Pengenalan
Kajian ini meneliti keberkesanan Kerajaan Perpaduan Malaysia serta tahap kefahaman awam terhadap konsep Malaysia MADANI. Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum telah menghadapi ketidakstabilan politik yang berpanjangan sejak tahun 2020. Situasi ini mendorong kepada penubuhan Kerajaan Perpaduan pada tahun 2022 di bawah pimpinan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Kerajaan ini terdiri daripada gabungan parti-parti politik merentasi spektrum ideologi yang berbeza, dengan matlamat untuk mengurangkan polarisasi politik dan memperkasa nilai kebersamaan dalam pemerintahan.
Namun begitu, skeptisisme dalam kalangan rakyat masih wujud, terutamanya disebabkan oleh dakwaan rasuah yang melibatkan tokoh politik terkenal serta kebimbangan terhadap keupayaan kerajaan dalam menangani isu-isu ekonomi yang mendesak. Sehubungan itu, kajian ini menggunakan pendekatan kaedah kuantitatif untuk menilai persepsi masyarakat terhadap Kerajaan Perpaduan dan konsep Malaysia MADANI.
Data dikumpulkan melalui kaji selidik melibatkan 300 responden daripada pelbagai latar belakang demografi, menggunakan teknik pensampelan mudah (convenient sampling) (hlm. 497). Dapatan menunjukkan bahawa Kerajaan Perpaduan dinilai agak berkesan dalam memupuk keharmonian sosial (min = 2.98) serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi. Dalam pada itu, konsep Malaysia MADANI difahami secara umum sebagai satu inisiatif progresif ke arah pembangunan negara (min = 2.81).
Meskipun terdapat persepsi yang positif, responden tetap menyuarakan kebimbangan terhadap integriti politik dan cabaran pelaksanaan dasar. Kajian ini merumuskan bahawa Kerajaan Perpaduan telah berjaya menggalakkan kerjasama rentas parti dalam merangka dasar yang inklusif dan efektif (hlm. 501). Malaysia MADANI pula dikenali sebagai satu dasar yang berpotensi merapatkan jurang sosial serta menyokong pembangunan yang menyeluruh dari sudut ekonomi, sosial dan alam sekitar. Namun, kejayaan kedua-dua inisiatif ini sangat bergantung kepada tahap kepercayaan dan sokongan rakyat.
Kajian ini menggunakan reka bentuk penyelidikan kuantitatif, dengan pengumpulan data dijalankan melalui borang soal selidik dalam talian yang diedarkan menerusi platform media sosial seperti Instagram dan WhatsApp (hlm. 495). Teknik pensampelan bukan kebarangkalian, iaitu pensampelan mudah, digunakan untuk memperoleh maklum balas daripada populasi yang pelbagai, termasuk individu daripada pelbagai latar belakang pekerjaan dan tahap pendapatan.
Pengiraan saiz sampel dilakukan menggunakan Raosoft Sample Size Calculator[1] (hlm. 497), yang mencadangkan seramai 284 responden diperlukan bagi tahap keyakinan sebanyak 91%. Walau bagaimanapun, kajian ini telah berjaya mengumpulkan data daripada 300 orang peserta, melepasi keperluan minimum yang dicadangkan.
Instrumen kaji selidik terdiri daripada 13 item demografi, di samping soalan-soalan berkaitan objektif kajian (hlm. 497). Soalan dibentuk dalam pelbagai format dengan skala penilaian 1 hingga 4 (1= sangat tidak bersetuju, 2=tidak bersetuju, 3=bersetuju dan 4=sangat bersetuju), soalan berbentuk matriks dan soalan aneka pilihan. Analisis statistik dijalankan menggunakan perisian SPSS versi 23, dengan tumpuan kepada statistik deskriptif seperti frekuensi, peratusan dan min. Bagi memastikan kesahihan instrumen, soal selidik telah diuji terlebih dahulu ke atas 50 responden awal sebelum pelaksanaan penuh (hlm. 497).
Secara keseluruhan, metodologi ini membolehkan pengkaji memperoleh gambaran yang menyeluruh terhadap persepsi masyarakat mengenai keberkesanan Kerajaan Perpaduan dan penerimaan konsep Malaysia MADANI. Kajian ini bukan sahaja memberikan data empirikal yang signifikan, malah membuka ruang kepada perbincangan yang lebih mendalam mengenai legitimasi, kepercayaan awam dan keberkesanan dasar dalam konteks politik semasa Malaysia.
Kelebihan
Dari segi kaedah pelaksanaan, terdapat beberapa kelebihan dalam kajian ini namun ianya masih mempunyai ruang untuk penambahbaikan.
1. Pendekatan Kuantitatif
Penggunaan kaedah penyelidikan kuantitatif membolehkan penilaian yang berasaskan data, boleh diukur dan objektif terhadap persepsi masyarakat mengenai Kerajaan Perpaduan dan konsep Malaysia MADANI.
2. Saiz Sampel
Kajian ini melibatkan 300 orang responden, melebihi saiz sampel minimum sebanyak 284 yang diperlukan untuk tahap keyakinan 91%. Ini meningkatkan keteguhan dan kebolehpercayaan dapatan kajian.
3. Kepelbagaian Demografi
Responden terdiri daripada pelbagai profesion, kumpulan pendapatan dan kawasan geografi, yang mencerminkan kepelbagaian masyarakat Malaysia secara menyeluruh (hlm.497).
4. Pensampelan Mudah (Convenient Sampling)
Penggunaan kaedah pensampelan mudah membolehkan pengumpulan data yang cekap dan mudah diakses melalui platform umum seperti Instagram dan WhatsApp, mempercepatkan proses penyelidikan.
5. Soal Selidik yang Disahkan
Instrumen soal selidik diuji terlebih dahulu terhadap 50 responden awal untuk menguji kesahihkan dan kejelasan soalan, memastikan kualiti data yang dikumpul adalah tinggi dan boleh dipercayai.
6. Analisis Menggunakan SPSS
Penggunaan perisian SPSS dalam analisis statistik meningkatkan kredibiliti dapatan. Kajian ini menekankan statistik deskriptif seperti min, frekuensi dan peratusan secara sistematik dan teliti.
7. Topik yang Relevan dan Terkini
Kajian ini menangani isu yang kritis dan semasa dalam konteks Malaysia, iaitu kestabilan politik dan kepercayaan awam terhadap tadbir urus, menjadikan kajian ini sangat relevan dengan keadaan negara masa kini.
8. Tumpuan Terhadap Kebersamaan
Kajian ini menonjolkan usaha Kerajaan Perpaduan dalam merapatkan jurang politik dan mempromosikan kebersamaan, sejajar dengan keperluan masyarakat Malaysia yang majmuk.
9. Implikasi terhadap Dasar Awam
Dapatan kajian ini menekankan pentingnya kerjasama rentas parti, integriti politik dan kepercayaan rakyat dalam memastikan kejayaan sesebuah dasar, serta memberikan cadangan yang boleh ditindaklanjuti oleh pembuat dasar (hlm. 501).
Kelemahan
Berbanding kelebihan yang minima, beberapa penambahbaikan boleh diusahakan dalam kajian ini. Kelemahan dari segi metadologi dan juga secara keseluruhan kajian walaupun tidak memberi kesan kepada dapatan namun membuka ruang untuk kritikan dari umum.
1. Penggunaan Pensampelan Bukan Kebarangkalian
Pemilihan responden berdasarkan pensampelan mudah (convenient sampling) menghadkan kebolehan kajian ini untuk digeneralisasikan kepada seluruh populasi. Responden dipilih berdasarkan kemudahan capaian, bukan secara rawak, sekali gus berisiko menimbulkan bias dalam dapatan.
2. Ketidakseimbangan Demografi (hlm. 497)
Sampel kajian menunjukkan kecenderungan berat kepada golongan tertentu dan tidak menyeluruh sedangkan ianya merangkumi kajian keseluruhan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa, contohnya:
- 95% responden adalah berbangsa Melayu.
- 50.7% adalah pelajar.
- 80% adalah dari kawasan bandar.
Keadaan ini mengurangkan kepelbagaian suara dan mewakili hanya sebahagian kecil daripada struktur masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan pelbagai latar belakang.
3. Keterwakilan Wilayah yang Terhad
Sebahagian besar responden berasal dari Wilayah Tengah (57%), manakala pandangan dari wilayah lain seperti Sabah dan Sarawak kurang diwakili. Ini mengehadkan pemahaman tentang persepsi politik dan sosial di kawasan dengan demografi yang berbeza.
4. Penggunaan Skala Likert[2] yang Terlalu Ringkas
Kajian menggunakan skala Likert 4 mata (1 hingga 4) dan tidak menyediakan pilihan neutral. Ini mengehadkan nuansa pandangan responden, khususnya mereka yang bersikap sederhana atau tidak pasti, sekali gus menyempitkan variasi dalam analisis data.
5. Ketergantungan kepada Platform Dalam Talian
Pengumpulan data melalui Instagram dan WhatsApp mungkin telah mengecualikan golongan yang tidak mempunyai akses internet stabil, terutamanya warga emas dan penduduk luar bandar. Ini menimbulkan risiko ketidakseimbangan digital dalam profil responden.
6. Penerokaan Terhad terhadap Persepsi Negatif
Meskipun kajian menyentuh isu skeptisisme dan persepsi terhadap rasuah, ia tidak meneliti secara mendalam punca sebenar kekecewaan awam dan implikasi jangka panjang terhadap kepercayaan terhadap institusi kerajaan (hlm. 500).
7. Penekanan Berlebihan terhadap Penemuan Positif
Perbincangan dalam kajian ini lebih cenderung menekankan kejayaan Kerajaan Perpaduan dan Malaysia MADANI, tanpa memberi penekanan setara terhadap cabaran struktur dan ketidakpuasan rakyat yang masih ketara.
8. Ketiadaan Data Longitudinal
Kajian ini memberikan gambaran statik terhadap persepsi semasa, tanpa menelusuri perubahan persepsi dari semasa ke semasa. Data longitudinal mampu memperlihatkan trend kajian dan keberkesanan dasar dalam jangka panjang.
9. Kurangnya Penilaian terhadap Pelaksanaan Dasar
Walaupun konsep Malaysia MADANI dijelaskan, kajian ini tidak menilai secara komprehensif keberkesanan pelaksanaan prinsip-prinsip MADANI dalam dasar sebenar kerajaan. Hal ini mengehadkan nilai praktikal kajian terhadap pembuat dasar.
10. Analisis Kontekstual yang Terhad
Kajian kurang meneliti faktor luaran yang boleh mempengaruhi persepsi rakyat seperti:
- Keadaan ekonomi global.
- Perkembangan geopolitik serantau.
- Faktor krisis kesihatan atau kos sara hidup.
Kekurangan ini menjadikan analisis kurang menyeluruh dan kurang responsif kepada realiti semasa.
11. Kemungkinan Bias Sosial dalam Respons
Peratusan responden yang menyokong Kerajaan Perpaduan adalah tinggi (71%) (hlm. 499), yang boleh mencerminkan bias keinginan sosial (social desirability bias). Oleh kerana isu politik merupakan topik sensitif, sesetengah responden mungkin memberikan jawapan yang dianggap “selamat” atau sejajar dengan pendirian kerajaan.
Dapatan Berdasarkan Kerangka Total Survey Error (TSE)
1. Ralat Liputan (Coverage Error)
Pergantungan pada platform dalam talian mungkin mengecualikan individu tanpa akses internet atau liputan yang berat sebelah dengan platform tersebut (hlm. 497).
2. Ralat Persampelan (Sampling Error)
Penggunaan persampelan mudah mungkin menimbulkan bias, kerana ia tidak memastikan sampel yang mewakili populasi (hlm. 497).
3. Ralat Tidak Bertindak Balas (Non-response Error)
Artikel ini tidak membincangkan cara responden yang tidak bertindak balas dikendalikan atau kesannya terhadap keputusan.
4. Ralat Pengukuran (Measurement Error)
Penggunaan skala Likert 4 mata dan soalan berstruktur mungkin mengehadkan respons bernuansa (hlm. 497).
5. Ralat Pemprosesan (Processing Error)
Artikel ini menyebut SPSS untuk analisis data tetapi tidak memperincikan bagaimana ralat dalam kemasukan data atau pengekodan dikurangkan.
Rumusan
Kajian ini memberikan gambaran menyeluruh terhadap persepsi awam terhadap Kerajaan Perpaduan dan konsep Malaysia MADANI, yang dilihat sebagai usaha untuk memperkukuh kestabilan politik dan memperkenalkan paradigma baharu dalam tadbir urus negara. Melalui pendekatan kuantitatif yang melibatkan 300 responden, kajian ini mengemukakan dapatan bahawa terdapat penerimaan positif terhadap peranan Kerajaan Perpaduan dalam membina keharmonian sosial dan pembangunan ekonomi, manakala Malaysia MADANI difahami secara asas sebagai satu visi pembangunan nasional yang progresif.
Namun begitu, penemuan ini tidak boleh ditafsir secara optimistik semata-mata tanpa mempertimbangkan realiti di lapangan dan cabaran pelaksanaan. Persepsi positif yang dicatatkan mungkin tidak sepenuhnya mencerminkan sokongan jitu, terutama dalam konteks politik semasa yang masih sarat dengan isu integriti, ketelusan dan pengaruh elit politik. Malah, wujud kemungkinan bias keinginan sosial (social desirability bias) dalam respons, memandangkan topik berkait politik sering dianggap sensitif dalam kalangan rakyat Malaysia.
Selain itu, konsep Malaysia MADANI masih bersifat elitis dan belum benar-benar terterjemah dalam bentuk dasar konkrit yang difahami dan dirasai oleh rakyat terbanyak, terutamanya golongan berpendapatan rendah dan masyarakat luar bandar. Meskipun konsep ini mengandungi prinsip mulia seperti kebersamaan, kemampanan dan integriti, ketiadaan pelaporan sistematik mengenai pencapaian sebenar menjadikannya sukar untuk dinilai secara objektif dari sudut impak sebenar terhadap kesejahteraan rakyat.
Di samping itu, ketidakseimbangan demografi dalam kajian ini dengan dominasi responden Melayu, pelajar dan kawasan bandar menuntut penelitian lanjut dalam kajian akan datang bagi memastikan dapatan yang benar-benar mencerminkan realiti pelbagai segmen masyarakat, khususnya dari Sabah, Sarawak, serta komuniti bukan Melayu.
Kejayaan Malaysia MADANI bergantung bukan sahaja kepada sejauh mana ia dapat difahami oleh rakyat, tetapi lebih penting, sejauh mana ia dapat diterapkan dalam dasar awam yang benar-benar menyentuh kehidupan rakyat secara adil dan saksama.
Rujukan
- Basirah, W. A. R., Syed Putra, S. S. P. A. & Abdul Jalil, A. A. 2023. Health Benefits of Honey: Knowledge, Attitude and Perception (KAP) Among the Community in Malaysia. Asian Journal of Medicine and Health Sciences.6(1): 61-71
- Che Sulaiman, N. F., Sanusi, N. A. & Muhamad, S. 2020. Survey Dataset of Malaysian Perception on Rising Cost of Living. Data in Brief.28(1):104910.
- Golzar, J, Noor, S. & Tajik, O. 2022. Convenience Sampling. International Journal of Education and Language Studies.1(2): 72-77
- Memon, M. A., Ting, H. Cheah, J. H., Thurasamy, R., Chuah, F. & Tat, H. C. 2020. Sample Size for Survey Research: Review and Recommendations. Journal of Applied Structural Equation Modeling.4(2): 1-20
Nota
-
Membantu menentukan saiz sampel minimum yang diperlukan untuk tinjauan untuk mencapai tahap ketepatan yang diingini, berdasarkan parameter tertentu. ↑
-
Skala pengukuran psikologis yang digunakan untuk mengukur sikap, pendapat atau persepsi seseorang terhadap suatu pernyataan atau pertanyaan. ↑
Unless expressly indicated, materials published on WIRA.my have not undergone formal academic peer review. Analysis and commentary represent the author’s interpretation and should not be read as institutional policy positions.


