Pengenalan
Politik perkauman telah menjadi sebahagian tidak terpisahkan daripada lanskap politik Malaysia sejak era pra-kemerdekaan. Ia bukan sekadar satu corak interaksi antara komuniti etnik, tetapi telah diangkat menjadi kerangka epistemologi, iaitu satu sistem pengetahuan dan wacana dominan yang menentukan bagaimana kuasa, identiti dan kepentingan sosial ditafsir serta diinstitusikan dalam negara-bangsa ini. Keadaan ini bukan muncul secara kebetulan, tetapi merupakan hasil langsung daripada warisan kolonial British yang mentadbir masyarakat Malaya melalui sistem “pecah dan perintah” dengan menyusun kehidupan ekonomi, pendidikan dan penempatan berdasarkan kategori etnik yang terpisah (Siti Nurnadilla 2025: 185). Struktur ini kemudian diwarisi dan dikukuhkan oleh elit politik tempatan, khususnya United Malays National Organisation (UMNO), yang sejak tahun 1946 memposisikan dirinya sebagai pelindung utama kepada hak-hak istimewa orang Melayu, sambil menyusun naratif bahawa kestabilan negara hanya dapat dicapai melalui dominasi politik Melayu (Ahmad Fauzi & Che Hamdan 2025: 26) .
Namun, harus diakui bahawa politik perkauman juga telah memainkan peranan penting dalam membawa Malaysia ke tahap kemajuan yang dinikmati hari ini. Melalui sistem politik konsosiasional[1] yang berasaskan perwakilan etnik, Malaysia berjaya mengekalkan kestabilan politik sepanjang era pasca-kemerdekaan, di saat banyak negara pascakolonial lain tenggelam dalam konflik etnik dan perang saudara (Funston 1980: 20). Keseimbangan kuasa antara kaum, walaupun tidak sepenuhnya adil, telah membolehkan pembangunan ekonomi yang pesat, pelaburan asing yang stabil dan perpaduan minimum yang mencukupi untuk menggerakkan dasar-dasar nasional utama seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Wawasan 2020 (Khoo 2020: 18). Dalam banyak aspek, kerangka politik berasaskan kaum menjadi asas kepada formula “kestabilan melalui konsensus”, yang membolehkan Malaysia mengekalkan status sebagai antara negara membangun yang progresif, aman dan berdaya saing di Asia Tenggara.
Namun demikian, kekuatan struktur ini tidak datang tanpa kos. Politik perkauman yang telah dinormalisasi ini juga menyumbang kepada pengukuhan ketidaksamarataan antara dan dalam kumpulan etnik, diskriminasi dasar, serta penguncupan ruang politik yang lebih inklusif dan berasaskan merit. Esei ini akan menelusuri bagaimana epistemologi politik perkauman terbentuk, disebar dan dipelihara sepanjang sejarah politik Malaysia. Ia bermula dengan mengupas asas epistemologi politik perkauman serta bagaimana pengetahuan mengenai politik berasaskan kaum dijana dan menjadi kerangka utama dalam pengurusan kuasa. Bahagian ini akan memperlihatkan bagaimana UMNO memainkan peranan aktif dalam menstruktur kerangka tersebut, bukan sahaja melalui retorik nasionalisme Melayu, tetapi juga melalui pembentukan dasar-dasar institusional yang mengekalkan identiti Melayu sebagai pusat legitimasi politik negara (Brown 1994: 234).
Seterusnya, esei ini akan meneliti kemunculan imigran di Malaya dan kesannya terhadap konfigurasi sosial dan politik negara. Kemasukan buruh dari China dan India serta dasar segregasi kolonial mencetuskan satu bentuk masyarakat pluralistik yang tidak bersatu (Brown 1994: 226) seterusnya mencorak tafsiran politik berdasarkan garis etnik yang jelas. Bahagian ini juga akan menjelaskan bagaimana isu kewarganegaraan dan hak politik kaum bukan Melayu menjadi pemangkin kepada pembentukan kontrak sosial, yang kemudiannya menjadi asas kepada struktur politik konsosiasional Malaysia.
Bahagian ketiga akan memberi tumpuan kepada perkembangan politik kaum dari era Perikatan hingga ke Malaysia moden. Ia mengupas bagaimana model konsensus kaum yang didominasi oleh UMNO telah mentakrifkan politik pasca-merdeka. Dengan menganalisis peristiwa seperti rusuhan 13 Mei 1969 (Brown 1994: 251), pengenalan DEB dan dominasi panjang Barisan Nasional, esei ini membincangkan bagaimana retorik seperti Ketuanan Melayu[2] menjadi nadi kepada pengukuhan epistemologi politik perkauman (Brown 1994: 252). Ia juga akan menganalisis kemunculan parti pelbagai kaum dan bagaimana retorik perkauman terus dijadikan alat politik oleh UMNO dalam mempertahankan hegemoninya sehinggalah kemerosotan dan kekalahannya dalam Pilihan Raya Umum 2018 dan 2022.
Akhir sekali, esei ini menilai praktik politik perkauman yang panjang dan berakar dalam struktur negara bermula daripada sistem kuota, dasar afirmatif, gerrymandering[3], hingga kepada peranan agensi kerajaan seperti MARA, UiTM dan FELDA. Di sini, esei menggabungkan dimensi institusional dan normatif, membahaskan bagaimana politik perkauman telah dinormalisasi sebagai strategi mengekalkan kestabilan, tetapi kini semakin tercabar oleh generasi muda dan pengundi bandar yang menuntut meritokrasi, integriti dan kesaksamaan sosial.
Secara keseluruhan, esei ini menegaskan bahawa politik perkauman di Malaysia bukan hanya strategi politik, tetapi satu sistem pengetahuan dan kuasa yang diwarisi, diinstitusikan dan dipertahankan oleh aktor politik utama khususnya UMNO (Müller 2019: 143). Dalam masa yang sama, ia juga telah membentuk kerangka kestabilan politik yang relatif berjaya bagi sebuah negara pascakolonial. Namun dalam era reformasi politik hari ini, epistemologi ini sedang mengalami krisis keabsahan dan Malaysia berada di persimpangan antara meneruskan warisan perkauman atau membina satu wacana politik baharu yang lebih inklusif dan demokratik.
Epistemologi Politik Perkauman
Epistemologi politik perkauman di Malaysia terbentuk hasil daripada warisan kolonial British, yang secara sistematik mentadbir masyarakat melalui kategori etnik (Nakamura 2015). Sejak awal abad ke-20, pentadbiran kolonial British telah mengorganisasi masyarakat Malaya berasaskan peranan ekonomi dan sosial yang terpisah iaitu orang Melayu dikekalkan dalam sektor pertanian tradisional, masyarakat Cina disalurkan ke sektor perlombongan dan perdagangan, manakala komuniti India dikerah ke ladang-ladang getah dan perladangan lain (Azfar et al. 2024; Shamsul Haque 2003). Struktur ini disokong oleh sistem pendidikan vernakular dan penempatan berasingan yang secara tidak langsung memisahkan interaksi sosial antara etnik. Akibatnya, politik perkauman menjadi cara utama memahami dan mengatur kuasa politik berdasarkan persepsi bahawa setiap etnik mempunyai kepentingan, nilai dan tuntutan tersendiri yang tidak boleh digabungkan dalam satu kerangka nasional yang homogen (Segawa 2017). Ketika negara menuju kemerdekaan, kategori ini tidak sahaja dikekalkan, tetapi turut digunakan oleh aktor politik sebagai asas perundingan dan pembinaan konsensus kuasa.
Dalam kerangka ini, teori Ethnic Boundary Construction[4] oleh Fredrik Barth (1969) memberikan penjelasan epistemologi yang mendalam tentang bagaimana identiti etnik bukan hanya berdasarkan ciri-ciri budaya dalaman, tetapi dibentuk melalui batasan sosial dan politik yang disengajakan (Yasmin & Najeemah 2010). Barth menolak pandangan etnik sebagai kategori tetap dan sebaliknya menekankan pentingnya proses pembezaan yang diwujudkan untuk mengekalkan sempadan simbolik antara kumpulan. Dalam konteks Malaysia, sempadan etnik ini telah dibina dan dikekalkan melalui pelbagai bentuk institusi (Barth 1969: 10) antaranya sistem sekolah vernakular, media berasaskan kaum, dasar kuota pendidikan dan agihan ekonomi melalui dasar afirmatif Bumiputera. Semua ini membentuk bukan sahaja perbezaan budaya, tetapi pemisahan struktur peluang dan identiti politik, menjadikan etnik sebagai kategori politik yang aktif dan signifikan (Barth 1969: 12).
Lebih jauh, teori Barth dapat menjelaskan bagaimana epistemologi politik perkauman di Malaysia bukanlah semata-mata hasil dari realiti sosiobudaya, tetapi merupakan hasil pembinaan struktur dan simbolik yang dimantapkan melalui dasar-dasar negara (Barth 1969: 34). Sebagai contoh, DEB yang dilaksanakan selepas 1969 bertujuan mengurangkan jurang ekonomi antara kaum, tetapi pada masa yang sama memperkukuh sempadan etnik melalui mekanisme pemilikan dan akses berasaskan kaum. Ini mencerminkan bagaimana pensempadanan etnik dikekalkan secara aktif, walaupun retorik perpaduan nasional dikemukakan dalam ruang wacana rasmi (Ragayah 2014: 119).
Menambahkan kedalaman terhadap pemahaman ini ialah teori Elite Manipulation of Ethnicity[5]yang diperkenalkan oleh Paul R. Brass (1979: 35). Teori ini menjelaskan bahawa identiti etnik sering kali tidak bersifat tetap, tetapi diaktifkan, dimanipulasi dan diperbesarkan oleh elit politik untuk tujuan pengaruh, kuasa dan mobilisasi massa (Brass 1979:35). Dalam kes Malaysia, UMNO sejak awal kemerdekaan telah meletakkan identiti Melayu sebagai asas pembinaan negara dan dalam proses itu menyusun naratif bahawa hak Melayu perlu dilindungi melalui penguasaan politik. Ini bukan hanya refleksi daripada realiti sosio-sejarah, tetapi satu bentuk strategi elit yang menjadikan etnik sebagai alat konsolidasi kuasa.
Teori Brass amat relevan dalam menerangkan fenomena penggunaan retorik perkauman menjelang pilihan raya, seperti retorik “ancaman kepada Melayu dan Islam”, yang digunakan untuk mengekalkan solidariti etnik dan menghalang peralihan sokongan kepada parti pelbagai kaum (Brass 1979: 67). Bahkan, dalam konteks kegagalan UMNO pada Pilihan Raya Umum-14 (PRU14) pada tahun 2018 dan Pilihan Raya Umum-15 (PRU15) pada tahun 2022, teori ini dapat menjelaskan bagaimana strategi perkauman elit yang gagal menyesuaikan diri dengan perubahan demografi dan nilai pengundi baharu akhirnya mencetuskan krisis legitimasi dan kehilangan kuasa (Brass 1979: 40).
Kedua-dua teori Barth dan Brass menyorot bahawa epistemologi politik perkauman di Malaysia bukan hanya berakar dari sejarah, tetapi telah dibentuk secara aktif oleh institusi dan aktor politik. Ia merupakan satu kerangka pengetahuan yang dibina, disahkan dan dikitar semula dalam struktur kuasa menjadikan politik berasaskan kaum bukan sahaja dominan, tetapi kelihatan wajar dan semula jadi (Shamsul 2001). Dalam hal ini, epistemologi tersebut tidak boleh difahami tanpa memahami struktur institusi, strategi elit dan batasan simbolik yang terus direka dan diselenggara dalam sistem politik Malaysia.
Politik perkauman di Malaysia tidak boleh difahami secara menyeluruh tanpa melihat peranan signifikan UMNO sebagai aktor utama dalam pembentukan kerangka pemikiran dan kuasa etnik pasca-penjajahan (Amoroso 1996). UMNO bukan sahaja mendominasi kerajaan selama lebih enam dekad sejak merdeka, tetapi lebih mendalam, ia berjaya menstruktur epistemologi politik perkauman iaitu menjadikan identiti etnik sebagai asas kepada tafsiran politik, perundangan dan dasar negara (Mohd Rizal 2010). Pemahaman ini perlu dilihat dalam konteks sejarah penubuhan UMNO, reaksi terhadap dasar kolonial dan bagaimana UMNO mencorakkan struktur negara dengan menjadikan nasionalisme Melayu sebagai asas legitimasi politik kebangsaan (Armand 2023).
Sejak penubuhannya pada tahun 1946, UMNO memainkan peranan utama dalam menentang cadangan Malayan Union yang diperkenalkan oleh British (Azfar et al. 2024). Malayan Union telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan bangsawan dan nasionalis Melayu kerana ia mengancam kedudukan Raja-Raja Melayu dan memberikan kewarganegaraan yang longgar kepada bukan-Melayu. Gerakan UMNO, dengan sokongan istana dan elit Melayu, berjaya membatalkan rancangan tersebut dan menggantikannya dengan Persekutuan Tanah Melayu 1948 yang memberikan kedudukan istimewa kepada orang Melayu dan mengehadkan proses kewarganegaraan bagi bukan-Melayu (Azfar et al. 2024). Episod ini menandakan titik penting di mana nasionalisme etnik Melayu diterima sebagai wacana dominan dalam politik tanah air meletakkan Melayu sebagai peribumi yang perlu dilindungi dan diberi keutamaan dalam pembentukan negara.
Sejak saat itu, UMNO telah menyusun naratif bahawa orang Melayu bukan sahaja merupakan penduduk asal, tetapi juga “tuan rumah” kepada pembentukan Malaysia moden (Muzaffar 2020: 80). Naratif ini bukan sekadar retorik politik, tetapi telah diinstitusikan melalui Perlembagaan Persekutuan, khususnya melalui Perkara 153 yang memperuntukkan hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera dalam sektor pendidikan, perkhidmatan awam dan ekonomi (Muzaffar 2020: 87). Dalam erti kata lain, UMNO telah menjadikan identiti Melayu sebagai prasyarat legitimasi politik negara dan menstrukturkan dasar-dasar kebangsaan dalam kerangka melindungi dan memajukan kedudukan kaum majoriti tersebut. Dasar-dasar seperti DEB yang diperkenalkan pasca rusuhan 13 Mei 1969 merupakan manifestasi lanjut strategi ini dan satu bentuk penyusunan semula ekonomi dan sosial yang berlandaskan rasional perkauman, tetapi dipersembahkan sebagai keperluan nasional untuk kestabilan (Mohd Nazim 2019: 48).
Epistemologi ini telah membawa kepada satu bentuk hierarki simbolik dalam struktur politik Malaysia iaitu orang Melayu, melalui UMNO, dianggap sebagai “pemilik asal” atau tuan rumah politik (Nathan 2015: 208), manakala etnik lain walaupun merupakan warganegara sah tetapi sering digambarkan dalam wacana awam sebagai perlu “berterima kasih” atau menyesuaikan diri dalam kerangka yang ditentukan oleh kepentingan Melayu (Muzaffar 2020: 149). Contohnya, dalam ucapan-ucapan politik UMNO, sering wujud naratif bahawa hak istimewa Melayu bukan untuk dirunding dan mana-mana pihak yang mencabarnya dianggap mengganggu kontrak sosial atau menggugat kestabilan negara. Keadaan ini membentuk satu kerangka epistemik di mana perbezaan etnik bukan sahaja diterima sebagai fakta sosial, tetapi diinstitusikan sebagai asas wajar kepada struktur negara (Whiting 2019: 61).
Selain itu, UMNO turut mengawal dan menyelaraskan pelbagai institusi negara yang memperkukuh epistemologi ini. Institusi seperti MARA, UiTM, FELDA dan Jabatan Perpaduan Negara beroperasi dalam lingkungan strategi affirmatif yang bertujuan memperkukuh kedudukan Bumiputera, khususnya Melayu (Hussin Mutalib 1990: 57; Jamaie 2026: 114; Sivachandralingam 2020: 230). Lebih penting, media arus perdana dan sistem pendidikan nasional juga telah memainkan peranan dalam menyebar dan menormalisasi pandangan bahawa kedudukan istimewa Melayu adalah sah dan tidak perlu dipersoal. Dalam banyak hal, wacana yang dimajukan oleh UMNO telah berjaya mewujudkan “common sense” Gramscian[6] iaitu satu bentuk kefahaman sosial yang diterima umum, meskipun mungkin berat sebelah atau tidak adil (Ahmad et al. 2018).
Contoh-contoh sejarah yang menyokong peranan UMNO dalam membina kerangka ini termasuk perjanjian politik antara kaum dalam Perikatan (UMNO-MCA-MIC), di mana UMNO menjadi dominan walaupun wujud kompromi antara pemimpin pelbagai etnik (Rizal Yaakob 2014). Dalam jangka panjang, ini telah mewujudkan satu bentuk konsensus elit[7] yang mengekalkan status quo politik berdasarkan etnik. Perubahan yang dicadangkan oleh parti-parti pelbagai kaum, seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Democratic Action Party (DAP), sering dibingkai oleh UMNO sebagai ancaman terhadap kedudukan Melayu dan kestabilan nasional (Dettman 2024) membuktikan bahawa epistemologi politik perkauman telah menjadi alat untuk mengekalkan kuasa politik, bukan sekadar perlindungan etnik.
Walaupun kerangka ini telah berjaya mengekalkan kestabilan politik dalam tempoh tertentu, ia juga menyumbang kepada pengekalan ketidaksamarataan dan polarisasi kaum yang berterusan. Identiti politik yang berasaskan etnik semakin dicabar oleh generasi muda dan pengundi bandar yang lebih celik maklumat dan mengutamakan meritokrasi. Kekalahan UMNO dalam PRU14 dan kemerosotannya dalam PRU15 menunjukkan bahawa struktur epistemologi yang dibina oleh UMNO semakin hilang legitimasi dalam kalangan segmen masyarakat tertentu.
Secara keseluruhan, UMNO telah memainkan peranan mendalam dalam membentuk, menginstitusi dan mengekalkan epistemologi politik perkauman di Malaysia. Ia bermula sebagai gerakan menentang kolonialisme, berkembang menjadi parti dominan yang menyusun naratif kebangsaan berdasarkan keutamaan Melayu dan seterusnya mengawal pelbagai institusi bagi mengekalkan hierarki ini (Amoroso 1996). Walaupun struktur ini pernah menyumbang kepada kestabilan dan pembangunan, ia kini berada dalam cabaran besar, apabila idea politik berasaskan kaum semakin tidak sesuai dengan tuntutan demokrasi moden yang lebih inklusif, adil dan setara.
Kemunculan Imigran di Malaya
Sejarah pembentukan masyarakat Malaysia moden tidak dapat dipisahkan daripada proses migrasi yang berlaku secara besar-besaran sepanjang era penjajahan British. Kemunculan imigran di Malaya, khususnya dari China dan India, merupakan antara kesan langsung dasar ekonomi kolonial yang berorientasikan eksport dan eksploitasi sumber asli (Azfar et al. 2024). Imigrasi ini bukan sahaja mengubah komposisi demografi Tanah Melayu, malah meletakkan asas kepada struktur masyarakat yang pluralistik serta berasaskan pemisahan ekonomi, sosial dan budaya merupakan suatu realiti yang kemudiannya mewujudkan tapak bagi perkembangan politik perkauman (Weiss 2005).
Kemasukan imigran China dan India berlaku terutamanya sepanjang abad ke-19 dan awal abad ke-20, selepas penubuhan Negeri-Negeri Selat pada 1826 dan perluasan pengaruh British ke Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada akhir 1800-an (Sua 2013). Imigran dari China, yang kebanyakannya berasal dari wilayah selatan seperti Fujian dan Guangdong, dibawa masuk secara berperingkat untuk memenuhi keperluan buruh dalam sektor perlombongan bijih timah yang merupakan industri utama ekonomi kolonial (Mohd Rizal 2010). Sementara itu, imigran dari India, terutamanya dari Tamil Nadu, dibawa melalui sistem kangani[8] dan indentur[9] untuk bekerja di ladang-ladang getah yang berkembang pesat pada awal abad ke-20.
Dasar imigrasi British ini bersifat utilitarian iaitu ia bertujuan memenuhi keperluan tenaga buruh murah tanpa menjejaskan struktur sosial tradisional masyarakat Melayu (Sivachandralingam et al. 2015). Oleh itu, pentadbiran kolonial mengehadkan penglibatan orang Melayu dalam sektor ekonomi moden, membiarkan mereka kekal dalam sektor agraria dan pentadbiran tempatan. Imigran Cina, sebaliknya, mendominasi sektor perlombongan dan perniagaan kecil, manakala imigran India ditempatkan dalam sistem perladangan besar. Keadaan ini secara tidak langsung mewujudkan struktur ekonomi berasaskan kaum, di mana etnik-etnik utama menempati sektor ekonomi yang berbeza-beza (Sivachandralingam et al. 2015).
Lebih penting, dasar British turut mengekalkan pemisahan institusi dan sosial antara etnik. Sekolah-sekolah vernakular dibina mengikut bahasa ibunda seperti Melayu, Cina dan Tamil tanpa usaha sistematik ke arah integrasi pendidikan (Jamaie 2026: 82). Penempatan perumahan pula disusun mengikut kawasan etnik, seperti perkampungan Melayu, kampung baru Cina dan estet India. Tiada dasar integrasi sosial atau kebangsaan diperkenalkan oleh British sepanjang tempoh penjajahan. Sebaliknya, strategi “pecah dan perintah” (Weiss 2005) digunakan untuk mengurangkan risiko kesatuan antara kumpulan etnik yang berbeza merupakan strategi yang terbukti berkesan dalam mengekalkan kawalan kolonial (Noor & Leong 2013).
Selain itu, status kewarganegaraan imigran tidak jelas dalam kebanyakan tempoh penjajahan. Ramai imigran Cina dan India dianggap sebagai transient labourers atau buruh sementara yang akan kembali ke tanah asal selepas tamat kontrak kerja atau setelah mengumpul kekayaan (Abdillah Noh 2024: 59). Walau bagaimanapun, menjelang awal abad ke-20, ramai di antara mereka menetap secara kekal di Tanah Melayu dan membina komuniti yang besar dan tersusun serta lengkap dengan institusi pendidikan, keagamaan dan sosial mereka sendiri. Ini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan elit Melayu, yang melihat perkembangan ini sebagai ancaman kepada dominasi politik dan budaya Melayu (Mahathir 2008: 179).
Akhirnya, pengalaman hidup yang terpisah dan berbeza antara etnik sepanjang zaman kolonial telah membentuk struktur masyarakat Malaya yang pluralistik tetapi tidak bersatu dikenali oleh ahli sosiologi J.S. Furnivall sebagai “plural society” (Amrith 2011: 11). Dalam masyarakat sebegini, pelbagai kumpulan etnik hidup bersebelahan tetapi tidak berinteraksi secara mendalam dari segi budaya, sosial atau ekonomi dan hanya bertemu dalam pasaran ekonomi. Keadaan ini menjadi asas kepada pembentukan identiti politik berasaskan kaum yang berlanjutan selepas merdeka, di mana setiap kumpulan etnik membawa kepentingan dan naratif sejarah yang berbeza.
Kesimpulannya, kemunculan imigran di Malaya merupakan proses sejarah yang bukan sahaja membentuk struktur demografi, tetapi juga menyemai asas kepada sistem politik berasaskan kaum yang dominan hingga ke hari ini. Warisan ini tidak dapat difahami tanpa meneliti dasar ekonomi kolonial British, strategi pecah dan perintah, serta ketiadaan dasar integratif antara etnik yang menyebabkan kewujudan komuniti-komuniti etnik yang berdiri secara selari tanpa penyatuan sebenar dalam satu identiti kebangsaan. Ini menjadikan kemunculan imigran sebagai salah satu akar utama kepada epistemologi politik perkauman dalam sejarah politik Malaysia.
Dasar pecah dan perintah yang dilaksanakan oleh penjajah British di Malaya bukan sekadar strategi pengurusan sosial, tetapi juga satu mekanisme jangka panjang yang membentuk struktur politik berasaskan etnik yang kekal berakar sehingga ke pasca-kemerdekaan (Abdillah Noh 2024: 210). Strategi ini membahagikan masyarakat mengikut ruang sosial, ekonomi dan budaya, sekaligus menghalang kewujudan identiti nasional yang menyeluruh. Masyarakat Malaya tidak dibina atas asas kewarganegaraan kolektif, sebaliknya dibentuk sebagai komuniti etnik yang wujud secara selari tetapi terpisah dalam suatu bentuk struktur yang sangat rapuh dari segi kohesi sosial.
Salah satu dimensi utama dasar ini ialah pemisahan dalam sistem pendidikan, di mana British memperkenalkan dan membenarkan perkembangan sekolah vernakular yang beroperasi mengikut bahasa ibunda dan kurikulum masing-masing (Ragayah 2014: 116; Funston 1980: 1) meliputi Melayu, Cina dan Tamil. Sekolah-sekolah ini bukan sahaja menyampaikan pendidikan, tetapi juga berfungsi sebagai institusi pembinaan identiti etnik yang kukuh. Implikasinya, sejak kecil, anak-anak dari pelbagai etnik tidak mempunyai ruang interaksi bersama yang sistematik, menyebabkan semangat kebangsaan yang kolektif gagal ditanam secara meluas. Ini memperkukuh sempadan budaya dan emosi antara etnik iaitu satu bentuk “ethnic boundary maintenance[10]” yang sangat selari dengan konsep yang diketengahkan oleh Fredrik Barth (1969: 28).
Selain pendidikan, pemisahan penempatan juga menjadi strategi penting dalam dasar pecah dan perintah. Penempatan Melayu lazimnya di kampung-kampung tradisional, masyarakat Cina tertumpu di kawasan bandar atau ‘Kampung Baru’, manakala masyarakat India ditempatkan di ladang-ladang yang terpencil (Azfar et al. 2024). Pemisahan geografi ini membawa implikasi ekonomi dan politik yang besar. Ia menghasilkan jurang akses kepada perkhidmatan, pembangunan dan peluang ekonomi, sekaligus meletakkan komuniti etnik dalam posisi kelas yang berbeza. Realiti ini menjadi justifikasi pasca-kemerdekaan kepada pengenalan dasar afirmatif seperti DEB yang dikatakan bertujuan membetulkan ketidakseimbangan, tetapi dalam realiti politik, telah memperkukuh lagi perbezaan institusional berdasarkan kaum (Ahmad et al. 2018; Choong 2022).
Tambahan pula, dalam bidang ekonomi, kaum-kaum utama ditempatkan dalam sektor yang berbeza: orang Melayu dalam sektor agraria, Cina dalam perdagangan dan perlombongan dan India dalam perladangan (Azfar et al. 2024). Ini menjadikan setiap kumpulan mengembangkan kepentingan kelas dan ekonomi yang tersendiri, serta mengukuhkan lagi rasional bahawa politik mesti diurus secara berasingan mengikut etnik. Ketidakhadiran dasar integrasi ekonomi atau pendidikan menyebabkan struktur masyarakat pluralistik kekal tanpa titik temu yang signifikan menjadikan dasar pecah dan perintah bukan sahaja berjaya dalam konteks penjajahan, tetapi juga memberi legasi kepada sistem politik yang berpaksikan kompromi antara komuniti yang terasing.
Kesannya, dasar ini meletakkan asas kepada pembentukan sempadan politik formal selepas kemerdekaan. Parti-parti politik awal seperti UMNO, MCA dan MIC muncul bukan sebagai parti pelbagai etnik, tetapi sebagai wakil etnik masing-masing yang menyusun kepentingan mereka dalam bentuk pakatan Perikatan. Bahkan sehingga ke hari ini, kebanyakan kawasan pilihan raya disusun berdasarkan komposisi etnik yang relatif homogen dan persempadanan semula sering dilihat sebagai alat politik untuk mengekalkan pengaruh etnik tertentu, terutamanya dalam konteks pengundi Melayu luar bandar (Dettman 2024). Dalam erti kata lain, semangat pecah dan perintah diteruskan dalam bentuk sistematik dan institusional melalui sempadan politik, memperkukuh epistemologi bahawa kuasa mesti dikongsi mengikut kaum dan bukan berdasarkan merit, kelas atau ideologi.
Dasar pecah dan perintah British bukan sahaja mewujudkan masyarakat yang terpisah dari segi sosial dan ekonomi, tetapi turut meletakkan asas kepada pembentukan sistem politik berasaskan etnik. Ia membentuk sempadan simbolik dan praktikal yang masih berfungsi dalam konteks politik kontemporari Malaysia, menghalang pembinaan identiti nasional yang inklusif dan memperkukuh ketergantungan kepada politik perkauman sebagai kaedah utama pengurusan kuasa.
Kemasukan besar-besaran imigran dari China dan India sepanjang abad ke-19 dan awal abad ke-20 akhirnya membawa kepada perdebatan serius mengenai status politik dan hak kewarganegaraan mereka, khususnya ketika Tanah Melayu bergerak ke arah kemerdekaan. Meskipun komuniti ini telah menetap secara tetap dan membina kehidupan serta institusi mereka sendiri, kedudukan mereka sebagai bukan peribumi mencetuskan kebimbangan dalam kalangan elit politik Melayu (Yong & McKenna 1990: 2). Perdebatan mengenai siapa yang berhak mendapat kewarganegaraan dan atas asas apa terus menjadi antara isu paling kritikal dalam rundingan pembentukan negara bangsa Malaysia yang baharu (Abdillah Noh 2024: 7).
Menjelang kemerdekaan, dua isu utama bertembung secara langsung, pertama, desakan komuniti bukan-Melayu, khususnya kaum Cina dan India, untuk mendapatkan kewarganegaraan penuh dan kedua, keinginan orang Melayu untuk mengekalkan kedudukan istimewa sebagai peribumi dan “tuan rumah politik” (Ratnam 1965: 81; Stenson 1980: 124). Dalam konteks ini, UMNO memainkan peranan penting sebagai perunding utama bagi pihak orang Melayu dan menjadi aktor politik yang berjaya membina naratif bahawa kewarganegaraan untuk bukan-Melayu hanya boleh diberikan jika hak istimewa Melayu juga diperakui secara rasmi dan kekal (Amrith 2011: 125).
Perundingan ini membawa kepada apa yang dikenali sebagai “Kontrak Sosial[11]” (Syed Hamid 2023: 46) iaitu satu bentuk kompromi politik yang tidak termaktub secara eksplisit dalam mana-mana dokumen rasmi, tetapi diinstitusikan secara tersirat melalui peruntukan Perlembagaan Persekutuan 1957, khususnya Perkara 153. Perkara ini memberikan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak dalam hal-hal berkaitan biasiswa, pendidikan, perkhidmatan awam dan permit perniagaan. Sebagai balasan, kaum bukan-Melayu diberikan kewarganegaraan dan diiktiraf sebagai sebahagian daripada entiti politik Malaysia (Syed Hamid 2023: 46).
Walaupun pada permukaannya Kontrak Sosial ini kelihatan sebagai formula pragmatik untuk mengurus pluralisme etnik dan mengelakkan konflik, dari sudut epistemologi politik, ia telah mengesahkan satu struktur pemikiran dan kuasa berasaskan kaum. Ia menyampaikan mesej bahawa kewarganegaraan tidak diberikan berdasarkan prinsip universal seperti kelahiran atau komitmen kepada negara tetapi berdasarkan kompromi antara kumpulan etnik yang membawa ‘tuntutan’ masing-masing. Ini menjadikan politik Malaysia bukan semata-mata medan persaingan dasar atau ideologi, tetapi medan tawar-menawar identiti, sejarah dan kedudukan kaum (Amrith 2011: 125).
Struktur ini membentuk asas kepada sistem politik konsosiasional, di mana parti-parti utama muncul sebagai wakil kepada etnik masing-masing dengan UMNO untuk Melayu, MCA untuk Cina dan MIC untuk India. Daripada membina satu identiti nasional yang trans-etnik, sistem ini mewujudkan kerangka politik yang memerlukan rundingan berterusan antara kumpulan etnik, dengan UMNO sebagai pihak dominan. Dalam tempoh lebih 60 tahun, pendekatan ini menjadi asas kepada kestabilan politik yang relatif, namun pada masa sama juga menjadi penghalang kepada pembinaan politik berasaskan nilai sejagat seperti keadilan sosial, meritokrasi dan hak asasi manusia.
Dalam jangka panjang, epistemologi ini turut menyumbang kepada polarisasi masyarakat, kerana ia memupuk persepsi bahawa hak dan peluang seseorang warganegara ditentukan oleh etnik, bukan keupayaan individu. Ia juga menyulitkan usaha pembaharuan institusi, kerana sebarang cubaan untuk mempersoalkan dasar berasaskan kaum sering ditanggapi sebagai cubaan mencabar kontrak sosial atau kedudukan istimewa peribumi. Wacana politik negara terperangkap dalam pengurusan tuntutan kaum dan bukan dalam penyelesaian isu struktur seperti ketidaksamarataan kelas, kemiskinan bandar, rasuah atau kelemahan pentadbiran.
Kemunculan imigran di Malaya dan perdebatan tentang kewarganegaraan bukan sahaja membawa kepada kompromi politik yang membentuk asas negara moden, tetapi turut menghasilkan struktur epistemologi politik yang mendalam di mana perbezaan etnik bukan sahaja realiti sosial, tetapi asas kepada pembahagian kuasa, sumber dan identiti. Legasi ini masih hidup dalam struktur politik Malaysia hari ini dan terus membentuk bagaimana rakyat, parti politik dan institusi negara mentafsir hak, kuasa dan keadilan dalam kerangka yang sangat dipengaruhi oleh sejarah migrasi dan tawar-menawar etnik (Milner et al. 2014: 7).
Politik Kaum di Malaya-Malaysia
Perkembangan politik kaum di Malaya dan kemudian Malaysia pasca-kemerdekaan tidak dapat dipisahkan daripada penubuhan dan dominasi Perikatan berasaskan sebuah pakatan antara parti-parti politik berasaskan etnik, iaitu UMNO untuk Melayu, MCA (Cina) dan MIC (India). Model Perikatan ini menjadi asas utama sistem perkongsian kuasa pascakolonial, di mana identiti dan kepentingan etnik bukan sahaja diiktiraf secara rasmi, tetapi dimobilisasi dalam struktur politik formal (Sivacandralingam 2020: 228). Pendekatan ini seiring dengan model konsosiasionalisme yang diperkenalkan oleh ahli sains politik, Arend Lijphart[12] (1977: 25), yang menekankan keperluan bagi masyarakat majmuk mengekalkan kestabilan politik melalui perwakilan elite, rundingan tertutup dan autonomi kumpulan etnik dalam bidang tertentu.
Dalam konteks Malaya, pakatan Perikatan memperlihatkan bentuk awal konsosiasionalisme, di mana parti-parti etnik bersetuju untuk bekerjasama melalui sistem yang membolehkan rundingan silang etnik dilakukan secara tertutup, tanpa melibatkan rakyat secara langsung (Brown 1994: 237). UMNO, sebagai parti dominan Melayu, berperanan utama dalam menyusun naratif kebangsaan dan menentukan batas tawar-menawar antara etnik. Parti komponen lain seperti MCA dan MIC berfungsi bukan sahaja sebagai perantara kepada komuniti masing-masing, tetapi juga sebagai rakan sekutu yang perlu menerima hak istimewa Melayu sebagai asas pembentukan negara.
Walau bagaimanapun, model ini bukan tanpa batasan. Konsensus yang terbentuk adalah bersifat elitist, iaitu disusun dan dikawal oleh segelintir pemimpin parti sahaja dan bukan hasil rundingan akar umbi atau dialog terbuka antara rakyat pelbagai kaum. Dalam banyak hal, rakyat biasa hanya berperanan sebagai pengundi dalam sistem yang telah diprakerangka oleh elite etnik dan bukan sebagai aktor yang aktif membentuk dasar bersama. Ini menjadikan sistem politik konsosiasional di Malaysia sebagai suatu bentuk kompromi kuasa di peringkat atasan, bukannya proses pembinaan nasional yang menyeluruh dan inklusif (Clark & Pietsch 2014: 214).
Peristiwa 13 Mei 1969 menjadi titik perubahan yang sangat signifikan dalam sejarah politik Malaysia. Rusuhan kaum yang tercetus selepas keputusan Pilihan Raya Umum tahun itu telah mencabar asas sistem konsosiasional yang sedia ada dan memberi laluan kepada pengukuhan hegemoni politik Melayu yang dipimpin oleh UMNO (Ahmad et al. 2018). Dalam suasana pasca-konflik tersebut, naratif bahawa kestabilan negara hanya boleh dicapai melalui dominasi politik Melayu mula dijadikan asas ideologi negara dan bukannya semata-mata kompromi antara pemimpin etnik seperti sebelum ini. Dalam konteks ini, UMNO bukan sahaja bertindak sebagai aktor politik, tetapi sebagai pengeluar naratif hegemonik yang mentakrifkan semula struktur dan nilai politik kebangsaan (Amoroso 1996).
Pengumuman DEB pada tahun 1971 menjadi instrumen utama bagi pengukuhan peranan negara dalam mengangkat kedudukan ekonomi orang Melayu dan Bumiputera (Noor & Leong 2013). Walaupun matlamat rasmi DEB adalah untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat tanpa mengira kaum, pelaksanaannya jelas memperlihatkan keutamaan kepada agenda Melayu, dengan penekanan kepada penguasaan ekuiti, pendidikan dan peluang ekonomi bagi komuniti Bumiputera. Ini bukan sahaja merupakan pelaksanaan dasar afirmatif, tetapi juga satu bentuk penginstitusian naratif Ketuanan Melayu di mana keistimewaan orang Melayu dijustifikasikan atas dasar sejarah dan keseimbangan nasional (Dettman 2024).
Dalam rangka ini, retorik Ketuanan Melayu mula diperkenalkan dan diperkukuh oleh UMNO sebagai tonggak ideologi parti dan negara. Ketuanan Melayu bukan sekadar slogan politik, tetapi satu wacana ideologi yang menormalisasi dominasi politik etnik Melayu sebagai prasyarat kestabilan dan keamanan. Ia menampilkan orang Melayu bukan sekadar sebagai kumpulan majoriti, tetapi sebagai penjaga legasi sejarah, budaya dan agama negara ini seterusnya mereka berhak menguasai institusi-institusi utama seperti kerajaan, pendidikan, keselamatan dan birokrasi. Retorik ini diperkukuh melalui ucapan politik, dokumen rasmi, media arus perdana dan sistem pendidikan lantas menjadikannya satu “common sense” dalam kerangka Gramscian, iaitu pandangan dunia yang diterima luas dan jarang dipersoal secara terbuka.
Dalam teori hegemoni Antonio Gramsci (Bates 1975), kuasa yang dominan tidak semestinya berasaskan paksaan semata-mata, tetapi lebih kepada konsensus yang dihasilkan melalui persetujuan sosial terhadap nilai dan naratif yang diperkenalkan oleh kelas pemerintah. Dalam konteks Malaysia, UMNO berjaya membina dan mengekalkan hegemoni politiknya dengan menstruktur konsensus nasional bahawa perbezaan etnik adalah realiti semula jadi dan kestabilan hanya boleh dicapai dengan menjaga dominasi politik Melayu. Melalui kawalan ke atas institusi budaya seperti media, sekolah dan birokrasi UMNO menyebarkan nilai-nilai ini ke seluruh masyarakat, menjadikan politik perkauman bukan sahaja strategi kuasa, tetapi juga kerangka pemikiran nasional (Ahmad et al. 2018).
Dengan itu, Ketuanan Melayu bukan sekadar idea politik tetapi telah menjadi kerangka epistemologi, iaitu asas pengetahuan dan kefahaman bersama tentang bagaimana negara ini wajar ditadbir. Ia meletakkan Melayu sebagai “tuan rumah politik” dan kaum lain sebagai komuniti yang diterima dalam kerangka yang ditentukan oleh majoriti. Dalam kerangka ini, setiap usaha untuk mencabar struktur tersebut walaupun atas nama keadilan sosial atau meritokrasi sering digambarkan sebagai ancaman terhadap kestabilan negara atau pelanggaran terhadap kontrak sosial (Amoroso 1996).
Sejak pilihan raya pertama diadakan pada tahun 1955, sehingga kejatuhannya dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (2018), UMNO menerusi Perikatan dan kemudian Barisan Nasional (BN) telah menguasai kerajaan Malaysia secara berterusan. Dalam tempoh lebih enam dekad tersebut, UMNO bukan sahaja memegang kuasa politik secara konsisten, malah berjaya menginstitusikan dominasi etnik Melayu dalam struktur negara menjadikan politik Malaysia sebagai bentuk hegemoni koalisi etnik, dengan UMNO sebagai parti teras yang mengawal arah tuju dasar negara, wacana awam dan pembentukan identiti nasional.
Kemenangan berterusan UMNO/BN dalam siri pilihan raya tidak hanya mencerminkan populariti politik biasa, tetapi juga hasil daripada struktur sistemik yang menyokong dominasi berasaskan kaum (Dettman 2024). Sistem pilihan raya “first-past-the-post[13]”, pembahagian kawasan yang strategik dan pemusatan kuasa di peringkat persekutuan telah memberikan kelebihan besar kepada parti pemerintah. Tambahan pula, banyak kerusi parlimen yang dimenangi oleh UMNO dan BN berada di kawasan majoriti Melayu luar bandar (Sivachandralingam et al. 2015), yang sering terdedah kepada pengaruh institusi kerajaan dan jentera parti. Hal ini membolehkan UMNO mengekalkan tapak kuasa walaupun berlaku perubahan undi di kawasan bandar.
Namun, dominasi UMNO bukan sahaja dalam bentuk kawalan ke atas kerusi Parlimen. Ia turut merangkumi pengaruh kultural dan ekonomi yang mendalam (Ahmad et al. 2018). Dalam bidang pendidikan, UMNO melalui kerajaan telah menyusun semula sistem kurikulum nasional, menekankan naratif sejarah negara yang memberi keutamaan kepada perjuangan Melayu, sambil meminggirkan sumbangan bukan-Melayu dalam naratif arus perdana (Armand 2023). Di universiti awam dan institusi pengajian tinggi seperti UiTM, peluang akses lebih terbuka kepada Bumiputera berbanding bukan-Bumiputera (Chong Ching Kee & Jones 2025) yangm enjadikan ia satu manifestasi lanjut dasar afirmatif yang telah diperluas menjadi komponen budaya nasional (Shamsul Haque 2003).
Pengaruh budaya UMNO juga dizahirkan melalui media arus perdana, terutamanya dalam era pra-reformasi politik (sebelum 2008). Media seperti RTM, TV3, Utusan Malaysia dan Berita Harian memainkan peranan sebagai alat penyebaran naratif rasmi yang menyokong dasar pro-Melayu dan menjustifikasikan dominasi politik UMNO. Dalam banyak kes, media ini turut digunakan untuk membingkai semula wacana politik rentas kaum sebagai ancaman terhadap kestabilan dan perpaduan, sekali gus mengekalkan ketakutan rakyat terhadap perubahan (Amoroso 1996).
Dalam bidang ekonomi pula, UMNO melalui kerajaan memperkukuh dominasi melalui agensi-agensi strategik seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), MARA, FELDA dan Teraju, yang kesemuanya menyalurkan peluang dan sumber kepada komuniti Bumiputera. Dalam kerangka ini, dominasi UMNO bukan sekadar menyentuh aspek kuasa legislatif dan eksekutif, tetapi juga melibatkan penguasaan ke atas alat-alat pengeluaran dan pengagihan kekayaan, menjadikannya satu bentuk hegemoni penuh dalam erti Gramscian, di mana pengaruh dan kuasa merangkumi seluruh ruang sosial, ekonomi dan budaya (Ahmad et al. 2018).
Perlu ditekankan bahawa struktur ini bukan semata-mata hasil dasar, tetapi juga terbina melalui pemikiran politik yang mengaitkan dominasi Melayu dengan kestabilan negara. Dalam setiap pilihan raya, UMNO sering menekankan naratif bahawa hanya mereka yang mampu menjamin kepentingan orang Melayu dan mengelakkan konflik antara kaum. Dengan itu, kuasa UMNO dijustifikasi bukan atas asas prestasi pentadbiran atau kecekapan dasar semata-mata, tetapi atas asas “kewajaran etnik” yang dimantapkan melalui pendidikan, media dan institusi negara (Ahmad et al. 2018).
Dengan segala instrumen ini, politik Malaysia menjadi sebuah sistem yang dikuasai oleh satu koalisi etnik, di mana peranan Melayu sebagai etnik dominan dijaga dan dimanipulasi oleh UMNO untuk mengekalkan legitimasi. Dalam konteks ini, pilihan raya bukan sahaja menjadi medan pertandingan dasar, tetapi juga menjadi ritual pengesahan konsensus perkauman, selagi mana struktur wacana dan kuasa tetap dikawal oleh UMNO dan rakan-rakan koalisinya (Azfar et al. 2024).
Setelah mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, struktur politik Malaysia dibentuk atas asas satu kontrak sosial tidak bertulis yang bertujuan mengimbangi kepentingan pelbagai kaum. Dalam kerangka ini, kaum bukan-Melayu khususnya Cina dan India diterima sebagai warganegara penuh, namun dengan pengiktirafan terhadap hak-hak istimewa orang Melayu, sebagaimana termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Kontrak sosial ini berfungsi sebagai kerangka normatif bagi mengatur pembahagian kuasa, sumber dan peluang antara etnik dengan harapan ia dapat mewujudkan kestabilan jangka panjang dan keharmonian dalam masyarakat pluralistik.
Namun, sistem ini tidak beroperasi dalam vakum. Ia terdedah kepada tekanan sosial dan politik, terutamanya apabila wujud ketidakseimbangan ekonomi dan kekangan mobiliti sosial yang ketara antara kumpulan etnik. Ketegangan ini akhirnya memuncak dalam peristiwa rusuhan 13 Mei 1969 (Ross 2019), yang menjadi titik perubahan besar dalam sejarah politik Malaysia (Hussin Mutalib 1990: 54). Rusuhan ini membuka ruang kepada kerajaan untuk memperkenalkan satu bentuk transformasi struktur, yang secara eksplisit mengukuhkan agenda afirmatif dan menginstitusikan dominasi etnik Melayu dalam hampir semua aspek kehidupan nasional.
Pasca-1969, DEB diperkenalkan sebagai mekanisme utama untuk menyusun semula ekonomi negara. DEB bertujuan menghapuskan pengenalan etnik berdasarkan fungsi ekonomi dan dalam masa sama meningkatkan pegangan ekuiti Melayu kepada sekurang-kurangnya 30% (Kua Kia Soong 2007: 130). Walaupun retorik rasminya bersifat inklusif, pelaksanaan DEB memberi keutamaan jelas kepada Bumiputera, menjadikannya satu bentuk state-engineered ethnic redistribution[14] di mana agihan peluang, bantuan dan dasar dikawal oleh negara dengan justifikasi keperluan etnik (Abdillah Noh 2024: 199). Langkah ini menstrukturkan semula ekonomi nasional, tetapi juga mengukuhkan kedudukan politik UMNO sebagai pelindung utama keistimewaan Melayu (Jamaie 2026: 156).
Dalam konteks ini, sistem politik pasca-merdeka terus mengekalkan sistem representasi etnik sebagai asas struktur politik. Parti-parti utama masih dibingkai mengikut etnik walaupun dalam bentuk koalisi dan rundingan dasar dibuat berdasarkan kuota tidak rasmi antara kumpulan etnik. Pilihan raya, pembentukan kabinet, agihan jawatan awam dan biasiswa semuanya mengekalkan logik ini. Perwakilan etnik menjadi norma pentadbiran negara, walaupun dalam wacana rasmi, kerajaan cuba mempromosikan konsep perpaduan nasional. Keadaan ini menggambarkan model “kestabilan melalui konsensus” di mana ketegangan kaum dikawal melalui kompromi antara elite politik pelbagai etnik, namun dalam realitinya, wujud ketidakseimbangan kuasa yang jelas memihak kepada UMNO dan etnik majoriti.
Model ini tidak semata-mata mengekalkan kestabilan, tetapi juga membentuk sempadan yang sukar diubah. Usaha ke arah pembinaan identiti kebangsaan yang berasaskan nilai universal seperti keadilan dan kesamarataan sering ditolak atau dipinggirkan atas alasan melanggar semangat kontrak sosial. Bahkan, perbincangan mengenai hak istimewa Melayu atau dasar afirmatif sering dianggap sebagai isu sensitif yang tidak wajar dibahas secara terbuka menunjukkan betapa kerangka politik perkauman telah menjadi tabu yang dikawal secara hegemonik oleh institusi dan aktor kuasa, terutamanya UMNO.
Dalam jangka panjang, pendekatan ini menghasilkan asimetri politik, di mana satu komuniti etnik bukan sahaja mendominasi politik, tetapi turut mengawal institusi-institusi utama negara seperti birokrasi, angkatan tentera, pendidikan awam dan media. Ini membentuk satu bentuk konsensus hegemonik yang menjadikan dominasi tersebut kelihatan “semula jadi” dan sukar dicabar. Meskipun kestabilan relatif berjaya dicapai, sistem ini secara tidak langsung mengekalkan polarisasi dan membataskan perkembangan politik yang lebih terbuka, berasaskan prinsip sivik dan meritokrasi.
Dalam era politik pasca-2000-an, landskap politik Malaysia telah menyaksikan kemunculan parti-parti dan gabungan politik yang cuba keluar daripada kerangka politik etnik yang telah lama mencengkam sistem politik negara (Clark & Pietsch 2014: 283). PKR dan DAP misalnya, tampil dengan retorik politik yang lebih inklusif dan rentas kaum menawarkan naratif baharu yang menekankan keadilan sosial, hak asasi manusia, meritokrasi dan reformasi institusi. Gabungan seperti Pakatan Rakyat (2008–2015) dan kemudian Pakatan Harapan (sejak 2015) telah cuba memperkenalkan agenda politik yang melangkaui batasan kaum, dengan menampilkan calon pelbagai etnik dan memperjuangkan isu bersama rakyat tanpa mengutamakan etnik secara eksklusif (Milner & Ting 2014: 48).
Namun, realiti politik kontemporari menunjukkan bahawa kerangka epistemologi politik perkauman masih kekal dominan dan berakar dalam struktur wacana dan strategi politik Malaysia. Parti-parti lawan, khususnya dari blok konservatif Melayu seperti UMNO dan PAS, sering membingkai usaha rentas kaum ini sebagai ancaman terhadap kedudukan Melayu dan Islam. DAP, sebagai contoh, secara konsisten diserang sebagai “parti Cina”, manakala PKR pula dituduh tunduk kepada kepentingan bukan-Melayu walaupun kedua-duanya mempunyai barisan kepimpinan yang pelbagai dari segi kaum (Abdillah Noh 2024: 214). Hakikatnya, parti yang kononnya berbilang etnik ini pada akhirnya masih tetap juga memperjuangkan kaum yang menjadi penyokong asas mereka. Sebagai contoh, DAP setelah kekalahan pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah ke 17 pada November 2025, mereka bertindak balas dengan memainkan isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang didominasi oleh kaum Cina (Chung 2025).
Retorik politik seperti “ancaman kepada Melayu/Islam” atau “kecenderungan anti-Melayu” menjadi naratif mobilisasi yang berkesan, khususnya dalam kalangan pengundi luar bandar yang terdedah kepada sumber maklumat arus perdana dan dikawal (Abdillah Noh 2024: 168). Wacana ini tidak sahaja digunakan semasa kempen pilihan raya, tetapi juga dijelmakan dalam debat dasar, liputan media dan malah dalam wacana pendidikan dan agama. Naratif ini menjadikan usaha ke arah politik yang lebih inklusif sebagai sesuatu yang asing, mencurigakan dan berpotensi merosakkan kestabilan walaupun dalam realitinya, ketidakseimbangan struktur antara etnik tetap wujud.
Fenomena ini mencerminkan ketahanan epistemologi politik perkauman, iaitu betapa kuat dan berakar umbinya cara berfikir dan memahami politik melalui lensa etnik. Meskipun komposisi pengundi semakin kompleks, celik maklumat dan terbuka kepada isu-isu sejagat seperti rasuah, kos sara hidup dan reformasi undang-undang, naratif etnik tetap menjadi alat paling efektif dalam menentukan kesetiaan politik. Hal ini memperlihatkan bahawa perubahan struktur politik tidak cukup untuk menamatkan politik perkauman selagi struktur wacana, institusi dan media masih dikawal oleh aktor yang mengekalkan paradigma etnik.
Lebih ironik, wacana dominan perkauman ini tidak hanya datang dari elit Melayu, tetapi juga dari sebahagian elit bukan-Melayu yang turut bermain dalam logik yang sama menuntut hak dari sudut etnik, bukannya sebagai warganegara kolektif (Siti Nurnadilla 2025: 198). Keadaan ini mengukuhkan lagi premis bahawa politik Malaysia masih beroperasi dalam rangka “politik tuntutan kumpulan” bukan dalam rangka kesaksamaan sivik dan hak individu sebagai asas negara moden.
Kekalahan UMNO dalam PRU14 menjadi titik peralihan dramatik dalam sejarah politik Malaysia moden (Dettman 2024). Buat kali pertama sejak merdeka, koalisi yang diterajui UMNO tidak lagi memperoleh majoriti, sekaligus menandakan keretakan serius dalam legitimasi politik perkauman tradisional. Walaupun isu seperti skandal 1MDB dan amalan kleptokrasi menjadi pencetus utama kejatuhan, kekalahan tersebut juga mencerminkan kekecewaan mendalam pengundi muda dan bandar terhadap sistem politik berasaskan patronage dan etnik yang telah lama mencengkam negara (Ahmad et al. 2018).
Kedudukan UMNO terus merosot dalam PRU15 apabila hanya memenangi 26 kerusi parlimen prestasi terburuk dalam sejarahnya. Data pasca-pilihan raya menunjukkan peralihan sokongan kepada parti-parti yang menawarkan naratif lebih rentas kaum dan berasaskan integriti (Tan 2016). Ini mengesahkan bahawa generasi baharu pengundi semakin menolak politik yang menjadikan etnik sebagai asas utama pembahagian kuasa dan sebaliknya menuntut bentuk politik yang lebih transformatif dan berteraskan kecekapan, keadilan sosial serta tatakelola baik (Segawa 2017).
Namun begitu, pembentukan Kerajaan Perpaduan pasca-PRU15 yang menyaksikan penyatuan antara Pakatan Harapan, UMNO (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menunjukkan bahawa struktur lama belum sepenuhnya dihapuskan. Gabungan ini memperlihatkan satu bentuk hibrid politik baharu, yang cuba keluar daripada paradigma lama namun masih dibayangi oleh realiti etnik, kompromi kuasa dan keperluan mengekalkan kestabilan melalui rundingan rentas parti dan kaum (Dettman 2024). Dengan itu, walaupun era dominasi eksklusif UMNO telah berakhir, struktur dan logik politik perkauman masih hidup dalam bentuk yang lebih tersembunyi dan kompleks.
Sepanjang era Malaya hingga Malaysia moden, politik kaum telah menjadi paksi utama dalam pembentukan dan pelaksanaan kuasa politik. Bermula daripada sistem konsosiasional pasca-merdeka yang bersifat elit, kepada pengukuhan ideologi Ketuanan Melayu dan dasar afirmatif pasca-13 Mei, sehinggalah kepada kemunculan usaha rentas kaum yang dibayangi oleh retorik etnik, kerangka epistemologi politik perkauman telah menjadi struktur hegemonik yang sukar dirungkaikan. Meskipun landskap politik kini semakin plural dan terbuka kepada bentuk politik baharu, warisan politik perkauman masih kuat dalam struktur institusi, wacana awam dan pola pengundian.
Praktik Amalan Politik yang Panjang di Malaysia
Politik perkauman di Malaysia tidak sekadar tercermin dalam dasar dan institusi, tetapi telah membentuk satu budaya politik dan mekanisme kelestarian kuasa yang berfungsi melampaui parti dan zaman. Amalan ini berkembang dalam bentuk sistemik dan berstruktur, menyerap ke dalam proses demokrasi berpilihan raya, mobilisasi masyarakat dan pembinaan naratif negara (Mohd Rizal 2010). Ia bukan sahaja mengekalkan dominasi etnik tertentu, tetapi juga mencipta satu ekosistem politik yang melanggengkan identiti sebagai modal politik utama (Armand 2023).
Salah satu aspek yang jarang diteliti secara mendalam ialah bagaimana politik perkauman membentuk budaya klientelisme dan patronage rentas dekad. Sokongan politik sering diraih bukan melalui persaingan dasar atau idea, tetapi melalui janji dan agihan sumber berdasarkan keanggotaan etnik (Abdillah Noh 2024: 3). Wakil rakyat dan parti menjadi pengantara antara kerajaan dan komuniti etnik masing-masing menjadikan politik sebagai saluran pengedaran faedah, bukan pengurusan kepentingan nasional bersama. Klientelisme ini mengukuhkan amalan “vote buying secara sah”, dengan memperlihatkan siapa yang mampu “membawa pulang peruntukan” kepada kelompok etnik mereka (Muzaffar 2020: 106).
Dalam jangka panjang, politik perkauman turut mempengaruhi trajektori kelas profesional dan teknokrat, di mana mobiliti sosial dilakar melalui laluan institusi etnik seperti MARA, UiTM dan pelbagai yayasan etnik (Brown 1994: 249). Ini membina satu bentuk kelas pertengahan etnik yang terhutang budi kepada sistem sedia ada dan tidak cenderung untuk mencabar struktur kuasa dominan. Golongan profesional ini akhirnya mengisi posisi dalam pentadbiran awam, korporat dan akademik lalu mengekalkan legasi perkauman dalam keputusan dasar dan pelaksanaan birokrasi secara tidak langsung, walaupun dalam suasana pasca-UMNO.
Walaupun UMNO tidak lagi dominan selepas PRU14 dan PRU15, amalan politik perkauman tidak pupus, malah beralih bentuk melalui strategi adaptasi oleh parti-parti lain. PAS, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan bahkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menunjukkan kecenderungan menstruktur semula naratif perkauman dalam konteks negeri, agama atau budaya (Shamsul 2001). Ini membuktikan bahawa struktur epistemologi lama telah melangkaui entiti politik asalnya dan kini dihidupkan semula dalam bentuk baharu termasuk dalam retorik “Melayu-Islam”, “hak pribumi” atau “kuasa autonomi negeri” (Brown 2009; Segawa 2017).
Selain dasar substantif[15], banyak amalan pentadbiran, perolehan dan prosedur kerajaan turut menyerap logik etnik secara tidak formal. Walaupun tidak termaktub secara rasmi, peraturan dalaman mengenai agihan peruntukan, lantikan jawatan, serta keutamaan projek sering dikaitkan dengan pertimbangan etnik (Clark & Pietsch 2014: 231). Malah, pemilihan pemimpin dalam parti politik juga menunjukkan pola kuota tidak rasmi yang meniru struktur etnik negara. Ini menunjukkan bahawa politik perkauman telah meresapi semua peringkat institusi walaupun tidak selalu kelihatan di permukaan, tetapi sangat aktif di lapisan teknikal dan pelaksanaan dasar (Lemiere 2019: 334).
Walaupun landskap politik Malaysia menyaksikan perubahan signifikan dalam dekad kebelakangan ini, kerangka epistemologi politik perkauman masih menunjukkan ketahanan yang kuat dalam pelbagai dimensi kenegaraan (Abdillah Noh 2024: 8). Struktur wacana, sistem pendidikan, institusi politik dan media terus mengukuhkan naratif bahawa dominasi Melayu adalah prasyarat kepada kestabilan negara (Mohd Nazim 2019: 48). Dalam kerangka ini, politik perkauman bukan lagi dilihat sebagai bentuk eksklusivisme etnik, tetapi dibingkai semula sebagai alat perlindungan hak-hak komuniti majoriti, menjadikan ia sukar dikritik tanpa disalah tafsir sebagai cubaan menjejaskan kontrak sosial. Kerajaan Perpaduan juga amat tegas dalam mempertahankan konteks kontrak sosial dan kedaulatan sultan-sultan Melayu apabila tidak berkompromi dalam soal 3R (raja, kaum dan agama) demi mempertahankan keselamatan rakyat. Penguatkuasaan isu melibatkan 3R secara tidak langsung adalah untuk menjamin keutuhan politik perkauman dari merebak terutamanya apabila memainkan isu-isu sensitif. (Noraini 2024).
Naratif politik yang dominan sejak awal kemerdekaan mengaitkan kestabilan negara dengan dominasi Melayu dan ini didoktrinkan melalui pelbagai saluran rasmi termasuk media, kurikulum sejarah dan retorik politik. Elit politik, khususnya UMNO, memainkan peranan utama dalam membentuk persepsi bahawa tanpa dominasi Melayu, negara akan tergugat secara politik dan ekonomi. Wacana ini berakar pada peristiwa-peristiwa kritikal seperti rusuhan 13 Mei 1969, yang kerap dijadikan peringatan terhadap “bahaya” jika struktur kuasa etnik digugat (Brown 1994: 262).
Dengan meletakkan perkauman sebagai kerangka perlindungan dan keseimbangan, bukannya sebagai bentuk diskriminasi, ia menjadi “ideologi halus” yang diterima ramai. Dalam analisis Gramscian, ini adalah contoh hegemoni ideologi, di mana status quo diterima sebagai “semula jadi” dan sukar dicabar kerana ia membentuk norma dan persepsi umum. Politik perkauman dilihat bukan sebagai bentuk pemisahan, tetapi sebagai kompromi sejarah yang wajib dihormati menjadikan kritik terhadapnya kelihatan radikal atau tidak patriotik (Syed Hamid 2023: 71).
Namun begitu, sejak awal 2010-an, tanda-tanda penghakisan legitimasi epistemologi ini semakin jelas. Generasi muda, terutama di bandar dan kawasan separa bandar, menunjukkan kecenderungan terhadap politik yang lebih berteraskan meritokrasi, integriti dan keadilan sosial (Choong 2022). Akses kepada maklumat alternatif melalui media sosial, pendidikan yang lebih global dan pendedahan kepada isu antarabangsa membentuk kesedaran baharu yang tidak lagi menerima etnik sebagai satu-satunya asas pembahagian kuasa dan sumber (Shamsul Haque 2003).
Kekalahan UMNO dalam PRU14 merupakan manifestasi paling jelas kegagalan struktur lama ini untuk menyesuaikan diri dengan realiti baharu. Walaupun faktor seperti skandal 1MDB memainkan peranan penting, ia juga mencerminkan penolakan terhadap budaya patronage dan wacana perkauman yang semakin tidak relevan. Prestasi buruk UMNO dalam PRU15 (2022) memperkukuh lagi bukti bahawa pengundi semakin meninggalkan kerangka lama (Ahmad et al. 2018).
Dalam konteks ini, ketahanan epistemologi politik perkauman mula dicabar secara substantif bukan sahaja melalui perubahan undi, tetapi juga dalam wacana awam, organisasi masyarakat sivil dan perdebatan intelektual. Namun, walaupun struktur formal semakin terbuka kepada pembaharuan, struktur informal seperti cara berfikir rakyat, naratif media dan tekanan institusi masih mengekalkan legasi politik perkauman. Maka, Malaysia kini berada dalam fasa peralihan hegemoni, di mana wacana lama belum sepenuhnya runtuh, tetapi juga tidak lagi diterima tanpa soal.
Kesimpulan
Warisan kolonial dan konsensus kaum telah membentuk satu kerangka epistemologi politik perkauman yang begitu kuat dalam sejarah dan struktur politik Malaysia. Esei ini telah mengemukakan bagaimana politik perkauman bukan sekadar fenomena retorik atau alat mobilisasi pilihan raya, tetapi telah meresap masuk ke dalam cara berfikir dan mengatur kuasa politik negara, bermula daripada struktur kolonial hingga ke pembentukan negara pasca-merdeka dan zaman kontemporari. Epistemologi ini lahir dari pengurusan kolonial British yang memisahkan masyarakat mengikut etnik untuk kepentingan ekonomi dan pentadbiran, lalu disambung oleh elit nasionalis seperti UMNO yang menggunakan kategori etnik tersebut untuk membina keabsahan politik.
Penggunaan teori Fredrik Barth dan Paul Brass membolehkan analisis yang lebih tajam terhadap proses pembentukan sempadan etnik dan manipulasi politik identiti sebagai strategi kuasa. Dalam konteks Malaysia, UMNO bukan sahaja memainkan peranan dalam membina naratif politik Melayu sebagai “tuan rumah”, tetapi juga memanipulasi struktur negara seperti Perlembagaan, dasar afirmatif, agensi pembangunan dan sistem pendidikan untuk memastikan kedudukan hegemoniknya terpelihara. Ini menjadikan politik perkauman sebagai satu bentuk “common sense” politik yang diterima dan tidak sering dipersoalkan, sesuai dengan kerangka hegemoni Gramsci.
Penulisan juga telah menelusuri bagaimana kemasukan imigran dan dasar pecah dan perintah kolonial telah mewujudkan struktur masyarakat yang plural tetapi terpisah, meletakkan asas kepada politik tuntutan antara kaum. Kontrak sosial, walaupun berjaya mengelakkan konflik terbuka pasca-kemerdekaan, telah menetapkan satu sistem representasi dan rundingan kuasa berasaskan etnik dengan UMNO sebagai pelakon utama yang menyusun semula perimbangan kuasa melalui DEB dan pelbagai agensi pro-Melayu.
Dalam jangka panjang, struktur ini menormalisasikan agihan sumber berasaskan etnik, menyuburkan pembentukan sekolah vernakular, sistem kuota dan persempadanan pilihan raya yang berat sebelah. Keadaan ini tidak hanya menghasilkan ketidakseimbangan struktur, tetapi juga menghalang pembentukan wacana sivik yang bersifat kolektif. Walaupun terdapat cubaan melangkaui batas kaum oleh parti seperti PKR dan DAP, naratif ancaman terhadap Melayu dan Islam terus digunakan untuk mengekalkan dominasi politik, sekaligus menunjukkan ketahanan epistemologi politik perkauman. Ini berlaku terutamanya apabila parti pelbagai etnik seperti DAP cuba memainkan isu perkauman bagi meraih sokongan pengundi asas mereka terutamanya kaum Cina, menyebabkan UMNO yang semakin ditolak akan bertindak balas menyanggah isu-isu perkauman ini seterusnya kembali menjadi relevan dan meraih sokongan majoriti kaum Melayu (Toh 2025). Pada dasarnya, walaupun berada dalam komponen Kerajaan Perpaduan, UMNO menggunakan sayap Pemuda mereka bagi membangkitkan isu-isu sensitif melibatkan rakan komponen Kerajaan Perpaduan agar terus kekal relevan dikalangan pengundi Melayu (Nor Syazrina 2024).
Namun, kemunculan generasi baharu yang menolak politik lama seperti dibuktikan dalam PRU14 dan PRU15 memperlihatkan retakan dalam dominasi lama ini. Penolakan terhadap amalan patronage, korupsi dan politik etnik membuka ruang kepada satu fasa peralihan, walaupun sistem sedia ada masih belum diubah secara struktur. Kerajaan Perpaduan yang wujud pasca-PRU15 menunjukkan potensi pembinaan politik hibrid yang lebih kompleks tetapi cabarannya ialah bagaimana untuk bergerak daripada sekadar kompromi elit kepada satu bentuk politik inklusif yang berteraskan kesaksamaan warganegara, meritokrasi dan integriti.
Kesimpulannya, epistemologi politik perkauman di Malaysia merupakan warisan sejarah yang telah diinstitusikan secara mendalam dan usaha untuk merombaknya memerlukan lebih daripada perubahan politik semata-mata. Ia menuntut transformasi pemikiran politik, pembaharuan institusi dan keberanian membina wacana kebangsaan yang berpaksikan nilai sivik dan hak sejagat, bukan sekadar pengurusan tuntutan etnik. Malaysia tidak boleh bergerak maju sebagai negara progresif selagi politiknya terperangkap dalam kerangka lama. Tetapi ruang untuk perubahan kini lebih terbuka dan tugas generasi pasca-kolonial ialah mencipta semula epistemologi politik yang lebih adil, setara dan inklusif untuk masa depan bersama (Gomez 2007: 29).
Rujukan
- Abdillah Noh. 2024. Malaysia’s State Formation: Small Steps and Large Outcomes of Contested Leviathan. New York: Routledge.
- Ahmad Fauzi, A. H. & Che Hamdan, C. M. R. 2025 Race, Religion and Royalty in Malaysian Politics. Dlm. Rajandran, K. & Siti Nurnadilla, M. J. (pnyt.). Race, Religion, Royalty in Malaysia: Discursively Reproduced, Resisted, Renegotiated, hlm. 23-38. Switzerland: Springer Nature.
- Ahmad, A. S., Ismail, Z., Sarun, A., & Mahjom, N. 2018. Governing by Bumiputera hegemony and predatory state power: challenges in regulatory reforms in Malaysia. Journal of Legal Ethical & Regulatory Issues. 21(4)
- Amoroso, D. J. 1996. Traditionalism and the Ascendancy of the Malay Ruling Class in Colonial Malaya. Tesis Dr. Fal, Cornell University.
- Amrith, S. S. 2011. Migration and Diaspora in Modern Asia. New York: Cambridge University Press.
- Armand, A. A. 2023. Producing the subaltern: Epistemic violence against the Malay left, c.1945–1957. Indonesia and the Malay World. 51(151): 231-256
- Azfar, M. R., Muslim, N, Khalid, K. A. T. & Yaacob, M. 2024. The Malaysian Social Contract: A Historical Perspective. Journal of Ecohumanism. 3(3): 150–160.
- Barth, F. (pnyt.). 1969. Ethnic Groups and Boundaries: The Social Organization of Culture Difference. Boston: Little, Brown and Company
- Bates, T. R. 1975. Gramsci and the Theory of Hegemony. Journal of the History of Ideas, 36(2): 351–366.
- Brass, P. R. 1979. Elite Groups, Symbol Manipulation and Ethnic Identity Among The Muslims of South Asia. Dlm. Taylor, D & Yapp, M. (pnyt.). Political Identity in South Asia, hlm. 35-77.London: Curzon Press Ltd.
- Brown, G. K. 2009. Legible pluralism: The politics of ethnic and religious identification in Malaysia. Kertas kerja Bath Papers in International Development no. 3. Anjuran Centre for Development Studies, University of Bath. UK, Mac 2009.
- Brown. D. 1994. The State and Ethnic Politics in Southeast Asia. London: Routledge
- Chong Ching Yee, K., & Jones, L. 2025. Racialised perspectives on inequality: a qualitative exploration into cultural knowledge structures among Malaysian minorities. Ethnic and Racial Studies. 1–20.
- Choong, C. 2022. Race-based affirmative action in Malaysia: Misrecognised subjectivities, enduring inequalities. Asian Journal of Social Science. 50: 79–86
- Chung, N. 2025. Kekalahan besar di Sabah boleh gugat DAP Sarawak, kata penganalisis. Free Malaysia Today, 4 Disember 2025. https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2025/12/04/kekalahan-besar-di-sabah-boleh-gugat-dap-sarawak-kata-penganalisis [29 Dis 2025]
- Clark, M. & Pietsch, J. 2014. Indonesia-Malaysia Relations: Cultural heritage, politics and labour migration. New York: Routledge.
- Dettman, S. 2024. Challenges of ethnic party adaptation in power-sharing systems: Evidence from Malaysia. Journal of Current Southeast Asian Affairs 43(1): 26-47.
- Funston, N. J. 1980. Malay Politics in Malaysia: A Study of UMNO & PAS. Kuala Lumpur: Heinemann Educational Books
- Gomez, E. T. 2007. Politics in Malaysia: The Malay dimension. New York: Routledge.
- Hussin Mutalib. 1990. Islam and Ethncity in Malay Politics. New York: Oxford University Press.
- Jamaie, H. 2026. UMNO dalam Politik dan Perniagaan Melayu. Bangi: Penerbit UKM.
- Khoo B. T. 2020. Malay Politics: Parlous Condition, Continuing Problems. Singapura: ISEAS Publishing
- Kua Kia Soong. 2007. May 13: Declassified Documents on the Malaysian Riots of 1969. Petaling Jaya: Suaram Komunikasi
- Lemiere, S. (pnyt.). 2019. Illusions of Democracy: Malaysian Politics and People. Amsterdam: Amsterdam University Press
- Lemiere, S. 2019. The Real World? Fabricating Legitimacy in a Semi-Authoritarian State. Dlm. Lemiere, S. (pnyt.). Illusions of Democracy: Malaysian Politics and People, hlm. 21-42. Amsterdam: Amsterdam University Press.
- Lijphart, A. 1977. Democracy in Plural Societies: A Comparative Exploration. New Haven & London: Yale University Press.
- Mahathir, M. 2008. The Malay Dilemma, with a New Preface. Singapura: Marshall Cavendish Editions.
- Milner, A,. Abdul Rahman Embong, Tham, S. Y. 2014. Introduction. Dlm. Milner, A., Abdul Rahman Embong, & Tham, S. Y. (pynt.). Transforming Malaysia: Dominant and competing paradigms, hlm. 1-17. Singapura: ISEAS Publishing.
- Milner, A. & Ting, H. 2014. Race and Its Competing Paradigms: A Historical Review. Dlm. Milner, A., Abdul Rahman Embong, & Tham, S. Y. (pynt.). Transforming Malaysia: Dominant and competing paradigms, hlm. 18-58. Singapura: ISEAS Publishing.
- Mohd Nazim, G. S. 2019. Malaysia’s Contitutional Identity: A Chimera? Dlm. Lemiere, S. (pnyt.). 2019. Illusions of Democracy: Malaysian Politics and People, hlm. 43- 58 Amsterdam: Amsterdam University Press
- Mohd Rizal. 2010. The british Legacy on the Development of Politics in Malaya. International Journal for Historical Studies 2(1): 41-60.
- Müller, D. M. 2019. Ummah Revisited: Anti-Shia Hatred in Malaysia since the Outbreak of the Syrian Civil War. Dlm. Lemiere, S. (pnyt.). Illusions of Democracy: Malaysian Politics and People,hlm. 137-159. Amsterdam: Amsterdam University Press.
- Muzaffar, C. 2020. Protector: An Analysis Of The Concept And Practice Of Loyalty In Leader-Led Relationships Within Malay Society. Petaling Jaya: SIRD Centre
- Nakamura, R. 2015. Race or Ethnic Group? Politics of Race in Malaysia. Sociology and Anthropology 3(8): 389-398
- Nathan, K. S. 2015 National Security Conceptions and Foreign Policy Behaviour Transcending the Dominant Race Paradigm?. Dlm. Milner, A., Abdul Rahman Embong & Tham, S. Y. (pynt.). Transforming Malaysia: Dominant and competing paradigms, hlm. 202-223. Singapura: ISEAS Publishing.
- Noraini, N. 2024. Isu 3R: PMX tegas demi kebaikan Malaysia. Suara Keadilan, 10 September 2024. https://www.suarakeadilan.my/post/isu-3r-pmx-tegas-demi-kebaikan-malaysia [29 Dis 2025]
- Nor Syazrina, M. T. 2024. 4 pemimpin muda DAP pertahan Anthony Loke, balas ‘serangan’ Dr Akmal. Sinar Harian, 21 November 2024. https://www.sinarharian.com.my/article/697959/berita/politik/4-pemimpin-muda-dap-pertahan-anthony-loke-balas-serangan-dr-akmal [29 Dis 2025]
- Noor, N. M., & Leong, C. H. 2013. Multiculturalism in Malaysia and Singapore: Contesting models. International Journal of Intercultural Relations 37(6): 714–726.
- Ragayah, M. Z. 2014. Race-Based Paradigm in Poverty Eradication and Income Distribution Analysis and Policy. Dlm. Milner, A., Abdul Rahman Embong, & Tham, S. Y. (pynt.). Transforming Malaysia: Dominant and competing paradigms, hlm. 111-142. Singapura: ISEAS Publishing.
- Ratnam, K. J. 1965. Communalism and the Political Process in Malaya. Kuala Lumpur: University of Malaya Press
- Rizal Yaakop. 2014. The British Legacy and the Development of Politics in Malaya. Global Journal Of Human-Social Science 14(1): 55-66
- Ross, L. N. 2019. Demi Agama, Bangsa dan Negara: Silat Martial Arts and the ‘Third Line’ in Defence of Religion, Race, and the Malaysian State. Dlm. Lemiere, S. (pnyt.). Illusions of Democracy: Malaysian Politics and People, hlm. 3-20. Amsterdam: Amsterdam University Press.
- Segawa, N. 2017. Double-layered ethnic politics in Malaysia: national integration, ethnic unity and social stability. Commonwealth & Coparative Politics. 55(1): 63-81
- Shamsul Haque, M. 2003. The Role of the State in Managing Ethnic Tensions in Malaysia: A Critical Discourse. American Behavioral Scientist. 47 (3): 240 – 266
- Shamsul, A. B. 2001. A history of an identity, an identity of a history: The idea and practice of ‘Malayness’ in Malaysia reconsidered. Journal of Southeast Asian Studies. 32(3): 355-366.
- Siti Nurnadilla, M. J. 2025. Proximizing Fear: Multimodal Racial and Religious Threatoric in Malaysia’s 15th General Election TikTok Videos. Dlm. Rajandran, K. & Siti Nurnadilla, M. J. (pnyt.). Race, Religion, Royalty in Malaysia: Discursively Reproduced, Resisted, Renegotiated, hlm. 183-217. Switzerland: Springer Nature.
- Sivachandralingam, S. R. 2020. The regression of Malaysian socioeconomic policy: Rise of state discrimination in the Cold War era. Dlm. Ooi Keat Gin. (pnyt.). Malaysia and the Cold War Era, hlm. 228-251. London: Routledge
- Sivachandralingam, S. R., Wu-Ling, C. & Ahmad Kamal Arifin, M. R. 2015. The Old and New Malaya of Colonial Days and Its Continuity Into Modern Day Malaysia. Mediterranean Journal of Social Sciences 6(2): 161-171
- Stenson, M. 1980. Class, Race, and Colonialism in West Malaysia: The Indian Case. Vancouver: University of British Columbia Press.
- Sua, T. Y. 2013. The British educational policy for the indigenous community in Malaya 1870–1957: Dualistic structure, colonial interests and Malay radical nationalism. International Journal of Educational Development 33(2013): 337-347
- Syed Hamid, S. J. A. 2023. Ibn Khaldun’s Theory and the Party-Political Edifice of the United Malays National Organisation. Singapura: Springer Nature.
- Tan, S. Y. 2016. General Templer and the Road to Malayan Independence: The man and His Time. Asian Journal of Public Affairs9(1): e3
- Toh, M. 2025. Penjelasan: Perdebatan pengiktirafan UEC. Free MalaysiaToday, 14 Disember 2025. https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2025/12/14/penjelasan-perdebatan-pengiktirafan-uec [29 Dis 2025]
- Weiss, M. L. 2005. Prickly Ambivalence: State, Society and Semidemocracy in Malaysia. Commonwealth & Comparative Politics. 43(1): 61-81
- Whiting, A. 2019. Rebooting the Emergency: Najib’s Law ‘Reform’ ad the Normalisation of Crisis. Dlm. Lemiere, S. (pnyt.). Illusions of Democracy: Malaysian Politics and People, hlm. 59-84. Amsterdam: Amsterdam University Press.
- Yasmin, A. & Najeemah, M. Y. 2010. Ethnic Boundary among Students in Malaysian Primary Schools and Social Interaction: A Conceptual Framework. Procedia – Social and Behavioral Sciences. 7: 82-91
- Yong, C. F. & McKenna, R. B. 1990. The Kuomintang Movement in British Malaya 1912-1949. Singapura: National University of Singapore.
Nota
-
Model perkongsian kuasa dalam masyarakat majmuk berdasarkan perwakilan etnik, rundingan elite dan autonomi kumpulan seperti yang dihuraikan oleh Arend Lijphart (1977) ↑
-
Ideologi politik yang menekankan hak istimewa orang Melayu sebagai penduduk asal dan asas dominasi politik, budaya dan institusi negara kemudiannya dimantapkan selepas 13 Mei 1969 melalui dasar afirmatif dan naratif hegemonik UMNO. ↑
-
Manipulasi sempadan pilihan raya untuk menguntungkan parti tertentu, sering melibatkan susunan kawasan berdasarkan etnik atau kecenderungan politik. ↑
-
Proses hubungan di mana kumpulan mendefinisikan diri mereka sebagai “kita” berbanding “mereka” menggunakan ciri yang dikongsi seperti bahasa, sejarah atau agama, bukan sebagai budaya tetap tetapi sebagai garis sosial yang beralih yang mewujudkan identiti, selalunya melalui wacana strategik, tindakan politik atau interaksi harian untuk memasukkan atau mengecualikan orang, membentuk asas stratifikasi sosial. ↑
-
Bagaimana pemimpin politik, sosial dan ekonomi menggunakan identiti etnik sebagai sumber strategik untuk mendapatkan, mengekalkan atau menyatukan kuasa. ↑
-
Konsep oleh Gramsci yang merujuk kepada kepercayaan harian yang tidak sistematik, bercanggah dan tidak kritikal bagi mencerminkan kedudukan sosial rakyat serta menyokong hegemoni yang sedia ada. ↑
-
Kesepakatan atau persetujuan di antara kelompok kecil elit (pemimpin politik, ekonomi, sosial) mengenai nilai dasar, tujuan dan cara menjaga sistem negara. ↑
-
Sistem pengambilan buruh India yang digunakan oleh British. Proses pengambilan dan pengurusan dilakukan oleh individu yang dikenali sebagai Kangani yang secara langsung merekut migran dari India ↑
-
Sistem Buruh Kontrak iaitu sistem pengambilan buruh paksa atau terikat yang diamalkan British sekitar abad ke-19 hingga awal abad ke-20, di mana buruh diikat kontrak untuk bekerja di ladang di Tanah Melayu ↑
-
Proses di mana kumpulan mentakrif dan mengukuhkan identiti “kita vs. mereka” mereka yang tersendiri melalui penanda yang kelihatan dan tidak kelihatan seperti budaya, bahasa, agama, sejarah dan amalan sosial, memastikan kewujudan mereka yang berasingan walaupun di tengah-tengah hubungan dengan etnik lain, selalunya melalui persaingan, etnosentrisme atau kuasa pengurusan ↑
-
Merujuk kepada persetujuan asas antara rakyat dan kerajaan, atau antara kaum-kaum dalam sesebuah negara majmuk, untuk menyerahkan sebahagian hak demi keamanan dan keharmonian. ↑
-
Lahir pada 17 Ogos 1936, seorang saintis politik Belanda-Amerika dan Profesor Penyelidik Emeritus di Universiti California, San Diego. Beliau adalah seorang sarjana yang sangat berpengaruh yang terkenal dengan karyanya mengenai politik perbandingan, terutamanya teorinya mengenai demokrasi konsosiasi dan perbezaan antara demokrasi majoriti dan konsensus. ↑
-
Sistem pilihan raya majoriti mudah di mana calon dengan undi terbanyak memenangi kerusi, tanpa perlu majoriti mutlak; sering dikritik kerana tidak mewakili secara proporsional kehendak pengundi. ↑
-
Merujuk kepada dasar ekonomi atau sosial yang dirancang oleh negara bagi mengagihkan semula sumber dan peluang berdasarkan etnik, seperti yang dilihat dalam pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru di Malaysia. ↑
-
Merujuk kepada dasar yang memberi kesan langsung terhadap isi kandungan kehidupan rakyat, seperti pendidikan, kesihatan, ekonomi, dan kebajikan. ↑
Unless expressly indicated, materials published on WIRA.my have not undergone formal academic peer review. Analysis and commentary represent the author’s interpretation and should not be read as institutional policy positions.


