Peranan Realisme dalam Membentuk Pendekatan Amerika Syarikat terhadap China sebagai Pesaing Strategik

Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia

Essay25 min read

1.0 Pengenalan

1.1 Realisme dan Persaingan Strategik Amerika Syarikat–China

Persaingan strategik antara Amerika Syarikat (AS) dan Republik Rakyat China (China) kini menjadi kajian dominan dalam politik antarabangsa kontemporari. Hubungan dua hala ini bukan sahaja membentuk landskap keselamatan dan ekonomi Asia-Pasifik, malah turut menentukan hala tuju susunan antarabangsa pasca Perang Dingin. Dalam konteks ini, teori realisme menyediakan satu kerangka analitis yang kukuh dan konsisten untuk memahami mengapa hubungan AS–China telah beralih daripada kerjasama strategik dan dasar penglibatan kepada persaingan yang bersifat menyeluruh dan berpanjangan (Khoo et al. 2024).

Realisme berasaskan andaian bahawa sistem antarabangsa bersifat anarki, iaitu ketiadaan autoriti tertinggi yang mampu menjamin keselamatan negara. Dalam keadaan sedemikian, negara terutamanya kuasa besar terpaksa bertindak untuk mengutamakan kelangsungan hidup sebagai matlamat asas dasar luar mereka (Araszkiewicz 2021). Keselamatan tidak dapat dijamin melalui norma atau institusi semata-mata, sebaliknya bergantung kepada keupayaan negara untuk mengagregatkan dan mengekalkan kuasa relatif. Oleh itu, realisme menjangkakan bahawa kebangkitan kuasa besar baharu akan hampir pasti mencetuskan ketegangan dan persaingan dengan hegemon sedia ada (Alenezi 2020).

Dalam kerangka ini, kebangkitan China sebagai kuasa ekonomi dan ketenteraan utama dunia dilihat oleh AS sebagai cabaran langsung terhadap keunggulan strategiknya, khususnya di rantau Indo-Pasifik. Dari perspektif realisme ofensif[1], negara kuasa besar bukan sekadar berusaha mengekalkan keselamatan minimum, tetapi terdorong untuk memaksimumkan kuasa relatif dan mencapai hegemoni serantau sebagai cara paling berkesan untuk menghapuskan ancaman jangka panjang (Alenezi 2020). Sejarah AS sendiri yang berjaya mengukuhkan dominasi mutlak di Hemisfera Barat sering dijadikan rujukan normatif dan strategik dalam membentuk tindak balas terhadap kebangkitan China (Alenezi 2020).

Oleh yang demikian, peralihan dasar AS daripada keterlibatan kepada persaingan strategik tidak boleh difahami semata-mata sebagai perubahan kepimpinan atau ideologi, tetapi sebagai tindak balas struktural terhadap perubahan imbangan kuasa dalam sistem antarabangsa. Logik persaingan ini, yang berakar dalam teori realisme, menjadi asas kepada pelbagai dasar keselamatan, ekonomi dan diplomatik AS sejak lebih sedekad lalu (Brown 2018).

1.2 Skop dan Rasional Analisis

Pendekatan AS terhadap China sebagai pesaing strategik dibentuk secara mendalam oleh prinsip-prinsip teras realisme, khususnya realisme ofensif dan realisme neoklasik[2]. Realisme ofensif menjelaskan dorongan sistemik yang memaksa AS untuk membendung kebangkitan China bagi mengekalkan keunggulan strategiknya, manakala realisme neoklasik membantu menjelaskan bagaimana tekanan struktur antarabangsa tersebut ditapis melalui faktor peringkat unit seperti politik domestik, persepsi elit dan komuniti pakar (Rose 1998).

Fokus analisis ini merangkumi tiga dimensi utama. Pertama, ia meneliti evolusi hubungan AS–China daripada kerjasama strategik semasa Perang Dingin kepada dasar penglibatan pasca–Perang Dingin dan seterusnya peralihan kepada persaingan strategik terbuka. Kedua, esei ini menganalisis bagaimana prinsip realisme seperti anarki, kuasa relatif, dilema keselamatan dan pengimbangan kuasa yang akan diterjemahkan secara operasional ke dalam strategi AS, khususnya di rantau Indo-Pasifik. Ketiga, ia menilai peranan faktor domestik dan ideasi dalam mengukuhkan dan mengekalkan pendekatan kompetitif AS terhadap China.

Pendekatan ini penting kerana walaupun realisme sering dikritik sebagai terlalu materialistik dan mengabaikan faktor bukan material, persaingan AS–China menunjukkan bahawa logik kuasa kekal dominan walaupun dalam era globalisasi dan saling kebergantungan ekonomi yang mendalam. Pada masa yang sama, realisme sahaja tidak mencukupi untuk menjelaskan sepenuhnya saling memerlukan antara hubungan dua hala, justeru membuka ruang kepada perbincangan kritikal mengenai keterbatasannya.

1.3 Evolusi Hubungan Amerika Syarikat–China

Hubungan AS–China tidak sentiasa dicirikan oleh permusuhan atau persaingan terbuka. Sebaliknya, sepanjang Perang Dingin, kedua-dua negara menjalin kerjasama strategik yang bersifat pragmatik berasaskan logik keseimbangan kuasa (Azizian & Lukin 2012). Dalam konteks persaingan bipolar antara AS dan Kesatuan Soviet, Washington melihat Beijing sebagai rakan strategik yang berpotensi untuk mengimbangi ancaman Soviet, manakala China pula memanfaatkan hubungan tersebut bagi meningkatkan keselamatan dan autonomi strategiknya (Ross 2015).

Kerjasama ini, yang sering dirujuk sebagai “pakatan tersirat” Sino-Amerika[3] (Moore 2014), memperlihatkan bagaimana perbezaan ideologi yang ketara boleh diketepikan demi kepentingan keselamatan bersama. Dari sudut realis, hubungan ini bukanlah anomali, tetapi manifestasi jelas logik keseimbangan kuasa dalam sistem anarki. Namun, asas strategik hubungan tersebut mula terhakis apabila Perang Dingin berakhir dan ancaman Soviet lenyap daripada kalkulasi keselamatan AS (Bhattarai & Lamichhane 2024).

Pasca–Perang Dingin, dasar AS terhadap China beralih kepada pendekatan keterlibatan, yang banyak dipengaruhi oleh andaian liberal. Washington beranggapan bahawa integrasi China ke dalam institusi ekonomi dan politik antarabangsa akan mendorong liberalisasi dalaman dan mengubah China menjadi aktor yang damai dan bertanggungjawab dalam sistem antarabangsa (Chang‐Liao 2019). Pendekatan ini tercermin dalam sokongan AS terhadap kemasukan China ke Pertubuhan Perdagangan Dunia serta pengembangan hubungan ekonomi dua hala yang pesat (Omar 2006).

Walau bagaimanapun, menjelang pertengahan 2010-an, konsensus elit di Washington mula beralih. Kegagalan China untuk meliberalisasikan sistem politiknya, digabungkan dengan peningkatan keupayaan ketenteraan dan ketegasan dasar luar Beijing, mencetuskan persepsi bahawa keterlibatan bukan sahaja gagal, malah telah mempercepatkan kebangkitan China sebagai pesaing strategik (Bhattarai & Lamichhane 2024). Dari perspektif realisme ofensif, perkembangan ini mengesahkan andaian bahawa kuasa besar yang sedang meningkat akan menggunakan kekuatan baharunya untuk mencabar status quo.

Peralihan ini mula ketara semasa pentadbiran Obama[4] melalui inisiatif Pivot to Asia atau Rebalance to Asia, yang bertujuan menyesuaikan kehadiran diplomatik, ekonomi dan ketenteraan AS dengan perubahan imbangan kuasa serantau, khususnya kebangkitan China. (Zhang 2022; Campbell 2016). Namun, perubahan ini menjadi lebih eksplisit dan terinstitusi di bawah pentadbiran Trump[5]. National Security Strategy 2017 secara rasmi mengisytiharkan bahawa era keterlibatan telah berakhir dan melabelkan China sebagai pesaing strategik serta China dilabel sebagai kuasa revisionis[6] (The White House 2017; Chang‐Liao 2019; Mastanduno 2023).

Pentadbiran Biden[7], walaupun menggunakan retorik diplomatik yang lebih terkawal, pada asasnya mengekalkan kerangka persaingan strategik yang sama. Ini mencerminkan hakikat bahawa peralihan dasar AS bukanlah fenomena sementara atau berpaksikan individu, tetapi hasil tekanan struktur antarabangsa yang konsisten dengan ramalan teori realisme (Zhang 2022). Dalam sistem anarki yang dicirikan oleh perubahan imbangan kuasa, persaingan antara hegemon sedia ada dan kuasa yang sedang meningkat menjadi hampir tidak dapat dielakkan.

Keseluruhannya, realisme khususnya realisme ofensif turut menyediakan asas teoritis yang kukuh untuk memahami mengapa AS semakin melihat China bukan sebagai rakan kongsi, tetapi sebagai pesaing strategik utama. Peralihan daripada keterlibatan kepada persaingan strategik bukanlah kegagalan dasar secara kebetulan, sebaliknya merupakan respons sistemik terhadap kebangkitan kuasa besar yang mencabar keunggulan AS (De Castro 2018).

2.0 Realisme Ofensif, Realisme Neoklasik dan Pembentukan Strategi Amerika Syarikat

2.1 Realisme Ofensif sebagai Asas Strategi Amerika Syarikat

Dalam menganalisis peralihan strategik AS terhadap China, realisme ofensif menyediakan kerangka teoritikal yang paling konsisten untuk menjelaskan sifat dan intensiti persaingan yang semakin ketara. Berbeza dengan realisme pertahanan yang mengandaikan negara hanya berusaha mencapai tahap keselamatan minimum, realisme ofensif menegaskan bahawa negara kuasa besar terdorong untuk memaksimumkan kuasa relatif dan berusaha mencapai hegemoni serantau sebagai cara paling berkesan untuk memastikan kelangsungan hidup dalam sistem antarabangsa yang anarki (Alenezi 2020). Dalam konteks ini, kebangkitan China bukan sahaja dilihat sebagai cabaran kepada kepentingan AS, tetapi sebagai ancaman eksistensial terhadap kedudukan hegemoni Washington, khususnya di rantau Indo-Pasifik .

Dari perspektif realisme ofensif, kebangkitan kuasa besar baharu yang bercita-cita untuk mendominasi rantau tertentu hampir pasti akan mencetuskan tindak balas keras daripada kuasa dominan sedia ada. China sering ditafsirkan oleh pembuat dasar dan pakar AS sebagai kuasa revisionis yang berhasrat untuk mengubah status quo serantau dan global, terutamanya melalui pemodenan ketenteraan pesat, penegasan tuntutan wilayah dan peluasan pengaruh ekonomi serta teknologi (Alenezi 2020; Bhattarai & Lamichhane 2024). Oleh itu, strategi AS dibentuk oleh keperluan untuk menafikan peluang China mencapai hegemoni serantau, selaras dengan logik realisme ofensif bahawa pencegahan awal adalah lebih berkesan berbanding tindak balas lewat (Araszkiewicz 2021).

Peralihan daripada realisme pertahanan kepada realisme ofensif dapat dikesan secara jelas dalam evolusi dasar AS sejak awal 2010-an (Alenezi 2020). Semasa era pasca–Perang Dingin, dasar AS terhadap China banyak dicirikan oleh strategi hedging[8], iaitu gabungan antara penglibatan ekonomi dan diplomatik dengan langkah pencegahan keselamatan terhad (Wang & Tan 2024). Pendekatan ini bertujuan untuk mengurangkan dilema keselamatan sambil mengekalkan kelebihan strategik AS (Zhang 2022). Namun, apabila kebangkitan China semakin ketara dan tidak sejajar dengan jangkaan liberal, pendekatan tersebut mula dilihat sebagai tidak lagi memadai.

Inisiatif ‘pivot’atau ‘rebalance’ ke Asia di bawah pentadbiran Obama menandakan peralihan awal ke arah postur yang lebih tegas. Walaupun masih mengekalkan retorik kerjasama, strategi ini mengiktiraf bahawa Indo-Pasifik merupakan medan utama persaingan kuasa besar pada abad ke-21 (Zhang 2022). Peralihan ini menjadi lebih eksplisit di bawah pentadbiran Trump, apabila dokumen strategik utama seperti National Security Strategy 2017 dan National Defense Strategy 2018 secara terbuka melabelkan China sebagai pesaing strategik dan kuasa revisionis, sekali gus mencerminkan postur realisme ofensif yang jelas (De Castro 2018; Department of Defense 2018).

2.2 Pengimbangan Kuasa dan Strategi Pencegahan dalam Kerangka Realisme

Salah satu manifestasi utama realisme ofensif dalam strategi AS ialah penekanan terhadap pengimbangan kuasa dan pencegahan sebagai mekanisme teras untuk mengekalkan keunggulan strategik (Tarapore & Taylor 2022). Dalam sistem antarabangsa yang anarki, realisme menegaskan bahawa kestabilan hanya dapat dicapai melalui imbangan kuasa yang menghalang mana-mana negara daripada mencapai dominasi mutlak (Araszkiewicz 2021). Oleh itu, AS berusaha mengekalkan imbangan kuasa yang memihak kepadanya dengan menggabungkan keupayaan ketenteraan sendiri serta kuasa sekutu dan rakan strategik.

Kebimbangan utama AS tertumpu kepada pembangunan keupayaan Anti-Access/Area-Denial (A2/AD) oleh China, yang direka untuk menafikan keupayaan AS memprojekkan kuasa ke Pasifik Barat, khususnya di kawasan titik panas seperti Selat Taiwan dan Laut China Selatan (Mastro 2022). Dari sudut realis, keupayaan A2/AD ini menandakan usaha China untuk mengubah keseimbangan kuasa serantau dan melemahkan kelebihan tradisional AS dalam domain maritim dan udara. Ketidakpastian mengenai niat sebenar Beijing seterusnya memperhebatkan dilema keselamatan, di mana langkah pertahanan oleh satu pihak ditafsirkan sebagai ancaman ofensif oleh pihak lain (Araszkiewicz 2021).

Sebagai tindak balas, AS telah memperkenalkan konsep ‘pencegahan bersepadu’, yang menggabungkan instrumen ketenteraan, ekonomi, teknologi dan diplomatik untuk mengekang tingkah laku revisionis China (Tarapore & Taylor 2022). Dalam kerangka ini, pencegahan melalui penafian menjadi strategi utama. Pendekatan ini bertujuan meyakinkan China bahawa sebarang tindakan agresif contohnya seperti pencerobohan ke atas Taiwan tidak akan berjaya kerana kos dan risiko kegagalan yang tinggi (Mastro 2022). Berbanding pencegahan melalui hukuman, yang bergantung kepada ancaman tindak balas selepas berlakunya pencerobohan, strategi penafian dianggap lebih berkesan kerana ia menafikan insentif awal untuk bertindak.

Selain itu, AS turut menekankan pencegahan melalui daya, iaitu keupayaan untuk menyerap gangguan dan mengekalkan fungsi strategik walaupun berdepan tekanan atau serangan terhad. Strategi ini bertujuan menanam persepsi bahawa usaha China untuk menggugat kepentingan AS tidak akan menghasilkan keuntungan strategik yang berkekalan (Mastro 2022). Pendekatan sedemikian mencerminkan logik realisme ofensif yang mengutamakan pencegahan awal dan pengurangan peluang kejayaan pihak lawan.

2.3 Isu Taiwan sebagai Nod Strategik dalam Realisme Ofensif

Isu Taiwan muncul sebagai salah satu titik panas paling kritikal dalam persaingan keselamatan AS–China dan merupakan medan ujian utama kepada aplikasi realisme ofensif dalam dasar AS. Dari perspektif realis, Taiwan bukan sekadar isu normatif atau ideologi, tetapi aset strategik yang penting dalam keseimbangan kuasa serantau. Kedudukannya dalam First Island Chain[9] menjadikan Taiwan nod pertahanan yang kritikal untuk menghalang peluasan kuasa maritim China ke Pasifik Barat (Jie 2022).

Realisme ofensif menjangkakan bahawa kuasa besar yang bercita-cita untuk mencapai hegemoni serantau akan berusaha menyerap wilayah yang berada di luar kawalannya, terutamanya jika wilayah tersebut mempunyai nilai strategik yang tinggi (Alenezi 2020). Dalam konteks ini, aspirasi China untuk penyatuan semula Taiwan dilihat sebagai langkah logik ke arah dominasi serantau. Bagi AS pula, membenarkan China menguasai Taiwan akan menandakan kegagalan strategik yang besar dan berpotensi mencetuskan kesan domino terhadap kredibiliti pakatan keselamatan AS di Asia Timur (Jie 2022).

Sehubungan itu, dasar AS terhadap Taiwan telah mengalami peralihan yang ketara, daripada kekaburan strategik tradisional kepada pendekatan yang lebih tegas dan bersifat intervensi hibrid atau strategi jelas (Lin & Keng 2023). Walaupun secara rasmi AS masih mengekalkan dasar ‘One China Policy’[10], tindakan konkrit seperti peningkatan jualan senjata, penglibatan diplomatik peringkat tinggi dan sokongan perundangan daripada Kongres mencerminkan komitmen yang semakin jelas terhadap keselamatan Taiwan (Wang 2023).

Pendekatan ini bertujuan memperkukuh pencegahan dengan menafikan keupayaan China untuk mencapai penyatuan secara paksa, selaras dengan prinsip realisme ofensif bahawa pencegahan awal adalah penting untuk menghalang perubahan status quo yang merugikan. Pada masa yang sama, dasar ini meningkatkan risiko eskalasi, sekali gus menyerlahkan dilema keselamatan klasik di mana usaha untuk meningkatkan keselamatan satu pihak berpotensi mengurangkan keselamatan pihak lain (Maher 2025).

2.4 Realisme Neoklasik

Walaupun realisme ofensif menjelaskan dorongan sistemik di sebalik strategi AS, realisme neoklasik menyediakan lapisan analisis tambahan dengan menekankan peranan faktor peringkat unit yang lebih kecil dalam membentuk tindak balas dasar. Menurut realisme neoklasik, tekanan struktur antarabangsa tidak diterjemahkan secara automatik ke dalam dasar luar, sebaliknya, ia ditapis melalui persepsi elit, politik domestik dan institusi negara (Chen 2020).

Dalam kes AS, persepsi elit bahawa China merupakan ancaman jangka panjang terhadap kepentingan strategik dan nilai normatif AS telah mempercepatkan peralihan kepada postur realisme ofensif (Chen 2020). Komuniti pakar dan badan pemikir memainkan peranan penting dalam membingkai kebangkitan China sebagai ancaman sistemik, sekali gus menyediakan justifikasi intelektual kepada dasar yang lebih konfrontatif (McCourt 2022). Konsensus dwipartisan yang semakin kukuh di Washington turut memastikan kesinambungan dasar persaingan strategik merentasi perubahan pentadbiran (Kochegurov 2022).

Oleh itu, strategi AS terhadap China tidak boleh difahami semata-mata sebagai reaksi mekanikal terhadap perubahan imbangan kuasa, tetapi sebagai hasil interaksi antara tekanan sistemik dan faktor domestik yang saling mengukuhkan. Gabungan realisme ofensif dan neoklasik ini menjelaskan mengapa pendekatan AS bukan sahaja tegas, tetapi juga tahan lama dan berlapik dalam pelbagai domain.

Secara keseluruhan, ini menunjukkan bahawa realisme ofensif dan realisme neoklasik bersama-sama membentuk teras strategi AS terhadap China. Dorongan untuk mengekalkan keunggulan strategik, menafikan peluang hegemoni China dan mengurus dilema keselamatan diterjemahkan melalui pengimbangan kuasa, pencegahan bersepadu dan pendirian tegas terhadap isu Taiwan. Bahagian seterusnya akan menumpukan kepada bagaimana logik realisme ini dioperasikan melalui pembinaan pakatan, minilateralisme dan persaingan strategik di Indo-Pasifik, serta implikasinya terhadap kestabilan serantau.

3.0 Pembinaan Pakatan, Minilateralisme dan Persaingan Strategik di Indo-Pasifik

3.1 Indo-Pasifik sebagai Medan Utama Persaingan Realis

Dalam kerangka realisme, persaingan antara kuasa besar lazimnya tertumpu pada kawasan yang mempunyai kepentingan strategik tertinggi. Dalam konteks hubungan AS–China, rantau Indo-Pasifik telah muncul sebagai medan utama persaingan kuasa besar abad ke-21 (Hoffman 2020). Kebangkitan China sebagai kuasa ekonomi dan ketenteraan maritim, digabungkan dengan kepentingan AS untuk mengekalkan keunggulan strategiknya, menjadikan rantau ini pusat kepada strategi pengimbangan kuasa dan pencegahan bersepadu Washington (Zhang 2022).

Dari perspektif realisme ofensif, penguasaan serantau merupakan prasyarat kepada keselamatan jangka panjang sesebuah kuasa besar. Oleh itu, kebimbangan AS terhadap kebangkitan China bukan sekadar tertumpu kepada niat Beijing, tetapi kepada keupayaan material China untuk mengubah keseimbangan kuasa serantau secara struktur (He & Feng 2025). Indo-Pasifik, yang merangkumi laluan perdagangan utama dunia, nod keselamatan maritim, serta jaringan pakatan AS yang kritikal, dilihat sebagai kawasan di mana kehilangan keunggulan akan membawa implikasi global terhadap kedudukan hegemoni AS (Alenezi 2020).

Dalam konteks ini, strategi AS tidak terhad kepada pengukuhan keupayaan ketenteraan sendiri, tetapi turut bergantung kepada pembinaan dan pengurusan pakatan sebagai mekanisme pengagregatan kuasa relatif. Pendekatan ini mencerminkan logik realis bahawa negara akan mencari rakan strategik bagi mengimbangi kuasa yang dianggap mengancam, terutamanya apabila berdepan dengan pesaing yang mempunyai kelebihan demografi, ekonomi atau geografi (Bush et al. 2022).

3.2 Minilateralisme dan Transformasi Pakatan

Salah satu ciri paling ketara dalam strategi AS di Indo-Pasifik ialah peralihan daripada pergantungan eksklusif kepada sistem pakatan dua hala hub-and-spokes kepada penggunaan pengaturan minilateral[11] dan rangkaian pakatan yang lebih fleksibel (Bush et al. 2022). Dalam konteks realisme ofensif, minilateralisme menawarkan kelebihan strategik kerana ia membolehkan penyelarasan yang lebih pantas, perkongsian beban yang lebih efektif dan pengagregatan keupayaan yang disasarkan terhadap ancaman tertentu (Tarapore & Taylor 2022).

Penghidupan semula Quadrilateral Security Dialogue (Quad) pada tahun 2017 menjadi contoh paling menonjol. Quad, yang melibatkan AS, Jepun, Australia dan India, berfungsi sebagai platform strategik untuk menyelaraskan dasar keselamatan dan memperkukuh pencegahan terhadap tingkah laku China yang semakin tegas di rantau ini (Cooper 2023). Walaupun secara rasmi tidak ditakrifkan sebagai pakatan ketenteraan, Quad mencerminkan logik pengimbangan kuasa yang jelas, dengan fokus kepada kebebasan pelayaran, keselamatan maritim dan ketahanan rantaian bekalan.

Penubuhan pakatan keselamatan AUKUS pada tahun 2021 pula menandakan satu tahap baharu dalam kerjasama ketenteraan berasaskan teknologi tinggi. AUKUS, yang menggabungkan Australia, United Kingdom dan AS, memperlihatkan komitmen Washington untuk memperkukuh keupayaan ketenteraan sekutu terdekatnya melalui perkongsian teknologi sensitif, termasuk kapal selam berkuasa nuklear (Tarapore & Taylor 2022; He & Feng 2025). Dari sudut realisme ofensif, AUKUS bukan sekadar pakatan pertahanan, tetapi instrumen strategik untuk mengekalkan kelebihan asimetri AS dan sekutunya berbanding China dalam domain maritim dan bawah laut.

Peralihan ke arah minilateralisme ini mencerminkan kesedaran AS terhadap keterbatasan mekanisme multilateral sedia ada, khususnya institusi yang berpusat di ASEAN, yang sering dilihat tidak cukup tegas atau berkesan dalam menangani cabaran keselamatan yang ditimbulkan oleh China (Koga 2022). Oleh itu, pembinaan pakatan yang lebih kecil, fleksibel dan berorientasikan hasil menjadi pilihan strategik yang konsisten dengan prinsip realisme ofensif.

3.3 Pengimbangan Kuasa, Hedging dan ‘Stable Instability’

Walaupun pembinaan pakatan bertujuan memperkukuh pencegahan terhadap China, respons negara-negara serantau terhadap strategi AS adalah jauh lebih kompleks. Banyak negara di Indo-Pasifik, terutamanya kuasa pertengahan dan negara Asia Tenggara, berdepan dilema strategik dalam mengimbangi jaminan keselamatan AS dengan kebergantungan ekonomi yang mendalam terhadap China (Jenn-Jaw 2023). Keadaan ini mendorong pengamalan strategi hedging, iaitu pendekatan hibrid yang menggabungkan elemen pengimbangan dan penglibatan secara serentak.

Dari perspektif realisme neoklasik, strategi hedging mencerminkan usaha negara-negara serantau untuk memaksimumkan autonomi strategik dalam persekitaran yang tidak menentu. Walaupun mereka berkongsi kebimbangan terhadap ketegasan China, keengganan untuk memilih pihak secara mutlak mencerminkan realiti bahawa kos penjajaran penuh dengan mana-mana kuasa besar adalah terlalu tinggi (Liu 2020). Oleh itu, banyak negara memilih untuk mengekalkan hubungan keselamatan dengan AS sambil terus memanfaatkan peluang ekonomi yang ditawarkan oleh China.

Hubungan ini menghasilkan apa yang sering dirujuk sebagai “ketidakstabilan yang stabil” (stable instability), di mana persaingan kuasa besar berterusan tanpa meletusnya konflik bersenjata berskala besar (Ruizhuang 2018). AS mengekalkan kelebihan ketenteraan dan jaringan pakatan yang kukuh, manakala China menggunakan kekuatan ekonominya untuk memperluas pengaruh dan mengurangkan kesan pembendungan strategik. Keadaan ini mengekalkan ketegangan yang berterusan, tetapi pada masa yang sama menghalang mana-mana pihak daripada mencapai dominasi mutlak (Walt 2018).

3.4 Integrasi Instrumen Ekonomi dan Ketenteraan dalam Persaingan Realis

Satu lagi ciri penting strategi AS yang mencerminkan realisme ofensif ialah integrasi rapat antara instrumen ekonomi dan ketenteraan dalam persaingan strategik dengan China. Dalam kerangka realisme, kuasa ekonomi dilihat sebagai asas kepada kuasa ketenteraan dan pengaruh geopolitik. Oleh itu, persaingan AS–China tidak terhad kepada domain keselamatan tradisional, tetapi turut meluas ke bidang teknologi, perdagangan dan rantaian bekalan global (Lynch et al. 2020).

Inisiatif seperti Indo-Pacific Economic Framework (IPEF) mencerminkan usaha AS untuk menawarkan alternatif ekonomi kepada negara-negara serantau tanpa bergantung kepada perjanjian perdagangan tradisional yang sering menghadapi tentangan domestik (Bush et al. 2022). Walaupun IPEF tidak menawarkan akses pasaran yang setara dengan perjanjian perdagangan bebas, ia bertujuan meningkatkan ketahanan rantaian bekalan, menetapkan standard ekonomi dan mengurangkan kebergantungan strategik terhadap China.

Dalam domain teknologi, sekatan AS terhadap eksport semikonduktor dan teknologi canggih kepada China menandakan penggunaan instrumen geoekonomi sebagai alat pencegahan strategik. Dari perspektif realisme ofensif, langkah-langkah ini bertujuan mengekang keupayaan China untuk menterjemahkan kemajuan teknologi kepada kelebihan ketenteraan, sekali gus melambatkan peralihan kuasa yang tidak memihak kepada AS (Peng 2024). Pendekatan ini mencerminkan strategi ‘small yard, high fence’[12] yang memfokuskan kepada perlindungan teknologi kritikal sambil mengekalkan penglibatan terpilih dalam bidang lain (Thompson 2023). Konsep ini, yang dirujuk sebagai dasar pembendungan terpilih yang dimanifestasikan melalui fokus yang ketat dalam mempertahankan keunggulan teknologi AS dan menghalang kemajuan strategik China (Thompson 2023).

Selain itu, realisme ofensif turut mencadangkan bahawa kuasa dominan boleh menggalakkan pesaingnya untuk menghabiskan sumber di kawasan pinggiran yang kurang strategik, sekali gus mengurangkan tumpuan terhadap persaingan teras (Kim 2021). Dalam konteks ini, penglibatan China dalam projek-projek berskala besar di kawasan tertentu boleh dilihat sebagai potensi menghabiskan dana dan masa pihak China yang berisiko melemahkan keupayaannya dalam jangka panjang.

3.5 Implikasi terhadap Kestabilan Serantau

Walaupun strategi pembinaan pakatan dan integrasi instrumen ekonomi–ketenteraan bertujuan mengekalkan keunggulan AS, ia turut membawa implikasi terhadap kestabilan serantau. Pengukuhan pakatan minilateral dan pencegahan bersepadu meningkatkan kos pencerobohan bagi China, tetapi pada masa yang sama memperhebatkan persepsi Beijing bahawa AS sedang melaksanakan strategi pembendungan dan pengepungan strategik (Lobell 2018). Persepsi ini berpotensi memperdalam dilema keselamatan dan meningkatkan risiko salah tafsir atau eskalasi tidak disengajakan.

Selain itu, keengganan banyak negara serantau untuk menyertai pakatan secara formal menekankan keterbatasan pendekatan realis yang terlalu menekankan logik kuasa tanpa mengambil kira keperluan politik domestik dan ekonomi negara-negara pertengahan. Oleh itu, kejayaan jangka panjang strategi AS bergantung bukan sahaja kepada keupayaan material, tetapi juga kepada keupayaan mengurus persepsi dan mengekalkan legitimasi dalam kalangan rakan dan sekutu.

Pembinaan pakatan, minilateralisme dan integrasi instrumen ekonomi–ketenteraan merupakan teras kepada aplikasi realisme ofensif dalam strategi AS di Indo-Pasifik. Pendekatan ini bertujuan mengekalkan imbangan kuasa yang memihak kepada AS, menafikan peluang hegemoni China dan mengurus dilema keselamatan dalam persekitaran serantau yang kompleks. Namun, hubungan hedging dan stable instability menandakan bahawa persaingan ini akan kekal berpanjangan dan sukar diselesaikan secara tuntas.

4.0 Politik Domestik, Ideologi dan Keterbatasan Realisme

4.1 Pengaruh Politik Domestik

Walaupun tekanan struktur antarabangsa menyediakan konteks asas bagi persaingan AS-China, realisme neoklasik menegaskan bahawa dasar luar negara tidak terbentuk secara automatik daripada perubahan imbangan kuasa semata-mata. Sebaliknya, tekanan sistemik tersebut ditapis melalui faktor peringkat unit seperti politik domestik, persepsi elit, institusi dan ideologi, yang bersama-sama membentuk respons strategik sesebuah negara (Chen 2020). Dalam konteks AS, faktor-faktor domestik ini telah memainkan peranan penting dalam mengukuhkan, mengekalkan dan menormalisasikan pendekatan persaingan strategik terhadap China.

Sejak sekitar tahun 2015, satu konsensus dwipartisan yang kukuh telah muncul di Washington yang melihat China sebagai pesaing strategik utama dan ancaman jangka panjang terhadap kepentingan nasional AS (Löfflmann 2023). Konsensus ini bukan sahaja melangkaui perbezaan partisan, malah mengikat kedua-dua cabang eksekutif dan legislatif kepada rangka dasar yang sama. Dokumen National Security Strategy2017 menandakan titik perubahan simbolik dengan secara rasmi mengisytiharkan berakhirnya era keterlibatan dan mengesahkan kembalinya persaingan kuasa besar sebagai teras strategi keselamatan negara AS (Chang‐Liao 2019). Pentadbiran Biden kemudiannya mengekalkan kerangka ini, membuktikan bahawa persaingan strategik bukanlah anomali sementara, tetapi orientasi dasar jangka panjang.

Kongres AS memainkan peranan yang sangat signifikan dalam mengeraskan dasar terhadap China. Melalui kelulusan pelbagai akta berkaitan perdagangan, teknologi dan keselamatan Taiwan, Kongres telah bertindak sebagai pemacu institusional kepada pendekatan yang lebih konfrontatif (Chen 2023). Sokongan dwipartisan ini mengurangkan ruang bagi mana-mana pentadbiran untuk kembali kepada pendekatan akomodatif, sekaligus memastikan kesinambungan dasar persaingan merentasi perubahan kepimpinan politik (Sutter 2023). Dari sudut realisme neoklasik, hubungan ini menunjukkan bagaimana politik domestik dapat memperkukuh tekanan sistemik, menjadikan tindak balas strategik lebih tegas dan konsisten.

4.2 Peranan Komuniti Pakar

Selain institusi formal, komuniti pakar dan badan pemikir turut memainkan peranan penting dalam membentuk persepsi elit dan wacana dasar berkaitan China. Peralihan daripada keterlibatan kepada persaingan strategik didahului oleh apa yang sering digambarkan sebagai ‘China reckoning’ dalam kalangan komuniti dasar luar AS, di mana kegagalan liberalisasi politik China ditafsirkan sebagai bukti bahawa pendekatan terdahulu adalah silap secara asas (Jie 2020).

Peralihan paradigma ini menyaksikan kemerosotan pengaruh golongan ‘keterlibatan’ dan kebangkitan pakar yang cenderung kepada pandangan realis dan hawkish (anti-keterlibatan), yang memandang China sebagai kuasa revisionis dengan aspirasi hegemoni serantau (McCourt 2022). Badan pemikir utama telah menyediakan justifikasi analitis dan strategik untuk dasar yang lebih keras, termasuk pengimbangan kuasa yang dipertingkatkan, pembendungan teknologi dan pengukuhan pakatan (Kochegurov 2022). Dari perspektif realisme neoklasik, komuniti pakar bertindak sebagai penapis kognitif yang mentafsir tekanan sistemik dan menterjemahkannya ke dalam pilihan dasar yang konkrit.

Naratif “persaingan kuasa besar” yang dibina oleh elit dasar dan pakar berfungsi sebagai alat legitimasi politik yang sangat berkesan. Dengan membingkai saling kebergantungan ekonomi sebagai ancaman keselamatan negara, naratif ini membenarkan dasar seperti perang perdagangan, sekatan teknologi dan penyahgandingan terpilih (Bode et al. 2025). Perubahan naratif ini juga mengubah identiti China dalam wacana rasmi AS iaitu daripada rakan kongsi berpotensi kepada adversari sistemik dan sekali gus mengukuhkan logik realisme ofensif dalam dasar negara.

4.3 Dimensi Ideologi dan Mobilisasi Sokongan Domestik

Walaupun realisme tradisional sering meremehkan peranan ideologi, persaingan AS–China menunjukkan bahawa ideologi boleh berfungsi sebagai pengukuh penting kepada strategi realis. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, persaingan ini semakin dibingkai sebagai pertembungan antara “visi dunia yang bebas dan menindas”, iaitu demokrasi liberal menentang autoritarianisme (Chand & Garcia 2021).

Pembingkaian ideologi ini berfungsi pada dua tahap. Di peringkat domestik, ia membantu memobilisasi sokongan awam dan merapatkan jurang partisan dengan meletakkan persaingan strategik dalam kerangka moral yang mudah difahami. Retorik nasionalis seperti America First di bawah pentadbiran Trump memanfaatkan kebimbangan ekonomi domestik untuk mewajarkan dasar keras terhadap China, termasuk tarif dan sekatan perdagangan (Asghari et al. 2021). Di bawah pentadbiran Biden, naratif demokrasi-versus-autokrasi pula digunakan untuk menyelaraskan sokongan sekutu dan rakan strategik.

Di peringkat antarabangsa, dimensi ideologi ini bertujuan membina koalisi nilai yang menyokong kepimpinan AS. Walau bagaimanapun, pendekatan ini juga mempunyai keterbatasan, kerana banyak negara di Indo-Pasifik enggan menyertai pembingkaian ideologi yang tegar disebabkan kepentingan ekonomi dan politik domestik mereka (Jenn-Jaw 2023). Ini sekali lagi menunjukkan bahawa walaupun ideologi mengukuhkan strategi realis, ia tidak selalu menghasilkan penjajaran penuh yang diharapkan.

4.4 Keterbatasan Realisme dalam Menjelaskan Hubungan AS–China

Walaupun realisme menyediakan penjelasan yang kuat terhadap persaingan kuasa besar, ia tidak terlepas daripada keterbatasan. Kritikan utama terhadap realisme ialah kecenderungannya untuk terlalu menekankan faktor material dan struktur antarabangsa, sambil mengabaikan peranan idea, norma dan politik domestik (Moore 2014). Dalam konteks AS–China, faktor-faktor bukan material ini terbukti memainkan peranan penting dalam membentuk intensiti dan trajektori persaingan.

Selain itu, realisme cenderung melihat persaingan sebagai permainan sifar-jumlah, sedangkan hubungan AS–China dicirikan oleh tahap saling kebergantungan ekonomi yang mendalam. Walaupun persaingan strategik semakin ketara, kedua-dua pihak masih mempunyai insentif yang kuat untuk mengelakkan konflik bersenjata berskala besar yang akan membawa kos ekonomi dan politik yang sangat tinggi (He & Feng 2025). Realiti ini memerlukan analisis yang lebih bernuansa, yang menggabungkan logik realis dengan pemahaman terhadap interdependensi dan pengurusan risiko.

Realisme neoklasik menawarkan satu laluan untuk merapatkan jurang ini dengan menggabungkan faktor sistemik dan peringkat unit. Dengan mengiktiraf peranan persepsi, ideologi dan institusi domestik, pendekatan ini membolehkan analisis yang lebih komprehensif terhadap mengapa dan bagaimana strategi tertentu dipilih, serta mengapa ia kekal walaupun kos dan risiko meningkat (Jenn-Jaw 2023).

5.0 Kesimpulan

Secara keseluruhan, esei ini menunjukkan bahawa realisme khususnya realisme ofensif yang diperkuatkan oleh realisme neoklasik telah menyediakan logik teras bagi memahami pendekatan AS terhadap China sebagai pesaing strategik. Peralihan daripada keterlibatan kepada strategic competition bukanlah perubahan dasar yang bersifat kebetulan, tetapi tindak balas sistemik terhadap kebangkitan kuasa besar yang mencabar keunggulan AS dalam sistem antarabangsa yang anarki.

Strategi AS dicirikan oleh usaha mengekalkan keunggulan strategik melalui pengimbangan kuasa, pencegahan bersepadu dan pembinaan pakatan di Indo-Pasifik, dengan Taiwan muncul sebagai nod strategik yang kritikal. Pada masa yang sama, faktor domestik antaranya termasuk konsensus dwipartisan, komuniti pakar dan pembingkaian ideologi telah mengukuhkan dan menstabilkan pendekatan kompetitif ini, menjadikannya tahan merentasi perubahan pentadbiran.

Namun demikian, persaingan AS–China tidak boleh difahami sepenuhnya melalui lensa realisme semata-mata. Saling kebergantungan ekonomi, pengurusan risiko dan keperluan kerjasama terpilih menunjukkan bahawa hubungan ini bersifat kompleks dan berlapik. Oleh itu, analisis masa hadapan perlu menggabungkan kerangka realis dengan pendekatan yang lebih sensitif terhadap faktor ideasi dan domestik bagi memahami kemungkinan trajektori persaingan ini.

Ringkasnya, realisme menyediakan asas analitis yang kukuh untuk memahami persaingan strategik AS–China, tetapi pemahaman yang benar-benar komprehensif memerlukan pengiktirafan bahawa kuasa, idea dan politik domestik berinteraksi secara bersama dalam membentuk dasar luar kuasa besar pada abad ke-21.

6.0 Rujukan

  • Alenezi, D. A. 2020. US rebalance strategy to Asia and US-China rivalry in South China Sea from the perspective of the offensive realism. Review of Economics and Political Science. 9(2): 102-115.
  • Araszkiewicz, A. 2021. The Concept of China’s Peaceful Rise and Offensive Realism. Przegląd Strategiczny. 11(14): 297-312.
  • Asghari, N., Gordji, M. E. & Ghaffari, A. 2021. Modelling US-China relationship: A game theory perspective. Int. J. Nonlinear Anal. Appl. 12(2): 1371-1382.
  • Azizian, R & Lukin, A. 2012. Introduction. Dlm. Azizian, R. & Lukin, A. (pnyt.). From APEC 2011 To APEC 2012: American and Russian Perspectives on Asia-Pacific Security and Cooperation, hlm. 7-20. Honolulu: Asia-Pacific Center for Security Studies.
  • Bhattarai, G. & Lamichhane, D. 2024. Twigging the US-China Competition from the Lens of Offensive Realism: Implications for Nepal. Journal of APF Command and Staff College. 7(1): 219-240.
  • Bode, I., Ducci, C. & Lee, P. K. 2025. Narrating and Practising the US–China “Tech War”. Global Studies Quarterly. 5(2): 1-14
  • Brown, S. A. W. 2018. Power, Perception and Foreign Policymaking: US and EU Responses to the Rise of China. New York: Routledge.
  • Bush, R. C., Madan, T., Solís, M., Stromseth, J. & Yeo, A. 2022. An American strategy for the Indo-Pacific in an age of US-China competition: Enhancing alliances, economic keterlibatan, and regional stability. Foreign Policy At Brookings. 1-10.
  • Campbell, K. M. 2016. The Pivot: The Future of American Statecraft in Asia. New York: Twelve
  • Chand, B & Garcia, Z. 2021. Constituting the Indo-Pacific: Securitisation and the Processes of Region-Making. International Quarterly for Asian Studies. 52(1-2): 15-34.
  • Chang‐Liao, N. C. 2019. From keterlibatan to competition? The logic of the US China policy debate. Global Policy. 10(2): 250-257.
  • Chen, D. P. 2020. The End of Liberal Engagement with China and the New US–Taiwan Focus. Inha Journal of International Studies. 35(3(: 397-435.
  • Chen, D. P. 2023. Competitions and Coalitions: An Emerging US Domestic Nationalist Consensus, Executive Branch Prerogatives, and the Taiwan Strait Tensions. Dlm. Wei-chin, L. (pnyt.). Protests, Pandemic, and Security Predicaments: Hong Kong, Taiwan, China, and the US in the 2020s, hlm. 347-396. Switzerland: Palgrave Macmillan.
  • Cooper, Z. 2023. Focus versus format: An American view of South Korea’s regional keterlibatan. Asian Politics & Policy. 15 (1): 37–47.
  • De Castro, R. C. 2018. 21st Century US Policy on an Emergent China: From Strategic Constrainment to Strategic Competition in the Indo-Pacific Region. International Journal of China Studies. 9(3): 259-283.
  • Department of Defense. 2018. National defense strategy of the United States of America. Amerika Syarikat. https://media.defense.gov/2020/May/18/2002302061/-1/-1/1/2018-NATIONAL-DEFENSE-STRATEGY-SUMMARY.PDF [17 Disember 2025]
  • He, K. & Feng, H. 2025. The positive externalities of US–China institutional balancing in the Indo-Pacific. International Affairs. 101(1): 35-52.
  • Hoffman, F. G. 2020. U.S. Strategies for Competing Against China. Dlm. Lynch 3rd, T. F. (pnyt.). Strategic Assessment 2020: Into a New Era of Great Power Competition, hlm. 289-308. Washington: NDU Press.
  • Jenn-Jaw, S. 2023. The Political Economy of Asian States and Their Development Strategies under USA-China Power Rivalry: Conducting Hedging Strategy on Triangular Relation and Operation. The Chinese Economy. 56(4): 245-255.
  • Jie, D. 2020. The emerging ideological security dilemma between China and the U.S. China International Strategy Review. 2: 184-196.
  • Jie, D. 2022. U.S. evolving strategic thinking about Taiwan. China International Strategy Review. 4: 217–232.
  • Khoo, N., Nicklin, G. & Tan, A. C. 2024. Introduction. Dlm. Khoo, N., Nicklin, G. & Tan, A. C. (pnyt.). Indo-Pacific Security: US-China Rivalry and Regional States’ Responses, hlm. 1-8. London: World Scientific Publishing Europe.
  • Kim, D. J. 2021. A case for geoeconomic restraint: offensive realism and the inflated threat of Chinese economic initiatives. Geopolitics. 26(5): 1421-1441.
  • Kochegurov, D. A. 2022. Formation of an anti-Chinese consensus among US “Think Tanks”: from D. Trump to J. Biden. Herald of the Russian Academy of Sciences. 92(7): S601-S611.
  • Koga, K. 2022. A New Strategic Minilateralism in the Indo-Pacific. Asia Policy. 17(4): 27-34.
  • Lin, R. & Keng, S. 2023. China’s Policy Toward Taiwan in the Xi Era. Dlm. Wei-chin, L. (pnyt.). Protests, Pandemic, and Security Predicaments: Hong Kong, Taiwan, China, and the US in the 2020s, hlm. 251-276. Switzerland: Palgrave Macmillan.
  • Liu, F. 2020. The recalibration of Chinese assertiveness: China’s responses to the Indo-Pacific challenge. International Affairs. 96(1): 9–27.
  • Lobell, S. E. 2018. How Should the US Respond to a Rising China? Dlm. Toje, A. (pnyt.). Will China’s Rise Be Peaceful?: Security, Stability, and Legitimacy,hlm. 349-368. New York: Oxford University Press.
  • Löfflmann, G. 2023. US Grand Strategy in Asia. Dlm. Turner, O., Nymalm, N. & Aslam, W. (pnyt.). The Routledge Handbook Of US Foreign Policy In The Indo- Pacific, hlm. 35-48. New York: Routledge
  • Lynch 3rd, T. F., Przystup, J. & Saunders, P. C. 2020. The Indo-Pacific Competitive Space: China’s Vision and the Post–World War II American Order. Dlm. Lynch 3rd, T. F. (pnyt.). Strategic Assessment 2020: Into a New Era of Great Power Competition, hlm. 185-218. Washington: NDU Press.
  • Maher, N. 2025. US–China policy amid a persistent strategy: is conflict over Taiwan inevitable? Review of Economics and Political Science. 10(3): 222-238.
  • Mastanduno, M. 2023. Realist Theories and US Foreign Policy in the Indo- Pacific. Dlm. Turner, O., Nymalm, N. & Aslam, W. (pnyt.). The Routledge Handbook Of US Foreign Policy In The Indo- Pacific, hlm. 152-165. New York: Routledge
  • Mastro, O. S. 2022. Deterrence in the Indo-Pacific. Asia Policy. 17(4): 8-18.
  • McCourt, D. M. 2022. Knowledge Communities in US Foreign Policy Making: The American China Field and the End of Engagement with the PRC. Security Studies. 31(4): 593–633.
  • Moore, G. J. 2014. The Difference a Day Makes: Understanding the End of the Sino-American “Tacit Alliance”. International Studies Review. 16(4): 540-574.
  • Omar, R. 2006. China dan kuasa hegemoni baru ekonomi. International Journal of Management Studies. 13(1): 1.
  • Peng, Y. 2024, “The Relationship between US-China Semiconductor Friction and US National Security: A Realism Perspective.” Obrana a strategie. 24(1): 41-60.
  • Rose, G. 1998. Neoclassical Realism And Theories Of Foreign Policy. World Politics. 51(1): 144-172.
  • Ross, R. S. (pnyt.). 2015. After The Cold War: Domestic Factors and U.S.-China Relations. New York: Routledge.
  • Ruizhuang, Z. 2018. Despite the “New Assertiveness,” China Is Not Up for Challenging the Global Order. . Dlm. Toje, A. (pnyt.). Will China’s Rise Be Peaceful?: Security, Stability, and Legitimacy,hlm. 231-253. New York: Oxford University Press.
  • Sutter, R. 2023. America Counters China: Congress, Resolve, and Constraints. Dlm. Wei-chin, L. (pnyt.). Protests, Pandemic, and Security Predicaments: Hong Kong, Taiwan, China, and the US in the 2020s, hlm. 397-430. Switzerland: Palgrave Macmillan.
  • Tarapore, A & Taylor, B. 2022. Minilaterals and Deterrence: A Critical New Nexus. Asia Policy. 17(4): 2-7.
  • The White House. 2017. National Security Strategy of the United States of America. Amerika Syarikat. https://trumpwhitehouse.archives.gov/wp-content/uploads/2017/12/NSS-Final-12-18-2017-0905.pdf [17 Disember 2025]
  • Thompson, S. 2023. World War Two and the Post- War ‘New Order’ in the Indo- Pacific. Dlm. Turner, O., Nymalm, N. & Aslam, W. (pnyt.). The Routledge Handbook Of US Foreign Policy In The Indo- Pacific, hlm. 21-34. New York: Routledge
  • Walt, S. M. 2018. Rising Powers and the Risks of War: A Realist View of Sino-American Relations.. Dlm. Toje, A. (pnyt.). Will China’s Rise Be Peaceful?: Security, Stability, and Legitimacy, hlm. 13-32. New York: Oxford University Press.
  • Wang, T. 2023. A Realism Analysis of the Impact of the Taiwan Strait Crisis Induced by Pelosi’s Visit to Taiwan from the Perspective of Realist Theory. BCP Social Sciences & Humanities. 21: 335-340.
  • Wang, T. Y. & Tan, A. C. 2024. Taiwan’s Strategic Choices in the Era of a Rising China. Dlm. Khoo, N., Nicklin, G. & Tan, A. C. (pnyt.). Indo-Pacific Security: US-China Rivalry and Regional States’ Responses, hlm. 75-98. London: World Scientific Publishing Europe.
  • Zhang, B. 2022. From defensive toward offensive realism: Strategic competition and continuities in the United States’ China policy. Journal of Contemporary China. 31(137): 793-809.

Nota

  1. John J. Mearsheimer memperkenalkan teori realisme ofensif dalam karya beliau pada tahun 2001 bertajuk The Tragedy of Great Power Politics. Teori struktural ini berhujah bahawa sifat anarki sistem antarabangsa memaksa kuasa-kuasa besar untuk bertindak secara agresif dan memaksimumkan kuasa relatif mereka bagi memastikan kelangsungan hidup negara. ↑

  2. Realisme neoklasik merujuk kepada pendekatan teori hubungan antarabangsa yang menggabungkan tekanan struktur sistem antarabangsa dengan faktor peringkat unit, khususnya politik domestik, persepsi elit dan institusi negara, bagi menjelaskan pembentukan dasar luar (Rose 1998). ↑

  3. Istilah Sino-American merujuk kepada hubungan dua hala antara Amerika Syarikat dan Republik Rakyat China, merangkumi dimensi politik, ekonomi, ketenteraan dan diplomatik. Dalam konteks hubungan antarabangsa, hubungan Sino-Amerika sering dianalisis sebagai interaksi antara dua kuasa besar yang membentuk imbangan kuasa global dan struktur sistem antarabangsa. ↑

  4. Pentadbiran Obama merujuk kepada dasar luar Amerika Syarikat sepanjang tempoh 2009–2017 di bawah Presiden Barack H. Obama. ↑

  5. Pentadbiran Trump merujuk kepada dasar luar Amerika Syarikat sepanjang tempoh 2017–2021 di bawah Presiden Donald J. Trump. ↑

  6. Revisionist power merujuk kepada negara yang berusaha mengubah status quo antarabangsa demi memaksimumkan kepentingan dan kuasa relatifnya. ↑

  7. Pentadbiran Biden merujuk kepada dasar luar Amerika Syarikat sepanjang tempoh bermula 2021 di bawah Presiden Joseph R. Biden Jr. ↑

  8. Hedging merujuk kepada strategi dasar luar yang menggabungkan elemen pengimbangan dan penglibatan secara serentak bagi mengurus risiko strategik. ↑

  9. First Island Chain merujuk kepada rantaian kepulauan di Pasifik Barat yang menjadi elemen utama dalam strategi pencegahan dan pengimbangan kuasa Amerika Syarikat terhadap China. Ia meliputi Jepun, Kepulauan Ryukyu, Filipina hingga ke Borneo. ↑

  10. One China Policy merujuk kepada dasar Amerika Syarikat yang mengiktiraf Beijing sebagai kerajaan sah China, sambil mengekalkan hubungan tidak rasmi dan komitmen keselamatan terhadap Taiwan. ↑

  11. Pengaturan minilateral merujuk kepada bentuk kerjasama antara sejumlah kecil negara bagi menangani isu strategik secara terfokus dan fleksibel. ↑

  12. Small yard, high fence merujuk kepada strategi sekatan teknologi terpilih Amerika Syarikat terhadap China bagi melindungi kelebihan strategik. ↑

Unless expressly indicated, materials published on WIRA.my have not undergone formal academic peer review. Analysis and commentary represent the author’s interpretation and should not be read as institutional policy positions.