentangan apabila Rawls mewakili liberalisme kiri seperti liberalisme egalitarian atau liberalisme sosial, manakala Nozick mewakili libertarianisme kanan iaitu liberalisme klasik atau minarkisme (Verma 2024).
Karya Rawls, A Thoery of Justice (1971) dikritik hebat oleh Nozick dalam buku beliau. Secara prinsipnya, kritikan utama beliau terhadap John Rawls dalam A Theory of Justice adalah bahawa prinsip keadilan Rawls seperti Difference Principle melanggar hak kebebasan individu dan hak milik mutlak (Nozick 1974: 230). Nozick berpendapat bahawa sebarang corak pengagihan semula kekayaan oleh negara adalah tidak adil kerana ia memerlukan campur tangan paksa terhadap perolehan harta yang sah (Nozick 1974: 52).
Perdebatan antara John Rawls dan Robert Nozick boleh difahami bukan sekadar sebagai perbezaan ideologi, tetapi sebagai pertembungan dua model teoretikal yang cuba menjelaskan asas keadilan dalam masyarakat moden. Kedua-duanya menawarkan kerangka yang sistematik, namun beroperasi dengan premis yang berbeza dan menghasilkan bentuk penjelasan yang berlainan terhadap fenomena sosial dan politik. Dengan melihat mereka sebagai model, penilaian boleh difokuskan kepada kuasa penjelasan iaitu sejauh mana setiap teori mampu menerangkan, menjustifikasi dan memberi makna kepada susunan masyarakat (Gaus 2011).
Model Rawls berasaskan pendekatan kontraktarian yang dibina melalui eksperimen pemikiran seperti ‘posisi asal[7]’ dan ‘tabir kejahilan[8]’ (Nozick 1974: 189). Dalam kerangka ini, individu dianggap sebagai ejen rasional yang memilih prinsip keadilan tanpa mengetahui kedudukan sebenar mereka dalam masyarakat (Meadowcroft 2011). Kekuatan utama model ini terletak pada keupayaannya menjelaskan mengapa ketidaksamarataan tertentu dianggap tidak adil. Dengan memperkenalkan idea ‘loteri tabii[9]’ (Nozick 1974: 347), Rawls menunjukkan bahawa bakat semula jadi dan kedudukan sosial adalah hasil kebetulan, bukan usaha moral individu. Justeru, prinsip perbezaan yang membenarkan ketidaksamarataan hanya jika ia menguntungkan golongan paling kurang bernasib baik menjadi satu penjelasan yang kuat terhadap keperluan pengagihan semula. Dalam konteks ini, model Rawls mempunyai kuasa penjelasan yang tinggi pada tahap makro kerana ia menyediakan asas normatif bagi pembentukan dasar awam dan kestabilan sosial melalui kerjasama (Gläser 2023).
Namun, kekuatan ini juga datang dengan kelemahan. Model Rawls cenderung mengabaikan dimensi sejarah dan proses dalam pemerolehan harta (Nozick 1974: 207). Ia menilai keadilan berdasarkan hasil akhir, tanpa mengambil kira bagaimana hasil tersebut dicapai (Schmidtz 2011). Dari sudut kuasa penjelasan, ini menjadikan model Rawls kurang sensitif terhadap tuntutan individu terhadap hasil usaha mereka sendiri. Selain itu, dengan merangka bakat individu sebagai sesuatu yang tidak layak secara moral, model ini dilihat mereduksi autonomi individu, seolah-olah individu tidak mempunyai hak penuh ke atas kelebihan yang mereka miliki (Meadowcroft 2011).
Sebaliknya, model Nozick beroperasi secara prosedural dan berasaskan sejarah. Keadilan, dalam kerangka ini, tidak ditentukan oleh hasil akhir tetapi oleh proses pemerolehan dan pemindahan harta (Mack 2014). Kekuatan utama model ini ialah keupayaannya menjelaskan kepentingan hak individu dan keterasingan moral antara individu. Dengan menegaskan bahawa individu tidak boleh dikorbankan demi kebaikan kolektif (Nozick 1974: 168), Nozick menawarkan satu penjelasan yang kuat terhadap had kuasa negara dan kepentingan kebebasan peribadi. Tambahan pula, melalui konsep ‘tangan tidak kelihatan’, beliau memberikan naratif tentang bagaimana institusi seperti negara boleh muncul tanpa pelanggaran hak (Nozick 1974 xi, 118), menjadikan model ini menarik dari sudut penjelasan mikro terhadap interaksi sosial (Mack 2014).
Namun begitu, model Nozick menghadapi kelemahan yang ketara dalam aspek penjelasan sejarah. Walaupun menekankan kepentingan sejarah, beliau gagal menyediakan kriteria yang jelas dan praktikal untuk menentukan perolehan asal yang adil (Vallentyne 2011). Tanpa asas ini, keseluruhan rantaian keadilan menjadi sukar dipertahankan. Masalah ini menjadi lebih serius apabila berhadapan dengan realiti sejarah yang dipenuhi dengan ketidakadilan seperti penjajahan, perhambaan dan rampasan sumber. Prinsip pembetulan yang dicadangkan oleh Nozick juga tidak menawarkan mekanisme yang realistik untuk menangani ketidakadilan tersebut, sekali gus melemahkan kuasa penjelasan model ini dalam konteks dunia sebenar (Bader 2010).
Secara perbandingan, model Rawls mempunyai kekuatan dalam menjelaskan struktur keadilan sosial dan menyediakan asas bagi polisi yang boleh dilaksanakan, tetapi berisiko mengabaikan hak individu secara mendalam. Model Nozick pula kuat dalam mempertahankan kebebasan dan hak milik individu, namun lemah dalam menjelaskan realiti sejarah dan ketidaksamarataan yang telah sedia wujud. Kedua-dua model ini beroperasi pada tahap analisis yang berbeza dengan Rawls pada tahap struktur institusi, manakala Nozick pada tahap interaksi individu lantas menjadikan mereka sukar untuk disatukan dalam satu kerangka yang sama.
Akhirnya, pertembungan antara kedua-dua model ini mencerminkan ketegangan asas dalam sains politik antara kesaksamaan dan kebebasan. Kedua-duanya mempunyai kuasa penjelasan yang signifikan, tetapi dalam domain yang berbeza. Keterbatasan masing-masing menunjukkan bahawa tiada satu model tunggal yang mampu memberikan penjelasan menyeluruh tentang keadilan, sebaliknya kedua-duanya perlu difahami sebagai kerangka yang saling mencabar dalam usaha memahami realiti politik yang kompleks.
Kesimpulan
Sebagai penutup, karya Robert Nozick, Anarchy, State and Utopia, tidak wajar difahami sekadar sebagai satu hujah normatif yang mempertahankan libertarianisme. Sebaliknya, analisis yang telah dibentangkan menunjukkan bahawa karya ini lebih tepat dirangka sebagai satu model teoretikal separa-saintifik yang berusaha menjelaskan bagaimana struktur politik boleh muncul daripada interaksi individu yang berautonomi (Normore 1977). Nozick mengalihkan fokus daripada persoalan ‘apakah bentuk masyarakat yang adil’ kepada ‘bagaimana susunan politik boleh terbentuk secara sah’, sekali gus memposisikan karyanya dalam wilayah antara falsafah politik dan falsafah sains.
Melalui penggunaan mekanisme seperti ‘tangan tidak kelihatan’, teori pilihan rasional (Nozick 1974: 233) dan konsep penjelasan potensi (Nozick 1974: 7), Nozick membina satu kerangka yang menyerupai model dalam sains sosial. Negara minimal tidak diperkenalkan sebagai hasil kontrak sosial yang dirancang secara sengaja, tetapi sebagai sifat rencam yang muncul daripada proses interaksi mikro individu di bawah kekangan moral tertentu. Pendekatan ini memberikan dimensi penjelasan yang unik, di mana legitimasi politik tidak diasaskan kepada autoriti atau konsensus yang nyata, tetapi kepada konsistensi logik proses yang mendasarinya.
Namun demikian, kekuatan metodologi ini juga menyingkap batasannya. Seperti yang telah dihujahkan, model Nozick kekal pada tahap konseptual dan tidak memenuhi sepenuhnya kriteria teori saintifik dari segi kebolehujian dan kebolehfalsafahan. Ia berfungsi sebagai satu eksperimen pemikiran yang sistematik umpama sebuah ‘makmal idea’ yang menguji kemungkinan logik, namun tidak disokong oleh verifikasi empirikal. Justeru, teori ini berada dalam kedudukan yang unik iaitu lebih ketat daripada hujah normatif biasa, tetapi belum mencapai status teori saintifik yang lengkap.
Dalam konteks ini, sumbangan utama Nozick terletak bukan hanya pada kandungan libertariannya, tetapi pada bentuk analisis yang diperkenalkannya. Beliau memperlihatkan bagaimana falsafah politik boleh mendekati kaedah pemodelan saintifik tanpa sepenuhnya terikat kepada tuntutan empirikal (Normore 1977). Ini membuka ruang kepada satu cara membaca yang lebih luas terhadap teori politik, tetapi sebagai percubaan untuk membina model penjelasan tentang realiti sosial.
Akhirnya, Anarchy, State and Utopia boleh difahami sebagai satu projek yang belum selesai umpama sebuah model yang kuat dari segi struktur dan imaginasi teorinya, tetapi terhad dalam keupayaan untuk diuji dan disahkan dalam dunia sebenar. Ketegangan antara kekuatan logik dan kelemahan empirikal inilah yang menjadikan karya Nozick terus relevan dan diperdebatkan, serta mengukuhkan kedudukannya sebagai salah satu sumbangan paling signifikan dalam wacana falsafah politik moden.
Rujukan
- Bader, R. M. 2010. Robert Nozick. New York: The Continuum International Publishing Group Inc.
- Bardon, A. 2000. From Nozick to welfare rights: Self‐ownership, property and moral desert. Critical Review: A Journal of Politics and Society 14(4): 481-501.
- Gaus, G. 2011. Explanation, justification and emergent properties: an essay on Nozickian metatheory. Dlm. Bader, R. M. & Meadowcroft, J. (pnyt.). The Cambridge Companion to Nozick’s Anarchy, State and Utopia, hlm. 116-144. New York: Cambridge University Press.
- Gläser, M. 2023. Nozick on the Difference Principle. Politics, Philosophy & Economics 22(2): 126-159.
- Hailwood, S. A. 1996. Exploring Nozick: Beyond Anarchy, State And Utopia. Nevada: Avenbury Books.
- Halfond, I. 2000. Anarchy, State and Utopia. World Philosophers & Their Works. (Feb 2000): 1-3.
- Mack, E. 2024. Robert Nozick’s Political Philosophy. Dlm. Zalta, E. N. & Nodelman, U. (pnyt.). The Stanford Encyclopedia of Philosophy,edisi Summer 2024. Stanford: Metaphysics Research Lab, Stanford University.
- Meadowcroft, J. 2011. Nozick’s critique of Rawls: distribution, entitlement and the assumptive world of A Theory of Justice. Dlm. Bader, R. M. & Meadowcroft, J. (pnyt.). The Cambridge Companion to Nozick’s Anarchy, State and Utopia, hlm. 168-196. New York: Cambridge University Press.
- Miller, D. 2002. The Justification of Political Authority. Dlm. Schmidtz, D. (pnyt.). Robert Nozick, hlm. 10-33. Cambridge: Cambridge University Press.
- Normore, C. G. 1977. Anarchy, State and Utopia by Robert Nozick. Canadian Journal of Philosophy 7 (1): 187-201.
- Nozick, R. 1974. Anarchy, State And Utopia.New York: Basic Books.
- Rahman, M. M. 2023. The Entitlement Theory of Justice: A Critical Overview. Social Science Research Network, 19 Disember. http://dx.doi.org/10.2139/ssrn.4670107.
- Scheffler, S. 1981. Natural Rights, Equality and the Minimal State. Dlm. Paul, J. (pnyt.). Reading Nozick: Essays on Anarchy, State and Utopia,hlm. 148-168. New Jersey: Rowman and Littlefield.
- Schmidtz, D. 2011. The Right to Distribute. Dlm. Bader, R. M. & Meadowcroft, J. (pnyt.). The Cambridge Companion to Nozick’s Anarchy, State and Utopia, hlm. 197-229. New York: Cambridge University Press.
- Vallentyne, P. 2011. Nozick’s Libertarian Theory of Justice. Dlm. Bader, R. M. & Meadowcroft, J. (pnyt.). The Cambridge Companion to Nozick’s Anarchy, State and Utopia, hlm. 145-167. New York: Cambridge University Press.
- Verma, D. 2024. Theories Of Justice: Analysing Rawls And Nozick. ShodhKosh: Journal of Visual and Performing Arts5(1): 905-917.
- Wolff, J. 1991. Robert Nozick: Property, Justice and the Minimal State. Cambridge: Polity Press.
Nota
-
Seorang empiris logik terkemuka yang mendefinisikan model penjelasan saintifik Deduktif-Nomologis dan mencipta Raven Paradox untuk mencabar teori-teori dan pembuktian. ↑
-
Kekangan-kekangan ini adalah aturan atau prinsip yang membatasi tindakan yang dapat dilakukan oleh individu atau lembaga, tanpa mengira hasil yang mungkin berlaku oleh tindakan tersebut. ↑
-
Hujah Robert Nozick mengenai konsep tangan tidak kelihatan berakar pada penjelasannya tentang bagaimana sistem kompleks, seperti negara, dapat muncul secara alami tanpa rancangan yang disengaja atau perencanaan terpusat. ↑
-
Pemain bola keranjang profesional Amerika Syarikat era 1960an. ↑
-
Etika Kantian ialah teori moral yang dibangunkan oleh Immanuel Kant (1724-1804), menegaskan bahawa tindakan adalah betul atau salah berdasarkan tugas dan peraturan, bukan akibat. ↑
-
Deontologi adalah teori etika yang menilai moral suatu tindakan berdasarkan kepatuhan terhadap kewajiban atau aturan dan bukan hasil akhirnya. ↑
-
Posisi asal dari John Rawls ialah percubaan pemikiran hipotesis yang adil yang direka untuk menentukan prinsip yang paling adil untuk masyarakat. ↑
-
Eksperimen pemikiran yang dicadangkan oleh John Rawls untuk mewujudkan masyarakat yang adil dengan merekabentuk peraturan dari ‘posisi asal’ kejahilan mengenai status masa depan, bangsa, jantina atau bakat sendiri. ↑
-
Rawls mencadangkan teori yang dipanggilnya ‘Loteri Tabii,’ iaitu pengagihan tidak sekata sifat-sifat yang diwarisi secara genetik yang cenderung untuk berkorelasi dengan kelebihan atau kekurangan seseorang dalam masyarakat. ↑
Unless expressly indicated, materials published on WIRA.my have not undergone formal academic peer review. Analysis and commentary represent the author’s interpretation and should not be read as institutional policy positions.



