Penyuburan Bidang Falsafah Politik di Malaysia Banyak Didukung oleh Saluran Informal (Penerbit Buku Bebas, Kumpulan Buku) Berbanding Saluran Formal (Kerajaan, Universiti)

Universiti Kebangsaan Malaysia

Essay51 min read

Pengenalan

Wacana falsafah politik di Malaysia sering dilihat beroperasi dalam dua saluran utama iaitu saluran formal yang digerakkan oleh institusi negara dan universiti, serta saluran informal yang berkembang melalui komuniti sivil dan penerbitan bebas. Secara teoritikal, universiti dan agensi kerajaan diberi peranan sebagai pusat penghasilan dan penyebaran ilmu yang menyokong pembinaan negara (Jalaluddin 2014). Namun begitu, perkembangan semasa menunjukkan bahawa kedudukan ini tidak lagi bersifat dominan (Snellman 2015:85). Kemunculan penerbit bebas, kolektif buku dan ruang diskusi alternatif menimbulkan persoalan tentang di mana sebenarnya pemikiran politik berkembang secara lebih aktif pada masa kini (Muhammad Atiullah et al 2022:2).

Terdapat pandangan bahawa saluran informal dan ruang alternatif di luar institusi dominan memainkan peranan penting dalam membolehkan kelompok tertentu mengembangkan idea serta wacana politik mereka sendiri (Fraser 1990:67). Untuk memahami keadaan ini, analisis perlu melihat kepada struktur yang membentuk kedua-dua saluran tersebut. Institusi formal beroperasi dalam kerangka perundangan dan birokrasi yang jelas. Sistem penilaian akademik yang memberi penekanan kepada penerbitan berindeks dan penarafan global membentuk orientasi penyelidikan yang cenderung bersifat teknikal dan terikat kepada keperluan tertentu (Wan 2022:2). Dalam keadaan ini, timbul persoalan sama ada struktur tersebut menyokong perkembangan wacana falsafah politik atau sebaliknya mengehadkan ruang perbahasan yang lebih terbuka. Pada masa yang sama, kelebihan institusi formal tidak boleh diketepikan kerana ia menyediakan sumber, kesinambungan dan kapasiti dokumentasi yang penting kepada pembentukan wacana konvensional (Altbach et al 2009).

Saluran informal pula dilihat berkembang sebagai ruang yang lebih longgar dan terbuka. Penerbit buku bebas, kafe buku dan platform diskusi digital menyediakan ruang untuk perbincangan yang lebih pelbagai (Muhamad Faisal et al. 2018). Saluran alternatif ini membolehkan perbahasan idea dan komunikasi secara kritis, termasuk wacana intelektual untuk menggantikan ‘pengetahuan kolonial’, digerakkan secara bebas tanpa sekatan dan kongkongan pihak berkuasa mahupun media arus perdana. Kelebihan utamanya terletak pada autonomi ruang yang menyediakan kemudahan komunikasi segera (instant communication), sekaligus memberikan keupayaan untuk bertindak balas dengan lebih pantas terhadap sesuatu isu (Johnson 2009:20-22). Namun, keadaan ini juga membawa cabaran dari segi ketelitian metodologi serta kesinambungan kerana bergantung kepada sumber yang terhad.

Berdasarkan perkembangan ini, esei ini berangkat daripada persoalan tentang saluran manakah yang lebih berpengaruh dalam menyuburkan falsafah politik di Malaysia, sama ada saluran formal atau informal. Perbincangan akan meneliti secara kritis faktor yang membentuk perbezaan peranan kedua-duanya serta implikasinya terhadap perkembangan wacana, dengan memberi perhatian kepada keupayaan institusi formal sebagai ruang perbahasan intelektual dan potensi saluran informal dalam memperluas akses kepada penghasilan serta penyebaran idea. Perbincangan ini seterusnya menilai sama ada perkembangan tersebut mencerminkan proses pendemokrasian ilmu atau menunjukkan peralihan pusat pengaruh akibat kekangan institusi formal. Dengan meneliti kedua-dua dimensi ini, esei ini cuba menjelaskan bagaimana falsafah politik terus berkembang dalam konteks perubahan sosial yang semakin kompleks.

Falsafah dan Kerangka Teori

Perbincangan teori memberi tumpuan kepada gagasan hegemoni oleh Antonio Gramsci dan teori demokrasi deliberatif yang banyak dipengaruhi oleh Jurgen Habermas termasuk konsep ruang awam sebagai asas analisis. Pendekatan Gramsci membantu menjelaskan bagaimana kuasa dan pengaruh dibentuk melalui penyebaran idea serta peranan pelbagai aktor dalam menentukan arah wacana. Perspektif Habermas pula adalah untuk menilai sifat dan tahap keterbukaan ruang perbahasan dalam saluran formal dan informal, khususnya dari segi akses dan pertukaran idea. Gabungan kedua-dua kerangka ini membolehkan penilaian dibuat secara lebih seimbang terhadap kedudukan dan peranan kedua-dua saluran tersebut.

Teori Hegemoni

Teori hegemoni budaya yang dikemukakan oleh Antonio Gramsci menyediakan kerangka analitikal yang penting untuk memahami bagaimana wacana politik dibentuk, dikawal dan dicabar dalam sesebuah masyarakat. Gramsci mentakrifkan hegemoni sebagai dominasi melalui paksaan, malah lebih dari itu, ia juga sebagai bentuk kepemimpinan intelektual dan moral yang diperoleh melalui persetujuan sosial. Kelas pemerintah mengekalkan kuasa bukan melalui institusi negara dan melalui pembentukan akal budi (common sense) masyarakat, di mana nilai dan pandangan dunia mereka diterima sebagai norma yang sah (Buckel & Fischer-Lescano 2009). Hegemoni ini beroperasi dalam apa yang disebut sebagai ‘Negara Integral’, yang merangkumi dua dimensi utama iaitu masyarakat politik dan masyarakat sivil (Buckel & Fischer-Lescano 2009:443).

Dalam kerangka hegemoni Gramsci, masyarakat politik merujuk kepada institusi seperti kerajaan, polis dan mahkamah yang melaksanakan kuasa secara langsung, manakala masyarakat sivil melibatkan institusi seperti universiti, sekolah dan media yang berperanan membentuk persetujuan sosial serta menyebarkan nilai dominan. Dalam konteks ini, universiti tidak berfungsi sebagai institusi neutral tetapi turut menjadi sebahagian daripada aparatus hegemoni melalui pembentukan wacana, budaya ilmu dan orientasi akademik yang selari dengan kepentingan dominan (Pass 2019). Walaupun universiti sering dikaitkan dengan kebebasan intelektual, struktur pentadbiran dan keperluan institusi merangkumi tekanan dasar semasa boleh mempengaruhi arah penghasilan ilmu serta mengehadkan ruang kepada pemikiran yang terlalu kritikal atau bertentangan dengan kerangka arus perdana (Cornelius-Bell & Bell 2024; Inaya & Zulfa 2025:3-4).

Gramsci turut menekankan peranan intelektual dalam mengekalkan atau mencabar hegemoni. Beliau membezakan antara intelek tradisional dan intelek organik. Intelek tradisional, seperti profesor universiti atau ahli akademik, sering melihat diri mereka sebagai neutral dan bebas tetapi dalam banyak keadaan mereka berfungsi untuk mengukuhkan struktur sedia ada (Cornelius-Bell & Bell 2024:50-51). Sebaliknya, intelek organik muncul daripada kumpulan sosial tertentu dan berperanan membina kesedaran serta organisasi dalam kalangan kumpulan tersebut (Cahill 2004). Dalam konteks penyuburan falsafah politik, intelek organik memainkan peranan penting dalam mencabar naratif dominan dan memperkenalkan perspektif alternatif termasuk dari golongan pekerja, khususnya melalui saluran yang tidak dikawal secara ketat oleh institusi formal (Soller 2009).

Platform digital, misalnya, telah menjadi ruang baharu bagi intelektual, aktivis dan masyarakat umum untuk terlibat dalam perbincangan mengenai isu politik, keadilan sosial dan struktur kuasa. Diskusi dalam ruang ini sering kali lebih responsif terhadap isu semasa dan kurang terikat kepada norma akademik yang kaku (Inaya & Zulfa 2025). Selain itu, pendidikan popular dan gerakan sosial turut memainkan peranan dalam membentuk kesedaran politik, khususnya dalam kalangan kelompok yang tidak terlibat secara langsung dengan institusi akademik (Miles & Croucher 2013:8-9). Proses ini membantu mentransformasikan akal budi yang terfragmentasi kepada bentuk pemikiran yang lebih kritis dan koheren, selari dengan konsep ‘good sense’ yang diketengahkan oleh Gramsci (Mayo 2014). Dalam kerangka ini, wacana falsafah politik dilihat sebagai medan persaingan hegemoni yang menentukan idea yang diterima dalam masyarakat. Melalui pengaruh terhadap media, pendidikan dan institusi formal, negara membentuk naratif dominan serta mengehadkan pandangan alternatif (Nurul et al 2025:409-410). Sebaliknya, saluran informal membuka ruang kepada wacana yang lebih bebas dan dekat dengan realiti sosial masyarakat (Sardar 2024).

Konsep Hegemoni Budaya dan Negara Integral

Teori hegemoni budaya yang diperkenalkan oleh Antonio Gramsci memberikan satu kerangka penting untuk memahami bagaimana kuasa beroperasi dalam masyarakat, khususnya melalui pembentukan dan pengawalan wacana (Sardar 2024:1-2). Hegemoni, menurut Gramsci, adalah dominasi melalui paksaan atau kekerasan seperti yang ditekankan dalam pendekatan Marxis tradisional, hegemoni juga merujuk kepada kepemimpinan intelektual dan moral oleh kumpulan dominan yang berjaya memperoleh persetujuan daripada kelompok lain dalam masyarakat. Melalui proses ini, pandangan dunia atau ‘Weltanschauung’ [1]kelas pemerintah disebarkan dan akhirnya diterima sebagai akal budi atau norma semula jadi oleh masyarakat secara keseluruhan (Buckel & Fischer-Lescano 2009:437,441-442).

Bagi menjelaskan bagaimana hegemoni ini berfungsi, Gramsci memperkenalkan konsep ‘Negara Integral’[2], yang merangkumi gabungan antara masyarakat politik dan masyarakat sivil (Gramsci 1971). Masyarakat politik terdiri daripada institusi formal seperti kerajaan, tentera, polis dan mahkamah yang melaksanakan dominasi secara langsung melalui paksaan (Buckel & Fischer-Lescano 2009). Dari sisi yang lain, masyarakat sivil merangkumi pelbagai organisasi ‘swasta’ seperti universiti, sekolah, gereja dan media, yang berperanan membina konsensus dan menyebarkan ideologi dominan. Dalam hubungan ini, hegemoni beroperasi secara lebih halus melalui masyarakat sivil, di mana nilai dan kepercayaan tertentu dinormalisasikan tanpa keperluan penggunaan kekerasan secara terbuka.

Institusi dan Pembentukan Wacana

Universiti, sebagai sebahagian daripada masyarakat sivil, memainkan peranan yang signifikan sebagai ‘aparatus hegemoni’ (Buckel & Fischer-Lescano 2009:443-444). Institusi ini berfungsi sebagai pusat penyebaran ilmu dan juga sebagai tapak sosialisasi yang membentuk cara berfikir dan nilai pelajar. Melalui struktur pembelajaran dan budaya akademik, universiti secara tidak langsung menentukan apa yang dianggap sebagai pengetahuan yang sah, tingkah laku yang sesuai dan nilai yang boleh diterima (Soller 2009). Dalam konteks kapitalisme moden, fungsi universiti sering beralih daripada pembangunan manusia secara menyeluruh kepada pembentukan ‘modal insan’ yang memenuhi keperluan pasaran dan menyokong kelangsungan sistem sedia ada. Peralihan ini membawa kepada fenomena yang boleh difahami sebagai ‘penutupan epistemologi’ di mana ruang untuk pemikiran kritis menjadi semakin terhad. Kurikulum yang diselaraskan dengan agenda negara atau keperluan ekonomi cenderung memaksakan satu naratif dominan sebagai kebenaran, manakala pandangan alternatif dipinggirkan atau dianggap tidak relevan. Keadaan ini mengurangkan keupayaan universiti untuk berfungsi sebagai ruang perdebatan terbuka, sebaliknya menjadikannya mekanisme yang mengukuhkan struktur sedia ada (Cornelius-Bell & Bell 2024).

Dalam hubungan ini, peranan intelektual turut menjadi penting. Gramsci membezakan antara intelek tradisional dan intelek organik. Intelek tradisional, seperti ahli akademik dan profesor universiti, sering melihat diri mereka sebagai bebas dan neutral tetapi dalam realitinya mereka cenderung menyumbang kepada pengukuhan hegemoni melalui kedudukan mereka dalam institusi. Mereka berperanan dalam penghasilan semula nilai dan norma yang menyokong status quo. Sebaliknya, intelek organik muncul daripada kumpulan sosial tertentu dan berfungsi untuk membina kesedaran serta organisasi dalam kalangan kumpulan tersebut (Cornelius-Bell & Bell 2024:49-51). Mereka memainkan peranan penting dalam mencabar hegemoni dengan memperkenalkan perspektif alternatif dan membangunkan kesedaran politik yang lebih kritis.

Ruang Alternatif dan kontra-hegemoni

Walaupun hegemoni kelihatan kukuh, Gramsci menegaskan bahawa ia sentiasa terbuka kepada cabaran. Dalam masyarakat yang mempunyai struktur masyarakat sivil yang berkembang, perubahan tidak berlaku secara revolusi mendadak, tetapi melalui apa yang disebut sebagai ‘perang kedudukan’[3] (Sardar 2024:3-4). Ini merujuk kepada perjuangan ideologi dan budaya yang berpanjangan dalam ruang masyarakat sivil untuk membina kaunter-hegemoni. Melalui proses ini, kumpulan yang terpinggir berusaha untuk mengubah masyarakat daripada bentuk yang terfragmentasi kepada kesedaran yang lebih tersusun dan kritis (Mayo 2014).

Struktur negara turut memainkan peranan penting dalam mengawal wacana politik dengan menetapkan batas bagi apa yang dianggap sebagai perbincangan yang sah. Melalui penguasaan terhadap institusi budaya dan media, negara dapat membentuk sistem kepercayaan yang menjadikan agenda pemerintah kelihatan semula jadi dan tidak boleh dipersoalkan (Nikita 2024:5-6). Dalam keadaan tertentu, naratif dominan digunakan untuk menggambarkan pihak yang kritikal sebagai ancaman kepada kestabilan, sekaligus mewujudkan legitimasi bagi tindakan menyekat atau menyenyapkan suara alternatif. Sekiranya mekanisme ideologi ini tidak mencukupi, negara akan kembali menggunakan kuasa paksaan melalui institusi masyarakat politik untuk mengekalkan kawalan (Nurul et al 2025). Institusi formal seperti universiti dan struktur negara berfungsi sebagai aparatus hegemoni yang mengekalkan aturan sosial melalui pembinaan konsensus. Proses ini berlaku apabila nilai dan ideologi dominan disebarkan sebagai akal budi yang diterima tanpa dipersoalkan, sekaligus membentuk batas terhadap apa yang dianggap sebagai pengetahuan dan tingkah laku yang sah (Buckel & Fischer-Lescano 2009:443-444). Dalam konteks ini, ruang untuk pemikiran kritikal atau radikal menjadi terhad kerana proses sosialisasi dalam institusi formal cenderung menormalkan wacana tertentu dan menyingkirkan alternatif yang mencabar (Cornelius-Bell & Bell 2024).

Dalam era kontemporari, kecenderungan ini diperkukuh oleh logik neoliberal yang menekankan pembangunan modal insan serta tuntutan produktiviti akademik, menyebabkan falsafah politik kritis dipinggirkan kerana dianggap tidak praktikal. Keadaan ini turut menghasilkan penutupan epistemologi di mana pandangan alternatif diasimilasikan atau dipinggirkan dalam struktur sedia ada (Cornelius-Bell & Bell 2024:54-55). Dalam masa yang sama, ahli akademik sebagai intelek tradisional sering berperanan mengukuhkan hegemoni melalui penyampaian ilmu yang selari dengan status quo, walaupun mereka menganggap diri sebagai bebas dan autonomi (Green 1993).

Teori Demokrasi Deliberatif

Perbincangan mengenai penyuburan falsafah politik dalam sesuatu masyarakat tidak memadai jika hanya dilihat sebagai proses penghasilan idea. Perkembangan pemikiran juga perlu difahami dalam kerangka komunikasi dan ruang wacana yang membolehkan sesuatu idea dibahas, diuji dan diterima secara rasional. Dalam hal ini, pemikiran Habermas penting kerana menekankan bahawa perkembangan idea tidak berlaku secara terpisah daripada struktur sosial namun berkait rapat dengan bentuk komunikasi yang wujud dalam masyarakat (Habermas 1984:10-13). Oleh itu, persoalan utama bukan sahaja tentang siapa yang menghasilkan idea tetapi juga tentang keadaan yang membolehkan idea tersebut diperdebatkan secara terbuka melalui saluran tertentu (Carpini et al 2004). Kerangka ini selari dengan teori demokrasi deliberatif kerana menekankan bahawa kualiti pemikiran politik bergantung pada ruang perbincangan yang terbuka, rasional dan tidak dikuasai oleh satu pihak sahaja (Bachtiger et al. 2018).

Pemikiran Habermas menjadi rujukan penting dalam memahami bagaimana komunikasi berfungsi sebagai asas kepada perkembangan pemikiran politik. Menurut Habermas (1984), masyarakat moden tidak hanya digerakkan oleh kepentingan strategik tetapi turut bergantung kepada komunikasi yang berorientasikan kepada usaha mencapai kefahaman bersama. Dalam kerangka ini, komunikasi yang terbuka dan rasional menjadi prasyarat kepada pembentukan wacana yang sihat. Idea tidak wajar diterima hanya berdasarkan kuasa atau kedudukan penghasilnya. Penilaiannya perlu dibuat melalui kekuatan hujah dalam ruang perbahasan yang membenarkan pertukaran pandangan secara bebas (Benhabib 1992:89). Pendekatan ini berkait rapat dengan konsep rasionaliti komunikatif yang menjadi teras kepada teori tindakan komunikatif. Rasionaliti dalam kerangka ini tidak difahami secara sempit sebagai kecekapan teknikal tetapi sebagai keupayaan peserta komunikasi untuk mengemukakan tuntutan yang boleh diuji dan dipertahankan melalui dialog (Habermas 1984; Murphy & Fleming 2010:5-7). Dalam konteks falsafah politik, hal ini membawa implikasi bahawa sesuatu idea memperoleh legitimasi melalui proses perbahasan yang rasional. Oleh itu, tahap rasionaliti komunikatif dalam sesuatu masyarakat akan mempengaruhi kualiti pemikiran politik yang dihasilkan (Fraser 1990:57).

Menurut Habermas, tindakan komunikatif memerlukan ruang awam yang membolehkan perbahasan berlangsung secara terbuka dan rasional (Habermas 1987). Namun, dalam masyarakat moden, ruang ini sering dipengaruhi oleh struktur ekonomi, birokrasi dan institusi sehingga komunikasi menjadi lebih terkawal serta terikat kepada kepentingan tertentu (Calhoun 1992:20-21; Fraser 1990). Dalam konteks ini, saluran formal seperti universiti dan institusi kerajaan mempunyai kuasa dalam penghasilan ilmu tetapi cenderung beroperasi dalam kerangka yang lebih terikat, manakala saluran informal seperti penerbit bebas dan kelompok diskusi menyediakan ruang wacana yang lebih fleksibel dan terbuka kepada perkembangan falsafah politik.

Rasionaliti Tindakan Komunikatif dan Strategik dalam Masyarakat Moden

Habermas membezakan antara tindakan komunikatif yang berasaskan kefahaman bersama dengan tindakan strategik yang berorientasikan pencapaian kepentingan tertentu (Habermas 1984). Perbezaan ini penting kerana bentuk komunikasi mempengaruhi cara sesuatu wacana berkembang serta menentukan ruang kepada pemikiran yang kritikal dan terbuka dalam masyarakat. Secara asasnya, tindakan komunikatif merujuk kepada bentuk interaksi sosial yang berorientasikan kepada kesefahaman (Deveaux 2018:161-162). Dalam kerangka ini, individu yang terlibat dalam komunikasi tidak bertindak untuk memanipulasi hasil atau menguasai pihak lain, tetapi untuk mencapai persetujuan melalui pertukaran hujah yang rasional (Lafont 2009:499-500). Proses ini bergantung kepada kesediaan setiap pihak untuk menerima bahawa sesuatu kenyataan boleh dipersoal, diuji dan dipertahankan dalam ruang perbincangan terbuka.

Tindakan komunikatif menekankan komitmen terhadap rasionaliti yang tidak bergantung pada kuasa atau kewibawaan pihak tertentu tetapi kepada kekuatan hujah yang dikemukakan (Forst 2009:538-539). Dalam konteks ini, Habermas memperkenalkan idea bahawa setiap tindakan komunikasi membawa tuntutan kesahihan tertentu yang perlu diakui oleh peserta lain. Tuntutan ini merangkumi aspek kebenaran, ketepatan normatif dan kejujuran, yang menjadi asas kepada penilaian terhadap sesuatu hujah (Habermas 1984). Walaupun perincian ini sering dihuraikan secara teknikal, dalam konteks kajian falsafah politik ia boleh difahami sebagai syarat minimum bagi membolehkan sesuatu wacana berkembang secara sihat. Tanpa pengiktirafan terhadap tuntutan kesahihan ini, komunikasi akan kehilangan sifat rasionalnya dan cenderung menjadi alat untuk tujuan lain (Forst 2009).

Berbeza dengan tindakan komunikatif, tindakan strategik merujuk kepada bentuk interaksi yang berorientasikan kepada pencapaian hasil tertentu. Dalam tindakan ini, komunikasi digunakan sebagai alat untuk mempengaruhi tingkah laku pihak lain bagi mencapai matlamat yang telah ditetapkan. Kejayaan diukur berdasarkan keberkesanan mencapai objektif, bukan sejauh mana persetujuan rasional dicapai (Deitelhoff 2009:528-529). Dalam erti kata lain, tindakan strategik mengandaikan bahawa peserta komunikasi bertindak dalam kerangka kepentingan sendiri dan interaksi sosial menjadi medium untuk mengoptimumkan kepentingan tersebut (Niesen 2009:62). Perbezaan antara kedua-dua bentuk tindakan ini menjadi penting kerana ia mencerminkan dua logik komunikasi yang berbeza dalam masyarakat moden.

Habermas menegaskan bahawa masyarakat moden semakin dipengaruhi oleh tindakan strategik melalui mekanisme seperti pasaran dan birokrasi yang membentuk komunikasi berasaskan logik instrumental (Calhoun 1992). Keadaan ini membawa kepada “penjajahan dunia kehidupan”, apabila komunikasi yang sepatutnya berasaskan kesefahaman mula digunakan untuk mencapai kepentingan tertentu (Deveaux 2018:161-164). Akibatnya, ruang perbahasan awam menjadi semakin terbatas dan kurang terbuka kepada pemikiran yang benar-benar kritikal. Dalam konteks ini, tindakan komunikatif penting sebagai asas untuk menilai sama ada sesuatu wacana berkembang melalui pertukaran hujah secara rasional atau sekadar dipengaruhi oleh hubungan kuasa dan kepentingan tertentu. McCarthy (1978) menjelaskan bahawa kekuatan utama teori Habermas terletak pada keupayaannya membezakan komunikasi yang berorientasikan kesefahaman dengan komunikasi yang berorientasikan pencapaian tertentu. Perbezaan ini penting kerana legitimasi dalam masyarakat moden semakin bergantung kepada proses perbincangan yang rasional dan bukannya semata-mata kepada autoriti tradisional. Ruang awam yang sihat seharusnya membolehkan tindakan komunikatif berkembang melalui perbahasan yang terbuka dan berpijak kepada fakta. Namun, pengaruh institusi dan kepentingan tertentu sering menyebabkan ruang tersebut dipengaruhi oleh tindakan strategik (Habermas 1987). Dalam konteks kajian ini, perbezaan antara tindakan komunikatif dan tindakan strategik digunakan untuk menilai bagaimana saluran formal dan informal membentuk sifat wacana falsafah politik dalam masyarakat.

Ruang Awam dan Wacana Kritikal

Konsep ruang awam dalam pemikiran Jurgen Habermas memperluas perbincangan mengenai tindakan komunikatif dengan memberi tumpuan kepada medan sosial tempat komunikasi berlangsung. Jika tindakan komunikatif merujuk kepada interaksi yang berasaskan kesefahaman, ruang awam pula merujuk kepada ruang yang membolehkan proses tersebut berkembang dalam kehidupan masyarakat (Calhoun 1992). Dalam The Structural Transformation of the Public Sphere, Habermas menghuraikan ruang awam borjuis sebagai domain antara masyarakat sivil dan negara yang membolehkan individu berhimpun untuk membincangkan isu bersama secara terbuka. Ruang ini berkembang melalui budaya membaca, jaringan penerbitan, salon dan rumah kopi yang membentuk pendapat awam melalui perbahasan kritikal (Habermas 1991:27-56). Dalam pengertian ini ruang awam merujuk kepada suatu medan komunikasi yang melangkaui batas fizikal sebagai ruang perbincangan dan membolehkan kuasa dinilai melalui hujah serta justifikasi.

Dari sudut analitik, konsep ini menunjukkan bahawa penyuburan falsafah politik bergantung kepada sifat komunikasi dalam sesuatu ruang dan bukan hanya kepada kewujudan institusi formal. Habermas menegaskan bahawa legitimasi dalam masyarakat moden berkait rapat dengan keupayaan ruang awam yang berfungsi untuk membolehkan pertukaran hujah secara rasional. Oleh itu, kekuatan sesuatu saluran wacana tidak ditentukan oleh status rasminya, tetapi oleh sejauh mana ia membenarkan perbahasan berlangsung secara terbuka dan kritikal (Murphy & Fleming 2010:125-127). Dalam konteks ini, institusi formal seperti universiti mungkin mempunyai autoriti akademik tetapi tidak semestinya menjadi ruang awam yang subur jika komunikasi terlalu terikat kepada hierarki dan pertimbangan institusi (Snellman 2015). Sebaliknya, saluran informal seperti penerbit bebas, kelompok bacaan dan jaringan intelektual tidak rasmi boleh menjadi lebih signifikan sekiranya ruang tersebut lebih terbuka kepada pertukaran idea dan perbahasan kritikal. Pandangan ini selari dengan hujah Calhoun (1992) yang melihat ruang awam sebagai medan sosial yang bergantung kepada bentuk komunikasi dan akses kepada wacana.

Walau bagaimanapun, Habermas tidak melihat ruang awam sebagai sesuatu yang sentiasa berfungsi secara ideal. Perkembangan kapitalisme, birokrasi dan media massa menyebabkan ruang komunikasi moden semakin dipengaruhi oleh kepentingan ekonomi dan politik (Mohd Azizuddin 2005). Akibatnya, perbahasan awam kini bergerak menjauh daripada pertukaran hujah yang rasional dan lebih condong ke arah pembentukan pendapat secara terarah (Fraser 1990). Keadaan ini menunjukkan bahawa ruang awam boleh mengalami kemerosotan apabila logik strategik mula mengatasi rasionaliti komunikatif (Benhabib 1992:89-91). Oleh yang demikian, perbezaan antara saluran formal dan informal menjadi lebih penting dalam memahami penyuburan falsafah politik di Malaysia. Ruang formal seperti institusi kerajaan dan universiti cenderung beroperasi dalam kerangka yang lebih tersusun manakala saluran informal lebih fleksibel dan kurang terikat kepada struktur rasmi.

Konteks Politik dan Struktur Wacana di Malaysia

Perbincangan mengenai penyuburan falsafah politik di Malaysia perlu dilihat dalam konteks struktur politik dan budaya wacana yang membentuk perkembangan idea dalam masyarakat (Johnson 2009:14-16). Sejak selepas kemerdekaan, ruang perbahasan awam di Malaysia berkembang dalam keadaan yang dipengaruhi oleh keperluan menjaga kestabilan politik, hubungan antara kaum dan kedudukan institusi negara. Dalam keadaan ini, wacana politik sering bergerak dalam kerangka yang lebih cenderung untuk mengelakkan konflik, khususnya apabila melibatkan isu yang dianggap sensitif atau berpotensi mencabar struktur sedia ada (Brown 2005).

Dalam konteks tersebut, negara memainkan peranan penting dalam membentuk arah komunikasi awam melalui institusi pendidikan, media dan dasar pentadbiran. Struktur ini tidak semestinya berfungsi melalui kawalan secara langsung, tetapi turut beroperasi melalui pembentukan norma tentang apa yang dianggap sesuai, stabil dan boleh diterima dalam ruang awam (Cheong et al 2016:74-75). Analisis mengenai hubungan antara negara, elit dan institusi di Malaysia menunjukkan bahawa perkembangan wacana sering berkait rapat dengan struktur kuasa dan kepentingan yang lebih luas (Raman & Sua 2010:117-121). Pada masa yang sama, perkembangan media, pendidikan tinggi dan jaringan komunikasi moden turut mewujudkan ruang yang lebih pelbagai untuk pertukaran idea (Karpov 2016). Namun, keterbukaan ini tidak berlaku secara sepenuhnya seimbang. Kemunculan medium digital seperti X (twitter), thread dan platform seumpamanya membuka ruang perbincangan kepada pelbagai lapisan masyarakat. Idea boleh dilontarkan tanpa bergantung pada keabsahan formal. Keadaan ini mendorong penyebaran pandangan yang tidak ditapis dan pertentangan yang tidak berasaskan asas yang kukuh serta kurang kredibiliti. Ruang formal seperti institusi akademik dan badan kerajaan lazimnya bergerak dalam kerangka yang lebih tersusun dan terbatas, manakala ruang informal berkembang dengan tahap fleksibiliti yang lebih tinggi (Altbach et al 2009). Perbezaan ini penting kerana ia mempengaruhi bentuk komunikasi dan jenis wacana yang lebih mudah berkembang dalam masyarakat.

Dalam realiti politik Malaysia, keadaan ini menjadikan hubungan antara saluran formal dan informal semakin signifikan dalam memahami perkembangan falsafah politik. Oleh itu, penyuburan falsafah politik di Malaysia perlu difahami dalam kerangka yang lebih luas, iaitu sebagai sebahagian daripada hubungan antara negara, institusi dan ruang awam dalam masyarakat.

Saluran Formal Dalam Falsafah Politik

Saluran formal sering dilihat sebagai tapak utama penghasilan ilmu falsafah politik kerana institusi seperti universiti dan pusat penyelidikan menyediakan kerangka yang lebih tersusun untuk pembangunan pemikiran (Snellman 2015). Dalam ruang ini, idea dibangunkan melalui penyelidikan dan perbahasan ilmiah yang membolehkan sesuatu hujah dinilai secara sistematik dan kritis (Hasbollah 2019:121-122). Saluran formal dengan itu dilihat memainkan peranan penting dalam mengekalkan standard intelektual serta menghubungkan perkembangan falsafah politik dengan tradisi ilmu yang lebih luas.

Selain itu, saluran formal turut memastikan kesinambungan ilmu secara berterusan melalui kurikulum, penerbitan dan latihan akademik. Tradisi ini membolehkan karya falsafah politik dirujuk, diajar dan dikembangkan merentasi generasi. Walau bagaimanapun, penghasilan ilmu dalam institusi formal tidak berlaku dalam ruang yang sepenuhnya neutral. Seperti yang dihuraikan oleh Gramsci (1971), hegemoni terbina melalui institusi masyarakat sivil yang mengatur penghasilan idea dan seterusnya mengekalkan wacana dominan dalam masyarakat. Dalam keadaan ini, bentuk pemikiran yang dianggap sah sering dipengaruhi oleh norma institusi dan kerangka sedia ada. Dalam kerangka tindakan komunikatif Habermas pula, komunikasi yang berlaku dalam institusi formal tidak sentiasa berorientasikan kepada kesefahaman tetapi turut dipengaruhi oleh pertimbangan strategik dan kepentingan institusi (Habermas 1984). Walaupun ruang perbahasan masih wujud, komunikasi sering bergerak dalam batas yang lebih berdisiplin, khususnya apabila melibatkan isu yang berkait dengan struktur politik, identiti dan pemikiran arus perdana (Deveaux 2018:157-158). Keadaan ini menjadi lebih ketara kerana institusi formal beroperasi dalam persekitaran politik dan sosial yang menekankan kestabilan serta pengurusan kepelbagaian.

Pada masa yang sama, struktur formal juga mempunyai kecenderungan untuk mengekalkan pendekatan yang telah diterima dalam sesuatu bidang ilmu. Proses penilaian akademik penting untuk memastikan ketelitian hujah dan mutu penyelidikan, namun pada masa yang sama boleh menyebabkan perkembangan idea baharu berlaku dengan lebih perlahan (Snellman 2015:101). Akibatnya, perbahasan falsafah politik dalam saluran formal kadangkala kekal dalam lingkungan akademik dan kurang berkembang sebagai wacana awam yang lebih hidup dan kritikal (Kuhn 1970:24-25). Oleh itu, kekuatan saluran formal tidak tertumpu pada autoriti akademiknya semata-mata tetapi juga pada sejauh mana ia mampu mengekalkan ruang perbahasan yang benar-benar terbuka.

Peranan Universiti dan Institusi Akademik

Kekuatan utama saluran formal dalam penyuburan falsafah politik terletak pada dua aspek yang sukar ditandingi oleh ruang lain, iaitu autoriti akademik dan ketelitian analisis. Dalam kerangka Malaysia, institusi seperti universiti dan pusat penyelidikan menyediakan asas yang membolehkan pemikiran politik dibangunkan secara tersusun, berdisiplin dan berasaskan kerangka teori yang jelas (Hasbollah 2020). Tanpa struktur ini, perbahasan mudah terdedah kepada kecenderungan retorik atau pandangan yang tidak melalui proses pengujian yang rapi. Oleh itu, walaupun hujah utama menekankan peranan saluran informal, kekuatan saluran formal tidak boleh diketepikan kerana ia membentuk asas intelektual kepada perkembangan falsafah politik itu sendiri (Altbach et al 2009).

Autoriti akademik dalam saluran formal terbina melalui proses penghasilan ilmu yang berlapis dan tersusun, bukan sekadar bersandar pada kedudukan institusi (Foucault 1972:26-27). Sesuatu idea tidak diterima kerana ia menarik atau popular, tetapi kerana ia mampu bertahan dalam perbahasan dan analisis yang kritikal (Fraser 1990). Hujah dinilai berdasarkan kejelasan konsep, kekuatan teori dan keupayaan menjawab kritikan. Keadaan ini selari dengan tuntutan bahawa perbahasan rasional memerlukan justifikasi yang boleh dipertanggungjawabkan dan tidak ditentukan oleh pengaruh atau kedudukan individu (McCarthy 1978). Dengan kata lain, autoriti dalam saluran formal terbina atas asas epistemik yang menilai kualiti hujah. Dari sudut ini, saluran formal berfungsi menyaring dan menyusun pemikiran secara berdisiplin. Tradisi akademik memastikan perkembangan kumulatif berasaskan literatur dan kerangka teori sedia ada (Snellman 2015:90-91), yang menjadi asas kepada pembentukan idea baharu. Seperti yang dihujahkan oleh Calhoun (1992), kekuatan ruang wacana terletak pada keupayaannya menghubungkan perbahasan semasa dengan tradisi intelektual yang lebih luas. Bagi kes Malaysia, hal ini penting kerana ia mengelakkan perbahasan politik daripada terperangkap dalam isu semasa tanpa asas teori yang kukuh.

Ketelitian akademik pula menjadi kekuatan kedua yang melengkapi autoriti tersebut. Dalam saluran formal, hujah tidak hanya dinilai dari segi isi, tetapi juga dari segi kaedah. Pemilihan konsep, penggunaan teori dan struktur analisis memainkan peranan penting dalam menentukan kekuatan sesuatu penulisan (Bachtiger et al. 2018:2-4). Ini menjadikan penghasilan ilmu dalam saluran formal lebih sistematik berbanding ruang lain. Ketelitian ini juga membolehkan pemikiran falsafah politik bergerak melangkaui deskripsi kepada analisis yang lebih mendalam. Dalam literatur demokrasi deliberatif, keupayaan untuk mengemukakan hujah yang berasaskan alasan yang jelas merupakan syarat penting bagi wacana yang bermakna. Namun, kekuatan ini terletak pada proses dalaman institusi dan pada masa yang sama membentuk legitimasi ilmu yang dihasilkan (Chambers 2018:61). Idea yang dihasilkan dalam saluran formal cenderung mempunyai tahap penerimaan yang lebih tinggi kerana ia melalui proses yang dianggap sah dalam komuniti akademik (Snellman 2015). Dalam erti kata ini, saluran formal berfungsi sebagai rujukan utama dalam menentukan apa yang dianggap sebagai pengetahuan yang boleh dipercayai. Hal ini penting dalam konteks falsafah politik kerana ia melibatkan persoalan normatif yang memerlukan justifikasi yang kukuh. Tanpa asas ini, perbahasan mudah terdedah kepada relativisme atau sekadar sentimen.

Dalam konteks Malaysia, peranan ini menjadi lebih signifikan apabila dilihat dalam hubungan antara ilmu dan struktur politik. Kajian mengenai institusi dan kuasa menunjukkan bahawa penghasilan pengetahuan sering berkait dengan kedudukan institusi dalam sistem sosial yang lebih luas (Foucault 1972). Walaupun hal ini boleh menimbulkan batas tertentu, ia juga memberi kelebihan dari segi keupayaan untuk mempengaruhi perbahasan dasar dan pemikiran arus perdana. Dengan kata lain, selain menghasilkan ilmu, saluran formal turut membentuk kerangka perbincangan dalam masyarakat (Mohd Azizuddin 2005). Walau bagaimanapun, kekuatan autoriti dan ketelitian ini tidak semestinya menjamin kesuburan falsafah politik secara menyeluruh. Dalam banyak keadaan, kekuatan yang sama juga dilihat boleh membawa kepada kecenderungan untuk mengekalkan kerangka sedia ada. Penekanan kepada standard akademik boleh menyebabkan perbahasan menjadi terlalu terikat lebih-lebih lagi apabila melibatkan isu yang sensitif. Dalam konteks ini, autoriti akademik berfungsi sebagai sumber legitimasi, tetapi pada masa yang sama boleh mengehadkan keberanian untuk mencabar andaian dominan (Weiss 2011:3-4). Kajian mengenai autonomi universiti di Malaysia menunjukkan bahawa institusi formal tidak beroperasi secara sepenuhnya autonomi kerana penghasilan ilmu turut dipengaruhi oleh pertimbangan negara, birokrasi dan keutamaan politik semasa (Wan 2017:6). Ketegangan ini menunjukkan bahawa kekuatan saluran formal perlu dilihat secara lebih nuansa. Autoriti dan ketelitian memberikan asas yang penting untuk pembangunan disiplin, tetapi tidak semestinya mencukupi untuk memastikan perkembangan pemikiran yang kritikal. Dalam keadaan tertentu, ruang yang terlalu terstruktur boleh mengehadkan kepelbagaian perspektif dan memperlahankan inovasi teoritikal (Wan 2017:12-15). Ini menjelaskan mengapa dalam banyak konteks, termasuk Malaysia, perkembangan falsafah politik tidak hanya bergantung kepada saluran formal, tetapi turut memerlukan ruang alternatif yang lebih fleksibel.

Namun begitu, adalah tidak tepat untuk melihat saluran formal sebagai sekadar ruang yang membatasi. Tanpa autoriti akademik dan ketelitian analisis, perbahasan falsafah politik berisiko menjadi tidak tersusun dan kehilangan arah. Saluran informal mungkin menawarkan ruang yang lebih terbuka kepada pelbagai pandangan, namun sifatnya yang kurang tersusun juga boleh menyebabkan penyebaran maklumat yang tidak konsisten serta perdebatan yang lebih mudah dipengaruhi polarisasi dan pengaruh luar (Chinnasamy & Volkmer 2023). Oleh itu, kekuatan saluran formal terletak pada keupayaannya menyediakan struktur dan prosedur yang lebih stabil melalui proses penyebaran dan pengekalan norma serta pengetahuan yang tersusun, walaupun ruang tersebut tidak semestinya menjadi medium yang paling optimum untuk perkembangan idea baharu (Cornelius-Bell & Bell 2024). Di sinilah letaknya kedudukan sebenar saluran formal dalam penyuburan falsafah politik di Malaysia. Saluran formal terus membentuk legitimasi ilmu melalui perbahasan akademik dan penerbitan universiti, walaupun bukan lagi satu-satunya penentu arah wacana. Autoriti dan ketelitian akademik yang dimilikinya menjadikannya penting sebagai asas kepada penghasilan ilmu (Khairul Anuar et al 2021). Namun, dalam konteks yang lebih luas, kekuatan ini perlu dilihat bersama dengan batas yang wujud, khususnya apabila dibandingkan dengan keanjalan saluran informal. Dalam erti kata lain, saluran formal menyediakan struktur dan legitimasi, tetapi tidak semestinya menjadi pemacu utama kepada perkembangan pemikiran yang lebih kritikal dan mencabar.

Autoriti Akademik dan Kesinambungan Ilmu

Jika autoriti dan ketelitian menjelaskan kekuatan dalaman saluran formal, maka kesinambungan ilmu menunjukkan bagaimana kekuatan itu dipanjangkan merentas masa. Dalam falsafah politik, kesinambungan ilmu merangkumi pengumpulan pengetahuan dan juga pembinaan tradisi satu rantaian perbahasan di mana konsep dan hujah sentiasa dirujuk, diuji dan diperbaharui. Saluran formal memainkan peranan penting dalam memastikan rantaian ini tidak terputus (Da Wan 2022:2-3). Kurikulum, penerbitan dan latihan penyelidikan membolehkan sesuatu disiplin mengekalkan intelektualnya serta menyediakan asas kepada perkembangan seterusnya. Namun, kesinambungan tidak semestinya membawa kepada kesuburan. Dalam banyak keadaan, apa yang diwariskan adalah pengetahuan dan juga cara berfikir yang telah diperkukuh oleh tradisi disiplin. Ini menjadikan kesinambungan sebagai satu bentuk kekuatan yang pada masa yang sama berpotensi membataskan. Perbahasan memang diteruskan, tetapi sering dalam kerangka yang telah ‘selesa’. Seperti yang dihujahkan dalam perbincangan mengenai ruang awam, sesuatu wacana tidak pernah sepenuhnya bebas daripada norma yang mengawal arah perbahasan, walaupun norma tersebut tidak dinyatakan secara langsung (Benhabib 1992; Fraser 1990). Dalam hubungan ini, pembinaan disiplin melalui saluran formal memperlihatkan satu kecenderungan ke arah penstabilan pemikiran. Idea baharu tidak semestinya ditolak dan lazimnya perlu disesuaikan dengan bahasa serta pendekatan yang telah menjadi kebiasaan sebelum diterima (Kuhn 1970). Hal ini mewujudkan satu bentuk kesinambungan yang bersifat reproduktif di mana tradisi dipelihara lebih daripada dicabar. Dari sudut teori deliberatif, keadaan ini boleh mengehadkan kepelbagaian hujah dan memperlahankan kemunculan perspektif yang benar-benar berbeza (Carpini et al 2004:325).

Dalam konteks Malaysia, kedudukan falsafah politik dalam struktur akademik memperlihatkan bahawa perbahasannya sering mengikuti keutamaan kajian berasaskan data dan analisis dasar, walaupun disiplin ini diajar secara formal. Keadaan ini mengehadkan ruang perdebatan teori yang mendalam dan mengalihkan fungsinya kepada pengurusan perbezaan serta pengekalan kestabilan dalam masyarakat pluralistik (Misak 2000). Keadaan ini mencerminkan bagaimana kesinambungan dalam saluran formal berlaku tetapi tidak semestinya disertai dengan pengembangan yang kritikal. Kesan keadaan ini terlihat pada kesinambungan ilmu yang lebih tertumpu pada pemeliharaan berbanding perubahan. Tradisi dikekalkan tetapi tidak selalu dipersoalkan secara mendasar. Dalam jangka panjang, hal ini boleh mengehadkan keupayaan disiplin untuk menghasilkan pemikiran yang benar-benar mencabar kerangka sedia ada. Walaupun struktur formal membantu mengekalkan kestabilan disiplin, ia juga boleh menghasilkan inertia intelektual apabila paradigma yang dominan menjadi terlalu jumud sehingga menyukarkan kemunculan perspektif yang benar-benar berbeza (Kuhn 1970:11-12). Dalam kata lain, kesinambungan yang sepatutnya menjadi asas kepada perkembangan boleh bertukar menjadi faktor yang mengekang inovasi.

Di sinilah muncul implikasi yang lebih luas terhadap hujah utama esei ini. Apabila kesinambungan dalam saluran formal bersifat terkawal dan cenderung mengulang kerangka sedia ada, ruang untuk pembaharuan sering beralih ke luar institusi tersebut. Saluran informal, walaupun tidak mempunyai kesinambungan yang sama dari segi struktur, menawarkan ruang alternatif untuk mencabar tradisi tanpa perlu terlebih dahulu menyesuaikan diri dengan disiplin (Fraser 1990). Saluran informal, walaupun tidak mempunyai kesinambungan yang sama dari segi struktur, dilihat menawarkan kebebasan yang lebih besar untuk mencabar tradisi dan autoriti sedia ada tanpa terlalu terikat dengan kawalan institusi (Mun Loong 2014:9-12).Keadaan ini tidak bermaksud kesinambungan dalam saluran formal tidak penting. Tanpa struktur yang memastikan pengetahuan diteruskan, falsafah politik sukar berkembang secara bermakna. Namun, kesinambungan hanya menjadi kukuh apabila ia disertai dengan kesediaan untuk mencabar tradisi yang diwarisi. Tanpa dimensi ini, pembinaan disiplin berisiko menjadi proses pengulangan yang stabil tetapi tidak cergas.

Kawalan Institusi dan Batas Wacana

Saluran formal tidak hanya menyusun pengetahuan, tetapi juga menetapkan batas kepada cara pengetahuan itu boleh dibincangkan. Batas ini jarang hadir dalam bentuk larangan yang jelas. Sebaliknya, ia muncul melalui jangkaan yang membentuk tingkah laku akademik iaitu apa yang dianggap sesuai, bagaimana sesuatu isu perlu dihuraikan dan sejauh mana sesuatu hujah boleh didorong (Foucault 1972; Johnson 2009). Dalam keadaan ini, kawalan institusi tidak perlu bersifat keras untuk berkesan. Ia berfungsi melalui kebiasaan yang diterima tanpa banyak dipersoalkan. Perbahasan memang berlaku dalam institusi akademik, tetapi jarang bergerak tanpa arah. Pilihan topik, pendekatan teori dan gaya penghujahan sering cenderung kepada kerangka yang telah dikenali. Apa yang dilihat sebagai “standard akademik” sebenarnya memainkan peranan penting dalam menyaring bentuk pemikiran yang muncul (Marginson 2010:6966-6967). Ini menjadikan wacana kelihatan terbuka, tetapi pada masa yang sama terikat kepada batas yang tidak dinyatakan secara langsung (Calhoun 1992; Fraser 1990). Keterbukaan wujud tetapi dalam lingkungan yang sudah boleh dijangka.

Kesan kawalan ini menjadi lebih ketara apabila wacana melibatkan isu sensitif atau mencabar cara pemikiran yang dominan. Kritik tidak semestinya ditolak, tetapi sering disusun dalam bentuk yang lebih terkawal. Hujah dibina secara cermat bagi memastikan ketepatan analisis dan mengelakkan implikasi yang tidak diingini. Dalam keadaan seperti ini, komunikasi tidak lagi bergerak sepenuhnya ke arah saling memahami melalui hujah rasional tetapi turut mengambil kira kedudukan institusi dan penerimaan dalam komuniti akademik (Strecker 2009:379-380). Keadaan ini tidak berlaku secara terpisah di mana institusi formal beroperasi dalam jaringan hubungan yang melibatkan negara, dasar dan kepentingan sosial. Hubungan ini tidak semestinya mengawal wacana secara langsung, tetapi cukup untuk membentuk sempadan kepada apa yang dianggap sesuai. Wacana yang terlalu mencabar jarang menjadi arus utama, walaupun tidak dihalang secara terbuka. Analisis mengenai politik Malaysia menunjukkan bahawa penghasilan pengetahuan sering bergerak dalam lingkungan yang selari dengan keperluan kestabilan dan pengurusan kepelbagaian, sekaligus mengehadkan ruang untuk perbahasan yang lebih konfrontasional.

Dalam keadaan ini, batas wacana tidak hanya berkait dengan isi perbincangan, tetapi juga dengan bentuknya. Cara sesuatu hujah dibingkaikan sering menentukan sama ada ia boleh diterima atau tidak. Ini menjadikan kawalan institusi lebih halus daripada sekadar penapisan. Ia membentuk logik dalaman wacana itu sendiri. Dari sudut teori kritikal, proses ini menunjukkan bagaimana kuasa beroperasi bukan melalui paksaan, tetapi melalui pembentukan norma yang menentukan apa yang dianggap sebagai pengetahuan yang sah (Gramsci 1971). Walaupun begitu, kawalan ini tidak sepenuhnya negatif. Tanpa batas tertentu, wacana mudah menjadi longgar dan tidak berstruktur. Standard akademik diperlukan untuk memastikan bahawa perbahasan kekal berasaskan hujah yang kukuh. Masalahnya muncul apabila batas tersebut menjadi terlalu dominan sehingga mengehadkan kemungkinan untuk mencabar kerangka sedia ada. Dalam keadaan ini, fungsi saluran formal berubah daripada medan perbahasan kepada ruang pengurusan pengetahuan (Foucault 1972). Apabila ruang formal beroperasi dalam batas yang terlalu terkawal, keupayaan untuk menghasilkan pemikiran yang benar-benar kritikal menjadi terhad. Ini bukan kerana perbahasan tidak wujud, tetapi disebabkan bentuk dan arah perbahasan itu sendiri telah ditentukan lebih awal (Fraser 1990:63-66). Keadaan ini membuka ruang kepada saluran informal untuk mengambil peranan yang berbeza. Tanpa keperluan untuk mematuhi jangkaan institusi yang ketat, wacana dalam ruang informal lebih mudah bergerak ke arah kritik yang langsung dan eksperimen idea yang tidak terikat.

Yang menjadi persoalan kini adalah kewujudan kawalan itu sendiri dan sejauh mana ia membentuk arah pemikiran tanpa disedari. Selagi batas ini berfungsi sebagai norma yang tidak dipersoalkan, saluran formal akan terus menghasilkan wacana yang stabil tetapi terkawal. Dalam kerangka ini, kekuatan institusi sebagai pengeluar ilmu tidak terpisah daripada peranannya dalam mengehadkan ruang perbahasan. Di sinilah sebab mengapa penyuburan falsafah politik tidak sepenuhnya bertumpu pada saluran formal, tetapi bergerak lebih aktif di luar batas tersebut.

Kawalan Wacana Oleh Kerajaan

Kerajaan mengawal dan mengatur wacana politik melalui gabungan aparatus paksaan (coercion) dan strategi pembinaan persetujuan (consent), yang secara kolektif membentuk hegemoni politik untuk mengekalkan status quo (Humphreys 2009). Dalam kerangka pemikiran Antonio Gramsci, kawalan ini tidak hanya bergantung kepada kekerasan fizikal, tetapi lebih kepada penguasaan ideologi dan wacana awam bagi memastikan kepatuhan masyarakat (Humphreys 2009). Melalui kombinasi instrumen undang-undang, mekanisme institusi dan kawalan media, negara berupaya menentukan batas perbahasan politik yang dianggap sah, sekaligus mengehadkan perkembangan pemikiran kritikal dalam saluran formal.

Aparatus Perundangan dan ‘Pembendungan Intelektual’ (Intellectual Containment)

Salah satu bentuk kawalan utama ialah melalui aparatus perundangan yang bersifat menyekat bagi mendiamkan suara kritikan dan mengecilkan ruang demokrasi (Wei 2016). Undang-undang seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984 memberikan kuasa budi bicara yang luas kepada Menteri Dalam Negeri untuk mengawal penerbitan, termasuk memberi atau membatalkan permit tanpa semakan kehakiman (Brown 2005). Keadaan ini mendorong media arus perdana mengamalkan penapisan kendiri dan hanya menyiarkan naratif yang selari dengan kepentingan kerajaan (Altbach 2001:1-2). Begitu juga, Akta Hasutan 1948 digunakan untuk mengawal ucapan yang dianggap mempunyai kecenderungan menghasut, khususnya berkaitan isu sensitif seperti agama, kaum dan institusi diraja (Hasbollah & Ramalinggam 2022). Ketidakjelasan definisi kesalahan membolehkan pendakwaan terpilih dilakukan terhadap aktor politik dan masyarakat sivil (Mohd Azizuddin 2005). Selain itu, walaupun Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) telah dimansuhkan, prinsip penahanan tanpa perbicaraan diteruskan melalui undang-undang seperti SOSMA, yang dalam praktiknya boleh digunakan terhadap aktiviti yang dianggap mengancam keselamatan negara, termasuk yang berkait dengan wacana politik (Humphreys 2009).

Di samping itu, kawalan wacana turut dilaksanakan melalui mekanisme institusi yang menghasilkan apa yang boleh difahami sebagai pembendungan intelektual. Dalam sistem pendidikan tinggi, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 mengehadkan autonomi universiti serta penglibatan mahasiswa dan ahli akademik dalam politik kepartian (Dzulpadzli et al 2025). Sekatan ini mewujudkan suasana yang lebih terkawal dan mengurangkan keberanian untuk terlibat dalam perbahasan kritikal. Tambahan pula, melalui Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000, khususnya Peraturan 18, ahli akademik dilarang membuat kenyataan awam yang mengkritik dasar kerajaan (Hasbollah & Ramalinggam 2022). Larangan ini secara langsung membantut perkembangan budaya intelektual yang bersifat dialektik dan kritis, serta mengukuhkan peranan institusi formal sebagai ruang yang dikawal.

Kawalan hegemoni juga diperkukuh melalui penguasaan terhadap media dan penyebaran ideologi rasmi (Humphreys 2009). Pemilikan media arus perdana oleh parti politik atau proksi mereka memastikan bahawa hanya naratif yang memihak kepada kerajaan mendapat liputan meluas (Mohd Azizuddin 2005). Dalam keadaan ini, media berfungsi sebagai ‘penjaga gol’ yang menapis pandangan alternatif dan melabelkan pengkritik sebagai ancaman kepada kestabilan (Brown 2005). Selain itu, penggunaan naratif ideologi seperti Islam dan identiti kaum memainkan peranan dalam membina legitimasi politik. Konsep seperti perlindungan terhadap agama dan kepentingan kaum digunakan untuk menjustifikasikan kedudukan pemerintah, manakala pandangan yang menyimpang daripada tafsiran rasmi mudah dilabel sebagai tidak sah atau berbahaya, sekaligus disingkirkan daripada ruang awam (Humphreys 2009).

Kawalan Terhadap Tadbir Urus dan Autonomi Institusi

Kekurangan autonomi institusi merupakan antara faktor utama yang menyukarkan universiti berfungsi sebagai ruang bebas untuk pencarian kebenaran dan perkembangan pemikiran kritikal. Dalam kerangka hegemoni yang dihuraikan oleh Antonio Gramsci, institusi pendidikan bukan sekadar tempat penghasilan ilmu, tetapi turut berperanan sebagai mekanisme yang mengekalkan struktur kuasa melalui kawalan terhadap wacana (Humphreys 2009). Apabila autonomi universiti terhad, keupayaannya untuk menjadi ruang perbahasan terbuka dan kritis turut terjejas, sekaligus mengehadkan perkembangan falsafah politik dalam saluran formal.

Salah satu manifestasi kekurangan autonomi ini dapat dilihat melalui proses pelantikan kepimpinan universiti. Naib Canselor dan jawatan kepimpinan utama universiti awam dilantik secara langsung oleh Menteri, yang sering ditafsirkan sebagai satu bentuk kawalan informal oleh kerajaan terhadap hala tuju institusi. Struktur ini mewujudkan rantaian perintah yang mempengaruhi keputusan pentadbiran dan akademik, termasuk dalam menentukan keutamaan penyelidikan, program akademik dan ruang perbahasan yang dibenarkan (Sufean & Wong 2014). Dalam keadaan ini, kepimpinan universiti cenderung mengambil pendekatan yang lebih terkawal bagi mengelakkan konflik dengan pihak berkuasa dan secara tidak langsung menyempitkan ruang untuk wacana yang bersifat kritikal.

Selain itu, pengaruh agensi luar seperti Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Jabatan Pendidikan Tinggi turut menyumbang kepada pembatasan autonomi universiti. Melalui kawalan terhadap kandungan kurikulum dan penetapan hasil pembelajaran, agensi-agensi ini secara tidak langsung mengecilkan peranan Senat universiti sebagai badan akademik tertinggi. Kawalan mikro terhadap struktur kursus dan standard pengajaran mengurangkan kebebasan ahli akademik untuk menentukan pendekatan pedagogi dan kandungan ilmu yang lebih kritikal atau alternatif (Wan 2022). Akibatnya, proses pengajaran menjadi lebih seragam dan terikat kepada keperluan luaran, berbanding didorong oleh kebebasan intelektual.

Implikasi daripada kekangan ini ialah universiti semakin sukar berfungsi sebagai ruang yang benar-benar bebas untuk penerokaan idea dan pencarian kebenaran. Dalam persekitaran yang dikawal, ahli akademik mungkin cenderung mengelakkan topik sensitif atau pendekatan kritikal yang boleh menimbulkan risiko kepada kedudukan mereka. Keadaan ini selari dengan konsep hegemoni Gramsci, di mana kawalan tidak semestinya bersifat paksaan langsung, tetapi beroperasi melalui strukturdan norma yang membentuk tingkah laku serta pemikiran individu dalam institusi.

Kesan Terhadap Penghasilan Ilmu dan Debat Intelektual

Kekangan politik yang berterusan telah mengubah landskap penghasilan ilmu di Malaysia daripada bersifat kritis kepada lebih fungsional dan teknokratik. Dalam kerangka hegemoni Gramsci, perubahan ini mencerminkan bagaimana kuasa beroperasi melalui kawalan langsung bagi membentuk norma dan keutamaan dalam sistem pendidikan. Apabila ruang kebebasan intelektual terhad, fungsi universiti sebagai medan perdebatan kritikal turut terhakis, digantikan dengan orientasi yang lebih pragmatik dan selari dengan keperluan negara serta pasaran.

Salah satu kesan utama ialah berlakunya ‘kemandulan pemikiran’ dalam kalangan masyarakat akademik. Sekatan terhadap hak bersuara dan kebimbangan terhadap implikasi politik menyebabkan penyelidik cenderung menyesuaikan hasil kerja mereka dengan pandangan rasmi sebelum diterbitkan (Hasbollah 2020). Keadaan ini mengurangkan keberanian untuk mengemukakan hujah yang mencabar atau alternatif, sekaligus melemahkan tradisi debat intelektual (Altbach 2001). Apabila penyelidikan tidak lagi digerakkan oleh keinginan untuk mencari kebenaran secara bebas, tetapi oleh keperluan untuk mematuhi garis panduan tertentu, tahap keilmuan secara keseluruhan menjadi terhad dan kurang daya maju.

Di peringkat bilik kuliah, fenomena ini turut membentuk apa yang boleh digambarkan sebagai budaya senyap. Struktur hierarki yang menekankan autoriti pendidik, ditambah dengan latar budaya yang konservatif, menyebabkan mahasiswa cenderung bersikap pasif dan enggan menyoal. Keadaan ini menghalang perkembangan kemahiran berfikir secara kritis, kerana proses pembelajaran lebih bersifat penerimaan berbanding perbahasan (Le 2024). Dalam jangka panjang, situasi ini menghasilkan graduan yang kurang terdedah kepada latihan intelektual yang mencabar, sekaligus mengukuhkan lagi kitaran penghasilan ilmu yang tidak kritikal.

Selain itu, pengaruh hegemoni neo-liberalisme dan pendekatan pengurusan turut mempercepatkan transformasi ini. Universiti kini semakin dipacu oleh tekanan pasaran, keperluan meningkatkan kedudukan dalam ranking antarabangsa, serta pematuhan kepada petunjuk prestasi utama (KPI) (Campbell 2012). Fokus terhadap produktiviti dan kecekapan ini sering kali mengetepikan dimensi etika, nilai dan refleksi falsafah dalam pendidikan. Ilmu tidak lagi dilihat sebagai ruang untuk memahami dan mengkritik realiti sosial secara mendalam, tetapi sebagai alat untuk memenuhi keperluan ekonomi dan institusi.

Kekangan yang wujud telah mengehadkan kebebasan bersuara dan membentuk semula orientasi penghasilan ilmu dalam sistem pendidikan tinggi. Daripada menjadi ruang yang subur untuk pemikiran kritikal, universiti semakin berfungsi sebagai institusi yang menghasilkan pengetahuan yang selari dengan keperluan teknokratik dan pasaran. Dalam konteks ini, perkembangan falsafah politik yang kritis menjadi semakin terpinggir dalam saluran formal, sekaligus membuka ruang kepada saluran informal untuk memainkan peranan yang lebih signifikan.

Kajian Kes Kawalan Wacana Oleh Kerajaan

Kawalan kerajaan terhadap wacana akademik di Malaysia dapat dilihat melalui beberapa kes yang mencerminkan penggunaan aparatus paksaan dan strategi pembendungan intelektual dalam mengekalkan hegemoni. Kes Prof. Dr. Abdul Aziz Bari (2011) menunjukkan bagaimana kebebasan akademik boleh diganggu melalui tindakan pentadbiran universiti selepas beliau mengemukakan pandangan kritis terhadap institusi diraja (Che Noraini et al. 2001). Walaupun beliau dikembalikan ke jawatan asal, siasatan di bawah Akta Hasutan memperlihatkan bahawa ahli akademik tertakluk kepada tekanan politik yang mempengaruhi kebebasan bersuara.

Situasi yang sama dapat dilihat dalam pendakwaan Dr. Azmi Sharom (2014), di mana beliau didakwa di bawah Akta Hasutan kerana memberikan pandangan undang-undang berkaitan krisis perlembagaan (Loganathan et al 2015). Kes ini memberi kesan besar kepada komuniti akademik dengan mewujudkan iklim ketakutan dan mendorong amalan penapisan kendiri (Altbach 2001). Selain itu, kes ‘UKM 4’ (2010) menunjukkan bagaimana Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) digunakan untuk menyekat penglibatan mahasiswa dalam aktiviti politik (Mohd Azizuddin 2005). Walaupun mahkamah akhirnya memutuskan sekatan tersebut tidak berperlembagaan, tindakan awal terhadap pelajar membuktikan kewujudan usaha sistematik untuk mengehadkan aktivisme dan pemikiran kritikal di kampus.

Kawalan ini turut diperkukuh melalui mekanisme struktur seperti Peraturan 18 di bawah Akta 605, yang melarang ahli akademik membuat kenyataan awam berkaitan dasar kerajaan (Malaysia 2000). Peraturan ini secara langsung menghalang pakar daripada menyumbang kepada perbahasan awam, sekaligus membantutkan perkembangan ilmu yang bersifat kritis. Di peringkat mahasiswa, kes Ali Bukhari Amir (2005) di Universiti Sains Malaysia menunjukkan bagaimana tindakan pentadbiran digunakan untuk menekan usaha membangunkan wacana alternatif melalui penulisan dan aktiviti intelektual (Rosli & Mohd. Hazim 2013). Corak ini menggambarkan bentuk represi yang berterusan terhadap suara kritikal dalam institusi formal.

Selain kawalan terhadap individu, kerajaan turut menggunakan undang-undang seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan untuk menyekat penyebaran idea yang dianggap bertentangan dengan naratif rasmi. Pengharaman buku ilmiah dan karya dokumentari politik menunjukkan bahawa kawalan wacana melangkaui institusi pendidikan dan merangkumi ruang budaya yang lebih luas (Whiting 2013). Secara keseluruhannya, kes-kes ini menunjukkan bahawa saluran formal telah dikawal dengan ketat sehingga mengehadkan perkembangan falsafah politik yang kritis. Dalam keadaan ini, wacana yang lebih progresif dan mencabar terpaksa beralih ke saluran informal, yang menyediakan ruang alternatif untuk mencabar hegemoni sedia ada.

Saluran Informal Dalam Falsafah Politik

Dalam konteks kawalan ketat terhadap saluran formal, perkembangan wacana falsafah politik di Malaysia semakin bergantung kepada saluran intelektual informal yang lebih terbuka dan agresif. Selari dengan kerangka hegemoni Antonio Gramsci, ruang-ruang ini berfungsi sebagai medan kaunter-hegemoni yang mencabar dominasi idea dalam institusi rasmi (Chinnasamy 2018). Pelbagai bentuk saluran informal telah muncul dengan ciri dan fungsi tersendiri, termasuk media digital, penerbitan indie, media sosial, serta kolektif belia dan forum awam.

Media digital seperti portal berita bebas dan blog merupakan antara pemangkin utama perubahan wacana intelektual, khususnya sejak era Reformasi. Portal seperti Malaysiakini berfungsi sebagai anomali dalam sistem media tempatan dengan menyediakan laporan kritikal dan memberi ruang kepada suara yang dipinggirkan (Mohd Faizal 2016). Ia menjadi platform penting bagi wacana sivik demokratik, membolehkan perbincangan isu sensitif yang sering diketepikan oleh media arus perdana (Chinnasamy 2018). Pada masa yang sama, blog memainkan peranan dalam membina rangkaian pandangan alternatif yang tidak ditapis, sekaligus mewujudkan rasionaliti penentangan dalam kalangan pembaca yang sebelum ini terdedah kepada naratif tunggal (Weiss 2012:25).

Selain itu, penerbitan buku indie telah berkembang sebagai fenomena yang menarik minat generasi muda terhadap isu kemasyarakatan dan falsafah politik (Cheang 2019). Gerakan ini menekankan kebebasan daripada kongkongan autoriti serta menolak struktur konvensional penerbitan arus perdana (Muhammad Atiullah et al 2022). Walaupun sering dipandang rendah, karya-karya indie sarat dengan wacana politik, ekonomi dan agama yang dekat dengan realiti kehidupan (Cheang 2019). Pendekatan penulisan yang bebas dan tidak terikat membolehkan idea-idea alternatif berkembang, termasuk yang dipengaruhi oleh aliran pemikiran seperti Pascamodenisme dan Eksistensialisme yang mencabar norma sedia ada (Muhammad Atiullah et al 2022).

Media sosial dan aplikasi mesej turut mengubah landskap interaksi politik dengan menurunkan kos penyertaan awam (Fadhilah et al 2024). Platform seperti Facebook dan X (dahulu dikenali sebagai Twitter) digunakan untuk mobilisasi dan pembentukan identiti kolektif (Haslina et al. 2021), manakala kumpulan WhatsApp peribadi menjadi ruang perbincangan yang lebih santai dan bebas daripada tekanan terbuka (Mohd Faizal 2024). Melalui platform ini, masyarakat tidak lagi berperanan sebagai penerima maklumat semata-mata, tetapi turut terlibat secara aktif dalam membentuk pendapat kolektif yang boleh mempengaruhi dasar kerajaan. Perubahan ini menunjukkan peralihan daripada komunikasi satu hala kepada interaksi yang lebih partisipatif. Di samping itu, kolektif belia informal dan forum awam memainkan peranan penting dalam menyediakan pendidikan politik di luar kerangka universiti. Kumpulan seperti Universiti Terbuka Anak Muda (UTAM), Kuliah Buku (KUBU) dan Buku Jalanan berfungsi sebagai pusat pembelajaran alternatif yang menggalakkan wacana kritis merentas disiplin (Norhafiza 2017). Aktiviti mereka sering menggabungkan elemen budaya popular seperti seni, filem dan sastera untuk menjadikan perbincangan lebih mudah diakses oleh masyarakat umum. Melalui kelas percuma dan diskusi terbuka, ruang-ruang ini berusaha membina kesedaran sosial dan menggerakkan masyarakat untuk memahami serta mencabar struktur sedia ada (Asyraff & Subet 2019:1-10).

Saluran intelektual informal telah memecahkan monopoli maklumat oleh elit berkuasa dan mewujudkan ruang wacana yang lebih rencam dan inklusif. Dengan sifatnya yang bebas, responsif dan dekat dengan masyarakat, saluran ini menjadi medan utama bagi perkembangan falsafah politik yang kritis (Chinnasamy 2018). Dalam kerangka hegemoni, kewujudan ruang-ruang ini menunjukkan bahawa dominasi idea dalam institusi formal sentiasa boleh dicabar melalui pembinaan wacana alternatif dalam masyarakat sivil.

Peranan Saluran Informal Dalam Wacana Falsafah Politik

Saluran informal dalam landskap politik Malaysia berfungsi sebagai tapak kaunter-hegemoni yang penting dalam mencabar dominasi naratif elit pemerintah yang lazimnya disalurkan melalui media arus perdana. Ruang ini membuka peluang kepada kemunculan intelektual organik yang mengorganisasikan kesedaran massa di luar kawalan institusi formal yang sering tertakluk kepada pembendungan intelektual. Melalui sifatnya yang lebih terbuka dan fleksibel, saluran informal menjadi medium utama bagi perkembangan wacana politik yang lebih kritis dan inklusif Cite.

Sumbangan pertama saluran informal dapat dilihat dari segi kebolehcapaian dan pendemokrasian maklumat. Berbeza dengan media arus perdana yang dikawal oleh kerangka perundangan, platform digital seperti portal berita bebas dan blog beroperasi dalam ruang yang lebih longgar, terutamanya dalam konteks jaminan tiada penapisan internet data terbuka ini (Chinnasamy 2018). Keadaan ini membolehkan maklumat politik disebarkan tanpa sekatan ketat, sekaligus memintas monopoli maklumat oleh elit berkuasa. Tambahan pula, kadar penembusan internet yang tinggi serta penggunaan telefon pintar membolehkan rakyat mengakses maklumat secara masa nyata (Chinnasamy & Volkmer 2023). Aplikasi mesej seperti WhatsApp turut menyediakan ruang yang lebih selamat untuk membincangkan isu sensitif seperti etnik dan agama, sekaligus meningkatkan keberanian masyarakat untuk terlibat dalam wacana politik (Mohd Faizal 2024).

Selain itu, saluran informal menyumbang kepada kepelbagaian idea dan perkembangan wacana heterodoks (Rajandran & Lee 2023). Platform seperti Malaysiakini dan blog sosiopolitik memberi ruang kepada suara golongan yang dipinggirkan, termasuk etnik minoriti dan pembangkang, untuk mengemukakan perspektif alternatif yang sering diketepikan oleh media arus perdana (Chinnasamy 2018). Fenomena penerbitan buku indie pula memperkenalkan aliran pemikiran seperti pascamodenisme dan eksistensialisme yang menolak autoriti tradisional dan menekankan kebebasan individu (Muhammad Atiullah et al 2022). Melalui perkembangan ini, fokus wacana politik turut mengalami peralihan daripada politik berasaskan etnik kepada isu yang lebih luas seperti hak asasi manusia, akauntabiliti dan keadilan sosial. Perubahan ini mencerminkan usaha membina budaya politik yang lebih deliberatif dan berorientasikan nilai demokrasi (Chinnasamy 2018).

Di samping itu, saluran informal turut memainkan peranan penting dalam meningkatkan penglibatan awam dan mobilisasi politik (Weiss 2013). Media sosial dewasa ini berfungsi sebagai alat komunikasi yang utama. Ruang sosial ini membolehkan individu beralih daripada pengguna pasif kepada produser aktif dalam pembentukan pendapat umum. Interaksi melalui komen, perkongsian dan reaksi membentuk satu ekosistem wacana yang lebih partisipatif (Mohd Faizal 2024). Lebih daripada itu, platform seperti Facebook dan Twitter telah terbukti menjadi pemangkin kepada gerakan massa seperti Bersih dan Hindraf, di mana mobilisasi dalam talian diterjemahkan kepada tindakan kolektif di ruang fizikal. Dalam masa yang sama, ciri interaktif platform digital membolehkan individu membina identiti politik mereka sendiri dan mencabar naratif rasmi negara, selari dengan konsep ‘technology of the self’(Chinnasamy 2018).

Walaupun tidak terlepas daripada cabaran seperti jurang digital dan risiko penyebaran maklumat tidak tepat, saluran ini telah berjaya mewujudkan rasionaliti penentangan yang menjadi asas kepada transformasi budaya politik di Malaysia. Dalam konteks ini, saluran informal melengkapi perkembangan bidang ini selain dalam banyak keadaan turut sama mengatasi peranan saluran formal dalam menyuburkan falsafah politik yang kritis dan berkembang maju (Cheong 2025:483-485).

Saluran Informal Sebagai Wacana Falsafah Politik

Dominasi saluran informal dalam memupuk falsafah politik di Malaysia dapat difahami melalui kerangka hegemoni selain menifestasi moden kepada konsep ruang awam oleh Habermas. Dalam kerangka ini, saluran informal berfungsi sebagai tapak kaunter-hegemoni yang lebih lincah berbanding institusi formal yang terkekang oleh struktur kuasa dan kawalan negara. Keadaan ini menjelaskan mengapa perkembangan pemikiran politik yang kritis dan alternatif lebih banyak berlaku di luar institusi seperti universiti dan media arus perdana.

Salah satu faktor utama yang menyumbang kepada dominasi ini ialah kewujudan ‘pembendungan intelektual’ dalam saluran formal. Institusi seperti universiti tertakluk kepada kawalan birokrasi dan perundangan, termasuk Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), yang mengecilkan ruang untuk wacana politik yang bebas dan kritikal (Weiss 2009). Dalam keadaan ini, universiti gagal berfungsi sebagai medan percambahan idea yang terbuka. Sebaliknya, saluran informal seperti portal berita bebas, blog dan kolektif belia muncul sebagai ruang alternatif yang lebih selamat dan kurang dikawal, kerana tidak tertakluk kepada lesen penerbitan atau sekatan ketat (Cheong 2025). Peralihan ini menunjukkan bahawa pembelajaran falsafah politik lebih subur berkembang di luar struktur formal.

Selain itu, saluran informal turut memungkinkan kemunculan intelektual organik yang memainkan peranan penting dalam membentuk kesedaran politik masyarakat. Dalam kerangka Gramsci, intelektual organik terdiri daripada individu seperti aktivis, blogger dan penulis bebas yang beroperasi di luar kawalan elit pemerintah (Chinnasamy 2018). Melalui platform digital, mereka menghasilkan wacana heterodoks yang mencabar naratif ortodoks kerajaan, khususnya dalam isu sensitif seperti kontrak sosial dan kedudukan etnik (Rajandran & Lee 2023). Keupayaan mereka untuk memintas monopoli maklumat membolehkan masyarakat membina identiti politik sendiri melalui interaksi aktif, sekaligus menjadikan saluran informal sebagai pusat utama perkembangan pemikiran politik kontemporari.

Di samping itu, faktor kebolehcapaian dan keberkesanan saluran informal turut menyumbang kepada dominasinya. Dengan kos penyertaan yang rendah dan jangkauan yang luas, khususnya melalui media digital, saluran ini menjadi medium penting dalam menjalankan ‘peperangan posisi’ dalam masyarakat sivil (Mohd Faizal 2016). Idea-idea falsafah politik alternatif seperti liberalisme, progresivisme dan eksistensialisme dapat disampaikan melalui bentuk yang lebih mudah diakses seperti media sosial, karya indie dan video dalam talian (Asyraff & Subet 2019). Berbeza dengan pembelajaran formal yang sering bersifat pasif, saluran informal menukarkan maklumat kepada pengetahuan yang boleh diambil tindakan, sekaligus meningkatkan kesedaran sivik dan penglibatan masyarakat.

Tambahan pula, saluran informal menyediakan kepelbagaian idea dan ruang deliberasi yang lebih luas. Tidak seperti media arus perdana yang sering berfungsi sebagai rakan kongsi kepada kerajaan dalam mengekalkan hegemoni, platform seperti blog sosiopolitik dan portal berita bebas memberi ruang kepada suara golongan yang dipinggirkan (Chinnasamy 2018). Penerbitan buku indie juga menyumbang kepada perkembangan ini dengan membawa pemikiran kritikal yang bebas daripada kongkongan institusi formal. Keadaan ini menjadikan saluran informal sebagai tapak utama bagi penyemaian dan perkembangan falsafah politik di Malaysia, yang lebih responsif terhadap realiti sosial berbanding kurikulum formal yang cenderung statik (Asyraff & Subet 2019). Perkembangan falsafah politik dalam saluran informal di Malaysia boleh difahami dengan lebih mendalam melalui kerangka pemikiran Jurgen Habermas dan Michel Foucault. Kedua-dua tokoh ini menawarkan perspektif yang saling melengkapi dalam menjelaskan bagaimana ruang di luar institusi formal menjadi tapak penting bagi pembentukan wacana politik yang lebih kritis, terbuka dan berdaya saing terhadap naratif dominan.

Dalam kerangka Habermas, saluran informal berfungsi sebagai manifestasi moden kepada konsep ruang awam (public sphere), iaitu medan di mana masyarakat terlibat dalam perbincangan rasional mengenai isu-isu kepentingan bersama. Portal berita bebas seperti Malaysiakini dan forum digital menjadi ruang deliberatif yang membolehkan rakyat menjalankan proses ‘penalaran awam’ tanpa dikawal sepenuhnya oleh elit politik atau kepentingan korporat (Chinnasamy 2018). Fungsi ini amat penting dalam konteks Malaysia, di mana media arus perdana sering terikat kepada struktur kuasa. Melalui ruang awam digital, falsafah politik dipupuk secara aktif melalui pertukaran idea, perbahasan terbuka dan penyertaan masyarakat dalam isu-isu semasa. Selain itu, kewujudan saluran informal juga boleh dilihat sebagai usaha untuk menentang fenomena refeudalization, iaitu keadaan di mana media dimonopoli oleh elit sehingga menghalang perdebatan rasional (Foong 2012). Dengan memecahkan monopoli tersebut, saluran informal membuka ruang kepada wacana yang lebih rencam dan telus, sekaligus menggalakkan peralihan daripada politik berasaskan etnik kepada ‘politik baru’ yang menekankan nilai seperti hak asasi manusia, akauntabiliti dan keadilan sosial.

Sementara itu, pendekatan Foucault memberikan dimensi analisis yang lebih kritikal terhadap hubungan antara kuasa dan pengetahuan dalam konteks ini. Melalui konsep governmentality, Foucault menjelaskan bagaimana negara menggunakan institusi formal seperti universiti dan media untuk mengawal masyarakat melalui undang-undang dan norma budaya (Chinnasamy 2018). Dalam situasi ini, saluran informal muncul sebagai ruang penentangan apabila rakyat menggunakan pengetahuan untuk mencabar teknik pemerintahan tersebut. Lebih penting lagi, konsep teknologi kendiri menjelaskan bagaimana platform seperti blog, ruangan komen dan media sosial memperkasakan individu untuk membina identiti politik mereka sendiri secara autonomi. Dalam ruang ini, rakyat tidak lagi sekadar menjadi penerima maklumat, tetapi bertindak sebagai agen aktif yang membentuk dan menyebarkan idea politik (Chinnasamy 2018).

Tambahan pula, saluran informal turut berfungsi sebagai ruang bagi kemunculan semula ‘pengetahuan terpinggir’ (subjugated knowledge) yang sering diketepikan oleh kurikulum formal dan wacana arus perdana. Idea-idea alternatif yang sebelum ini disenyapkan kini dapat disuarakan semula melalui platform digital, menjadikannya sebagai alat intelektual untuk mencabar struktur kuasa sedia ada. Dalam konteks ini, konsep kuasa pastoral yang diketengahkan oleh Foucault juga dapat dilihat dalam bentuk sokongan komuniti dan jaringan digital yang membantu individu memahami dan mengkritik realiti sosial mereka secara lebih mendalam (Issawi 2021).

Perbandingan Analitik Saluran formal dan Informal dalam Penyuburan Politik Malaysia

Menilai tahap perkembangan falsafah politik di Malaysia hari ini tidak memadai dengan melihat jumlah penerbitan atau kewujudan kursus di universiti. Ukuran yang lebih penting ialah di mana perbahasan itu benar-benar berkembang, bagaimana ia bergerak dan siapa yang terlibat dalam wacana tersebut. Dari sudut ini, perbandingan antara saluran formal dan informal memperlihatkan pola yang tidak seimbang. Saluran formal kekal sebagai pusat penghasilan ilmu yang tersusun, tetapi saluran informal semakin muncul sebagai ruang utama kepada perkembangan wacana yang lebih aktif dan terbuka.

Dalam saluran formal, perkembangan falsafah politik dapat dilihat melalui pengajaran, penyelidikan dan penerbitan akademik. Universiti terus menghasilkan tesis, artikel dan buku yang berasaskan kerangka teori yang jelas. Dari segi struktur, bidang ini tidak terpinggir sepenuhnya. Namun, jika dilihat dari sudut daya hidup wacana, keadaannya lebih terbatas. Perbahasan sering kekal dalam lingkungan akademik dengan capaian yang terhad kepada komuniti tertentu. Idea berkembang, tetapi dalam ruang yang relatif tertutup. Keadaan ini berkait rapat dengan sifat komunikasi dalam saluran formal itu sendiri. Perbahasan akademik menuntut ketelitian dan disiplin, tetapi pada masa yang sama bergerak dalam batas yang ditentukan oleh struktur institusi. Dalam keadaan ini, perkembangan tetap berlaku, tetapi tidak semestinya dalam bentuk yang benar-benar memperluas sempadan pemikiran. Wacana kekal stabil, tetapi lesu.

Sebaliknya, saluran informal memperlihatkan corak yang berbeza. Penerbit buku bebas, kelompok bacaan dan forum intelektual kecil semakin menjadi ruang utama kepada perkembangan falsafah politik yang lebih aktif. Di sini, idea tidak perlu melalui proses institusional yang ketat sebelum dibincangkan. Perbahasan boleh berlaku secara lebih langsung, terbuka dan kadangkala lebih berani. Saluran informal juga lebih mudah bergerak balas terhadap perubahan sosial serta lebih dekat dengan pengalaman masyarakat semasa. Berbanding universiti atau institusi formal yang terikat kepada kurikulum, birokrasi dan norma akademik, ruang informal mempunyai tahap keanjalan yang lebih tinggi dan membolehkan idea berkembang dengan lebih cepat. Dalam konteks ini, saluran informal lebih menghampiri konsep ruang awam dan tindakan komunikatif yang dihuraikan oleh Habermas kerana wacana berkembang melalui pertukaran idea yang lebih terbuka dan partisipatif. Walaupun tidak semua hujah mempunyai tahap ketelitian yang sama seperti dalam saluran formal, ruang ini membolehkan kemunculan perspektif yang lebih pelbagai dan responsif terhadap isu semasa.

Namun, perbandingan ini tidak boleh difahami secara simplistik. Saluran informal tidak semestinya lebih unggul dan saluran formal pula tidak boleh dilihat sekadar sebagai ruang yang terbatas. Kedua-duanya beroperasi dengan logik yang berbeza. Saluran formal menawarkan ketelitian, kesinambungan dan legitimasi akademik, tetapi kurang keanjalan. Saluran informal pula menawarkan kebebasan dan keterbukaan, tetapi tidak selalu mempunyai struktur yang memastikan kedalaman analisis secara konsisten. Dalam erti kata lain, perbezaan antara kedua-duanya adalah pada tahap dan bentuk perkembangan itu sendiri. Dalam konteks Malaysia, keadaan ini menjelaskan mengapa penyuburan falsafah politik lebih banyak didukung oleh saluran informal. Bukan kerana saluran formal tidak berfungsi, tetapi kerana sifatnya yang lebih terkawal mengehadkan ruang untuk perkembangan wacana yang lebih luas dan responsif terhadap perubahan semasa.

Perbandingan ini menunjukkan satu ketegangan yang tidak mudah diselesaikan. Di satu pihak, falsafah politik memerlukan struktur untuk berkembang secara mendalam. Di pihak lain, ia memerlukan kebebasan untuk berkembang secara lebih progresif. Saluran formal dan informal masing-masing memenuhi sebahagian daripada keperluan ini, tetapi tidak sepenuhnya. Dalam keadaan semasa, keseimbangan ini jelas lebih memihak kepada saluran informal dari segi daya hidup wacana. Apa yang lebih penting ialah bagaimana kedua-dua saluran ini saling mempengaruhi. Dalam banyak keadaan, idea yang muncul dalam saluran informal kemudiannya diserap ke dalam saluran formal dalam bentuk yang lebih tersusun, manakala kerangka teori daripada saluran formal pula menjadi rujukan dalam perbahasan informal. Hubungan ini menunjukkan bahawa walaupun terdapat perbezaan yang ketara, kedua-duanya tidak sepenuhnya terpisah. Namun, dari segi momentum perkembangan, saluran informal jelas memainkan peranan yang lebih aktif.

Akhirnya, dimensi semasa ini memperlihatkan bahawa penyuburan falsafah politik di Malaysia tidak boleh difahami melalui satu saluran sahaja. Saluran formal kekal penting sebagai asas intelektual dan sumber legitimasi ilmu, tetapi tidak lagi menjadi pusat utama kepada perkembangan wacana yang lebih hidup. Sebaliknya, saluran informal semakin mengambil peranan sebagai ruang yang membolehkan idea berkembang dengan lebih bebas dan lebih dekat dengan realiti sosial semasa. Di sinilah terletaknya perubahan yang paling ketara dalam landskap pemikiran politik di Malaysia hari ini.

Kesimpulan

Secara keseluruhannya, perkembangan falsafah politik di Malaysia menunjukkan bahawa saluran formal dan informal memainkan peranan yang saling berkait tetapi tidak berada pada kedudukan yang sama. Saluran formal seperti universiti dan institusi akademik masih penting kerana menyediakan asas metodologi, kesinambungan ilmu dan autoriti intelektual yang membolehkan sesuatu pemikiran dibangunkan secara lebih tersusun. Namun, kekuatan tersebut turut disertai dengan batas institusi, budaya akademik dan pertimbangan politik yang menjadikan ruang perbahasan bergerak dalam lingkungan yang lebih terkawal. Dalam keadaan ini, saluran formal lebih berfungsi sebagai ruang pemeliharaan dan pengukuhan disiplin berbanding medan utama kepada perkembangan idea yang lebih kritis dan mencabar.

Kini, saluran informal semakin muncul sebagai ruang yang lebih aktif dalam menyuburkan falsafah politik di Malaysia. Penerbit bebas, kolektif buku, media digital dan forum diskusi menyediakan ruang yang lebih terbuka kepada pertukaran idea serta membolehkan perbahasan berkembang secara lebih dekat dengan realiti sosial semasa. Keadaan ini menjadikan saluran informal lebih berupaya menampung pemikiran alternatif dan kritik terhadap struktur sedia ada, khususnya apabila ruang formal bergerak dalam batas yang lebih terbatas. Dalam kerangka Gramsci, perkembangan ini memperlihatkan bagaimana masyarakat sivil menjadi medan penting kepada pembentukan kaunter-hegemoni, manakala dari sudut Habermas pula, saluran informal lebih menghampiri bentuk ruang awam yang membolehkan komunikasi berlangsung secara lebih terbuka dan reflektif. Walau bagaimanapun, keadaan ini tidak bermaksud saluran informal boleh menggantikan sepenuhnya fungsi institusi formal. Saluran informal mempunyai kebebasan dan keanjalan yang lebih tinggi, tetapi sering berdepan masalah dari segi kesinambungan, dokumentasi dan ketelitian akademik. Oleh itu, perkembangan falsafah politik yang sihat memerlukan hubungan yang lebih seimbang antara kedua-dua saluran tersebut. Institusi formal menyediakan asas intelektual dan legitimasi ilmu, manakala saluran informal membuka ruang kepada pembaharuan idea dan perluasan wacana kepada masyarakat yang lebih luas.

Dalam perkembangan dan realiti Malaysia, hujah bahawa penyuburan falsafah politik lebih banyak didukung oleh saluran informal mempunyai asas yang kuat, khususnya jika dilihat dari sudut perkembangan wacana yang lebih aktif, terbuka dan responsif terhadap isu semasa. Namun, keadaan ini juga mencerminkan keterbatasan saluran formal dalam berfungsi sebagai ruang perbahasan yang benar-benar bebas dan kritis. Oleh itu, perkembangan saluran informal berupaya menunjukkan kemunculan ruang alternatif malahan turut menggambarkan peralihan sebahagian fungsi intelektual keluar daripada institusi formal akibat batas yang wujud dalam struktur tersebut.

Rujukan

  • Altbach, P.G. 2001. Academic Freedom: International Warning Signs. International Higher Education 24: 1–2.
  • Altbach, P.G., Reisberg, L. & Rumbley, L.E. 2009. Trends in Global Higher Education: Tracking an Academic Revolution.
  • Asyraff, J. & Subet, M.F. 2019. Wacana Kemasyarakatan Dalam Karya-Karya Indie Di Malaysia. Sains Humanika 12: 1–10.
  • Bachtiger, A., Dryzek, J.S., Mansbridge, J. & Warren, M.E. 2018. Deliberative Democracy: An Introduction. Dlm. Bachtiger, A., Dryzek, J. S., Mansbridge, J., & Warren, M. E. (pnyt.). Deliberative Democracy, hlm. 1. Oxford University Press.:
  • Benhabib, S. 1992. Models of Public Space: Hannah Arendt, the Liberal Tradition and Jurgen Habermas. Situating the Self: Gender, Community and Postmodernism in Contemporary Ethics, hlm. 89–120. Polity Press.:
  • Brown, G. 2005. The Rough and Rosy Road: Sites of Contestation in Malaysia’s Shackled Media Industry. Pacific Affairs 78(1): 39–56.
  • Buckel, S. & Fischer-Lescano, A. 2009. Gramsci Reconsidered: Hegemony in Global Law. Leiden Journal of International Law 22(3): 437–454.
  • Cahill, D.C. 2004. The Radical Neo-Liberal Movement as a Hegemonic Force in Australia, 1976-1996. Tesis Dr. Fal, Universiti Wollongong, Australia.
  • Calhoun, C.J.. 1992. Introduction: Habermas and the Public Sphere. Habermas and Public Sphere, hlm. 1–48. Massachusetts Institute of Technology.:
  • Campbell, J. 2012. Higher Educational Reform Values and the Dilemmas of Change: Challenging Secular Neo-Liberalism. Dlm. Cuadra-Montiel, H. (pnyt.). Globalization: Education and Management Agenda, hlm. 23–44. Intech Open Limited: London.
  • Carpini, M.X.D., Cook, F.L. & Jacobs, L.R. 2004. Public Deliberation, Discursive Participation and Citizen Engagement: A Review of the Empirical Literature. Annual Review of Political Science 7: 315–344.
  • Chambers, S. 2018. The Philosophic Origin of Deliberative Ideals. Dlm. Bachtiger, A., Dryzek, J. S., Mansbridge, J., & Warren, M. E. (pnyt.). The Oxford Handbook of Deliberative Democracy, hlm. 55–69. Oxford University Press.:
  • Che Noraini, H., Syed, M., Mujahid, S.A., Sharifah, N.A. & Azman, S. 2001. Academic Freedom and Educational Responsibility in Malaysian Higher Institutions of Learning. IIUM Journal of Educational Studies 2(1): 1–11.
  • Cheang, S.C. 2019. Indie Phenomenon: Sustainability of Malay Literature. International Journal of Academic Research in Business and Social Sciences 9(9).
  • Cheong, K.-C., Hill, C. & Leong , Y.-C. 2016. Malaysia’s Education Policies and the Law of Unintended Consequences. Journal of International and Comparative Education 5(2): 73–86.
  • Cheong, N. 2025. Making (internet) Space for the ‘Opposition Playground’ in Malaysia. Dialogues on Digital Society 1(3): 483–486.
  • Chinnasamy, S. 2018. New Media Political Engagement and Participation in Malaysia. Oxon: Routledge.:
  • Chinnasamy, S. & Volkmer, I. 2023. Public Actors in New Spaces: A Case Study of Digital Malaysia in Transnational Public Deliberation. Pacific Journalism Review 29(1 & 2): 136–152.
  • Cornelius-Bell, A. & Bell, P.A. 2024. Educational Hegemony: Angloshperic Education Institutions and the Potential of Organic Intellectuals. Canadian Journal of Educational and Social Studies 4(1): 49–62.
  • Deitelhoff, N. 2009. Deliberation. Dlm. Brunkhorst, H., Kreide, R., & Lafont, C. (pnyt.). The Habermas Handbook, hlm. 528–532. Columbia University Press: New York.
  • Deveaux, M. 2018. Deliberate Democracy and Multiculturalism. Deliberate Democracy, hlm. 156–170. Oxford University Press.:
  • Dzulpadzli, S., Sity, D. & Normah, M. 2025. Respons Kerajaan Terhadap Penyebaran Berita Palsu di Media Sosial Semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14). Malaysian Journal of History, Politics & Strategic Studies 52(3): 376–392.
  • Fadhilah, R.L., Muhamad Takiyuddin, I. & Sharifah Nursyahidah, S.A. 2024. Online Political Participation in Malaysia (2022-2024): A Structured Review. International Journal of Law, Government and Communication 9(38): 528–546.
  • Foong, L.H. 2012. New Media and Old Politics: The Role Of Blogging In The 2008 Malaysian General Election. Tesis Dr. Fal, University Canterbury, New Zealand,.
  • Forst, R. 2009. Discourse Ethics. Dlm. Brunkhorst, H., Kreide, R., & Lafont, C. (pnyt.). The Habermas Handbook, hlm. 538–540. Columbia University Press: New York.
  • Foucault, M. 1972. The Archeology of Knowledge & The Discourse on Language. Pantheon Books: New York.
  • Fraser, N. 1990. Rethinking the Public Sphere: A Contribution to the Critique of Actually Existing Democracy. Duke University Press: Social Text 25(26): 56–80.
  • Gramsci, A. 1971. Selections From the Prison Notebooks. Q. Hoare & G. N. Smith (Ptrj.) hlm. International Publisher: New York.
  • Green, C. 1993. Advanced Capitalist Hegemony and The Significance of Gramsci’s Insights: A Restatement. Social and Economic Studies 42(2/3): 175–207.
  • Habermas, J. 1984. The Theory of Communicative Action: Volume 1. T. McCarthy (Ptrj.) hlm. Beacon Press: Boston.:
  • Habermas, J. 1987. The Theory of Communicative Action: Volume 2. T. McCarthy (Ptrj.) hlm. Polity Press: Cambridge.:
  • Habermas, Jurgen. 1991. The Structural Transformation of the Public Sphere. T. Burger & F. Lawrence (Ptrj.) hlm. Fifth Printing. The MIT Press: Cambridge: Massachusetts.
  • Hasbollah, M.S. 2020. Kebebasan Akademik: Memperkasa Sistem Pendidikan di Malaysia serta Hubungannya dengan Kebebasan Ahli Akademik. Kanun Jurnal Undang-Undang Malaysia 34(2): 119–144.
  • Hasbollah, M.S. & Ramalinggam, R. 2022. Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Spesifik yang Berkaitan dengan Pendidikan di Malaysia serta Hubungannya dengan Kebebasan Ahli Akademik. Kanun Jurnal Undang-undang Malaysia 34(2): 225–260.
  • Haslina, H., Bahtiar, M., Shamsu A.D., Farah L.A. & Muslim D.A. 2021. Association of online political participation with social media usage, perceived information quality, political interest and political knowledge among Malaysian youth: Structural equation model analysis. Cogent Social Sciences: 1–20.
  • Humphreys, A. 2009. A total Approach: the Malaysian Security Model and Political Development. Doctor of Philosophy thesis, University of Wollongong,.
  • Inaya, R. & Zulfa, S. 2025. The Cultural Political Economy of Knowledge in Neo-Liberal Indonesia. Journal of Contemporary Asia 55(3): 388–404.
  • Issawi, F. el. 2021. Alternative Public Spaces in Hybrid Media Environments: Dissent in High Uncertainty. Journalism and Mass Communication Quarterly 98(3): 923–942.
  • Jalaluddin, A.M. 2014. Intelektual Pembangunan: Antara yang Menyumbang dan Mendendang. GEOGRAFIA Online: Malaysian Journal of Society and Space 10(1): 147–159.
  • Johnson, D. 2009. The Malaysian Intellectual:A Brief Historical Overview of the Discourse Sari. SARI: Jurnal Alam dan Tamadun Melayu 27(1): 13–26.
  • Karpov, A.O. 2016. Education in the Knowledge Society: Genesis of Concept and Reality. International Journal of Environmental & Science Education 11(17): 9949–9958.
  • Khairul Anuar, A.H., Ikmal Hisham, M.T. & Ahmad Zainuddin, H. 2021. Kebebasan Akademik dalam Roh Perlembagaan Persekutuan. GADING (Online) Journal for Social Sciences, Special Issue KONAKA (Bahasa Melayu) – Universiti Teknologi MARA Cawangan Pahang 24: 7.
  • Kuhn, T.S.. 1970. Structure of Scientific Revolutions. University of Chicago Press.:
  • Lafont, C. 2009. Communcative Action. Dlm. Brunkhorst, H., Kreide, R., & Lafont, C. (pnyt.). The Habermas Handbook, hlm. 499–516. Columbia University Press: New York.
  • Le, H. Van. 2024. Silence in the Classroom: Unraveling the Cultural Dynamics Affecting Participation and Critical Thinking in Malaysian and Vietnamese Engineering Education. Cogent Education 11(1).
  • Loganathan, K., Ali, S. & Emma, M.W.M. 2015. Fetters on Freedom of Information and Free Speech in Malaysia: A Study of the Licensing and Sedition Law. E-Bangi: Journal of Social Science and Humanities10(2): 297–309.
  • Malaysia. 2000. Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib Dan Surcaj).
  • Marginson, S. 2010. Higher education in the global knowledge economy. Procedia – Social and Behavioral Sciences, hlm. 6962–6980.
  • Mayo, P. 2014. Gramsci and The Politics Education. Capital & Class 38(2): 385–398.
  • McCarthy, T. 1978. The Critical Theory of Jurgen Habermas. Massachusetts Institute of Technology (MIT) Press.:
  • Miles, L. & Croucher, R. 2013. Gramsci, Counter-hegemony and Labour Union: Civil Society Organisation Coalitions in Malaysia. Journal of Contemporary Asia 43(3): 413–427.
  • Misak, C. 2000. Truth, Politics, Morality: Pragmatism and Deliberation. Routledge Taylor & Francis Group: London and New York.
  • Mohd Azizuddin, M.S. 2005. Media Freedom in Malaysia. Journal of Contemporary Asia 35(3): 341–367.
  • Mohd Faizal, K. 2016. Pemberitaan Objektif atau Lidah Rasmi Kumpulan Pembangkang?: Satu Kajian Liputan Pilihanraya Umum Malaysia 2013. Malaysian Journal of Communication 32: 104–123.
  • Mohd Faizal, K. 2024. Social Media as an Online Public Sphere: A Study Among the First-Time Malay Voters. Kajian Malaysia 42(2): 29–50.
  • Muhamad Faisal, A., Mohd Firdaus, H., Liliy, Y. & Rosmawati, M.R. 2018. Tarikan terhadap Buku Indie dalam Kalangan Pembaca Muda di Malaysia. Islamiyyat 40(2): 169–178.
  • Muhammad Atiullah, O., Abdul Hadi, A.H. & Siti Noranizahhafizah, B. 2022. Pascamodernisme dan Eksistentialisme dalam Buku Indie: Kajian Terhadap Catatan Mahasasiswa. Perspektif Jurnal Sains Sosial dan Kemanusiaan 14(2): 1–13.
  • Mun Loong, W. 2014. Social Media, Power and Democratisation in Malaysia: Weapons of the Weak?
  • Murphy, Mark. & Fleming, Ted. 2010. Habermas: Critical Theory and Education. Routledge.:
  • Niesen, P. 2009. Speech Acts. Dlm. Brunkhorst, H., Kreide, R., & Lafont, C. (pnyt.). The Habermas Handbook, hlm. 58–63. Columbia University Press: New York.
  • Nikita. 2024. Veiled Power: The Art of Modern State Control. International Journal for Multidisciplinary Research, Review and Studies 1(4): 1–8.
  • Norhafiza, M.H. 2017. The Dynamics of Youth Political Participation in Southeast Asia: The Case of Malaysia. Tesis Dr. Fal, Universiti Sheffield, England,.
  • Nurul, K., Hasan, B. & Sri, W. 2025. The Phenomenon of Silencing Activists in the Novel Laut Bercerita and Digital Silencing in Indonesia: An Analysis of Gramsci’s Hegemony. KEMBARA Journal of Scientific Language Literature and Teaching 11(1): 405–422.
  • Pass, J. 2019. A (liberal) Sheep in (Marxist) Wolf’s clothing? Reassessing Antonio Gramsci’s Conceptualisation of Hegemony. Daimon. Revista Internacional de Filosofía(77): 73–88.
  • Rajandran, K. & Lee, C. (pnyt.). 2023. Discursive Approaches to Politics in Malaysia. Springer Nature Singapore Pte Ltd: Singapore.
  • Raman, S.R. & Sua, T.Y. 2010. Ethnic Segregation in Malaysia’s Education System: Enrolment Choices, Preferential Policies and Desegregation. Paedagogica Historica 46(1–2): 117–131.
  • Rosli, H.M. & Mohd. Hazim, S. 2013. Academic Rights 101: An introduction in a Malaysian context. Australian Universities Review 55(2): 105–110.
  • Sardar, N. 2024. Understanding Hegemony: A Critical Analysis through the Lens of Antonio Gramsci. International Journal for Multidisciplinary Research 6(2): 1–6.
  • Snellman, C.L. 2015. University in Knowledge Society: Role and Challenges. Journal of System and Management Sciences 5(4): 84–113.
  • Soller, J. 2009. A Perspective of Global Capitalism. Universiti Nevada, Las Vegas.,.
  • Strecker, D. 2009. The Theory of Society. Dlm. Brunkhorst, H., Kreide, R., & Lafont, C. (pnyt.). The Habermas Handbook, hlm. 360–381. Columbia University Press: New York.
  • Sufean, H. & Wong, S.C. 2014. University Autonomy: What Academics Think About It. International Refereed Research ResearchersWorld: Journal of Arts, Science & Commerce 5(2): 107–120.
  • Wan, C. Da. 2017. The History of University Autonomy in Malaysia. Policy IDEAS 40: 1–24.
  • Wan, C. Da. 2022. Academic Freedom in Malaysian Public Universities. Kajian Malaysia 40(2): 1–19.
  • Wei, L.Y. 2016. Constraint without coercion: Indirect repression of environmental protest in Malaysia. Pacific Affairs 89(3): 543–565.
  • Weiss, M.L. 2009. Intellectual Containment: The Muting of Students in Semidemocratic Southeast Asia. Critical Asian Studies41(4): 499–522.
  • Weiss, M.L. 2011. Student Activism in Malaysia: Crucible, Mirror, Sideshow. National University of Singapore Press.:
  • Weiss, M.L. 2012. Politics in Cyberspace: New Media in Malaysia. FES Media.:
  • Weiss, M.L. 2013. Parsing the Power of “New Media” in Malaysia. Journal of Contemporary Asia43(4): 591–612.
  • Whiting, A. 2013. Essay Emerging from Emergency Rule? Australian Journal of Asian Law, hlm.

Nota

  1. Weltanschauung ialah istilah bahasa Jerman yang merujuk kepada pandangan dunia atau kerangka pemikiran yang membentuk cara seseorang memahami realiti, masyarakat dan hubungan kuasa. Dalam tradisi pemikiran Gramsci, konsep ini digunakan untuk menjelaskan bagaimana nilai dan idea dominan diterima sebagai sesuatu yang normal dalam masyarakat. ↑

  2. Negara Integral menurut Antonio Gramsci ialah konsep yang menggabungkan masyarakat politik (alat paksaan) dan masyarakat sivil (hegemoni budaya). Ia adalah persetujuan sukarela rakyat melalui institusi seperti sekolah, gereja dan media yang membolehkan hegemoni budaya dikekalkan. ↑

  3. Perang kedudukan merujuk kepada perjuangan ideologi jangka panjang dalam masyarakat sivil untuk membina kaunter-hegemoni. ↑

Unless expressly indicated, materials published on WIRA.my have not undergone formal academic peer review. Analysis and commentary represent the author’s interpretation and should not be read as institutional policy positions.