Dasar Fiskal Najib Razak dan Anwar Ibrahim

Universiti Kebangsaan Malaysia

Essay11 min read

Malaysia sebagai sebuah negara pasca-kolonial yang berbilang etnik telah melalui transformasi politik yang mendalam sejak mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Sistem politik negara ini telah berkembang daripada satu rejim hegemonik di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN) yang bertahan lebih enam dekad kepada satu landskap politik yang semakin terfragmentasi dan terpolarisasi (Dettman 2020; Lee Hwok-Aun 2024). Peralihan ini bukan sekadar mencerminkan perubahan dalam konfigurasi kuasa politik, tetapi turut membawa implikasi yang mendalam terhadap cara dasar awam, khususnya dasar ekonomi dirumuskan, dilaksanakan dan diterima oleh masyarakat (Hutchinson 2022; Muhammad Azzubair et al. 2025).

Trajektori sistem politik Malaysia boleh dibahagikan kepada beberapa fasa kritikal yang membentuk konteks polarisasi kontemporari. Fasa pertama meliputi tempoh hegemoni BN dari tahun 1957 hingga 2018, di mana gabungan parti berasaskan etnik ini menguasai politik negara melalui sistem permuafakatan yang mengimbangi kepentingan pelbagai kumpulan etnik dalam satu kerangka kuasa yang terpusat (Lijphart 1977; Horowitz 2000). Dalam tempoh ini, dasar ekonomi seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan pada tahun 1971 bukan sekadar instrumen pembangunan ekonomi, tetapi merupakan kontrak sosial yang mengikat pelbagai kumpulan etnik dalam satu tatanan politik yang stabil walaupun tidak saksama (Abdillah Noh 2014; Lee Hwok-Aun 2024). Sistem ini beroperasi berdasarkan logik pertukaran politik, di mana kesetiaan politik dirampas dengan akses kepada sumber ekonomi, peluang pendidikan dan mobiliti sosial (Johan & Maznah 2020; Tan 2021).

Namun demikian, hegemoni BN[1] mula mengalami hakisan yang ketara seiring dengan perkembangan ekonomi, peningkatan kesedaran politik dan kemunculan media baharu yang mengubah cara rakyat mengakses maklumat dan membentuk pendapat politik (Muthukumaran 2023; Nuurrianti 2022). Pilihan Raya Umum ke-12 pada tahun 2008 menandakan satu titik perubahan apabila BN buat pertama kalinya kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen dan turut tewas di lima buah kubu kuat (Funston 2018; Welsh 2017). Kejutan politik ini mendedahkan kelemahan struktur dalam sistem dominan satu parti dan membuka ruang kepada pembangkang untuk mengukuhkan kedudukan mereka sebagai alternatif yang berdaya maju (Case 2017). Dalam tempoh antara 2008 hingga 2018, Malaysia mengalami proses polarisasi politik[2] yang semakin mendalam, di mana perpecahan bukan lagi terhad kepada garis etnik tradisional[3], tetapi turut melibatkan dimensi ideologi, generasi dan geografi (Dettman 2020; Maithilli 2022).

Kemunculan polarisasi politik sebagai fenomena struktural dan budaya di Malaysia tidak dapat dipisahkan daripada warisan kolonial British yang mengamalkan sistem pemerintahan tidak langsung apabila mengekalkan raja-raja Melayu sebagai punca kuasa tetap melaksanakan dasar awam melalui sistem Residen dan seterusnya Persekutuan Tanah Melayu, British turut membahagikan masyarakat mengikut garis etnik untuk tujuan pentadbiran (Kollmeyer 2025; Horowitz 1985). Sistem ini telah mengeraskan identiti etnik dan mewujudkan persaingan antara kumpulan untuk mendapatkan akses kepada sumber ekonomi dan kuasa politik (Rabushka & Shepsle 1972). Selepas merdeka, walaupun pemimpin negara cuba membina satu identiti kebangsaan yang bersatu melalui konsep ‘Bangsa Malaysia’, realiti politik tetap didominasi oleh parti berasaskan etnik dan dasar yang mengutamakan kepentingan kumpulan tertentu (Abdul Aqmar & Muhamad Nadzri 2022; Lijphart 1999).

Konsep Bangsa Malaysia merujuk kepada gagasan pembentukan sebuah negara bangsa Malaysia yang bersatu dengan identiti politik bersama yang melangkaui perbezaan etnik dan budaya. Ianya boleh dibahagi kepada dua elemen utama iaitu sebuah komuniti politik di mana semua warganegara, tanpa mengira etnik, agama atau latar belakang, mengidentifikasikan diri mereka sebagai sebahagian daripada satu identiti kolektif Malaysia (Abdul Rahman 2021). Keduanya, konsep ini bukanlah bertujuan untuk mewujudkan satu bangsa Malaysia yang tunggal atau menghapuskan identiti etnik, kerana setiap bangsa bebas mengamalkan budaya masing-masing. Sebaliknya, konsep ini menekankan pembinaan perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk Malaysia dengan menghormati kepelbagaian budaya. Ia membayangkan sebuah negara di mana rakyat melangkaui batas etnik, menjunjung semangat inklusif Perlembagaan Malaysia, serta berkongsi hasil pembangunan secara adil dan saksama (Sity & Norrizan 2019).

Polarisasi politik di Malaysia bukan sekadar pembahagian mengikut parti atau ideologi, tetapi merupakan satu proses di mana pelbagai identiti sosial seperti etnik, agama dan kelas ekonomi telah disejajarkan mengikut satu dimensi tunggal yang mewujudkan dikotomi ‘kita lawan mereka’ (McCoy et al. 2018). Dalam konteks ini, polarisasi afektif telah berkembang ke tahap di mana penyokong sesebuah kumpulan politik bukan sahaja tidak bersetuju dengan lawan mereka mengenai isu dasar, tetapi turut melihat lawan tersebut sebagai ancaman eksistensial terhadap cara hidup dan nilai yang mereka pegang (Törnberg et al. 2021; Iyengar et al. 2012). Fenomena ini diperkukuhkan lagi oleh sentuhan media sosial yang mewujudkan ‘bilik gema’[4] di mana individu hanya didedahkan kepada maklumat yang menyokong kepercayaan sedia ada mereka (Daniel 2024; Stray et al. 2023).

Manifestasi paling terkesan dalam polarisasi politik di Malaysia ialah runtuhnya sistem dominan satu parti dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada tahun 2018. Kemenangan Pakatan Harapan (PH) menandakan pertukaran kuasa persekutuan yang pertama dalam sejarah Malaysia dan mengakhiri pemerintahan BN yang bertahan selama 61 tahun (Funston 2018; Case 2017). Kekalahan BN bukan sekadar hasil daripada perubahan sokongan pengundi, tetapi mencerminkan ketidakpuasan mendalam terhadap skandal rasuah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang membabitkan Perdana Menteri Najib Razak, persepsi pengurusan ekonomi yang lemah dan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang sangat tidak popular (Ariff et al. 2021; Abdul Muein 2024a). PRU14 juga memperlihatkan bagaimana isu dasar ekonomi khususnya subsidi dan percukaian boleh menjadi senjata politik yang sangat berkesan dalam persekitaran yang terpolarisasi (Junaidi 2019; Faiz & Aira 2021).

Bagaimanapun, kejayaan PH dalam PRU14 tidak membawa kepada kestabilan politik yang dijangkakan. Sebaliknya, tempoh 22 bulan pemerintahan PH (Mei 2018–Februari 2020) dicirikan oleh ketegangan dalaman dalam gabungan, kesukaran melaksanakan janji manifesto dan penentangan daripada kumpulan Melayu konservatif terdiri daripada golongan penyokong tegar UMNO dan PAS yang merasakan kepentingan mereka terancam (Abdul Aqmar & Muhamad Nadzri 2022; Khoo 2023). Keruntuhan kerajaan PH pada Februari 2020 melalui apa yang dikenali sebagai ‘Langkah Sheraton’[5] membawa kepada pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Muhyiddin Yassin tanpa melalui pilihan raya, sekali gus mencetuskan krisis legitimasi dan mempercepatkan lagi proses fragmentasi politik (Aurell et al. 2025; Muhammad Azzubair et al. 2025).

Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November 2022 pula menghasilkan Parlimen tergantung buat pertama kalinya dalam sejarah Malaysia, di mana tiada gabungan parti berjaya memperoleh majoriti mudah yang diperlukan untuk membentuk kerajaan (Aurell et al. 2025). Situasi ini memaksa pembentukan ‘Kerajaan Perpaduan’[6] di bawah kepimpinan Anwar Ibrahim, yang merangkumi gabungan parti yang mempunyai perbezaan ideologi yang ketara termasuk PH, BN dan parti-parti berasaskan Sabah dan Sarawak (Muhammad Azzubair et al. 2025; Lee Hwok-Aun 2024). Kerajaan pasca PRU15 ini beroperasi dalam konteks polarisasi yang paling terpisah dalam sejarah Malaysia, di mana pembangkang PN yang didominasi oleh PAS dan PPBM menguasai sokongan majoriti pengundi Melayu dan menggunakan retorik agama dan etnik untuk mencabar legitimasi kerajaan (Syaza 2024; Maithilli 2022).

Dalam konteks transformasi politik yang mendalam ini, kajian ini memilih untuk membandingkan dua era pentadbiran yang mewakili dua model pemerintahan berbeza dalam trajektori polarisasi Malaysia. Pentadbiran Najib Razak (2015–2018) dipilih sebagai simbol rejim hegemonik yang cuba mempertahankan sistem dominan satu parti dalam menghadapi cabaran struktural dan skandal yang semakin membimbangkan. Walaupun BN pada ketika itu masih mempunyai majoriti yang selesa di Parlimen, legitimasi kerajaan telah terhakis akibat skandal 1MDB, persepsi rasuah yang meluas dan pelaksanaan dasar ekonomi yang tidak popular (Case 2017; Abdul Muein 2024a). Dalam tempoh ini, Najib menggunakan strategi populisme fiskal melalui program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). Bantuan ini masih lagi dipertikaikan peranannya sebagai bantuan sosial ataupun sekadar instrumen untuk meraih sokongan dan kekal dalam kepompong populisme (Muhammad Ariff & Sity 2018).

Sebaliknya, pentadbiran Anwar Ibrahim (2022–2025) dipilih sebagai simbol konsensus dalam konteks polarisasi yang melampau. Berbeza dengan Najib yang mempunyai majoriti kukuh tetapi legitimasi yang lemah, Anwar mempunyai legitimasi demokratik yang lebih jelas tetapi beroperasi dengan majoriti Parlimen yang tipis dan terpaksa mengurus gabungan yang rapuh serta penuh dengan kepentingan yang bercanggah (Muhammad Azzubair et al. 2025; Syaza 2024). Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Anwar terpaksa beroperasi dalam persekitaran di mana setiap keputusan dasar perlu mengambil kira sensitiviti pelbagai rakan gabungan, tekanan daripada pembangkang yang agresif dan pengawasan awam yang semakin kritikal melalui media sosial (Khoo 2023; Nuurrianti 2022).

Pemilihan dua era ini juga membolehkan kajian ini menelitivperubahan dalam struktur politik daripada hegemoni kepada gabungan pelbagai parti memberi kesan kepada keupayaan kerajaan untuk melaksanakan reformasi dasar ekonomi yang mungkin tidak popular tetapi dianggap perlu dari sudut fiskal. Kedua-dua pentadbiran berhadapan dengan cabaran fiskal yang serupa, iaitu keperluan untuk mengurangkan defisit bajet, mengukuhkan kedudukan kewangan negara dan melaksanakan reformasi struktur dalam sistem subsidi dan percukaian (Li et al. 2017; Marketline 2025). Namun, konteks politik yang berbeza iaitu Najib dalam sistem dominan satu parti yang sedang runtuh sementara Anwar dalam sistem gabungan yang rapuh telah membawa kepada pendekatan dasar yang berbeza dan hasil pelaksanaan yang juga berbeza (Cassey 2024; Ali 2020).

Dasar rasionalisasi subsidi dan percukaian dipilih sebagai fokus kajian ini kerana kedua-dua bidang dasar ini mewakili medan pergelutan politik yang paling jelas dalam persekitaran yang terpolarisasi. Subsidi petrol khususnya telah menjadi kontrak sosial tidak rasmi antara kerajaan dan rakyat sejak era minyak murah pada tahun 1970-an dan 1980-an (Abdillah Noh 2014). Sebarang cubaan untuk mengurangkan atau merasionalisasikan subsidi ini sering dilihat sebagai pengkhianatan kepada tanggungjawab kerajaan dan mudah dibingkaikan sebagai beban kepada rakyat biasa (Junaidi 2019; Susskind et al. 2020). Begitu juga dengan percukaian, di mana pelaksanaan cukai baharu atau peningkatan kadar cukai sedia ada sering mencetuskan penentangan awam yang kuat kerana ia dikaitkan dengan ketidakcekapan pengurusan kerajaan atau keperluan untuk menutup kelemahan dalam tadbir urus (Faiz & Aira 2021; McCluskey 2016).

Dalam pentadbiran Najib, rasionalisasi subsidi melalui pengapungan harga petrol pada tahun 2014 dan pelaksanaan GST pada April 2015 dilakukan dalam konteks keperluan mendesak untuk mengukuhkan kedudukan fiskal negara yang terjejas akibat penurunan harga minyak global dan peningkatan perbelanjaan kerajaan (Li et al. 2017; Amirul & Rosyidah 2022). GST diperkenalkan sebagai pengganti kepada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dianggap tidak cekap dan mempunyai asas cukai yang sempit (Siti Nur Amalina et al. 2021). Rasional ekonomi untuk GST adalah kukuh kerana ia boleh meluaskan asas cukai, mengurangkan pengelakan cukai dan mengurangkan kebergantungan negara kepada hasil petroleum (Ali 2020). Namun, pelaksanaan GST berlaku dalam suasana yang sangat tidak menguntungkan dari sudut politik, di mana ia bertindih dengan skandal 1MDB dan peningkatan kos sara hidup yang menyebabkan rakyat sangat sensitif terhadap sebarang tambahan beban kewangan (Ariff et al. 2021).

Pembangkang pada masa itu, yang kemudiannya membentuk kerajaan PH, berjaya membingkaikan GST sebagai cukai yang menindas rakyat miskin dan sebagai bukti ketidakcekapan serta kerakusan kerajaan BN (Junaidi 2019; Faiz & Aira 2021). Naratif ini sangat berkesan dalam persekitaran yang terpolarisasi di mana kepercayaan terhadap kerajaan sudah terhakis dan rakyat mudah menerima tafsiran negatif terhadap sebarang dasar kerajaan (Abdul Muein 2024a). Janji untuk menghapuskan GST menjadi salah satu komitmen utama dalam manifesto PH untuk PRU14 dan terbukti menjadi faktor penting dalam kemenangan mereka (Siti Nur Amalina et al. 2021). Selepas memenangi pilihan raya, kerajaan PH memenuhi janji tersebut dengan menghapuskan GST dan mengembalikan sistem SST, walaupun langkah ini menyebabkan penurunan hasil kerajaan dan memperbesarkan defisit fiskal (Faiz & Aira 2021).

Pengalaman GST ini menunjukkan bagaimana dasar ekonomi yang mempunyai justifikasi teknikal yang kukuh boleh gagal dari sudut politik apabila ia dilaksanakan dalam persekitaran yang terpolarisasi tanpa strategi komunikasi yang berkesan dan tanpa kepercayaan awam yang mencukupi terhadap kerajaan (Nuurrianti 2022; Hutchinson 2022). Ia juga menunjukkan kesan maklum balas dasar, di mana pengalaman negatif rakyat dengan GST telah membentuk jangkaan dan sikap mereka terhadap sebarang percubaan reformasi percukaian pada masa hadapan (Pierson 1993; Abdillah Noh 2014). Kerajaan Anwar, sebagai contoh, terpaksa sangat berhati-hati dalam perbincangan mengenai reformasi percukaian dan memilih untuk meningkatkan hasil melalui cara yang kurang kontroversial seperti peningkatan kadar Cukai Perkhidmatan daripada enam peratus kepada lapan peratus dan pengenalan cukai sasaran seperti Cukai Keuntungan Modal dan Cukai Barang Mewah (Cassey 2024; Marketline 2025).

Bagi subsidi pula, kedua-dua pentadbiran menghadapi dilema yang sama tetapi dalam konteks politik yang berbeza. Najib melaksanakan pengapungan harga petrol secara mendadak pada Disember 2014, menghapuskan subsidi yang telah wujud sejak tahun 1980-an (Junaidi 2019). Langkah ini, walaupun dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan yang ketika itu mengalami tekanan fiskal yang membimbangkan, mencetuskan penentangan awam yang kuat kerana ia berlaku serentak dengan pelaksanaan GST dan ditengah-tengah skandal 1MDB (Abdul Muein 2024a). Pembangkang berjaya membingkaikan pemansuhan subsidi ini sebagai satu lagi bukti kegagalan kerajaan BN untuk melindungi kepentingan rakyat biasa (Junaidi 2019).

Anwar pula mengambil pendekatan yang lebih berhati-hati dan berperingkat dalam rasionalisasi subsidi. Pentadbirannya memperkenalkan konsep subsidi bersasar, bermula dengan diesel pada Jun 2024, di mana subsidi hanya diberikan kepada kumpulan sasaran yang layak manakala pengguna berpendapatan tinggi dan sektor komersial tertentu perlu membayar harga pasaran (Cassey 2024; Marketline 2025). Pendekatan ini secara teorinya lebih adil dan cekap dari sudut fiskal kerana ia memastikan bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukannya (Dulal et al. 2015). Namun, pelaksanaannya menghadapi cabaran besar dari segi ketepatan penyasaran, sistem pendaftaran yang rumit dan kekeliruan awam mengenai kelayakan (Khoo 2023).

Pembangkang pula menggunakan isu subsidi bersasar ini sebagai senjata politik untuk mencabar legitimasi Kerajaan Perpaduan (Maithilli 2022). Mereka membingkaikan dasar ini sebagai membebankan rakyat Melayu dan menyalahi prinsip yang sepatutnya menjamin hak istimewa kepada bumiputera termasuk dalam bentuk subsidi (Lee Hwok-Aun 2024). Naratif ini sangat berkesan dalam kalangan pengundi Melayu luar bandar yang merupakan asas sokongan utama PN (Syaza 2024). Kerajaan Anwar terpaksa berhadapan dengan dilema di mana langkah rasionalisasi subsidi yang perlu dari sudut fiskal boleh mengakibatkan kehilangan sokongan politik dalam gabungan yang sudahpun rapuh (Muhammad Azzubair et al. 2025).

Fenomena rasionalisasi subsidi dan percukaian sebagai alat dasar fiskal yang dipolitikkan mencerminkan realiti bahawa dalam demokrasi yang terpolarisasi, tiada dasar yang benar-benar ‘teknikal’ atau ‘neutral’ (McCoy et al. 2018; Bonomi et al. 2021). Setiap keputusan dasar, tidak kira betapa kukuhnya justifikasi ekonominya, akan dinilai melalui lensa identiti politik, kepercayaan terhadap kerajaan dan persepsi mengenai siapa yang akan untung dan rugi daripada dasar tersebut (Burhanuddin et al. 2019; Koenig & Mendelberg 2025). Dalam konteks Malaysia yang mempunyai sejarah panjang dasar berasaskan etnik dan sistem naungan politik, sebarang perubahan dalam dasar subsidi atau percukaian mudah ditafsirkan sebagai usaha untuk mengubah keseimbangan kuasa antara kumpulan etnik atau antara kelas sosial (Horowitz 2000; Johan & Maznah 2020).

Tambahan pula, polarisasi politik telah mengubah cara dasar ekonomi dibincangkan dan dinilai dalam ruang awam. Media sosial telah menjadi medan utama pertempuran naratif, di mana maklumat, maklumat salah dan propaganda bercampur-aduk dalam membentuk persepsi awam (Muthukumaran 2023; Rabah et al. 2025). Algoritma platform media sosial yang mengutamakan kandungan yang mencetuskan emosi kuat telah memperkukuhkan polarisasi dengan mewujudkan bilik gema di mana pengguna hanya didedahkan kepada pandangan yang menyokong kepercayaan sedia ada mereka (Daniel 2024; Xing et al. 2023). Dalam persekitaran ini, usaha kerajaan untuk menerangkan rasional teknikal sesuatu dasar sering kali tidak dapat menembusi tembok prasangka dan ketidakpercayaan yang telah terbina (Nuurrianti 2022; Septiani 2019).

Perbandingan antara pentadbiran Najib dan Anwar dalam melaksanakan reformasi dasar fiskal oleh itu bukan sekadar perbandingan antara dua set dasar, tetapi perbandingan antara dua model tadbir urus dalam konteks polarisasi yang berbeza. Kajian ini bertujuan untuk memahami bagaimana struktur politik sama ada hegemoni yang sedang runtuh atau gabungan yang rapuh boleh mempengaruhi keupayaan dan strategi kerajaan dalam melaksanakan dasar yang mungkin tidak popular tetapi dianggap perlu. Ia juga meneliti bagaimana faktor-faktor seperti legitimasi politik, kepercayaan awam, keupayaan komunikasi dasar dan koordinasi institusi memainkan peranan dalam menentukan sama ada sesuatu dasar ekonomi akan berjaya atau gagal (Hutchinson 2022; Koen et al. 2017).

Nota

  1. Hegemoni Barisan Nasional (BN) merujuk kepada keupayaan BN mengekalkan pengaruh politik melalui penguasaan institusi, jaringan sokongan politik dan penerimaan pengundi selain kemenangan pilihan raya, melalui pembingkaian naratif kestabilan dan tadbir urus sejak 1955 hingga 2018. ↑

  2. Polarisasi politik merujuk kepada proses perpecahan sikap, sokongan dan kepercayaan politik dalam kalangan pengundi dan aktor politik kepada blok atau identiti yang semakin berlawanan, sehingga mengecilkan ruang kompromi dan memperkukuh politik berasaskan identiti, emosi atau kepartian berbanding pertimbangan dasar. ↑

  3. Garis etnik tradisional merujuk kepada pembahagian politik dan sosial yang terbentuk secara sejarah berdasarkan etnik dan mempengaruhi sokongan serta tingkah laku politik di Malaysia. ↑

  4. Echo chamber merujuk kepada persekitaran komunikasi di mana individu terdedah secara berulang kepada pandangan yang selari dengan kepercayaan sedia ada, sekali gus mengukuhkan polarisasi dan mengehadkan pendedahan kepada perspektif alternatif. ↑

  5. Langkah Sheraton merujuk kepada krisis politik Malaysia pada Februari 2020 yang menyaksikan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan melalui peralihan sokongan ahli Parlimen, sekali gus mencetuskan ketidakstabilan politik dan perubahan kerajaan tanpa pilihan raya umum ↑

  6. Kerajaan gabungan pelbagai parti selepas keputusan PRU15 apabila tiada parti yang majoriti. Kerajaan ini menggabungkan seteru politik dari parti PH dan BN serta beberapa parti lain dari Sabah dan Sarawak membentuk kerajaan yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim. ↑

Unless expressly indicated, materials published on WIRA.my have not undergone formal academic peer review. Analysis and commentary represent the author’s interpretation and should not be read as institutional policy positions.