Pengaruh Politik Agama terhadap Demokrasi di Negara-Negara Majoriti Muslim: Indonesia & Yaman

Universiti Kebangsaan Malaysia

Essay30 min read

1.0 Pengenalan

Indonesia dan Yaman merupakan dua negara majoriti Muslim yang mengalami evolusi politik yang unik dalam lanskap dunia Islam. Kedua-duanya menampilkan hubungan kompleks antara agama dan politik, namun hubungan ini menghasilkan kesan yang berbeza terhadap struktur demokrasi dan kestabilan negara. Esei ini mengkaji persamaan dan perbezaan politik agama di kedua-dua negara serta merumuskan keadaan demokrasi semasa negara masing-masing.

Di kedua-dua negara, agama memainkan peranan signifikan dalam politik. Di Indonesia, pasca Reformasi 1998 menyaksikan kemunculan parti-parti politik Islam seperti Parti Keadilan Sejahtera (PKS) yang menggabungkan dakwah dan aktivisme politik (Wiguna et al. 2024). Sementara itu, di Yaman, gerakan Houthi dan parti al-Islah menggunakan identiti keagamaan, mangsing-masing berasaskan mazhab Zaydi dan Salafi, sebagai alat untuk meraih dan mengekalkan kuasa (Almahfali & Root 2020).

Walaupun kedua-dua negara menyaksikan agama sebagai medium mobilisasi politik, manifestasinya sangat berbeza. Di Indonesia, sistem demokrasi yang berteraskan Pancasila cuba menyeimbangkan antara kebebasan beragama dan kestabilan negara. Di Yaman, sebaliknya, manipulasi identiti mazhab membawa kepada konflik bersenjata dan dominasi militan ke atas institusi negara (Dostal 2021).

2.0 Isu Politik Agama dan Demokrasi di Indonesia

2.1 Pengenalan dan Latar Belakang

Indonesia, sebagai negara dengan penduduk beragama Islam terbesar di dunia, mencatatkan kira-kira 85% daripada 270 juta rakyatnya menganut agama Islam. Keunikan negara ini terletak pada sistem demokrasinya yang beroperasi dalam lingkungan kepelbagaian etnik, budaya dan agama (Stirling 2024). Politik agama di Indonesia telah menjadi faktor penentu dalam membentuk lanskap demokrasi negara tersebut terutamanya sejak era Reformasi pada tahun 1998, apabila kejatuhan rejim autoritarian Suharto membuka ruang kepada kebebasan politik yang lebih luas (Qodir 2023).

Sejarah politik Indonesia sejak kemerdekaan pada tahun 1945 menunjukkan hubungan yang kompleks antara agama dan politik. Sejak awal kemerdekaan, negara ini memilih untuk mengamalkan ideologi Pancasila yang menggabungkan nilai-nilai ketuhanan, kemanusiaan, persatuan, demokrasi dan keadilan sosial. Pancasila menjadi asas negara yang cuba mengimbangi kepelbagaian agama dan etnik tanpa menjadikan Islam sebagai agama rasmi negara (Moru 2020).

Namun, politik agama mula mendapat perhatian serius selepas era Orde Baru di bawah Presiden Suharto (1967-1998). Di bawah rejim autoritarianisme ini, politik agama dikawal ketat untuk mengelakkan konflik dan mengekalkan kestabilan politik. Parti politik Islam seperti Parti Persatuan Pembangunan (PPP) dibenarkan beroperasi tetapi dalam kawalan ketat, manakala aktiviti dakwah Islam berkembang secara tidak formal (Karmiati 2023).

Kejatuhan Suharto pada tahun 1998 membuka ruang demokrasi yang lebih luas dan kebebasan berpolitik. Parti-parti Islam baru muncul, termasuk Parti Keadilan Sejahtera (PKS) yang berideologi Islamis dan menggabungkan dakwah dengan politik. Pada masa yang sama, pelaksanaan desentralisasi kuasa membolehkan wilayah-wilayah tertentu seperti Aceh melaksanakan peraturan daerah berasaskan syariah yang lebih ketat (Darlian et al. 2025).

Era Reformasi ini menandakan peralihan penting dalam politik Indonesia, di mana agama menjadi faktor utama dalam pembentukan identiti politik dan pengaruh dalam proses demokrasi. Walaupun demokrasi berkembang, ketegangan antara nilai-nilai Islam konservatif dan prinsip demokrasi liberal seperti kebebasan beragama dan hak minoriti terus menjadi cabaran utama.

2.2 Pancasila dan Peranan Agama dalam Politik

Pancasila, yang diperkenalkan oleh Presiden Sukarno, terdiri daripada lima prinsip asas negara Indonesia:

i. Ketuhanan Yang Maha Esa

ii. Kemanusiaan yang Adil dan Beradab

iii. Persatuan Indonesia

iv. Kerakyatan yang Dipimpin oleh Hikmat Kebijaksanaan dalam Permusyawaratan/Perwakilan

v. Keadilan Sosial bagi Seluruh Rakyat Indonesia

Prinsip pertama, Ketuhanan Yang Maha Esa, mengiktiraf peranan agama dalam kehidupan bernegara tanpa meletakkan satu agama tertentu sebagai agama rasmi negara. Ini mencerminkan model sekularisme inklusif yang membenarkan kebebasan beragama dan menghormati kepelbagaian agama di Indonesia (Badawi et al. 2020).

Dalam konteks ini, agama Islam mempunyai kedudukan istimewa kerana majoriti penduduknya, tetapi negara menolak konsep negara Islam yang berasaskan syariah sepenuhnya. Ini berbeza dengan beberapa negara majoriti Muslim lain yang mengamalkan Islam sebagai sumber utama undang-undang negara (Badawi et al. 2020).

Namun, dalam amalan politik, agama sering digunakan sebagai alat mobilisasi politik. Parti-parti Islam menggunakan retorik agama untuk menarik sokongan pengundi, manakala kumpulan konservatif agama menekan kerajaan untuk melaksanakan undang-undang berasaskan syariah. Peranan agama dalam politik ini mencetuskan dilema antara mengekalkan prinsip demokrasi yang inklusif dan memenuhi tuntutan kumpulan agama tertentu.

3.0 Peranan Parti Politik Islam dan Demokrasi

3.1 Parti Keadilan Sejahtera (PKS) dan Strategi Politik

PKS merupakan salah satu parti politik Islam yang paling berpengaruh di Indonesia sejak era Reformasi 1998. PKS ditubuhkan pada tahun 1998 dengan akar umbi yang kukuh dalam gerakan dakwah Islam dan dipengaruhi oleh ideologi Ikhwanul Muslimin dari Mesir. Parti ini menggunakan pendekatan yang berbeza daripada parti Islam tradisional dengan menggabungkan dakwah, aktivisme sosial dan politik secara profesional (Wiguna et al. 2024).

PKS menonjol kerana strategi politiknya yang pragmatik dan berorientasikan hasil. Mereka memberi tumpuan kepada isu-isu seperti anti-rasuah, keadilan sosial dan pembangunan ekonomi yang berasaskan nilai-nilai Islam. Melalui jaringan dakwah yang meluas di universiti, masjid dan organisasi masyarakat, PKS berjaya menarik sokongan golongan muda dan kelas menengah yang mahukan perubahan politik dan sosial (Wiguna et al. 2024).

Dalam pilihan raya sejak 2004, PKS memperoleh sekitar 7 hingga 8% undi parlimen, menunjukkan peningkatan sokongan yang ketara berbanding pilihan raya sebelumnya. Walaupun mempunyai agenda Islamis, PKS secara terbuka menyatakan komitmennya terhadap demokrasi dan Pancasila, menolak penggunaan kekerasan dan menegaskan kepentingan kebebasan dalam mengamalkan agama (Wiguna et al. 2024).

Namun, dokumen dalaman dan kenyataan beberapa pemimpin PKS menunjukkan bahawa parti ini mempunyai cita-cita jangka panjang untuk memperkukuhkan peranan syariah dalam sistem perundangan Indonesia, terutamanya dalam bidang kekeluargaan dan moral sosial (Rofhani & Fuad 2021). Ini menimbulkan persoalan mengenai keserasian antara agenda Islamis dan prinsip demokrasi liberal yang mengutamakan hak individu dan kebebasan golongan minoriti.

3.2 Parti Islam Tradisional dan Perubahan Sokongan Rakyat

Selain PKS, parti-parti Islam tradisional seperti PPP dan Parti Amanat Nasional (PAN) juga memainkan peranan penting dalam politik Indonesia. PPP yang ditubuhkan pada tahun 1973, merupakan gabungan beberapa parti Islam lama dan mempunyai sejarah panjang dalam arena politik. PAN pula ditubuhkan oleh tokoh reformis Amien Rais pada tahun 1998 dan berakar umbi dalam gerakan Muhammadiyah, sebuah organisasi Islam moden dan progresif (Permata 2010).

Walaupun parti-parti ini mempunyai sokongan yang signifikan pada awal era Reformasi, mereka menghadapi kemerosotan undi dalam pilihan raya kebelakangan ini. Sebagai contoh, gabungan parti Islam tradisional hanya memperoleh sekitar 24% undi dalam pilihan raya 2009, berbanding 32% pada tahun 2004. Faktor utama kemerosotan ini adalah kegagalan mereka untuk menangani isu-isu ekonomi dan rasuah serta ketidakmampuan menyesuaikan diri dengan aspirasi masyarakat yang semakin sekular dan majmuk (Syam 2024).

Fenomena ini menunjukkan bahawa pengundi Indonesia semakin mengutamakan prestasi dan integriti politik berbanding identiti agama semata-mata. Ini selaras dengan teori penyahjajaran ideologi (dealignment) dalam politik pasca-moden, di mana sokongan pengundi tidak lagi berasaskan identiti agama atau etnik, tetapi kepada isu-isu praktikal dan kualiti kepimpinan (Syam 2024).

3.3 Implikasi Politik Agama terhadap Sistem Demokrasi

Pengaruh politik agama dalam demokrasi Indonesia membawa implikasi yang kompleks. Di satu pihak, parti-parti Islam seperti PKS berjaya menggalakkan penyertaan politik golongan Muslim yang selama ini kurang diwakili, sekaligus memperkukuhkan prinsip demokrasi inklusif. Mereka juga memainkan peranan penting dalam membentuk agenda sosial dan moral yang mendapat sokongan majoriti rakyat (Yuniarto 2022).

Namun, di pihak lain, kebangkitan politik agama turut menimbulkan cabaran kepada prinsip demokrasi liberal, khususnya dalam aspek kebebasan beragama, hak minoriti dan pluralisme. Tekanan untuk melaksanakan undang-undang berasaskan syariah, seperti peraturan daerah syariah di beberapa wilayah dan penggunaan undang-undang penodaan agama sebagai alat politik, memperlihatkan ketegangan antara tuntutan agama konservatif dan hak asasi manusia (Mufidah et al. 2021).

Selain itu, politik identiti agama juga berpotensi menggalakkan polarisasi dan konflik sosial, seperti yang berlaku dalam pilihan raya Gubernur Jakarta 2017 yang melibatkan Basuki Tjahaja Purnama (Ahok). Kes ini menunjukkan bagaimana isu agama boleh dimanipulasi untuk kepentingan politik, sekaligus menguji ketahanan institusi demokrasi Indonesia (Yazid et al. 2024).

4.0 Undang-Undang Syariah dan Cabaran Demokrasi

4.1 Pelaksanaan PERDA Syariah di Wilayah Aceh dan Wilayah Lain

Perda (Peraturan Daerah) Syariah di Indonesia merupakan manifestasi jelas pengaruh politik agama terhadap demokrasi dan tadbir urus negara. Wilayah Aceh khususnya, menonjol sebagai contoh utama di mana peraturan syariah dilaksanakan secara ketat dan sistematik. Sejak diberi status autonomi khas melalui Undang-Undang Pemerintahan Aceh (UUPA) pada tahun 2001, Aceh diberi hak istimewa untuk melaksanakan qanun syariah yang mengawal pelbagai aspek kehidupan masyarakat, termasuk undang-undang jenayah Islam yang dikenali sebagai Qanun Jinayat (Febriana & Zulkarnain 2023). Pelaksanaan hukuman ini sering dilakukan secara terbuka di tempat awam, walaupun sejak 2018 terdapat usaha untuk memindahkan pelaksanaan hukuman ke tempat tertutup demi mengurangkan kontroversi awam. Pelaksanaan peraturan syariah di Aceh menjadi simbol perjuangan identiti Islam Aceh dan usaha memperkukuhkan nilai-nilai agama dalam kehidupan sosial dan politik. Namun, peraturan ini juga menimbulkan kontroversi dan cabaran serius terhadap prinsip demokrasi dan hak asasi manusia (Hanafi et al. 2023).

Selain Aceh, wilayah lain seperti Sumatera Barat, Banten dan beberapa daerah di Jawa Barat juga melaksanakan peraturan syariah yang mengawal tingkah laku sosial, seperti larangan berjudi, pengambilan arak dan pergaulan bebas. Namun, peraturan-peraturan ini sering bercanggah dengan undang-undang nasional dan prinsip hak asasi manusia yang dijamin oleh Perlembagaan 1945. Contohnya, peraturan larangan wanita keluar malam tanpa mahram dianggap diskriminasi dan menghadkan kebebasan pergerakan wanita secara tidak adil (Al Fiyah & Muhyidin 2023).

Penyelidik dari (Institut Sains Indonesia) LIPI dan organisasi hak asasi manusia seperti Setara Institute mengkritik peraturan syariah yang dianggap bersifat elitis, tidak inklusif dan sering dibuat tanpa melibatkan penyertaan masyarakat luas, terutamanya kumpulan minoriti. Peraturan syariah juga kerap digunakan sebagai alat politik pilihan raya oleh parti-parti Islam konservatif untuk mendapatkan sokongan dengan janji-janji penguatkuasaan moraliti, sedangkan pelaksanaannya sering tidak konsisten dan menimbulkan ketegangan sosial (Dwiastono 2019).

4.2 Undang-Undang Penodaan Agama dan Kes Ahok

Selain peraturan syariah, undang-undang penodaan agama di Indonesia juga menjadi instrumen penting yang mempengaruhi demokrasi dan kebebasan bersuara. Pasal 156a Kitab Undang-Undang Hukum Pidana (KUHP) di Indonesia mengawal tentang kesalahan penodaan agama dengan ancaman hukuman penjara sehingga lima tahun. Undang-undang ini bertujuan untuk menjaga keharmonian antara penganut agama di negara yang sangat berbilang kaum (Yazid et al. 2024).

Namun, secara realitiya, pasal ini sering dikritik kerana disalahgunakan sebagai alat politik untuk menekan pihak lawan dan menghadkan kebebasan bersuara. Kes yang paling terkenal ialah kes Ahok, bekas Gabenor Jakarta yang beragama Kristian dan berketurunan Cina. Pada tahun 2016, Ahok didakwa melakukan penodaan agama selepas kenyataannya mengenai petikan dari Al-Quran Surah Al-Maidah ayat 51 yang dianggap menyinggung umat Islam (Yazid et al. 2024).

Kes Ahok mencetuskan demonstrasi besar-besaran yang dipimpin oleh Front Pembela Islam (FPI) dan kumpulan konservatif lain, yang menuntut hukuman berat terhadapnya. Pada tahun 2017, Ahok dijatuhkan hukuman dua tahun penjara, keputusan yang mendapat kecaman daripada pelbagai pihak antarabangsa dan organisasi hak asasi manusia. Mereka menilai keputusan tersebut bertentangan dengan prinsip kebebasan bersuara dan bersifat diskriminasi terhadap minoriti agama (Yazid et al. 2024).

Hukuman ini juga menimbulkan kesan menakutkan bagi kumpulan minoriti dan masyarakat sivil untuk bersuara secara bebas, kerana takut dituduh melakukan penodaan agama. Organisasi seperti Amnesty International, Kesatuan Eropah dan kerajaan negara-negara Barat menyatakan kebimbangan mereka terhadap penggunaan pasal penodaan agama yang berlebihan dan tidak adil (Richardson et al. 2020).

4.3 Implikasi terhadap Hak Asasi dan Kebebasan Beragama

Pelaksanaan perda syariah dan penguatkuasaan undang-undang penodaan agama membawa kesan signifikan terhadap hak asasi manusia dan kebebasan beragama di Indonesia. Perda syariah sering kali mendiskriminasi wanita, minoriti agama dan kumpulan LGBTQ+, menghadkan kebebasan individu dalam menjalani kehidupan sosial dan menghalang prinsip kesetaraan jantina. Contohnya, perda yang melarang wanita keluar pada waktu malam tanpa mahram mengukuhkan stereotaip jantina yang meletakkan wanita sebagai Kumpulan yang perlu dikawal, bukan sebagai individu yang mempunyai kebebasan dan hak yang setara (Greenwalt 2024).

Selain itu, perda syariah juga berpotensi menimbulkan konflik antara agama dan ketidakadilan bagi kumpulan minoriti bukan Islam yang tinggal di wilayah tersebut. Beberapa perda malah mengatur aktiviti keagamaan bukan Islam secara ketat, menghadkan pembinaan rumah ibadat dan aktiviti keagamaan mereka, yang bertentangan dengan prinsip kebebasan beragama yang dijamin oleh perlembagaan Indonesia (Richardson et al. 2020).

Undang-undang penodaan agama juga menimbulkan ketakutan dalam masyarakat untuk menyuarakan pendapat, terutamanya jika berkaitan dengan agama. Hal ini menghadkan ruang kebebasan bersuara dan perbezaan pendapat yang sihat. Kebebasan bersuara dan perbezaan pendapat merupakan elemen penting dalam demokrasi yang inklusif dan terbuka. Banyak kes dakwaan jenayah terhadap individu yang hanya menyampaikan kritikan atau pendapat yang dianggap menyinggung agama, tanpa adanya niat untuk memecah belah atau menghasut kebencian (Richardson et al. 2020).

Namun demikian, Indonesia masih mempunyai institusi demokrasi yang agak kukuh yang berusaha mengekang penyalahgunaan kuasa agama. Mahkamah Perlembagaan dan Mahkamah Agung secara berkala mengkaji dan membatalkan perda-perda yang bertentangan dengan prinsip perlembagaan dan hak asasi manusia. Organisasi masyarakat sivil seperti Wahid Institute, Setara Institute dan lain-lain aktif mengawasi pelaksanaan perda syariah dan fasal penodaan agama, serta memberikan pendidikan dan advokasi untuk perlindungan hak asasi dan pluralisme (Metera 2022).

5.0 Analisis Kes

5.1 Kes Ahok dan Qanun Jinayat Aceh sebagai Kajian Kes

Kes Ahok dan pelaksanaan Qanun Jinayat di Aceh merupakan dua contoh paling ketara yang menggambarkan bagaimana politik agama mempengaruhi demokrasi di Indonesia. Kedua-dua kes ini bukan sahaja mencerminkan ketegangan antara tuntutan agama konservatif dan prinsip demokrasi inklusif, malah turut menunjukkan cabaran dalam mengekalkan hak asasi manusia dan pluralisme dalam negara majoriti Muslim yang berbilang kaum dan agama (Yazid et al. 2024).

Kes Ahok (2016-2017) menjadi simbol ketegangan antara pluralisme dan konservatisme agama di Indonesia. Ahok, seorang Kristian berketurunan Cina, menghadapi tuduhan penodaan agama selepas kenyataannya mengenai ayat Al-Quran yang digunakan dalam kempen pilihan raya Gabenor Jakarta. Tuduhan ini dipolitikkan oleh kumpulan konservatif seperti FPI yang menganjurkan demonstrasi besar-besaran menuntut hukuman terhadap Ahok. Demonstrasi yang dikenali sebagai Aksi 212 itu menarik puluhan ribu peserta dan mendapat liputan meluas media tempatan dan antarabangsa (Yazid et al. 2024).

Keputusan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun kepada Ahok telah menimbulkan kritikan antarabangsa dan membangkitkan persoalan serius tentang kebebasan bersuara, hak minoriti dan keadilan dalam sistem demokrasi Indonesia. Kes ini memperlihatkan bagaimana undang-undang penodaan agama boleh digunakan sebagai alat politik untuk mempengaruhi proses demokrasi dan menghalang kepelbagaian. Ia juga menimbulkan kebimbangan bahawa minoriti agama dan etnik di Indonesia berisiko mengalami diskriminasi dan penindasan melalui mekanisme undang-undang yang sepatutnya melindungi hak semua rakyat (Puspaningrum & Adhi 2023).

Sementara itu, Qanun Jinayat Aceh pula merupakan pelaksanaan undang-undang syariah yang ketat di wilayah Aceh, yang diberikan autonomi khas selepas perjanjian damai Helsinki 2005. Qanun ini memperkenalkan hukuman sebat, denda dan penjara bagi kesalahan moral. Pelaksanaan Qanun Jinayat menimbulkan persoalan tentang bagaimana undang-undang berasaskan agama boleh bertembung dengan prinsip hak asasi manusia dan kebebasan individu dalam demokrasi. Hukuman sebat yang dilaksanakan secara terbuka dianggap bertentangan dengan norma hak asasi yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. Selain itu, pelaksanaan qanun ini juga mencetuskan perdebatan tentang autonomi daerah dan batasan kuasa kerajaan pusat dalam memastikan hak asasi dihormati (Fuad et al. 2022).

Kedua-dua kes ini memperlihatkan cabaran utama yang dihadapi oleh demokrasi Indonesia dalam menyeimbangkan tuntutan agama konservatif dengan prinsip demokrasi inklusif dan hak asasi manusia. Ia juga menunjukkan bagaimana institusi demokrasi dan perundangan perlu berfungsi secara berkesan untuk melindungi kepelbagaian dan kebebasan rakyat, tanpa mengorbankan keharmonian sosial dan identiti agama majoriti.

Berbanding dengan Yaman, Indonesia lebih menonjol kerana model demokrasi yang lebih majmuk dan pengagihan kuasa yang membolehkan wilayah seperti Aceh melaksanakan peraturan daerah syariah, tetapi pada masa yang sama mengekalkan prinsip Pancasila yang bersifat inklusif. Pancasila sebagai asas negara menegaskan prinsip kebebasan beragama dan penghormatan terhadap kepelbagaian, yang menjadi benteng penting dalam mengekalkan keharmonian sosial dan demokrasi (Jaelani 2024).

Walaupun terdapat cabaran dan ketegangan, institusi demokrasi Indonesia menunjukkan ketahanan yang lebih baik dalam mengimbangi kepelbagaian agama dan politik. Parti politik Islam di Indonesia tidak pernah mencapai dominasi mutlak, sebaliknya sering berkoalisi dengan parti sekular dan nasionalis, yang membantu mengelakkan polarisasi melampau. Selain itu, organisasi Islam tradisional seperti Nahdlatul Ulama (NU) dan Muhammadiyah memainkan peranan sederhana dan terbuka dalam masyarakat, berbeza dengan kumpulan Islamis konservatif Yaman (Ardhani et al. 2022).

Indonesia juga menunjukkan bahawa demokrasi dan Islam boleh berjalan seiring apabila institusi demokrasi kukuh dan masyarakat sivil aktif. Walaupun terdapat tekanan daripada kumpulan konservatif, mekanisme demokrasi seperti pilihan raya bebas, kebebasan media dan perundangan yang berasaskan hak asasi manusia terus berfungsi sebagai penyeimbang.

5.2 Peranan Pertubuhan Agama dalam Demokrasi Indonesia

Indonesia sebagai negara demokrasi terbesar di Asia Tenggara tidak hanya ditentukan oleh proses politik rasmi seperti pilihan raya dan perlembagaan, tetapi juga oleh pengaruh organisasi masyarakat sivil yang memainkan peranan penting dalam membentuk kesedaran dan penglibatan rakyat. Antara organisasi yang paling berpengaruh ialah Muhammadiyah dan Nahdlatul Ulama (NU). Kedua-dua pertubuhan ini bukan sahaja menjadi tonggak dalam pembangunan pendidikan dan sosial, malah turut berperanan aktif dalam memperkukuh demokrasi dan kestabilan politik negara (Al-Ansi & Kartono 2023).

Muhammadiyah sebagai sebuah organisasi Islam yang menjunjung tinggi nilai kesederhanaan, mereka mengambil pendekatan tidak berpihak secara rasmi kepada mana-mana parti politik. Namun begitu, ahli-ahlinya bebas menyertai politik secara individu. Penubuhan Partai Amanat Nasional (PAN) dan Partai Matahari Bangsa (PMB) menjadi contoh sumbangan Muhammadiyah dalam arena politik formal (Al-Ansi & Kartono 2023).

Peranan Muhammadiyah lebih terserlah dalam usaha mengekalkan kestabilan semasa peralihan kuasa, seperti yang berlaku selepas kejatuhan rejim Suharto. Sokongan mereka terhadap Abdurrahman Wahid sebagai presiden baharu menunjukkan komitmen terhadap keamanan dan reformasi walaupun beliau dari NU (Al-Ansi & Kartono 2023). Di samping itu, Muhammadiyah menyuarakan pandangan terhadap isu nasional melalui pendekatan aman dan intelektual, sejajar dengan prinsip demokrasi.

Nahdlatul Ulama pula lebih terlibat secara langsung dalam politik melalui parti rasmi mereka, Partai Kebangkitan Bangsa (PKB). Walaupun begitu, NU tetap memberikan kebebasan kepada ahlinya untuk menyertai pelbagai parti politik, sekali gus mencerminkan keterbukaan dan kepelbagaian dalam organisasi ini. Dengan jumlah pengikut yang besar, NU mempunyai pengaruh besar dalam pilihan raya (Al-Ansi & Kartono 2023). Mereka sering memberikan arahan atau panduan kepada ahli dalam menentukan calon yang patut disokong, yang secara tidak langsung membentuk arah tuju politik negara. NU juga mempromosikan nilai toleransi, dialog antara agama, serta kesamarataan yang merupakan nilai-nilai asas dalam sistem demokrasi moden (Al-Ansi & Kartono 2023).

Peranan NU tidak terbatas di dalam negara. Melalui kerjasama global, mereka aktif menentang ekstremisme dan menyebarkan ajaran Islam sederhana ke peringkat antarabangsa. Sokongan mereka terhadap ideologi Pancasila turut menjadikan NU sebagai pelindung kepada prinsip kesatuan dan kebangsaan dalam konteks demokrasi Indonesia (Al-Ansi & Kartono 2023).

5.3 Kesimpulan

Indonesia, sebagai negara dengan populasi Muslim terbesar di dunia, telah melalui perjalanan demokrasi yang unik dan mencabar. Berdasarkan kajian kes yang telah dijalankan, jelas bahawa politik agama telah memberikan pengaruh yang amat signifikan terhadap perkembangan demokrasi di Indonesia. Sejak era Reformasi 1998, kita menyaksikan kebangkitan parti-parti politik Islam seperti PKS yang membawa agenda Islamis ke dalam arena politik formal. Pada masa yang sama, pelaksanaan undang-undang berasaskan agama seperti perda syariah di Aceh dan undang-undang penodaan agama telah mencerminkan ketegangan yang berterusan antara aspirasi agama konservatif dan prinsip demokrasi liberal yang mengutamakan kebebasan beragama dan hak asasi manusia.

Pemimpi juga memainkan peranan yang amat penting. Tidak hairan jika pemilihan calon Muslim memainkan peranan dalam perebutan kuasa di Indonesia, memandangkan majoriti penduduk negara ini menganut agama Islam. Hal ini terbukti apabila semua parti politik mencalonkan pemimpin beragama Islam sebagai calon presiden atau timbalannya dalam Pilihan Raya Presiden 2024. Ketiga-tiga pasangan ini menawarkan visi masing-masing bagi masa depan Indonesia, menjadikan pemilihan kali ini antara yang paling signifikan dalam sejarah moden republik tersebut.

Prabowo Subianto, tokoh politik berpengalaman dan Ketua Umum Partai Gerindra, bertanding sebagai calon presiden buat kali ketiga. Beliau menggandingkan diri dengan Gibran Rakabuming Raka, putera sulung Presiden Joko Widodo dan Wali Kota Surakarta. Pasangan ini disokong oleh Koalisi Indonesia Maju yang terdiri daripada beberapa parti besar seperti Gerindra, Golkar, PAN, Demokrat, PSI, serta PKB yang menyertai kemudian. Penyertaan Gibran yang masih muda dilihat sebagai strategi untuk menarik sokongan generasi muda, meskipun ia turut menimbulkan kontroversi dari aspek etika dan nepotisme.

Anies Baswedan, bekas Gabenor Jakarta, tampil sebagai calon yang membawa agenda perubahan. Beliau berganding dengan Muhaimin Iskandar dari PKB dan bersama-sama membentuk Koalisi Perubahan yang merangkumi NasDem, PKS, PKB dan beberapa parti Islam lain. Pasangan ini menekankan pentingnya reformasi institusi, keadilan sosial, serta peningkatan dalam sektor pendidikan dan kesihatan. Sokongan yang kuat dari komuniti Islam progresif memberi kelebihan tersendiri kepada pasangan ini, walaupun mereka menghadapi cabaran untuk meraih sokongan di kawasan luar bandar yang cenderung kepada parti-parti tradisional.

Ganjar Pranowo, bekas Gabenor Jawa Tengah dan calon pilihan Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), berganding bahu dengan Mahfud MD, seorang tokoh intelektual dan bekas Menteri Koordinator Politik, Hukum dan Keamanan. Mereka disokong oleh koalisi yang dikenali sebagai Aliansi Parpol, terdiri daripada PDI-P, PPP dan beberapa parti kecil lain. Pasangan ini membawa imej tegas dan bersih, dengan tumpuan kepada integriti dan kelangsungan pembangunan yang telah diasaskan oleh pentadbiran Jokowi.

No.

Calon Presiden

Calon Wakil Presiden

Parti Utama / Koalisi

1

Prabowo Subianto

Gibran Rakabuming Raka

Koalisi Indonesia Maju: Gerindra, Golkar, PAN, Demokrat, PSI, PBB, Garuda

2

Anies Baswedan

Muhaimin Iskandar (Cak Imin)

Koalisi Perubahan: NasDem, PKB, PKS, Partai Ummat

3

Ganjar Pranowo

Mahfud MD

Koalisi PDI-P: PDI Perjuangan, PPP, Hanura, Perindo

Jadual: Calon Presiden, Wakil Presiden dan Parti Utama

Kes Ahok dan pelaksanaan Qanun Jinayat Aceh yang dibincangkan secara mendalam merupakan contoh jelas bagaimana politik agama boleh menjadi alat mobilisasi politik yang berpotensi mengancam pluralisme, kebebasan bersuara dan hak minoriti dalam masyarakat Indonesia. Penggunaan sentimen agama dalam kes Ahok telah memperlihatkan bagaimana undang-undang penodaan agama boleh dimanipulasikan untuk tujuan politik, manakala pelaksanaan Qanun Jinayat Aceh menunjukkan cabaran dalam menyeimbangkan autonomi daerah dengan perlindungan hak asasi manusia.

Walau bagaimanapun, demokrasi Indonesia masih menunjukkan daya tahan yang mengagumkan melalui institusi seperti Mahkamah Perlembagaan dan organisasi masyarakat sivil yang aktif mempertahankan prinsip-prinsip demokrasi dan hak asasi manusia. Perbandingan dengan negara majoriti Muslim lain seperti Yaman juga menunjukkan bahawa Indonesia mempunyai model demokrasi yang lebih pluralistik dan inklusif, walaupun menghadapi cabaran yang besar dalam mengimbangi tuntutan politik agama dengan prinsip-prinsip demokrasi liberal.

Untuk mengukuhkan lagi demokrasi Indonesia dan menangani cabaran politik agama yang semakin kompleks, beberapa langkah proaktif perlu diambil. Langkah untuk mengukuhkan institusi perundangan dan kehakiman amat penting untuk diberi perhatian. Mahkamah Perlembagaan perlu terus diberi kuasa dan sumber yang mencukupi untuk melaksanakan tugas mengawal selia pelaksanaan undang-undang berasaskan agama agar tidak bertentangan dengan Perlembagaan dan prinsip hak asasi manusia. Proses kehakiman yang bebas dan telus merupakan benteng utama untuk memastikan keadilan tidak dipengaruhi oleh tekanan politik agama yang sering memanipulasikan sentimen masyarakat.

Selain itu, pendidikan kewarganegaraan dan pluralisme perlu diperkukuh dalam kurikulum pendidikan formal dan program-program pendidikan tidak formal. Nilai-nilai pluralisme, toleransi dan demokrasi perlu ditanam sejak peringkat sekolah rendah untuk membentuk generasi masa depan yang menghormati kepelbagaian dan memahami kepentingan kebebasan beragama dalam konteks negara berbilang kaum dan agama. Program kesedaran masyarakat tentang kepentingan menghormati hak minoriti boleh dilaksanakan melalui kempen media, ceramah awam dan program pendidikan komuniti untuk mengurangkan polarisasi dan konflik sosial.

Dialog antara agama dan komuniti juga perlu dipergiatkan di seluruh Indonesia. Dengan memperkukuhkan platform dialog antara agama di peringkat komuniti dan nasional, ia dapat membantu membina persefahaman dan mengurangkan ketegangan antara kumpulan agama yang berbeza. Pemimpin-pemimpin agama yang moderat perlu diberi ruang lebih besar untuk menyuarakan pandangan mereka dan mempromosikan nilai-nilai keharmonian antara penganut agama yang berbeza, sambil menolak ekstremisme dan intoleransi.

Undang-undang penodaan agama yang sering menjadi kontroversi di Indonesia juga memerlukan pengawasan ketat dan reformasi menyeluruh. d Reformasi undang-undang tersebut haruslah bertujuan untuk mencapai keseimbangan yang wajar antara perlindungan kebebasan beragama dengan menghormati sensitiviti masyarakat berkaitan isu-isu keagamaan. Panduan yang jelas tentang tafsiran dan pelaksanaan undang-undang ini perlu disediakan untuk mengelakkan penyalahgunaan.

Masyarakat Indonesia sangat mempercayai institusi agama. Kajian dari Jonathan Evans et al. pada 2023 mendapati bahawa 82% Islam sebagai agama untuk diikuti. Masyarakat Islam Indonesia juga mengakui bahawa Islam adalah budaya, tradisi keluarga dan bukan hanya agama yang dipilih semata-mata. Namun begitu, hanya 64% sahaja yang mahukan undang-undang syariah dijadikan undang-undang rasmi negara (Evans et al. 2023). Lebih dari itu, 91% dari rakyat Indonesia mahukan pemimpin politik dari kalangan mereka yang beragama Islam (Evans et al. 2023).

Akhir sekali, pengurusan desentralisasi kuasa perlu dilaksanakan dengan lebih seimbang, terutamanya berkaitan dengan pelaksanaan perda syariah di wilayah-wilayah tertentu. Autonomi wilayah seperti Aceh haruslah diurus berdasarkan prinsip yang mengimbangi hak autonomi dengan keperluan melindungi hak asasi semua warganegara. Kerajaan pusat perlu memainkan peranan aktif dalam memastikan perda syariah yang dilaksanakan di peringkat daerah tidak melanggar hak asasi dan prinsip demokrasi yang dijamin oleh Perlembagaan Indonesia.

Dengan melaksanakan cadangan-cadangan ini secara sistematik dan menyeluruh, Indonesia berpotensi untuk terus memperkukuhkan demokrasi yang inklusif dan berdaya tahan dalam konteks masyarakat yang majoriti Muslim. Pengalaman Indonesia dalam mengimbangi politik agama dan prinsip demokrasi ini boleh menjadi model dan inspirasi kepada negara-negara Islam lain yang sedang melalui proses pendemokrasian. Pada akhirnya, kejayaan Indonesia dalam menguruskan ketegangan antara politik agama dengan demokrasi akan menentukan masa depan negara ini sebagai negara demokrasi Islam terbesar di dunia.

6.0 Isu Politik Agama dan Demokrasi di Yaman

6.1 Latar Politik dan Keagamaan Yaman

Yaman merupakan salah satu negara majoriti Muslim yang menampilkan kepelbagaian mazhab dalam lanskap politik dan sosialnya. Dengan populasi yang sebahagian besarnya terdiri daripada penganut Islam Sunni Syafie di wilayah selatan dan pesisir pantai seperti Aden dan Taiz, serta Syiah Zaydi di kawasan utara seperti Sa’dah dan Sanaa, struktur negara ini telah lama dipengaruhi oleh wacana keagamaan dan identiti mazhab. Namun, perbezaan ini tidak secara semula jadi membawa kepada konflik melainkan apabila dimanipulasi oleh aktor kekuasaan, baik dari dalam mahupun luar (Dostal 2021).

Sebelum 1962, Yaman Utara diperintah oleh sistem Imamah Zaydi yang berteraskan doktrin bahawa hanya keturunan Ahlul Bait iaitu waris Nabi Muhammad melalui jalur Hasan dan Husayn yang layak memegang tampuk pemerintahan. Sistem ini meletakkan agama bukan sahaja sebagai sumber moral, tetapi juga sumber legitimasi kekuasaan dan pentadbiran. Walaupun revolusi republik menggulingkan sistem ini, realiti pasca-revolusi menyaksikan legasi keagamaan itu terus meresap dalam struktur institusi dan pengaruh elit politik (Sarhan & Saidin 2022).

Penyatuan Yaman Utara dan Selatan pada tahun 1990 membuka ruang kepada sistem pelbagai parti dan proses demokratik yang lebih terbuka. Namun, percaturan geopolitik, marginalisasi wilayah tertentu dan penguasaan elit agama menyebabkan demokrasi yang diimpi-impikan itu tidak dapat berkembang. Seperti yang dihujahkan oleh Bonnefoy & Poirier (2010), selepas penyatuan negara, agama yang asalnya menjadi asas moral kepada politik telah dieksploitasi sebagai alat mempertahankan kekuasaan oleh aktor politik yang bermazhab. Konflik yang menyusul, antaranya melibatkan gerakan Zaydi seperti Houthi dan parti Sunni Islamis seperti al-Islah mencerminkan bagaimana agama telah berubah daripada menjadi nilai penyatuan kepada alat pertarungan kuasa yang menindas.

6.2 Sejarah Politik: dari Imamah ke Negara Republik

Sistem Imamah yang bertahan lebih seribu tahun di Yaman Utara merupakan bentuk pemerintahan teokratik yang menggabungkan kuasa agama, politik dan struktur kesukuan. Imam bukan sahaja merupakan pemimpin rohani, tetapi juga menguasai sistem kehakiman, ekonomi dan ketenteraan. Pemerintahan Imam Yahya Sharaf al-Din misalnya, mengekalkan kuasa melalui gabungan perkahwinan strategik dengan pemimpin suku serta penguasaan terhadap wilayah pergunungan yang strategik (Pukhovaia 2023).

Revolusi 1962 yang menumbangkan sistem Imamah telah disokong oleh Mesir di bawah Nasser, manakala puak royalist didanai oleh Arab Saudi. Ini menandakan bahawa dari awal lagi, peralihan kuasa politik di Yaman sentiasa dibentuk oleh kuasa luar dengan agendanya tersendiri (Orkaby 2014). Meskipun secara rasmi sistem teokrasi digantikan dengan republik, namun menurut vom Bruck (2010), legasi Imamah tidak pernah benar-benar dihapuskan. Banyak pegawai tinggi kerajaan dan hakim masih datang daripada keturunan Zaydi. Di sebalik retorik nasionalisme, struktur pentadbiran kekal dikuasai oleh kelompok elit agama dan suku.

Dalam era republik, muncul pula pengaruh luar yang lebih kuat melalui saluran ideologi Salafi-Wahhabi, khususnya melalui dana dan institusi dari Arab Saudi. Pendekatan ini secara sistematik meminggirkan tradisi Zaydi dalam kurikulum sekolah dan institusi keagamaan. Ini menimbulkan ketegangan dalam kalangan masyarakat Zaydi, yang akhirnya membawa kepada kemunculan gerakan Houthi. Seperti dijelaskan oleh Almahfali dan Root (2020), gerakan Houthi muncul bukan sekadar sebagai reaksi kepada diskriminasi mazhab, tetapi sebagai usaha untuk mengembalikan identiti keagamaan dan maruah politik yang terhapus dalam sistem republik yang korup.

Kebangkitan Houthi memperlihatkan kesinambungan naratif keagamaan dari era Imamah ke republik moden. Dengan mengangkat simbol Ahlul Bait, mereka memperkukuh tuntutan moral dan spiritual terhadap kekuasaan politik. Namun, bentuk baru gerakan ini lebih militan dan revolusioner, menjadikan ia bukan sekadar nostalgia institusi lama, tetapi satu bentuk dominasi teokratik yang agresif terhadap sistem demokrasi.

7.0 Agama dan Institusi

7.1 Mazhab, Sektarianisme dan Perebutan Legitimasi

Dalam konteks Yaman, mazhab telah lama berperanan sebagai identiti sosial yang penting. Namun, selepas penyatuan negara, ia menjadi medan perebutan kuasa apabila institusi negara gagal menjamin keterangkuman dan keadilan. Dominasi pendekatan Salafi-Wahhabi dalam sistem pendidikan, masjid dan dasar awam menyingkirkan warisan Zaydi daripada arus perdana negara (vom Bruck 2010). Dalam keadaan ini, politik mazhab menjadi alat efektif untuk mengatur semula struktur kekuasaan.

Parti al-Islah ditubuhkan sebagai sebuah entiti Islamis yang konservatif, merangkumi elemen Ikhwanul Muslimin, Salafi dan elit suku. Hubungannya dengan Arab Saudi menjadikannya pemain penting dalam mengekang pengaruh Houthi. Namun, peranan ulama konservatif dalam al-Islah menjadikan parti ini tidak benar-benar komited kepada demokrasi progresif. Heibach (2015) menjelaskan bagaimana wujud pergeseran antara suara reformis dan suara tradisional dalam struktur kepimpinan mereka.

Pada masa sama, Houthi memanfaatkan maruah mazhab Zaydi dan menentang pengaruh luar seperti Amerika Syarikat dan Arab Saudi. Namun, perjuangan mereka bukan sahaja menolak pengaruh Barat, tetapi turut menghapuskan pluralisme mazhab dalam negara. Hubungan Houthi dengan Iran sering dipersoalkan, namun seperti dinyatakan oleh Almahfali & Root (2020), mereka tidak mengikut doktrin Syiah Dua Belas secara mutlak, sebaliknya membentuk ideologi hibrid yang menyesuaikan konteks lokal.

Durac (2019) menegaskan bahawa pertembungan ini tidak boleh dibaca semata-mata sebagai konflik Sunni-Syiah. Sebaliknya, ia adalah pertarungan antara kelompok yang memiliki akses kepada sumber kekuasaan (negara, senjata, sokongan luar) dan kelompok yang terpinggir dalam sistem politik yang tidak demokratik. Dalam suasana ini, agama dijadikan pelindung kepada perebutan kuasa, bukannya sebagai wahana penyatuan.

7.2 Agama sebagai Alat Kuasa dan Keruntuhan Institusi

Gelombang Arab Spring yang melanda Yaman pada 2011 sepatutnya membuka ruang kepada pembaharuan politik dan demokrasi yang inklusif. Namun, apa yang berlaku ialah pengambilalihan ruang politik oleh aktor agama seperti Houthi yang mengisi kekosongan kuasa. Mereka menolak sistem pilihan raya dan menubuhkan Supreme Political Council yang tidak mempunyai legitimasi rakyat (Transfeld 2015).

Dalam sistem ini, pendidikan, kehakiman dan media dikawal sepenuhnya. Bordas (2024) menunjukkan bagaimana kurikulum sekolah digunakan untuk menanamkan ideologi keagamaan yang memperkukuh kekuasaan Houthi. Sistem kehakiman pula ditadbir oleh ulama yang dilantik bukan berdasarkan merit perundangan tetapi atas kesetiaan kepada ideologi mazhab. Frison-Roche (2017) menyatakan bahawa fatwa digunakan menggantikan proses legislatif dan mahkamah menjadi alat mengekang kebebasan rakyat.

Al-Islah yang menyertai kerajaan sementara juga gagal memelihara prinsip demokrasi. Dalam keadaan bergantung kepada patron luar dan terikat kepada struktur konservatif, mereka gagal memobilisasi massa atau mempertahankan institusi rakyat apabila berdepan serangan militan. Hubungan mereka dengan institusi keagamaan luar menjadikan mereka kurang berani untuk menyatakan komitmen terhadap pluralisme atau reformasi mendalam (Al-Sofari 2021).

Houthi akhirnya membentuk struktur “negara dalam negara” di mana bantuan kemanusiaan, perlindungan keselamatan dan pentadbiran awam dikendalikan oleh institusi keagamaan yang berada di bawah kawalan politik mereka. Longoni (2019) menerangkan bagaimana sistem ini menjadikan rakyat bergantung kepada kekuasaan agama, bukan kepada perkhidmatan negara. Dalam konteks ini, demokrasi lumpuh sepenuhnya.

8.0 Kajian Kes dan Implikasi

8.1 Kajian Kes – Houthi vs Al-Islah: Dua Wajah Politik Agama

Kajian kes pertembungan antara Houthi dan al-Islah membuktikan bagaimana dua pendekatan berbeza terhadap politik agama boleh membawa kepada hasil yang sama iaitu penghakisan demokrasi. Houthi, sebagai gerakan Zaydi bersenjata, mengangkat legitimasi keturunan sebagai asas kekuasaan. Mereka mewujudkan struktur pemerintahan berasaskan teokrasi revolusioner, tanpa ruang kepada institusi pilihan raya atau suara awam (Sarhan 2022). Dalam sistem Houthi, kedudukan pemimpin diperoleh melalui warisan rohani, bukan undi.

Sebaliknya, al-Islah mewakili model Islamis-parlementarian. Ditubuhkan pada tahun 1990, parti ini menyertai proses demokrasi dan pernah memegang beberapa jawatan kerajaan. Namun, peranan ulama konservatif dan pengaruh institusi luar seperti Arab Saudi menjadikan al-Islah bersikap oportunis dalam mempertahankan prinsip demokratik (Heibach 2015). Mereka lebih menyesuaikan diri kepada struktur sedia ada berbanding mencabar sistem untuk menjadi lebih inklusif dan adil.

Setelah pengambilalihan Sanaa oleh Houthi pada 2014, al-Islah menjadi sasaran utama penindasan. Pemimpin mereka ditahan, pejabat mereka diserang dan mereka dikeluarkan daripada proses politik. Menurut Vatanmaka (2020), Houthi menggunakan kawalan terhadap keselamatan dan institusi agama untuk memadamkan semua elemen lawan yang dianggap mengancam kekuasaan mereka.

Perbandingan ini menunjukkan dua realiti yang berbeza tetapi saling berkait: Houthi secara langsung menggantikan demokrasi dengan teokrasi bersenjata, manakala al-Islah gagal mengukuhkan demokrasi apabila berada dalam kedudukan berkuasa. Dalam kedua-dua kes, institusi rakyat dikesampingkan dan agama menjadi pengganti undang-undang serta ruang awam.

8.2 Implikasi terhadap Demokrasi, Pluralisme dan Hak Asasi

Kesan utama yang dapat dilihat daripada dominasi politik agama di Yaman ialah keruntuhan sistem demokratik yang formal. Tiada lagi pilihan raya yang bebas, parlimen dibubarkan dan tidak wujud badan kehakiman bebas. Prinsip asas keterwakilan, akauntabiliti dan pemisahan kuasa telah hilang apabila fatwa dan dakwaan keagamaan digunakan untuk mengesahkan kekuasaan satu pihak.

Dalam isu pluralisme, kelompok minoriti agama seperti Yahudi, Bahai dan juga Muslim yang tidak sealiran dengan doktrin dominan ditindas secara institusional. Laporan Almahfali & Homaid (2020) menunjukkan bahawa minoriti ini bukan sahaja tiada suara politik, malah akses kepada perkhidmatan awam dan keadilan sering dinafikan. Pluralisme politik yang seharusnya membenarkan pelbagai ideologi dan latar belakang berfungsi dalam sistem telah digantikan dengan eksklusivisme keagamaan.

Dari sudut hak asasi manusia, pelanggaran yang berlaku sangat meluas. Watson (2018) mendokumenkan serangan terhadap hospital dan sekolah, penggunaan kanak-kanak dalam konflik bersenjata, serta pemusnahan infrastruktur awam. Ashley (2021) pula menggariskan bagaimana ketiadaan institusi undang-undang yang bebas mengakibatkan semua pelanggaran ini tidak dapat diadili dengan adil. Dalam masyarakat di mana pemimpin agama memiliki kuasa penuh ke atas tentera, mahkamah dan media, tidak wujud ruang untuk rakyat menuntut keadilan.

Khayrullin (2021) menambah bahawa percubaan deradikalisasi oleh sesetengah pemimpin agama bersifat kosmetik. Mereka masih beroperasi dalam sistem yang menolak hak asasi sebagai prinsip utama dan hanya menyesuaikan retorik agar kelihatan sederhana. Bagherpour (2012) pula melalui teori Selectorate menyatakan bahawa aktor agama telah menjadi sebahagian daripada “koalisi penentu kuasa” yang perlu dikekalkan oleh mana-mana rejim untuk terus memerintah.

8.3 Kesimpulan

Kes Yaman menggambarkan bagaimana politik agama, apabila dibiarkan tanpa pengawasan institusi sekular yang kukuh, boleh menghancurkan semua prasyarat kepada demokrasi. Daripada sistem Imamah yang teokratik, kepada sistem republik yang gagal dan akhirnya kepada pemerintahan militan Houthi, agama telah menjadi alat untuk menafikan hak rakyat dan memperkukuh kekuasaan satu kelompok.

Konflik yang berlaku tidak hanya berpunca daripada perbezaan mazhab atau tekanan luar, tetapi lebih mendalam daripada itu – ia berpunca daripada kegagalan institusi negara untuk membina sistem politik yang adil, pluralistik dan bertanggungjawab. Apabila institusi gagal, agama mengambil alih. Namun, ia bukan mengambil alih sebagai moral kolektif, tetapi sebagai alat kawalan terhadap ideologi, ekonomi dan ruang awam.

Demokrasi bukan sekadar pilihan raya atau struktur formal. Ia adalah jaminan kepada suara rakyat untuk diwakili, hak minoriti untuk dilindungi dan hak asasi manusia untuk dihormati. Dalam konteks Yaman, semua ini telah dihapuskan atas nama agama. Maka, cabaran masa depan bukan sahaja membina semula institusi negara, tetapi juga membina pemahaman semula tentang hubungan antara agama dan politik.

Selagi kuasa dipegang oleh aktor agama yang menolak keterangkuman dan menindas perbezaan, demokrasi akan kekal sebagai impian yang jauh. Pemisahan antara kekuasaan agama dan institusi awam bukanlah penolakan terhadap agama, tetapi adalah jalan ke arah mewujudkan keadilan dan keamanan dalam masyarakat yang majmuk dan beragama.

9.0 Kesimpulan

Indonesia mengekalkan sistem demokrasi elektoral dengan institusi perundangan yang berfungsi. Mahkamah Perlembagaan dan organisasi masyarakat sivil memainkan peranan penting dalam mengekang penyalahgunaan kuasa agama (Metera 2022). Namun, cabaran masih wujud seperti pelaksanaan perda syariah di Aceh dan undang-undang penodaan agama yang kontroversi (Yazid et al. 2024).

Yaman pula mengalami keruntuhan institusi demokratik selepas kebangkitan Houthi yang menggantikan struktur republik dengan sistem teokratik bersenjata. Tiada pilihan raya bebas, parlimen dibubarkan dan institusi awam dikendalikan oleh aktor keagamaan tanpa legitimasi rakyat (Bordas,2024). Demokrasi yang pernah dijanjikan selepas penyatuan negara pada 1990 gagal berkembang akibat campur tangan luar, polarisasi mazhab dan kekangan institusi (Sarhan & Saidin 2022).

Dalam isu pluralisme dan hak asasi manusia, Indonesia menunjukkan tahap toleransi yang lebih tinggi. Walaupun terdapat ketegangan antara konservatisme agama dan kebebasan individu, sistem perundangan dan media bebas membolehkan wacana terbuka tentang kebebasan beragama dan hak minoriti (Richardson et al. 2020). Sebaliknya, di Yaman, kelompok minoriti seperti Yahudi dan Bahai mengalami diskriminasi sistematik dan kebebasan beragama hampir tidak wujud dalam wilayah yang dikuasai Houthi (Almahfali & Homaid 2020).

Kisah kedua-dua negara memberikan pelajaran penting tentang keperluan memisahkan kekuasaan agama daripada institusi negara bagi menjamin keadilan dan keamanan. Demokrasi yang mapan tidak hanya memerlukan pilihan raya, tetapi juga perlindungan terhadap pluralisme, kebebasan bersuara dan hak minoriti. Tanpa elemen-elemen ini, politik agama akan terus menjadi alat penguasaan dan penindasan.

Rujukan

  • Al-Ansi, A. M. & Kartono, R. 2023. The Role of Islamic Organizations ’Muhammadiyah and Nahdlatul Ulama’ in Forming National Politics in Indonesia. Polit Journal Scientific Journal of Politics. 3(2): 87-98.
  • Albasoos, H. & Al Hinai, B. 2020. Understanding the Root Causes of the Conflict in Yemen. Bussecon Review of Social Sciences. 2(2): 14–20.
  • Al Fiyah, S., & Muhyidin, M. 2023. Peraturan Daerah Syariah dan Problem Dilematis. JOSH: Journal of Sharia. 2(02): 164–176.
  • Almahfali, M. & Homaid, E. 2020. Minorities in Yemen: Reality and Challenges. INSAF Center for Defending Freedoms & Minorities Publications. 01.
  • Almahfali, M. & Root, J. 2020. How Iran’s Islamic Revolution Does, and Does Not, Influence Houthi Rule in Northern Yemen. Sana’s: Sana’a Center for Strategic Studies.
  • Alogai, F. 2015. The Houthi Movement (Ansar Allah) Facing the Coalition Forces. Przegląd Strategiczny. 8: 415–430.
  • Al-Sofari, M. 2021. An Exceptional Case: Saudi Relations with Yemen’s Islah Party.Washington: The Washington Institute. https://www.washingtoninstitute.org/policy-analysis/exceptional-case-saudi-relations-yemens-islah-party
  • Ardhani, H., Saat, I., & Husin, A. Z. 2022. Politics and Power: A Study on Nahdlatul Wathan in Lombok Island, Indonesia, 1997-2010: Politik dan Kuasa: Kajian Terhadap Nahdlatul Wathan di Pulau Lombok, Indonesia, 1997-2010. Perspektif Jurnal Sains Sosial Dan Kemanusiaan. 14(1): 29–40.
  • Ashley, L. 2021. Human Rights Violations in Yemen and the Prospects for Justice. Dlm. Human Rights in War (hlm. 255–278). London: Springer.
  • Badawi, A., Hidayah, N., Ahmad, N. H., & Nugroho, L. 2020. Pancasila (Five Principles of Indonesia Nation) Snapshot in Customer Deposit of Islamic Bank (Religion, Age and Gender Perspective of Bank Mandiri Syariah). Journal of Research in Business. 5(1): 74–95.
  • Bagherpour, A. 2012. Religion and the Evolution of Democracy: A Revised Selectorate Model for the Arab Spring.California: Claremont Graduate University.
  • Bonnefoy, L. & Poirier, M. 2010. The Yemeni Congregation for Reform (al-Islâh): The Difficult Process of Building a Project for Change. Dlm. M. Catusse & K. Karam (pnyt.). Returning to Political Parties? Presses de l’Ifpo.
  • Bordas, M. 2024. The Way to the Dominance of Houthis in Yemen. International Journal of Science and Research (IJSR). 13(2):125–135.
  • Browers, M. 2007. Origins and Architects of Yemen’s Joint Meeting Parties. International Journal of Middle East Studies. 39(4): 565–586.
  • Clausen, M. 2015. Understanding the Crisis in Yemen: Evaluating Competing Narratives. The International Spectator. 50(3): 16–29.
  • Crepy, P. 2019. Proxy Warfare’s Impact on Sectarianization: The Case of Saudi-Iranian Rivalry. Flux: International Relations Review. 9(1).
  • Darlian, C. I. R., Melayu, H. A., & Jalil, H. A. 2025. Pelaksanaan Otonomi Khusus Di Aceh Terkait Qanun Pokok-Pokok Syari’at Islam: Telaah Prinsip-Prinsip Siyasah Dusturiyah. As-Siyadah. 5(1): 25–43.
  • Dostal, J. M. 2021. From Fragile to Collapsed Statehood: The Case of the Republic of Yemen (1990–2020). Korean Journal of Policy Studies. 36(1): 69–84.
  • Durac, V. 2019. The Limits of the Sectarian Narrative in Yemen. Global Discourse. 9(4): 655–673.
  • Dwiastono, R. 2019. Perda Syariah Di Indonesia: Antara Kearifan Lokal, Politik Elektoral Dan Ancaman Terhadap Kebhinekaan. BBC News Indonesia. 15 Ogos: 1
  • Evans, J., Starr, K. J., Corichi, M. & Miner, W. 2023. Buddha, Islam dan Pluralisme Agama di Asia Selatan dan Asia Tenggara. Pew Research Center: 12 Semptember 2023.
  • Febriana, A. A., & Zulkarnain, Z. 2023. 64 Tahun Keistimewaan Aceh: Tinjauan UU No 11/2006 tentang Pemerintahan Aceh. Jurnal Pendidikan Kewarganegaraan Undiksha. 11(1): 1–6.
  • Frison-Roche, F. 2017. Yemen: Political and Legal Imbroglio, Humanitarian Disaster, Military Stalemate. Politique étrangère. 4: 91–101.
  • Fuad, Z., Darma, S., & Muhibbuthabry, M. 2022. Wither Qanun Jinayat? The legal and social developments of Islamic criminal law in Indonesia. Cogent Social Sciences. 8(1).
  • Greenwalt, P. 2024. Legal Impediments to Religious Freedom in Indonesia. United States Commission on International Religious Freedom.
  • Hanafi, I., Kapisa, R. Y., Maulana, A., Mursalin, A., & Setiawan, M. N. A. 2023. Exploring The Compatibility of Sharia Law and Democratic Values in Indonesia’s Democracy. Sibatik Journal: Jurnal Ilmiah Bidang Sosial, Ekonomi, Budaya, Teknologi dan Pendidikan. 2(10): 3169–3186.
  • Heibach, J. 2015. Contesting the Monopoly of Interpretation: The Uneasy Relationship between Ulama and Sunni Parties in Yemen. Middle Eastern Studies. 51(4): 563–584.
  • Jaelani, A. 2024. Identitas dan Keagamaan dalam Demokrasi Politik. Souvereignty: Jurnal Demokrasi dan Ketahanan Nasional. 3(2): 69–74.
  • Karmiati, L. 2023. Analisis Islam Pada Masa Orde Baru Tahun 1966-1998. Tanjak: Sejarah Dan Peradaban Islam. 3(1): 77–85.
  • Khayrullin, T. 2021. Deradicalization of Islamism: Case of Yemen. Islam in the Modern World. 16(4): 131–142.
  • Longoni, G. 2019. Storming the Palace: The Houthi Insurgency in Yemen. Sana’a: Yemen Policy Center.
  • Metera, G. D. A. 2022. How Illiberal is Indonesia’s Democracy? A Comparative Perspective on Indonesia’s State Enforcement of Religion. Muslim Politics Review 1(2): 185–207.
  • Moru, O. O. 2020. Mereposisi Hubungan Agama dan Negara di Indonesia dalam Perspektif Iman Kristen. Jurnal Teruna Bhakti. 2(2): 118.
  • Mufidah, M., Hejazziey, D., & Sari, N. Y. 2021. Kontroversi Perda Berbasis Syariah Dalam Otonomi Daerah Di Indonesia. SALAM: Jurnal Sosial Dan Budaya Syar-I. 8(5): 1261–1272.
  • Mugahed, R. 2022. Tribes and the State in Yemen: A Complex Relationship. Sana’s: Sana’a Center for Strategic Studies.
  • Orkaby, A. A. 2014. The International History of the Yemen Civil War, 1962–1968. Tesis Dr. Fal, Massachusetts: Harvard University.
  • Palik, J. (2018). “Dancing on the Heads of Snakes”: The Emergence of the Houthi Movement and the Role of Securitizing Subjectivity in Yemen’s Civil War. Corvinus Journal of International Affairs. 2(2–3): 42–56.
  • Perkins, B. 2017. Yemen: Between Revolution and Regression. Studies in Conflict & Terrorism. 40(4): 300–317.
  • Permata, A.-N. 2010. The Prosperous Justice Party (PKS) and the Decline of Political Islam in the 2009 Election in Indonesia. In Islam and the 2009 Indonesian Elections, Political and Cultural Issues. Bangkok: Institut de recherche sur l’Asie du Sud-Est contemporaine.
  • Pukhovaia, E. 2023. Sayyids, Tribal Kinship, and the Imamate in Zaydi Yemen under Imam Yahya Sharaf al-Din (d. 965/1558). Medieval Encounters. 29(5–6): 442–463.
  • Puspaningrum, F. D., & Adhi, C. T. 2023. A Comparative Study of Blasphemy Law in Indonesia and America: Religious and Legal Aspects. Contemporary Issues on Interfaith Law and Society 2(1): 1–34.
  • Qodir, Z. 2023. Post-Islamism And Reform Islamic Law: The Challenges And Future Of Political Islam In Indonesia. AHKAM: Jurnal Ilmu Syariah 23(2).
  • Richardson, P., Pihlaja, S., Nagashima, M., Wada, M., Watanabe, M., & Kheovichai, B. 2020. Blasphemy and persecution: Positioning in an inter-religious discussion. De Gruyter Mouton 40(1): 75–98.
  • Rofhani, R., & Fuad, A. N. 2021. Moderating anti-feminism: Islamism and women candidates in the Prosperous Justice Party (PKS). Journal of Current Southeast Asian Affairs 40(1): 156–173.
  • Sarhan, M. & Saidin, M. I. S. 2022. The Religious-Political Ideology of Houthis’ Rebellion in Yemen: Theoretical Perspective of the Divine Right to Rule. Islāmiyyāt.44(1): 231–240.
  • Stirling, K. C. 2024. 5 facts about Muslims and Christians in Indonesia. Pew Research Center.
  • Strand, B. C. 2016. Explaining Sectarian Violence in the Middle East: A Comparative Study of Bahrain and Yemen. California: Naval Postgraduate School.
  • Syam, M. 2024. Democracy in Flux: Political Alliances and the Role of Religion in Indonesia and Turkey. Muslim Politics Review 3(2): 250–288.
  • Transfeld, M. 2015. The Failure of the Transitional Process in Yemen: The Houthi’s Violent Rise to Power and the Fragmentation of the State. German Institute for International and Security Affairs.
  • Unruh, J. 2016. Mass Claims in Land and Property Following the Arab Spring: Lessons from Yemen. Stability. International Journal of Security and Development. 5(1).
  • Vatanka, A. 2020. Iran’s Role in the Yemen Crisis. Dlm. Day, S. W. & Brehony, N. (pnyt.). The Middle East in Transition hlm. 149–164). London: Palgrave Macmillan
  • Watson, A. 2018. An Investigation of the Violation of Human Rights in Yemen. Honors Research Projects. 811.
  • Wiguna, B. A., Lay, D. A. R., Mayasari, D., & Leonard, E. C. 2024 Three Faces of the PKS Political Party in the Formulation of the New Energy and Renewable Energy Bill. PCD Journal 11(1): 193–227.
  • Yazid, A. F., Trimedia, L., Assad, M. G. P., & Wasisto, M. A. 2024. Political Dynamics and the Role of the State in Responding to the 212 Rallies. Al Imarah: Jurnal Pemerintahan Dan Politik Islam 9(2): 151–157.
  • Yuniarto, T. 2022. Partai Keadilan Sejahtera. Kompas. Id. 14 Januari: 1

Unless expressly indicated, materials published on WIRA.my have not undergone formal academic peer review. Analysis and commentary represent the author’s interpretation and should not be read as institutional policy positions.